5 Contoh Email Mohon Kerja Terkini

5 Contoh Email Mohon Kerja Terkini
Jobstreet content teamupdated on 14 August, 2024
Share

Dalam era digital kini, menghantar email mohon kerja yang profesional dan tersusun adalah langkah penting dalam proses pencarian kerja. Dengan persaingan yang semakin sengit, menulis email yang menonjol boleh menjadi kunci kejayaan anda.

Email yang ditulis dengan baik bukan sahaja menunjukkan kesungguhan tetapi juga kebolehan komunikasi anda.

Artikel ini menyediakan pelbagai contoh email mohon kerja mengikut situasi yang berbeza, termasuk permohonan jawatan sektor swasta, mencari kekosongan yang tidak diiklankan, memohon jawatan dalam bidang kreatif dan teknikal, serta cara mohon kerja untuk “fresh graduate”.

Semoga contoh-contoh ini dapat dijadikan rujukan untuk meningkatkan peluang anda mendapatkan pekerjaan yang diingini.

Permohonan kerja melalui email

Email permohonan kerja adalah cara untuk memperkenalkan diri anda kepada bakal majikan serta menyatakan minat serta kelayakan anda untuk sesuatu jawatan.

Penulisan email yang efektif adalah penting kerana ia memberi tanggapan yang baik kepada pihak majikan. Email yang profesional dan teratur boleh meningkatkan peluang anda dipanggil untuk sesi temu duga. Pentingnya, email harus ringkas dan padat untuk menarik perhatian bakal majikan.

Komponen penting yang perlu disertakan dalam email memohon kerja

Seorang individu memegang kad dengan simbol (@)

1. Bahagian pembukaan email

Pada bahagian ini, anda perlu memperkenalkan diri secara ringkas. Nyatakan nama, latar belakang pendidikan atau pekerjaan anda, dan tujuan anda menulis email tersebut.

Contoh: "Salam Sejahtera, nama saya Mirza Bin Ali, seorang graduan dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dari Universiti Malaya. Saya menulis email ini untuk memohon jawatan Jurutera Elektrik yang diiklankan di laman sesawang syarikat tuan/puan."

2. Isi kandungan email

Bahagian ini adalah tempat untuk anda menyatakan tujuan utama email, memaparkan kelayakan dan pengalaman kerja anda. Tulis secara ringkas tetapi menarik, dan pastikan setiap pernyataan berkaitan dengan jawatan yang dipohon.

Contoh: "Saya mempunyai pengalaman selama tiga tahun dalam industri kejuruteraan, di mana saya terlibat dalam pelbagai projek berkaitan dengan penyelenggaraan dan pengurusan sistem elektrik. Saya juga memiliki kemahiran dalam menggunakan perisian AutoCAD dan PLC yang saya yakin relevan dengan keperluan jawatan ini."

3. Penutup email

Akhiri email dengan ucapan terima kasih dan nyatakan harapan anda untuk dihubungi bagi sesi temu duga. Ini menunjukkan anda menghargai peluang yang diberikan dan bersedia untuk peringkat seterusnya.

Contoh: "Terima kasih atas perhatian tuan/puan terhadap permohonan saya ini. Saya berharap dapat diberi peluang untuk menghadiri sesi temu duga dan membincangkan lebih lanjut tentang bagaimana saya boleh menyumbang kepada syarikat ini. Sekian, terima kasih."

4. Lampiran PDF resume dan cover letter

Jangan lupa untuk lampirkan resume dan cover letter anda dalam format PDF. Ini memudahkan majikan untuk menyemak dokumen anda tanpa risiko perubahan format.

Rujuk artikel Cara Betul Memohon Kerja dan Hantar Resume Melalui Email untuk mengetahui tips terperinci.

Panduan dan contoh email memohon jawatan

Seorang wanita tersenyum sambil menaip emel dari laptop di meja kerjanya

Setiap industri dan jawatan yang dimohon memerlukan pendekatan yang berbeza dalam menulis email permohonan kerja. Berikut adalah beberapa contoh dan tips mengikut konteks yang khusus:

1. Contoh email mohon kerja swasta

Permohonan kerja dalam sektor swasta biasanya sangat kompetitif kerana ramai yang berminat untuk memohon sesuatu jawatan. Oleh itu, adalah penting untuk anda menekankan latar belakang profesional dan kemahiran yang relevan dalam email permohonan anda.

