10 soalan lazim dalam temuduga kerja dan cara menjawabnya

10 soalan lazim dalam temuduga kerja dan cara menjawabnya
Jobstreet content teamupdated on 21 May, 2024
Share

Anda tahu tak, temuduga kerja bukan sekadar fasa biasa dalam proses pengambilan pekerja; ia merupakan peluang emas untuk anda meninggalkan kesan yang mendalam kepada majikan. Di sesi temuduga, anda boleh tunjukan bakat dan kecocokan anda untuk jawatan yang diidamkan.

Dalam artikel ini, kita akan kongsi beberapa soalan temuduga yang kerap ditanya dan strategi
menjawabnya dengan cemerlang.

Persediaan rapi bukan sahaja membantu anda bersikap lebih tenang dan yakin semasa ditemu duga, tetapi juga meningkatkan peluang anda untuk menarik perhatian dan memperoleh kerja
impian.

Jadi, mari kita lihat bagaimana anda boleh bersiap sedia untuk memberi yang terbaik!

Kenapa kita perlu bersiap sedia secara mendalam untuk temuduga? 

Persediaan yang rapi bukan sahaja membantu anda menyusun jawapan yang terstruktur dan tepat, tetapi ia juga meningkatkan keyakinan anda ketika berhadapan dengan panel temu duga. 

Dengan mengenal pasti soalan-soalan yang mungkin diajukan, anda dapat merancang jawapan yang dapat menonjolkan kekuatan dan pencapaian anda, serta keserasian dengan nilai dan budaya syarikat.

Persiapan menyeluruh juga membolehkan anda untuk berfikir secara kritikal tentang pengalaman lalu dan bagaimana ia relevan dengan jawatan yang anda lamar. 

Ini tidak hanya meningkatkan kemungkinan anda untuk meninggalkan kesan positif, tetapi juga
memudahkan anda dalam menangani soalan kompleks atau situasi hipotetikal yang
sering muncul dalam temuduga. Secara keseluruhannya, persediaan yang komprehensif menunjukkan profesionalisme anda dan kesungguhan dalam merebut peranan yang anda minati, aspek yang sangat dihargai oleh majikan.

10 soalan popular dalam temuduga dan strategi menjawabnya

Dua tangan di atas meja kayu, satu memegang kad bertanda tanya.

Berikut merupakan soalan-soalan yang biasa ditanya di dalam temuduga kerja:

1. Bolehkah anda ceritakan sedikit tentang diri anda

Kebiasaanya, soalan “Ceritakan tentang diri anda” adalah soalan pembuka sesi temuduga
dan soalan yang paling penting sebab jawapan anda untuk soalan ini akan
memberikan “First impression” anda kepada penemuduga. 

Soalan ini bukan setakat rutin, tapi ia sebenarnya peluang emas untuk anda berikan gambaran awal tentang diri anda. 

  • Mulakan dengan latar belakang pendidikan: Ceritakan tentang pendidikan formal anda yang relevan dengan pekerjaan yang dimohon. Sebutkan institusi yang anda hadiri dan kelayakan yang anda peroleh.
  • Sertakan pengalaman kerja: Nyatakan pengalaman kerja anda yang paling relevan, bermula dari yang terbaru. Jelaskan tanggungjawab utama dan pencapaian yang berkaitan dengan kerja tersebut.
  • Senaraikan kekuatan dan kemahiran utama: Sebutkan beberapa kekuatan dan kemahiran khusus yang anda miliki, yang membuat anda calon yang sesuai untuk posisi tersebut. Contohnya, kemahiran dalam pengurusan projek, kepimpinan, atau teknologi tertentu.
  • Tunjukkan kesesuaian anda dengan budaya syarikat: Akhiri dengan menyatakan
    bagaimana nilai dan etika kerja anda selaras dengan budaya syarikat. Ini
    menunjukkan bahawa anda telah membuat penyelidikan tentang syarikat dan sangat
    berminat untuk menjadi sebahagian daripada pasukan mereka.

Contoh jawapan: 

"Saya merupakan seorang profesional dalam bidang [sebutkan bidang kepakaran anda] dengan pengalaman selama [sebutkan tempoh pengalaman] tahun. Saya memulakan kerjaya
saya sebagai [sebutkan posisi permulaan] dan kini saya bekerja sebagai [sebutkan posisi semasa] di [nama syarikat semasa]. Sepanjang karier saya, saya fokus pada [sebutkan aspek khusus atau pencapaian tertentu], yang mana saya berjaya [sebutkan kejayaan atau projek khusus]. Saya juga memiliki kemahiran [sebutkan kemahiran penting] yang saya percaya dapat memberikan sumbangan yang besar kepada pasukan dan matlamat syarikat anda."

