Ringkasan utama
Surat MC sah mesti dikeluarkan oleh doktor bertauliah dan mengandungi maklumat lengkap seperti nama pesakit, tempoh cuti dan tandatangan doktor.
Menggunakan MC palsu atau tidak lengkap boleh menyebabkan tindakan undang-undang dan disiplin di tempat kerja.
MC yang sah melindungi hak cuti sakit pekerja tanpa menjejaskan gaji atau cuti tahunan.
Pastikan MC diserahkan segera kepada majikan dan disimpan sebagai rekod rasmi.
Fahami cara mendapatkan, menulis dan memeriksa kesahihan MC untuk mengelakkan sebarang isu dengan majikan.
Anda mungkin akan dikenakan tindakan atau dipecat jika menyerahkan surat MC yang tidak sah. Begitu juga dengan doktor atau individu yang menyediakan surat MC itu.
Surat MC adalah dokumen rasmi dari doktor yang mengesahkan ketiadaan pekerja dari tempat kerja akibat masalah kesihatan. Dokumen ini adalah cuti rehat yang diberikan kepada semua pekerja.
Selain daripada surat rasmi, MC adalah bukti jika anda tidak hadir. Ia penting kerana membolehkan majikan memahami keperluan cuti sakit pekerja.
Artikel ini bertujuan mendidik pekerja dan institusi perubatan tentang kepentingan dan struktur sijil perubatan.
Artikel ini juga menyertakan contoh praktikal dan tips untuk memastikan sijil tersebut sah dan diterima dengan baik oleh majikan.
Surat cuti sakit (MC) merupakan dokumen yang dikeluarkan oleh doktor atau institusi perubatan yang sah untuk membuktikan bahawa seseorang sedang sakit dan terpaksa mengambil cuti dari kerja. Ada yang nak mohon cuti sakit disebabkan kesihatan yang kurang memuaskan.
Kebiasaannya, surat MC akan menyatakan diagnosis penyakit atau keadaan kesihatan pesakit. Paling penting sekali, surat MC hendaklah mencatatkan tempoh cuti yang diberikan oleh doktor yang merawat.
Sakit: Penyakit biasa seperti demam atau selesema memerlukan surat MC. Surat ini penting untuk mengakui keperluan berehat sehingga pulih sepenuhnya sebelum kembali bekerja. Tidak hadir kerana sakit perut atau keracunan makanan juga memerlukan surat MC sehingga pekerja kembali sihat.
Kecederaan: Kecederaan yang disebabkan oleh kemalangan atau aktiviti fizikal. Surat MC dikeluarkan agar proses pemulihan berjalan lancar tanpa tekanan untuk kembali bekerja terlalu awal. Alasan lain yang melibatkan kecederaan juga boleh dipertimbangkan untuk mendapatkan surat MC dari doktor.
Temu janji perubatan: Sesetengah surat MC dikeluarkan bagi temu janji perubatan berkala atau untuk prosedur diagnostik yang tidak membolehkan pesakit bekerja pada masa tersebut.
Dari sudut perundangan Malaysia, penggunaan surat MC palsu atau tiruan boleh dikenakan penalti undang-undang. Menurut Seksyen 18 Akta Kesalahan Kecil 1955, mereka yang didapati menggunakan dokumen palsu boleh didenda atau dipenjara. Syarikat juga boleh mengambil tindakan disiplin terhadap pekerja yang disyaki menggunakan surat MC palsu.
Dari segi profesionalisme, memiliki dan mengemukakan surat MC yang sah membantu menjaga reputasi dan kepercayaan di tempat kerja. Ini juga memastikan hak-hak pekerja dihormati dan dilindungi.
Penjelasan rasmi: Surat MC memberi penjelasan rasmi tentang ketiadaan pekerja dari tempat kerja dan menunjukkan bahawa ia adalah atas sebab-sebab kesihatan yang sah. Ini membantu mengelakkan sebarang salah faham antara pekerja dan majikan.
Kepatuhan terhadap dasar syarikat: Kebanyakan syarikat mempunyai dasar mengenai cuti sakit. Menyediakan surat MC membantu pekerja mematuhi prosedur yang ditetapkan oleh syarikat. Majikan yang berhadapan dengan isu ini perlu mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan pekerja mendapat rawatan yang diperlukan
Perlindungan undang-undang: Menyediakan surat MC adalah salah satu langkah untuk melindungi hak cuti pekerja. Ini juga membantu dalam urusan seperti tuntutan faedah cuti sakit atau insurans yang berkaitan dengan penyakit atau kecederaan.