Pastikan email tersebut menonjolkan pengalaman dan kelayakan anda yang berkaitan dengan jawatan tersebut serta menunjukkan tahap profesionalisme yang tinggi.

Template Email mohon kerja swasta

Subjek: Permohonan Jawatan Pengurus Pemasaran – Tan Mei Yuan

Salam Sejahtera Tuan / Puan,

Nama saya Tan Mei Yuan, dan saya menulis email ini untuk memohon jawatan Pengurus Pemasaran di syarikat tuan/puan, seperti yang diiklankan di laman sesawang syarikat bertarikh 3 Julai 2024.

Pengalaman

Saya memiliki pengalaman selama lima tahun dalam bidang pemasaran digital, dan saya yakin dapat menyumbang kepada peningkatan jualan serta strategi pemasaran syarikat tuan/puan.

Kemahiran

Saya memiliki kemahiran analitikal yang tinggi dalam menganalisis data media sosial, yang membolehkan saya merancang dan melaksanakan strategi pemasaran yang berkesan untuk klien.

Saya juga mahir dalam penggunaan alat-alat pemasaran digital seperti Google Analytics, Facebook Ads, dan Mailchimp, yang saya percaya dapat memberikan nilai tambah kepada pasukan pemasaran tuan/puan.

Pencapaian

Sepanjang kerjaya saya, saya telah berjaya menguruskan pelbagai kempen pemasaran yang membawa kepada peningkatan jualan dan kesedaran jenama bagi syarikat-syarikat yang saya bekerja sebelum ini.

Selain itu, saya juga berjaya memimpin pasukan saya di syarikat terdahulu untuk mencapai matlamat yang ditetapkan oleh pihak atasan. Sepanjang kerjaya saya, saya telah membuktikan kemahiran pemasaran digital saya melalui pencapaian KPI yang cemerlang.

Bersama email ini, saya lampirkan resume saya untuk rujukan tuan/puan. Saya berharap dapat diberi peluang untuk menghadiri sesi temu duga bagi membincangkan dengan lebih lanjut bagaimana saya boleh menyumbang kepada kejayaan syarikat tuan/puan.

Terima kasih atas perhatian tuan/puan terhadap permohonan saya ini. Saya boleh dihubungi melalui nombor 012-xxxxx atau email [email protected]

Sekian, terima kasih.

Yang Benar,

Tan Mei Yuan
⁠No. Telefon: 012-xxxxx
⁠Email: [email protected]

2. Contoh email mohon kerja mencari kekosongan

Kadangkala, anda mungkin berminat untuk bekerja di syarikat tertentu walaupun mereka tidak mengiklankan sebarang kekosongan.

Walaupun tiada iklan kekosongan, ada kemungkinan syarikat tersebut sedang mencari calon yang sesuai untuk mengisi jawatan tertentu atau mempertimbangkan untuk mengambil pekerja baru.

Oleh itu, tidak ada salahnya untuk mencuba. Nyatakan minat anda untuk bekerja dengan syarikat tersebut dan jelaskan bagaimana pengalaman serta kemahiran anda boleh memberi nilai tambah kepada mereka.

Template email mohon kerja mencari kekosongan

Subjek: Permohonan menyertai Syarikat XYZ di bahagian pengurusan projek – Nurul Huda Binti Hassan

Assalamualaikum dan Salam sejahtera,

Saya Nurul Huda Binti Hassan, graduan Sarjana Muda Pengurusan Bisnes dari Universiti Taylor, ingin menyatakan minat saya untuk menyertai syarikat XYZ di bahagian Pengurusan Projek.

Saya sangat berminat untuk menjadi sebahagian daripada pasukan tuan/puan dan berharap akan dipertimbangkan sekiranya ada kekosongan yang sesuai.

Pengalaman

Saya memiliki pengalaman selama empat tahun dalam pengurusan projek, di mana saya telah menguruskan pelbagai projek besar dan kecil. Pengalaman ini telah memberi saya kemahiran dalam merancang, melaksanakan, dan memantau projek-projek sehingga berjaya diselesaikan mengikut masa dan bajet yang ditetapkan.

Kemahiran

Saya juga mahir dalam menggunakan perisian pengurusan projek seperti Microsoft Project dan Asana. Selain itu, saya mempunyai kemahiran komunikasi yang baik dan mampu bekerja dengan baik dalam pasukan.