Ini adalah salah satu cara yang betul untuk anda jawab soalan ini 


2. Apakah yang menarik anda untuk bekerja dengan syarikat ini? 

Untuk menjawab soalan ini ketika temuduga, anda perlu tunjukkan yang anda memang
sudah buat “Homework” tentang syarikat ni. 

  • Pertama, belajar tentang syarikat tersebut, termasuk sejarah, budaya kerja, pencapaian terkini, dan projek masa depan. 
  • Kedua, fikirkan bagaimana latar belakang anda, kemahiran, dan aspirasi boleh menyumbang kepada syarikat.
  • Ketiga, tunjukkan semangat anda terhadap industri tersebut dan bagaimana anda boleh menjadi aset kepada pasukan. 
  • Keempat, sebutkan sebarang pencapaian atau
    inisiatif syarikat yang benar-benar menarik minat anda dan jelaskan mengapa. 
  • Kelima, pastikan jawapan anda ikhlas dan personal, supaya pewawancara dapat merasai keautentikan dan kesungguhan anda.

Contoh jawapan:

Saya memilih syarikat ini kerana saya kagum dengan komitmen [Nama Syarikat] terhadap
inovasi dan kelestarian. Saya sangat tertarik dengan [produk atau projek tertentu] kerana ia seiring dengan pengalaman dan minat saya dalam [bidang berkaitan]. Budaya kerja di syarikat ini yang mengutamakan [kerjasama/pertumbuhan/keragaman] selari dengan nilai-nilai peribadi saya.

⁠Dengan latar belakang saya dalam [bidang/pengalaman berkaitan], saya yakin saya mampu memberi sumbangan bermakna kepada [pasukan/bahagian tertentu] dan bersama-sama mencapai visi syarikat untuk terus memberikan penyelesaian inovatif kepada pelanggan

3. Apakah sebab anda mencari peluang pekerjaan
yang baru?

Jika ditanya mengapa anda mencari pekerjaan baru, ia adalah penting untuk memberikan
jawapan yang jujur dan terperinci yang mencerminkan motivasi dan keinginan anda untuk pertumbuhan peribadi dan profesional.

  • Mula dengan menekankan keinginan untuk berkembang dan bukan kerana ketidak puasan pada pekerjaan lama. Elakkan mengkritik majikan atau pekerjaan sebelumnya secara terbuka kerana ini boleh memberikan kesan negatif kepada penemu duga.
  • Nyatakan bagaimana pengalaman dan kemahiran yang telah anda kumpulkan sebelum ini dapat diperluas atau diterapkan dalam kerja baru. Jelaskan bagaimana perpindahan ini sejajar dengan tujuan kerjaya anda.
  • Ceritakan mengenai keinginan anda untuk menghadapi cabaran baru dan bagaimana anda bersemangat untuk belajar dan berkembang dalam lingkungan baru. Ini menunjukkan bahawa anda seorang yang proaktif.
  • Tunjukkan bahawa anda telah melakukan penyelidikan tentang syarikat dan sebutkan bagaimana nilai atau matlamat syarikat itu selaras dengan apa yang anda cari dalam kerjaya anda. Ini menunjukkan bahwa anda serius dan telah mempertimbangkan keputusan anda untuk melamar pekerjaan di sana. 
  • Akhiri jawapan anda dengan menekankan betapa bersemangatnya anda untuk potensi bekerja di syarikat tersebut dan bagaimana anda dapat menyumbang kepada kejayaan bersama.

Contoh jawapan:

Saya sangat berterima kasih dan menghargai segala peluang serta pengalaman yang
telah saya peroleh di tempat kerja saya yang lama. Namun, saya rasa inilah masanya untuk saya mencari pekerjaan baru yang menawarkan lebih banyak cabaran
dan peluang untuk meningkatkan kemahiran saya. Saya tertarik dengan syarikat
ini kerana ia terkenal dengan inovasi dan pencapaian yang konsisten, yang selaras dengan tujuan kerjaya saya. Saya yakin, dengan pengalaman saya dalam pengurusan projek dan analisis data, saya boleh memberi sumbangan besar kepada pasukan anda dan membantu mencapai matlamat syarikat. Saya juga teruja dengan peluang untuk berkembang secara peribadi dan profesional dalam suasana kerja yang dinamis ini.