Hak cuti: Surat MC membolehkan pekerja memohon cuti sakit tanpa perlu menggunakan cuti tahunan atau cuti lain yang mereka miliki. Dalam erti kata lain, cuti tahunan dan gaji pekerja tidak terjejas apabila mendapat surat MC. Dengan adanya surat MC, pekerja dilindungi daripada sebarang tindakan disiplin yang mungkin dikenakan oleh majikan kerana ketidakhadiran.
Penyimpanan rekod: Menyimpan salinan surat MC sangat penting terutamanya sebagai rekod peribadi. Rekod ini bermanfaat untuk rundingan kesihatan, perlindungan insurans, atau semasa audit atau pemeriksaan syarikat.
Di Malaysia, terdapat beberapa alasan sah yang membolehkan seseorang mendapatkan surat MC cuti sakit menurut undang-undang.
Alasan-alasan ini meliputi pelbagai keadaan kesihatan yang mungkin dialami oleh pesakit. Berikut adalah huraian bagi setiap alasan yang sah.
Penyakit biasa seperti selesema atau demam sering memerlukan rehat yang mencukupi untuk pemulihan. Doktor boleh mengeluarkan surat MC klinik agar pesakit mendapat rehat yang diperlukan dan mengurangkan risiko penularan penyakit kepada orang lain.
Kecederaan akibat kemalangan atau aktiviti fizikal yang lain mungkin memerlukan rawatan perubatan dan rehat untuk proses penyembuhan. Surat MC boleh dikeluarkan untuk tempoh pemulihan yang diperlukan.
Pesakit dengan keadaan kesihatan kronik mungkin memerlukan rawatan yang berterusan dan pemantauan berkala. MC boleh diberikan untuk tempoh rawatan atau apabila keadaan kesihatan mereka menjadi teruk.
Kesihatan mental adalah sama pentingnya dengan kesihatan fizikal. Masalah seperti kemurungan atau kebimbangan memerlukan rawatan profesional dan rehat yang mencukupi. MC boleh membantu pesakit mendapatkan masa yang diperlukan untuk rawatan dan pemulihan.
Pesakit yang perlu menjalani prosedur perubatan atau pembedahan memerlukan masa untuk persiapan dan pemulihan. Surat MC diberikan supaya pesakit dapat pulih sepenuhnya tanpa adanya gangguan dari tempat kerja.
Surat MC boleh diberikan kepada wanita hamil yang mungkin memerlukan rehat tambahan atau rawatan khusus untuk kesihatan ibu dan bayi. Selain itu, pekerja wanita berhak mendapat cuti bersalin yang ditetapkan oleh undang-undang bagi memastikan pemulihan yang mencukupi dan menjaga bayi yang baru lahir, tanpa memerlukan surat MC.
Penyakit berjangkit mempunyai risiko penularan kepada orang lain. Surat MC dikeluarkan agar pesakit boleh berehat dan menerima rawatan yang sesuai.
Berikut adalah komponen-komponen yang biasanya diperlukan dalam surat MC yang sah di Malaysia.
Nama dan alamat klinik atau hospital
Nombor telefon klinik atau hospital
Logo klinik atau hospital.
Tarikh MC tersebut dikeluarkan.
Nama penuh pesakit
Nombor kad pengenalan atau pasport pesakit
Alamat pesakit (jika perlu).
Pengesahan bahawa telah diperiksa oleh doktor
Diagnosis atau keadaan kesihatan pesakit (tidak selalu dinyatakan secara terperinci untuk menjaga kesulitan pesakit)
Tarikh mula sakit dan tempoh cuti sakit
Nama penuh doktor
Nombor pendaftaran perubatan doktor
Tandatangan doktor.
Cop rasmi klinik atau hospital untuk memastikan surat MC yang asli.
Berikut adalah cara-cara menulis dan mendapatkan surat cuti sakit (MC) untuk diberikan kepada majikan di tempat kerja di Malaysia.
1. Periksa dengan doktor atau datang ke institusi perubatan: Berjumpa dengan doktor yang bertauliah, klinik atau hospital berlesen. Membuat temu janji jika perlu atau datang ke klinik pada waktu yang operasi.
2. Berikan maklumat yang diperlukan: Beritahu doktor tentang simptom penyakit anda. Termasuklah sejarah perubatan dan apa-apa maklumat lain yang relevan seperti lawatan ke luar negara.
3. Terima sijil perubatan: Setelah pemeriksaan dan diagnosis, doktor akan menentukan sama ada anda layak untuk menerima MC. Jika ya, doktor akan menyediakan sijil perubatan yang menyatakan tempoh cuti sakit yang diperlukan. Tempoh cuti sakit adalah berbeza mengikut jenis penyakit yang dialami.
