Kepentingan Membaca & Ilmu Dalam Kerjaya Bergaji Tinggi

Kepentingan Membaca & Ilmu Dalam Kerjaya Bergaji Tinggi
Jobstreet content teamupdated on 02 September, 2024
Share

Membaca bukanlah sekadar jawapan mudah apabila guru bertanyakan apakah hobi anda sewaktu awal persekolahan dahulu. Amalan ini kekal relevan dan mampu membantu dalam kemajuan kerjaya anda.

Ditambah lagi dengan dunia yang semakin kompetitif, keupayaan untuk memahami konsep yang kompleks dan kemudian mengamalkan serta menyampaikannya kepada orang lain adalah kunci untuk mendaki tangga kerjaya bergaji tinggi.

Jadi, artikel ini akan mengupas bagaimanakah amalan membaca dapat membantu anda memiliki kelebihan berbanding orang lain dalam dunia pekerjaan.

Kepentingan kemahiran membaca

Membaca adalah asas kepada pembelajaran dan pembangunan peribadi. Dalam dunia yang semakin kompleks dan berhubung, kemahiran membaca yang kukuh bukan sahaja penting untuk kejayaan akademik tetapi juga dalam mencapai kejayaan kerjaya.

Menggalakkan empati

Membaca adalah salah satu cara kita mendalami pengalaman orang lain tanpa perlu merasakannya sendiri. Kisah-kisah berlatarbelakangkan budaya pelbagai lapisan masyarakat memberikan kita perspektif baharu dan lebih segar lantas menggalakkan empati.

Membaca juga membantu kita memahami orang lain dengan lebih baik, kerana kita dapat melihat dunia dari sudut pandang mereka.

Dalam dunia pekerjaan, kita semestinya berinteraksi dengan rakan sekerja, orang atasan, dan orang bawahan. Empati yang mendalam membolehkan kita menyesuaikan cara kita berkomunikasi dengan orang berlainan pangkat supaya mesej yang ingin kita sampaikan diterima dengan jelas dan efektif.

Memperluas perbendaharaan kata

Menguasai perbendaharaan kata sangat penting dalam dunia pekerjaan, terutama dalam aspek komunikasi. Empati yang tinggi tidak berguna sekiranya kita tidak mengetahui cara untuk menzahirkannya dalam bentuk lisan. Lisan pula memerlukan perkataan, dan pemilihan perkataan sangat bergantung kepada perbendaharaan kata seseorang individu.

Membaca meningkatkan kemahiran komunikasi bertulis dan lisan, membolehkan kita menyampaikan idea dengan lebih jelas dan tepat.

Tidak ada cara singkat untuk memperluas kosa kata selain membaca. Za’ba, yang dianugerahkan gelaran "Pendeta" di akhir Kongres Bahasa dan Persuratan Ketiga pada tahun 1956, berjaya memperbaiki sistem ejaan Bahasa Melayu melalui pembacaan yang luas. Pembacaan yang banyak inilah yang membekalkan beliau dengan idea-idea bernas yang diiktiraf dalam proses tersebut.

Menginspirasikan kreativiti

Bahan bacaan tergolong dalam dua kategori besar iaitu fiksyen dan bukan fiksyen. Buku fiksyen mengandungi prosa yang direka-reka berdasarkan imaginasi penulis manakala buku bukan fiksyen adalah berdasarkan fakta, kisah, dan individu sebenar.

Membaca buku fiksyen atau bukan fiksyen dapat mengasah kreativiti. Kandungan fiksyen merangsang pemikiran imaginatif apabila pembaca perlu membayangkan niat penulis dalam kepala. Sebaliknya, bahan bacaan bukan fiksyen sangat sesuai untuk memperkaya fakta atau mengetahui hal sebenar yang berlaku di sekeliling kita.

Ia menyumbang kepada kreativiti dengan menyediakan contoh-contoh dunia sebenar yang boleh kita pelajari dan aplikasikan pada diri sendiri. Membaca kedua-dua jenis bahan bacaan ini membantu memperkaya minda dan memperluas perspektif, menjadikan kita lebih kreatif dalam berfikir dan bertindak.

Mengurangkan tekanan

Seorang gadis sedang membaca buku di ruang cerah.