4. Kenapa anda minati jawatan ini? 

Dalam temuduga, jika ditanya tentang jawatan yang menarik minat anda, mulakan dengan menyebutkan jawatan spesifik yang anda mintai.

⁠Anda juga boleh menjelaskan sebab anda rasa sesuai untuk jawatan tersebut, berdasarkan pengalaman anda sebelum ini dalam melaksanakan strategi pemasaran yang berhasil meningkatkan jualan. Ceritakan tentang kejayaan-kejayaan tersebut dan bagaimana kemahiran yang anda miliki boleh membantu syarikat.

Jelaskan bagaimana ciri-ciri anda boleh membantu dalam lingkungan kerja syarikat tersebut. 

Akhir sekali, nyatakan keinginan anda untuk berkembang bersama syarikat dan sumbangan yang ingin anda berikan, untuk menunjukkan bahwa anda sangat bersemangat dan sesuai untuk jawatan itu.

Contoh Jawapan:

"Saya sangat berminat untuk [Posisi] yang tertera dalam iklan kerja ini. Dalam
pengalaman saya sebelum ini sebagai [Posisi Lama] di XYZ Corp, saya bertanggungjawab dalam merancang dan melaksanakan kempen pemasaran yang telah berhasil meningkatkan visibiliti dan pendapatan syarikat sebanyak [] %. Saya juga mempunyai kemahiran kerja berpasukan yang kuat dan telah memimpin beberapa projek kolaboratif. Saya yakin kemahiran dan pengalaman saya ini akan membawa nilai tambah kepada syarikat anda dan saya sangat bersemangat memanfaatkan peluang ini untuk berkembang dan menyumbang kepada kejayaan bersama."

woman with black hair in a workplace


5. Bolehkah ceritakan kekuatan dan kelemahan anda?

Soalan kelemahan dan kekuatan adalah mencabar, pastikan anda menjawab dengan betul tanpa membangga diri atau merendahkan diri.

Berikut adalah cara yang boleh anda gunakan: 

Untuk kekuatan, pilih satu atau dua ciri yang benar-benar menonjol dan relevan dengan jawatan yang anda lamar. 

Contoh jawapan:

"Saya rasa salah satu kekuatan saya ialah kemampuan saya dalam analisis data. Di pekerjaan saya sebelum ini, saya sering menggunakan data untuk membuat keputusan strategik yang telah membantu meningkatkan kemahiran operasi." 

Untuk kelemahan, pilih kelemahan yang tidak menghalang tugas utama jawatan tersebut, dan tunjukkan bagaimana anda sedang berusaha untuk memperbaikinya. 

Contoh jawapan: 

"Salah satu kelemahan saya ialah saya cenderung untuk terlalu fokus pada butiran sesuatu kerja. Ini sesekali membuat saya menghabiskan lebih banyak waktu pada projek daripada yang seharusnya. Namun, saya sedang belajar untuk menjadi lebih baik dalam mengatur waktu dan menentukan prioriti tugas untuk meningkatkan produktiviti saya." 

Dengan cara ini, anda menunjukkan kesedaran diri dan inisiatif untuk memperbaiki diri. Pada masa yang sama, anda masih menonjolkan kekuatan yang dapat memberi manfaat kepada syarikat.

6. Apa yang anda tahu tentang syarikat ini?

Soalan ini bertujuan untuk menilai sejauh mana anda telah menyelidik dan memahami tentang syarikat tersebut. Jawapan anda harus menunjukkan bahawa anda telah membuat penyelidikan mendalam dan benar-benar berminat dengan syarikat itu. 

Contoh jawapan: 

"Saya telah membaca banyak tentang syarikat ini dan sangat kagum dengan pencapaian serta inovasi yang telah dilakukan. Saya memahami bahawa syarikat ini adalah “Pioneer” dalam bidang [masukkan bidang industri], khususnya dalam pengembangan [produk atau servis tertentu]. Saya juga tertarik dengan komitmen syarikat terhadap tanggungjawab sosial korporat, terutama projek [nama projek] yang menunjukkan dedikasi syarikat terhadap isu [masukkan isu sosial atau alam sekitar]. Saya bersemangat untuk menjadi sebahagian dari
organisasi yang tidak hanya mendorong batas inovasi teknologi tetapi juga menyumbang secara positif kepada masyarakat dan lingkungan."