Dengan memastikan semua langkah dipatuhi, anda boleh mendapatkan MC yang sah dan lengkap.
Surat MC bukan sahaja penting untuk tujuan perubatan tetapi juga untuk memastikan ia diterima oleh majikan atau pihak berkuasa yang memerlukannya.
Setelah menerima surat MC, periksa untuk memastikan semua maklumat yang tertera adalah betul. Ini termasuk nama penuh anda, nombor kad pengenalan, tarikh mula dan akhir cuti sakit, dan sebab atau diagnosis perubatan jika dinyatakan.
Langkah ini bertujuan untuk memastikan tiada kesalahan pada surat MC dan mengelakkan daripada memberi surat MC yang tidak sah atau tidak lengkap kepada majikan.
Pastikan surat MC mempunyai tandatangan doktor serta nombor pendaftaran perubatan doktor, tarikh surat dikeluarkan dan cop rasmi klinik atau hospital.
Berikut adalah beberapa contoh surat MC yang boleh dijadikan rujukan. Contoh-contoh ini hanya untuk tujuan makluman dan tidak boleh digunakan untuk membuat surat MC palsu.
Encik Ahmad mengalami selesema dengan gejala demam, batuk, dan sakit kepala yang serius. Kerana keadaannya yang tidak memungkinkan untuk bekerja, Encik Ahmad memutuskan untuk berjumpa dengan doktor di Klinik Medikal Sentosa untuk mendapatkan rawatan dan nasihat perubatan. Doktor mengesahkan keadaan kesihatannya dan mengeluarkan surat MC untuk membolehkan Encik Ahmad berehat sehingga pulih sepenuhnya.
Contoh surat MC adalah di bawah :
Klinik Medikal Sentosa
Alamat: No. 10, Jalan Bahagia, 43200 Sentosa, Selangor
Tel: 03-XXXX XXXX Fax: 03-XXXX XXXX
Logo Klinik Medikal Sentosa
Tarikh: 14 Jun 2024
Nama Pesakit: Encik Ahmad Bin Abdullah
No. Kad Pengenalan: 880101-14-XXXX
Alamat: 20, Jalan Damai, 43200 Sentosa, Selangor
Perakuan Doktor:
Ini adalah untuk mengesahkan bahawa Encik Ahmad Bin Abdullah telah diperiksa dan dirawat oleh saya pada 14 Jun 2024. Dia tidak hadir bekerja kerana demam, selesema, batuk, dan sakit kepala. Berdasarkan pemeriksaan, saya mengesyorkan agar Encik Ahmad berehat selama 2 hari bermula dari 14 Jun 2024 hingga 15 Jun 2024. Selepas tarikh ini, Encik Ahmad boleh kembali bekerja menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan.
Nama Doktor: Dr. Siti Aisyah Binti Ismail
No. Pendaftaran Perubatan: 12345
Tandatangan Doktor:
[Tandatangan]
*Cop Rasmi Klinik Medikal Sentosa
Puan Sarah diperiksa oleh doktor dan medapati dirinya memerlukan pembedahan kecil yang dijadualkan pada minggu depan di Hospital Pakar Sentosa. Kerana pembedahan ini dan tempoh pemulihan yang diperlukan, Puan Sarah tidak dapat hadir ke tempat kerja. Doktor yang merawat Puan Sarah telah mengeluarkan sijil perubatan (MC) sebagai bukti ketiadaannya dari tempat kerja.
Contoh surat MC adalah di bawah :
Hospital Pakar Sentosa
Alamat: No. 5, Jalan Gemilang, 43210 Sentosa, Selangor
Tel: 03-YYYY YYYY Fax: 03-YYYY YYYY
Logo Hospital Pakar Sentosa
Tarikh: 21 Julai 2024
Nama Pesakit: Puan Sarah Binti Abdullah
No. Kad Pengenalan: 900101-10-YYYY
Alamat: 30, Jalan Bahagia, 43210 Sentosa, Selangor
Perakuan Doktor:
Ini adalah untuk mengesahkan bahawa Puan Sarah Binti Abdullah telah diperiksa dan dirawat oleh saya di Hospital Pakar Sentosa pada 21 Julai 2024. Dia telah dijadualkan untuk menjalani pembedahan kecil untuk membuang batu karang dalam pundi hempedu. Saya mengesyorkan agar Puan Sarah berehat selama 5 hari bermula dari 22 Julai 2024 hingga 26 Julai 2024 untuk membolehkan pemulihan yang sempurna selepas pembedahan. Sekiranya dirasakan perlu,, majikan boleh menghubungi hospital untuk pengesahan surat MC. Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul akibat ketidakhadiran pekerja.