Pencapaian

Saya berjaya menguruskan projek pembangunan klien yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan, dan menyelesaikannya dalam tempoh masa yang ditetapkan serta di bawah bajet yang diperuntukkan.

Melalui pengenalan proses pengurusan projek yang lebih efisien dan pengurusan sumber yang lebih baik, saya telah berjaya mengurangkan kos operasi sebanyak 15%.

Selain itu, saya juga dianugerahkan sebagai Pekerja Terbaik dalam Pengurusan Projek di syarikat terdahulu kerana pencapaian luar biasa dalam melaksanakan projek dan mencapai matlamat organisasi.

Saya yakin bahawa dengan latar belakang dan pengalaman saya, saya boleh menyumbang ke arah kejayaan syarikat XYZ dalam mengurus projek-projek yang akan datang. Saya amat berharap dapat diberi peluang untuk membincangkan lebih lanjut tentang bagaimana saya boleh menyumbang kepada syarikat XYZ.

Bersama-sama email ini, saya lampirkan resume saya untuk rujukan tuan/puan. Terima kasih atas perhatian tuan/puan terhadap permohonan saya ini. Saya boleh dihubungi melalui nombor telefon 013-xxxxx atau melalui email [email protected].

Sekian, terima kasih.

Yang Benar,

Nurul Huda Binti Hassan
⁠No. Telefon: 013-xxxxx
⁠Email: [email protected]

3. Contoh email mohon kerja untuk jawatan kreatif

Cara penulisan permohonan kerja untuk jawatan kreatif, seperti pereka grafik atau penulis, harus mencerminkan kreativiti yang anda miliki. Pastikan untuk menyertakan portfolio kerja yang bersesuaian, yang mempamerkan hasil kerja terbaik anda.

Gaya penulisan anda juga harus menarik dan unik, untuk memberi gambaran yang jelas mengenai kemampuan dan personaliti kreatif anda

Template email mohon kerja untuk posisi kreatif

Subjek: Permohonan jawatan pereka grafik –Nordin Bin Fauzi

Assalamualaikum dan Salam sejahtera,

Nama saya Nordin Bin Fauzi, dan saya menulis email ini untuk menyatakan minat saya pada jawatan Pereka Grafik di syarikat ABC. Dengan pengalaman luas dalam bidang reka bentuk grafik, saya sangat teruja untuk membawa kemahiran kreatif saya ke pasukan tuan/puan

Pengalaman

Saya memiliki pengalaman selama dua tahun dalam industri reka bentuk grafik, dan telah berjaya mengendalikan pelbagai projek kreatif yang mencabar.

Dalam portfolio yang saya lampirkan, tuan/puan akan dapat melihat beberapa projek yang telah saya hasilkan, termasuk kempen pemasaran visual untuk syarikat-syarikat terkemuka. Projek-projek ini bukan sahaja berjaya menarik perhatian ramai tetapi juga meningkatkan jualan dan kesedaran jenama.

Kemahiran

Saya mahir dalam penggunaan perisian reka bentuk seperti Adobe Creative Suite, termasuk Photoshop, Illustrator, dan InDesign. Saya memiliki kemahiran dalam mencipta reka bentuk yang menarik dan berkesan.

Kreativiti saya tidak terhad pada reka bentuk visual sahaja tetapi saya juga mahir dalam merancang strategi pemasaran yang inovatif dan mampu menarik perhatian.

Portfolio

Untuk melihat hasil kerja dan contoh-contoh projek yang telah saya laksanakan, tuan/puan boleh mengakses portfolio saya melalui pautan berikut: Portfolio Nordin Bin Fauzi.

Saya juga menyertakan koleksi visual kreatif saya dalam Google Drive yang boleh diakses melalui pautan ini: nordinfauzi/drive/folders. Saya percaya bahawa kreativiti dan pengalaman saya akan memberikan sumbangan yang besar kepada syarikat ABC.

Saya sangat berharap dapat diberi peluang untuk membincangkan lebih lanjut bagaimana saya boleh menyumbang kepada pasukan kreatif tuan/puan. Bersama email ini, saya lampirkan portfolio kerja dan resume saya untuk rujukan tuan/puan. Terima kasih atas perhatian tuan/puan terhadap permohonan saya ini.