Kajian menunjukkan bahawa mereka yang kerap membaca secara santai mempunyai kesihatan mental yang lebih baik. Ia didapati mengurangkan tekanan mental dalam kalangan pelajar sewaktu berdepan cabaran di universiti menurut kajian tersebut.

Selain mengurangkan tekanan, membaca turut dikaitkan dengan umur yang panjang, berdasarkan satu penyelidikan yang melibatkan 3,635 peserta.

Nak kurangkan tekanan sehingga 68% dalam masa 6 minit? Bacalah buku. Itulah dapatan daripada satu kajian yang dijalankan Mindlab International di University of Sussex dalam tahun 2009. Ia lebih baik berbanding mendengar muzik ataupun berjalan.

Menajamkan fokus

Membaca mampu mengasah fokus. Ada satu kajian yang dijalankan Microsoft yang mendapati yang tempoh fokus kita pada hari ini lebih pendek berbanding dengan ikan emas. Sebanyak 77% daripada responden mengatakan bahawa perkara pertama yang mereka lakukan sekiranya tiada apa-apa untuk dilakukan adalah mencapai telefon.

Kita sekarang hidup dalam dunia yang dipenuhi dengan gajet dan maklumat yang datang daripada pelbagai sumber, yang mengganggu fokus kita. Salah satu latihan untuk meningkatkan fokus adalah dengan membaca.

Membaca merangsang otak secara aktif dengan memadankan maksud kepada perkataan dan cuba mengaitkan apa yang ingin disampaikan oleh penulis. Proses ini mencetuskan imaginasi, logik, dan pemikiran kritikal, memerlukan komitmen dan tumpuan, yang sangat berharga dalam dunia kerja.

Ini bermakna, apabila kita memberi lebih fokus kepada bahan bacaan di depan kita, ia membantu kita menjadi lebih berdisiplin dan tekun dalam menumpukan perhatian.

Meningkatkan kecerdasan

Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr.Mahathir Mohamad, pada tahun 2024 sudah pun berumur 99 tahun. Pada tahun 2019, beliau pernah menulis dalam akhbar New Straits Times sebuah artikel bertajuk “Here's my recipe for staying healthy”.

Dalam salah satu perenggan, beliau berkongsi tips untuk mengelakkan kemerosotan otak. Antara perkara yang disarankan beliau adalah membaca, menulis, berdebat, dan beberapa perkara lain lagi.

Menurut beliau lagi, membaca akhbar setiap hari membantu mengukuhkan memori dan mempertingkatkan pertuturan. Tun merupakan satu contoh hidup yang membuktikan kepentingan membaca.

Kepentingan amalan membaca kepada generasi muda

Di United Kingdom, laporan dari The Youth Literacy and Employability Commission pada tahun 2013 menunjukkan bahawa golongan muda menghadapi kesukaran besar untuk memasuki pasaran kerja, dengan 20% dari mereka berumur 18 hingga 24 tahun tidak mengikuti pengajian sepenuh masa atau menganggur.

Ramai majikan tidak berpuas hati dengan tahap literasi pemohon muda, menekankan kepentingan membaca sejak usia awal untuk meningkatkan literasi.

Dengan itu, amalan membaca sejak usia muda mempunyai impak besar terhadap kerjaya masa depan dengan membantu mengembangkan kemahiran komunikasi, memperluas perbendaharaan kata, dan meningkatkan pemikiran kritikal.

Literasi membaca yang kuat menyokong pencapaian akademik dan profesional dengan memudahkan pemahaman subjek dan pelaksanaan tugas, serta membantu dalam membuat keputusan bijak. Oleh itu, membaca daripada usia muda adalah penting untuk memastikan generasi akan datang mencapai kejayaan akademik dan profesional.

Manfaat literasi membaca dan menulis untuk kerjaya

1. Kemahiran komunikasi yang lebih baik

Membaca meningkatkan pengetahuan dan memperluas perbendaharaan kata, yang membolehkan individu berkomunikasi dengan lebih berkesan. Komunikasi yang berkesan memastikan idea yang disampaikan kepada orang lain jelas dan mudah difahami.

Sebagai contoh, seorang pengurus projek yang baik mampu menyampaikan arahan kepada orang bawahan secara dinamik, menyesuaikan cara penyampaian mengikut tahap kefahaman individu yang sedang dia berkomunikasi.