7. Bolehkah anda terangkan pencapaian terbaik anda?  

Jika ditanya tentang pencapaian terbaik, adalah penting untuk memilih satu contoh yang sangat relevan dan berdampak besar terhadap karier anda. Jawapan anda harus menonjolkan kejayaan dan pembelajaran daripada pengalaman itu. 

Contohnya boleh diberikan daripada karier profesional, pendidikan, atau projek tertentu. Jelaskan juga cabaran yang dihadapi dan bagaimana anda mengatasinya, serta apa yang dipelajari dari pencapaian itu. Ini menunjukkan kemampuan anda untuk menghadapi masalah dan belajar daripada pengalaman. 

Selain itu, tunjukkan bagaimana pencapaian itu selaras dengan nilai dan matlamat profesional anda. Jangan lupa untuk tekankan kesesuaian pencapaian anda dengan peranan yang diingini serta komitmen anda untuk berjaya.

Contoh jawapan:

"Pencapaian terbaik saya adalah semasa saya memimpin projek yang meningkatkan kecekapan operasi syarikat sebelumnya sebanyak 20%. Saya mengenal pasti beberapa isu dalam proses lama, merancang penyelesaian dan melaksanakan strategi yang mengurangkan kos serta masa operasi. Projek ini tidak hanya meningkatkan keuntungan tetapi juga memberi impak besar terhadap kepuasan pelanggan."

8. Apakah cita-cita anda dalam kerjaya yang anda pilih?

Untuk menjawab soalan mengenai cita-cita, fahami dan selaraskan cita-cita anda dengan visi dan nilai syarikat. Mula dengan mendefinisi cita-cita anda secara jelas, seperti kemahiran atau peranan yang anda inginkan. Seterusnya, tunjukkan bagaimana peranan yang dimohon dapat membantu anda mencapai cita-cita tersebut. Jangan lupa nyatakan bagaimana pencapaian anda akan memberi manfaat kepada syarikat. Juga, ungkapkan komitmen anda untuk berkembang bersama syarikat serta menunjukkan perspektif jangka panjang.

Contoh jawapan: 

"Cita-cita saya dalam kerjaya adalah untuk terus mengembangkan kemahiran dalam bidang [sebutkan bidang] sambil memberikan impak yang positif pada syarikat. Saya berhasrat menjadi pemimpin yang boleh menginspirasi dan memotivasi pasukan saya untuk mencapai kecemerlangan. Dalam jangka panjang, saya ingin dikenali sebagai seseorang yang dapat membawa inovasi dan perubahan positif yang tidak hanya meningkatkan kecekapan operasi tetapi juga membantu dalam pencapaian matlamat korporat syarikat. Saya percaya dengan memulakan karier saya di syarikat ini, saya dapat mempelajari dan berkembang dengan nilai-nilai yang dianut oleh syarikat. Ini sangat sejajar dengan apa yang saya aspirasikan dalam karier saya."

9. Bolehkah anda terangkan tentang jenis tugasan dalam pekerjaan terdahulu anda, serta pengalaman dan kebolehan yang anda perolehi?

Soalan ini meminta anda untuk menjelaskan tentang jenis tugasan dalam pekerjaan terdahulu serta pengalaman dan kebolehan yang anda perolehi. Anda boleh mulakan dengan memilih pekerjaan yang paling relevan dengan peranan yang anda mohon. 

Ringkaskan tugasan utama yang anda tangani, seperti pengurusan projek atau analisis data. 

Ceritakan secara spesifik bagaimana tugasan tersebut telah membantu anda memperoleh kemahiran tertentu, seperti kepimpinan atau kemahiran analitis.

Nyatakan bagaimana kemahiran ini berkaitan dengan peranan yang anda mohon sekarang. 

Akhir sekali, tekankan kesediaan anda untuk mengaplikasikan dan memperluaskan kemahiran ini dalam peranan baru dan menunjukkan potensi sumbangan anda kepada syarikat.

Contoh jawapan: 

Dalam pekerjaan terdahulu saya sebagai [Bidang], saya bertanggungjawab [tugas utama] untuk membantu syarikat dalam membuat keputusan [tujuan keputusan]. Saya juga menguruskan beberapa projek untuk [tujuan projek], yang meningkatkan [manfaat yang diperoleh]. Daripada pengalaman ini, saya telah memperoleh kemahiran [kemahiran utama yang diperoleh] dan kemampuan untuk mengurus projek dengan berkesan. Ini memberi saya keyakinan untuk memohon peranan yang ditawarkan.

10. Bagaimanakah anda menjalin hubungan baik dengan rakan kerja dan penyelia baru melalui komunikasi dan kerjasama yang efektif?