Sekian, terima kasih.

Yang Benar,

Nordin Bin Fauzi
⁠No. Telefon: 016-xxxxx
⁠Email: [email protected]

4. Contoh email mohon kerja untuk posisi teknikal

Posisi teknikal seperti jurutera atau pakar IT memerlukan penekanan pada pencapaian teknikal dan kemahiran khusus. Gunakan istilah teknikal yang relevan untuk menunjukkan kepakaran anda dalam bidang tersebut.

Nyatakan pencapaian spesifik seperti projek yang telah berjaya diselesaikan, teknologi yang dikuasai, atau peningkatan kecekapan yang telah anda capai dalam peranan terdahulu.

Ini akan membantu memperlihatkan kebolehan teknikal anda dengan lebih jelas dan memberi gambaran tentang sumbangan yang anda dapat berikan.

Template email mohon kerja untuk posisi teknikal

Subjek: Permohonan jawatan jurutera perisian – Raj Daniel Emanuel

Salam Sejahtera,

Nama saya Raj Daniel Emanuel dan saya menulis email ini untuk memohon jawatan Jurutera Perisian di syarikat DEF. Dengan pengalaman yang luas dalam pembangunan perisian dan penguasaan pelbagai bahasa pengaturcaraan, saya yakin dapat memenuhi keperluan jawatan yang ditawarkan.

Pengalaman

Saya memiliki pengalaman selama enam tahun dalam bidang pembangunan perisian, di mana saya telah terlibat dalam pelbagai projek yang memerlukan penguasaan bahasa pengaturcaraan seperti Python, Java, dan C++.

Saya juga berpengalaman dalam menggunakan alat pengurusan versi seperti Git dan platform pembangunan perisian seperti JIRA dan Jenkins.

Kemahiran

Selain itu, saya mahir dalam pembangunan aplikasi berasaskan web dan mudah alih, serta memiliki pengalaman dalam penggunaan teknologi seperti Docker dan Kubernetes untuk pengurusan servis.

Saya juga memiliki kemahiran dalam analisis data dan pembelajaran mesin, yang telah membantu saya dalam membangunkan algoritma yang dapat memproses data dengan lebih pantas dan tepat.

Pencapaian

Salah satu pencapaian saya yang paling ketara adalah memimpin pasukan untuk membangunkan sistem pengurusan data yang berjaya meningkatkan kecekapan operasi syarikat sebanyak 30%.

Saya percaya bahawa kombinasi pengalaman dan kemahiran teknikal saya akan memberi nilai tambah kepada pasukan kejuruteraan syarikat DEF. Saya berharap dapat diberi peluang untuk membincangkan lebih lanjut bagaimana saya boleh menyumbang kepada kejayaan syarikat tuan/puan.

Bersama email ini, saya lampirkan resume saya untuk rujukan tuan/puan. Saya boleh dihubungi di nombor, 017- xxxx atau email [email protected]. Terima kasih atas perhatian tuan/puan terhadap permohonan saya ini.

Sekian, terima kasih.

Yang Benar,

Raj Daniel Emanuel
⁠No. Telefon: 017- xxxx
⁠Email: [email protected]

5. Contoh email mohon kerja untuk Fresh Graduate

Seorang lelaki sedang menaip dengan menggunakan laptop.

Bagi pelajar lepasan ijazah yang mungkin tidak mempunyai banyak pengalaman kerja, adalah penting untuk menekankan pencapaian akademik dan latihan industri yang relevan. Sertakan pengalaman akademik seperti projek-projek khas, penyelidikan, atau anugerah yang telah diterima.

Latihan industri juga perlu ditekankan, dengan menyatakan tugas-tugas spesifik yang telah anda laksanakan dan kemahiran yang diperoleh semasa latihan tersebut. Ini akan membantu menunjukkan kepada majikan bahawa anda mempunyai asas pengetahuan dan kemahiran yang kukuh walaupun masih baru dalam industri.

Template Email Mohon Kerja Sample untuk Fresh Graduate

Subjek: Permohonan Jawatan Eksekutif Kewangan – Noor Aina Binti Ahmad

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Nama saya Noor Aina Binti Ahmad, dan saya baru sahaja menamatkan pengajian dalam bidang Kewangan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM). Saya menulis email ini untuk memohon jawatan Eksekutif Kewangan di syarikat tuan/puan, seperti yang diiklankan di platform Jobstreet pada 2 Julai 2024.