2. Peningkatan pemikiran kritikal

Literasi membolehkan individu menganalisis maklumat dengan teliti, menilai kesahihan sumber, dan membuat keputusan berdasarkan data yang tepat. Ini menyumbang kepada pemikiran kritikal yang diperlukan untuk menyelesaikan masalah kompleks.

Sebagai contoh, seorang jurutera yang berkemahiran tinggi dalam literasi dapat melihat dan memahami data rumit dalam laporan untuk mengenal pasti punca masalah dalam sistem dan merangka penyelesaian terbaik.

3. Kenaikan kerjaya

Individu yang banyak membaca mampu mengemukakan banyak idea yang bernas dan kreatif. Hal ini membuat mereka lebih menonjol berbanding rakan sekerja lain yang kurang membaca. Majikan cenderung menyukai kakitangan yang proaktif dan menonjol, yang memudahkan dan mempercepatkan pertumbuhan kerjaya mereka.

Contohnya, seorang eksekutif pemasaran yang rajin membaca mungkin lebih berpengetahuan dalam merangka strategi pemasaran yang inovatif dan meyakinkan, menghasilkan idea-idea yang berkesan serta meningkatkan keuntungan syarikat.

Inovasi ini bukan sahaja menyumbang kepada kejayaan syarikat tetapi juga membuka peluang untuk mencapai kerjaya bergaji tinggi.

4. Peningkatan produktiviti

Tahap literasi yang tinggi menjadikan seseorang lebih cekap dalam bekerja, membolehkan mereka menyelesaikan tugasan dengan cara yang paling berkesan.

Sebagai contoh, seorang setiausaha yang rajin membaca bahan-bahan berkaitan penulisan dan dokumentasi akan lebih cekap dalam menghasilkan minit mesyuarat.

Pengetahuan yang diperoleh melalui pembacaan membantu mereka merumuskan perbincangan dengan tepat, menyusun idea secara teratur, dan menggunakan bahasa yang jelas serta profesional. Ini tidak hanya meningkatkan produktiviti dirinya tetapi juga melicinkan operasi syarikat secara keseluruhan.

5. Pembelajaran sepanjang hayat

Ilmu yang diperoleh daripada bahan bacaan adalah kekal dan tidak mempunyai tarikh luput, membolehkan pengetahuan tersebut digunakan sepanjang hayat.

Sebagai contoh, seorang pakar IT yang kerap membaca jurnal teknologi terkini akan sentiasa mengikuti perkembangan dan inovasi terbaru, memastikan kemahirannya kekal relevan dan selaras dengan perubahan industri.

Strategi memupuk amalan membaca

Seorang gadis tengah duduk membaca buku berlatarkan selonggok buku dalam bakul.

Untuk meningkatkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat, boleh dilaksanakan beberapa strategi yang praktikal dan berkesan.

Strategi untuk pekerja

1. Wujudkan persekitaran mesra buku:

Manfaatkan ruang rehat di tempat kerja dengan menyediakan bahan bacaan pelbagai genre. Ini dapat mempromosikan aktiviti membaca semasa waktu rehat, menjadikan membaca sebagai aktiviti santai dan bermanfaat.

2. Masukkan amalan membaca dalam rancangan kerjaya:

Galakkan pekerja untuk menyertai bengkel kemahiran atau seminar yang berkaitan dengan industri mereka. Selain itu, wujudkan kelab membaca di kalangan rakan sekerja untuk berkongsi ilmu dan memeriahkan sesi membaca bersama-sama.

3. Sediakan ganjaran untuk memupuk amalan membaca:

Kenal pasti dan beri ganjaran kepada pekerja yang mencapai sesuatu yang membanggakan, seperti berjaya menghabiskan buku yang mencabar. Ganjaran ini boleh menjadi motivasi tambahan untuk mereka terus berusaha meningkatkan amalan membaca.

4. Promosi amalan membaca dalam organisasi:

Perkenalkan inisiatif seperti “Buku Terbaik Bulanan” atau “Cabaran Membaca” untuk mewujudkan persaingan sihat dalam organisasi. Selain itu, majikan boleh menyediakan senarai bahan bacaan yang relevan dengan industri syarikat, membantu pekerja meningkatkan pengetahuan mereka secara berterusan.