Yang benar,
Nama Doktor: Dr. Ahmad bin Hassan
No. Pendaftaran Perubatan: 54321
Tandatangan Doktor:
[Tandatangan]
*Cop Rasmi Hospital Pakar Sentosa
Encik Ali yang mengalami masalah kebimbangan yang serius dan telah mendapatkan rawatan daripada seorang pakar psikiatri di Klinik Kesihatan Mental Sentosa. Doktor menyarankan agar Encik Ali mengambil cuti selama beberapa hari untuk menjalani terapi psikoterapi intensif bagi menguruskan masalah kebimbangan yang dialaminya. Doktor memberikan surat MC untuk membolehkan Encik Ali berehat dan mendapatkan rawatan yang diperlukan.
Contoh surat MC adalah di bawah :
Klinik Kesihatan Mental Sentosa
Alamat: No. 15, Jalan Harmoni, 43220 Sentosa, Selangor
Tel: 03-ZZZZ ZZZZ Fax: 03-ZZZZ ZZZZ
Logo Klinik Kesihatan Mental Sentosa
Tarikh: 5 September 2024
Nama Pesakit: Encik Ali Bin Ahmad
No. Kad Pengenalan: 950101-12-ZZZZ
Alamat: 40, Jalan Damai, 43220 Sentosa, Selangor
Perakuan Doktor:
Ini adalah untuk mengesahkan bahawa Encik Ali Bin Ahmad telah diperiksa dan dirawat oleh saya yang berada di Klinik Kesihatan Mental Sentosa pada 5 September 2024. Dia mengalami masalah kebimbangan yang memerlukan rawatan psikoterapi intensif. Saya mengesyorkan agar Encik Ali berehat selama satu minggu bermula dari 6 September 2024 hingga 12 September 2024. Dia diberikan cuti sakit sehingga hari Jumaat depan. Ini membolehkan dia fokus pada pemulihan kesihatan mentalnya.
Nama Doktor: Dr. Fatimah Binti Yusof
No. Pendaftaran Perubatan: 67890
Tandatangan Doktor:
[Tandatangan]
*Cop Rasmi Klinik Kesihatan Mental Sentosa
Cik Siti menghidapi kencing manis dan perlu mendapatkan rawatan berterusan. Dia datang ke klinik rawatan diabetes di Hospital Sentral untuk pemeriksaan rutin dan penyesuaian ubat-ubatan. Doktor pakar yang merawatnya mengeluarkan sijil perubatan untuk memberi bukti kepada majikan tentang keperluannya datang ke klinik secara berkala.
Contoh surat MC adalah di bawah :
Hospital Sentral
Alamat: No. 25, Jalan Damai, 43230 Sentosa, Selangor
Tel: 03-YYYY YYYY Fax: 03-YYYY YYYY
Logo Hospital Sentral
Tarikh: 10 Oktober 2024
Nama Pesakit: Cik Siti Binti Rahman
No. Kad Pengenalan: 960101-08-YYYY
Alamat: 50, Jalan Bahagia, 43230 Sentosa, Selangor
Perakuan Doktor:
Ini adalah untuk mengesahkan bahawa Cik Siti Binti Rahman telah diperiksa dan dirawat oleh saya di Hospital Sentral pada 10 Oktober 2024. Dia mengidap diabetes jenis 2 yang memerlukan rawatan berterusan untuk mengawal tahap gula darahnya. Cik Siti memerlukan cuti satu hari setiap bulan, bermula dari 11 Oktober 2024, untuk menjalani pemeriksaan dan penyesuaian ubat-ubatan yang diperlukan.
Nama Doktor: Dr. Amir bin Yusof
No. Pendaftaran Perubatan: 45678
Tandatangan Doktor:
[Tandatangan]
*Cop Rasmi Hospital Sentral
Dengan mengikuti panduan ini, anda dapat mengelakkan kesilapan biasa dan memastikan surat MC yang diterima atau dikeluarkan adalah sah, lengkap dan diterima oleh pihak berkenaan tanpa sebarang isu.
Terdapat juga surat MC yang tidak mengandungi semua maklumat penting seperti nama penuh pesakit, nombor kad pengenalan, tarikh mula atau akhir cuti sakit dan juga sebab cuti sakit.
Pastikan setiap surat MC mengandungi semua butiran yang diperlukan bagi mengelakkan sebarang masalah dalam penerimaan sijil tersebut oleh majikan atau pihak berkuasa yang berkenaan.