Kelayakan Akademik

Sepanjang tempoh pengajian, saya telah memperoleh pengetahuan mendalam dalam bidang kewangan, termasuk analisis kewangan, pengurusan risiko, dan perakaunan.

Latihan Industri / Pengalaman Mengendalikan Projek

Di samping itu, saya telah menjalani latihan industri di sebuah firma audit terkemuka, di mana saya diberi peluang untuk terlibat dalam pelbagai aspek pengurusan kewangan dan perakaunan.

Latihan ini telah memberikan saya pendedahan yang luas dan praktikal dalam penyediaan laporan kewangan, audit dalaman, dan pengurusan bajet.

Semasa latihan industri, saya berjaya membantu firma tersebut dalam menyusun semula proses kewangan yang membawa kepada peningkatan kecekapan sebanyak 20%. Pengalaman ini telah mengasah kemahiran analitis saya dan kemampuan untuk bekerja dalam pasukan. Saya juga berpeluang menggunakan perisian kewangan seperti Microsoft Excel dan QuickBooks secara advance, dan dengan kemahiran ini,saya yakin dapat menjalankan tugas dengan cekap.

Saya sangat berminat untuk menyertai syarikat tuan/puan dan yakin bahawa dengan latar belakang pendidikan dan latihan industri yang saya miliki, saya boleh memberi sumbangan yang bermakna kepada pasukan kewangan syarikat.

Saya berharap dapat diberi peluang untuk menghadiri sesi temu duga bagi membincangkan bagaimana saya dapat menyumbang kepada kejayaan syarikat tuan/puan.

Bersama email ini, saya lampirkan resume saya untuk rujukan tuan/puan.

Terima kasih atas perhatian tuan/puan terhadap permohonan saya ini.

Sekian, terima kasih.

Yang Benar,

Noor Aina Binti Ahmad
⁠No. Telefon: 017-xxxxxx
⁠Email: [email protected]

Kesimpulan

Penulisan email permohonan kerja yang profesional dan menarik adalah langkah penting dalam proses mencari pekerjaan.

Dengan memahami komponen utama yang perlu ada dalam email permohonan kerja, anda dapat meningkatkan peluang untuk berjaya dalam pencarian kerja.

Penyesuaian penulisan mengikut jenis jawatan yang dipohon juga penting untuk menarik perhatian majikan. Gunakan contoh template email permohonan kerja terkini ini sebagai panduan.

Rujuk artikel Cara Betul Memohon Kerja dan Hantar Resume Melalui Email untuk mengetahui tips terperinci.

Selamat mencuba dan semoga berjaya!

Soalan lazim (FAQ) mengenai email mohon kerja

1. Apakah elemen penting dalam email permohonan kerja?

Elemen penting yang harus disertakan dalam email permohonan kerja adalah pengenalan diri asas seperti nama, tujuan email, kelayakan dan pengalaman kerja, serta penutup yang sopan dan profesional.

2. Bagaimanakah menulis subjek email permohonan kerja yang efektif?

Subjek email harus jelas dan tepat, contohnya "Permohonan Jawatan Eksekutif Pemasaran - Ahmad Bin Ali".

3. Berapa panjang email permohonan kerja yang sesuai?

Email permohonan kerja sebaiknya ringkas, padat, dan tidak melebihi satu halaman A4.

4. Apakah kepentingan menulis ayat harapan di akhir email permohonan kerja?

Ayat harapan menunjukkan kesungguhan anda untuk menyertai syarikat dan harapan untuk dihubungi, yang boleh meninggalkan kesan positif kepada majikan.

5. Bolehkah saya menggunakan template email permohonan kerja yang sama untuk setiap permohonan?

Anda boleh menggunakan template yang sama, tetapi pastikan anda menyesuaikan setiap email mengikut jawatan dan syarikat yang dipohon.

More from this category: Cover letters

Top search terms

Want to know what people are searching for on Jobstreet? Explore our top search terms to stay across industry trends.

Explore related topics

Choose an area of interest to browse related careers.

Subscribe to Career Advice

Get expert career advice delivered to your inbox.
You can cancel emails at any time. By clicking ‘subscribe’ you agree to Jobstreet’s Privacy Statement.