Anda boleh menjawab soalan ini dengan menekankan pentingnya komunikasi
terbuka dan kemahiran interpersonal. 

  • Mulakan dengan menyatakan pentingnya komunikasi yang jelas dan terbuka dalam menjalin hubungan yang baik di tempat kerja.
  • Sebutkan bagaimana anda biasa mendekati situasi dengan pendekatan yang inklusif dan mendengar pendapat semua pihak untuk memastikan setiap suara didengari.
  • Ceritakan secara umum tentang strategi anda dalam mengatur pertemuan berkala dengan rakan kerja dan penyelia untuk memastikan semua pihak kekal dalam “Loop” dan memahami matlamat bersama.
  • Jelaskan kepentingan memberi dan menerima maklum balas sebagai cara untuk memperbaiki kerjasama dan meningkatkan hubungan.
  • Akhiri dengan menyatakan komitmen anda untuk terus belajar dan memperbaiki kemahiran komunikasi dan kerjasama anda untuk meningkatkan produktiviti dan suasana kerja yang harmonis.

Contoh jawapan:

"Saya percaya komunikasi yang efektif dan kerjasama ialah kunci untuk menjalinkan hubungan baik dengan rakan kerja dan penyelia. Dalam pengalaman saya, saya selalu memastikan untuk berkomunikasi secara terbuka dan menghargai pandangan semua orang. Saya mengadakan pertemuan berkala untuk memastikan kerjasama kumpulan dan pemahaman bersama tentang projek yang kami kerjakan. Saya juga mengutamakan pemberian dan penerimaan maklum balas yang konstruktif untuk meningkatkan kerja berpasukan. Saya ingin memperbaiki kemahiran ini lebih lanjut agar membantu dalam mencipta lingkungan kerja yang lebih produktif dan menyenangkan.

Kata akhir

Artikel ini telah menerangkan 10 soalan lazim dalam temu duga kerja dan memberitahu cara-cara menjawabnya yang boleh meningkatkan peluang anda untuk berjaya. Daripada cara memperkenalkan diri hingga menjelaskan pencapaian terbaik, artikel ini membimbing pembaca melalui setiap soalan dengan strategi jawapan yang efektif. 

Persiapan awal dapat mengurangkan rasa cemas dan meningkatkan keyakinan anda semasa temuduga. Jika anda sudah mengetahui soalan yang mungkin ditanya dan telah bersedia dengan jawapan, anda akan merasa lebih tenang dan terkawal.

Soalan lazi

  1. Adakah penting melakukan penyelidikan tentang syarikat sebelum menghadiri temuduga?
    Ya, sangat penting. Penyelidikan tentang syarikat akan membantu anda memahami budaya, nilai, dan tujuan syarikat, serta membolehkan anda menyesuaikan jawapan temuduga untuk menunjukkan bagaimana anda boleh memberi sumbangan kepada syarikat tersebut.
  2. Bagaimana cara untuk memberikan “First Impression” yang baik dalam temuduga?
    ⁠Kesan pertama yang baik boleh dibuat dengan berpakaian kemas dan
    sesuai, tiba tepat pada waktunya, menunjukkan bahasa badan yang positif, dan
    berkomunikasi dengan sopan dan jelas.
  3. Bagaimanakah mengatasi kegugupan semasa temuduga?
    ⁠Latihan dan persediaan ialah kunci. Berlatih menjawab soalan-soalan umum temu duga dan melakukan simulasi temu duga dengan rakan atau mentor dapat membantu mengurangkan kegugupan. Juga, pastikan untuk mendapatkan rehat yang cukup sebelum hari temuduga.
  4. Bagaimanakah saya boleh menunjukkan bahawa saya ialah calon yang paling sesuai
    untuk jawatan tersebut?

    ⁠Tunjukkan pemahaman yang mendalam tentang keperluan jawatan dan sampaikan secara jelas bagaimana pengalaman, kemahiran, dan sifat peribadi anda menyokong dan memenuhi keperluan tersebut. Gunakan contoh spesifik daripada pengalaman kerja sebelumnya untuk menonjolkan kebolehan anda.

More from this category: Job interviews

Top search terms

Want to know what people are searching for on Jobstreet? Explore our top search terms to stay across industry trends.

Explore related topics

Choose an area of interest to browse related careers.

Subscribe to Career Advice

Get expert career advice delivered to your inbox.
You can cancel emails at any time. By clicking ‘subscribe’ you agree to Jobstreet’s Privacy Statement.