Ada juga pekerja yang menggunakan atau menghasilkan surat MC palsu atau tiruan. Contoh-contoh surat MC yang diberikan di artikel ini adalah untuk tujuan rujukan dan pembelajaran sahaja. Menggunakan contoh surat MC dari artikel ini sebagai asas untuk membuat surat MC palsu adalah satu kesalahan serius dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Elakkan menggunakan sijil perubatan palsu atau tiruan kerana ia merupakan kesalahan serius di bawah undang-undang. Pesakit dan doktor yang terlibat dalam membuat surat MC palsu akan dikenakan tindakan undang-undang dan boleh dibuang kerja atau didakwa di mahkamah. Oleh itu, penting untuk menggunakan surat MC dengan jujur dan bertanggungjawab serta mendapatkan sijil perubatan hanya dari sumber yang sah.
Elakkan menyerahkan surat MC kepada majikan atau pihak yang berkenaan selepas tarikh yang sepatutnya.
Cuti yang sudah ditandatangani oleh doktor perlu diserahkan kepada majikan secepat mungkin. Perkara ini penting supaya majikan atau pihak berkenaan dapat membuat perancangan yang sesuai sepanjang tempoh ketiadaan anda. Dalam masa yang sama, ianya bertujuan untuk mengelakkan masalah dalam rekod kerja atau bayaran gaji.
Juga: 4 Contoh & Panduan Surat Pertukaran Tempat Kerja
Berikut adalah beberapa tips untuk pekerja berkaitan surat cuti sakit (MC) yang boleh membantu proses cuti sakit berjalan lancar dan mengelakkan sebarang masalah dengan majikan.
Komunikasi yang baik dengan majikan boleh mengurangkan tekanan dan memberi ruang kepada syarikat untuk memahami keadaan kesihatan anda. Ini juga menunjukkan tanggungjawab anda sebagai pekerja yang profesional.
Jika anda tidak dapat berkomunikasi secara langsung, lantik seorang wakil dari ahli keluarga atau teman rapat untuk memaklumkan majikan bagi pihak anda. Pastikan perkara ini dimaklumkan dengan segera kepada majikan untuk memberi mereka masa membuat pengaturan yang diperlukan bagi menguruskan ketidakhadiran anda.
Fahami dengan baik tentang polisi pekerjaan di syarikat anda atau terus bertanyakan kepada jabatan sumber manusia untuk maklumat terperinci tentang dasar cuti sakit syarikat.
Ini termasuk prosedur yang perlu diikuti jika cuti sakit anda melebihi tempoh tertentu atau jika terdapat keperluan untuk pemeriksaan semula oleh doktor panel syarikat.
Menyimpan semua salinan sijil perubatan bukan sahaja penting untuk kesihatan anda tetapi juga berguna di tempat kerja. Ini membantu apabila perlu menjelaskan ketidakhadiran berulang kepada majikan atau dalam situasi di mana ketidakhadiran tersebut dipersoalkan. Selain itu, rekod MC boleh melancarkan proses tuntutan insurans dan rawatan lanjutan di masa hadapan. Salinan digital juga boleh disimpan sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya salinan fizikal hilang atau rosak.
Dengan mengikuti tips ini, anda dapat memastikan bahawa semua aspek berkaitan dengan surat MC diuruskan dengan baik dan mengelakkan sebarang masalah dengan majikan atau pihak lain yang berkenaan.
Surat MC adalah sangat penting bagi menjamin ketelusan dan memenuhi keperluan pekerja yang memohon cuti sakit. Pekerja perlu bertanggungjawab dalam memastikan sijil ini diperoleh dan diserahkan dengan betul kepada majikan.
Ini tidak hanya untuk menjaga kepentingan kesihatan pekerja tetapi juga untuk mengekalkan produktiviti dan persekitaran kerja yang optimal. Kebolehpercayaan sijil perubatan memainkan peranan penting dalam memastikan hubungan harmoni di tempat kerja serta memenuhi keperluan undang-undang yang berkaitan.
Surat MC ialah dokumen yang dikeluarkan oleh doktor. Ia adalah surat rasmi yang digunakan untuk mengesahkan ketiadaan seseorang dari tempat kerja kerana masalah kesihatan, contohnya kerana demam.
Surat MC boleh diperolehi dengan mengunjungi klinik atau hospital. Kemudian, anda perlu menjalani pemeriksaan doktor dan berikan butiran tentang gejala penyakit anda.
Tempoh cuti sakit yang diberikan dalam surat MC bergantung kepada keadaan kesihatan anda. Biasanya dalam beberapa hari hingga beberapa minggu bergantung kepada jenis penyakit atau kecederaan yang dialami.