Strategi untuk majikan meningkatkan budaya membaca dalam organisasi

1. Sediakan perpustakaan mini di tempat kerja:

Majikan boleh mengubah kawasan rehat menjadi kawasan mesra buku dengan menyediakan kerusi, meja, dan rak buku yang dipenuhi dengan pelbagai bahan bacaan. Ini akan memberikan kakitangan ruang yang selesa untuk membaca dan meningkatkan budaya membaca di tempat kerja.

2. Masukkan aspek membaca dalam program latihan:

Majikan boleh menyenaraikan buku dan jurnal yang relevan untuk dibaca sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan ilmu kerjaya kakitangan, terutamanya bagi mereka yang baru menyertai syarikat.

Selain itu, majikan boleh memperuntukkan waktu khusus dalam jadual latihan untuk membaca, menjadikan aktiviti ini sebagai komponen penting dalam pembangunan kerjaya pekerja.

Strategi untuk pencari kerja

1. Baca banyak laporan industri untuk bantu sesi temu duga:

Banyakkan membaca artikel, penerbitan, atau kertas kajian berkaitan industri yang ingin anda sertai. Ini sangat membantu sewaktu sesi temu duga, membolehkan anda menjawab soalan dengan tepat dan berasaskan fakta.

2. Manfaatkan pengetahuan industri untuk menambah baik kualiti resume dan CV:

Gunakan pengetahuan yang diperoleh daripada bahan bacaan untuk mempertingkatkan kualiti resume dan CV anda. Ini dapat membantu anda menonjolkan kemahiran dan pengetahuan yang relevan dengan industri yang diminati.

Kesimpulan

Membaca adalah komponen penting dalam membina kerjaya yang berjaya dan bergaji tinggi. Aktiviti ini dapat memupuk pemikiran kritikal, menajamkan kemahiran menyelesaikan masalah, dan meningkatkan keupayaan komunikasi anda.

Dengan banyak membaca, anda akan sentiasa peka terhadap trend semasa dalam industri, termasuk inovasi dan amalan kerja terbaik yang terkini. Melalui pembacaan, anda juga akan menjadi lebih lentur dalam menghadapi cabaran dan lebih tangkas dalam membuat keputusan, seterusnya memberi anda kelebihan berbanding yang lain di alam kerjaya.

Soalan lazim (FAQ)

1. Apakah jenis bahan bacaan yang patut saya fokuskan?

Tumpuan perlu diberikan kepada bahan bacaan yang selari dengan industri tempat anda bekerja. Contohnya, sekiranya anda bekerja dalam sektor pemasaran, anda boleh membaca jurnal-jurnal seperti International Journal of Business Marketing and Management atau Journal of Marketing Management.

2. Bagaimana amalan membaca boleh membantu dalam menyesuaikan diri dengan perubahan industri?

Membaca memastikan bahawa individu dilengkapi dengan maklumat yang relevan dan terkini tentang perubahan yang berlaku dalam industri mereka. Sebagai contoh, pencipta kandungan digital sepatutnya mengetahui jenis kandungan apa yang sedang viral dan menghasilkan kandungan yang trendy untuk menarik lebih ramai pengikut.

3. Adakah majikan menghargai pekerja yang mempunyai tahap literasi tinggi?

Ya, majikan biasanya menghargai pekerja yang mempunyai tahap literasi tinggi kerana ia membawa banyak kelebihan di tempat kerja. Antaranya termasuk keupayaan analitik yang lebih baik, kemahiran komunikasi yang kuat, keupayaan untuk belajar dan menyesuaikan diri dengan cepat, serta kebolehan membuat keputusan yang bijak.

4. Bolehkah kemahiran membaca membantu dalam rundingan gaji?

Ya, kemahiran membaca boleh membantu dalam rundingan gaji kerana membaca memperkaya perbendaharaan kata dan meningkatkan pemahaman tentang struktur bahasa yang efektif.

Dengan kemahiran membaca yang baik, individu dapat menyusun kata-kata dengan lebih berkesan dan memahami maksud tersirat dalam komunikasi, yang merupakan rutin penting dalam rundingan gaji. Ini membolehkan mereka mengemukakan hujah dengan yakin dan sopan, meningkatkan peluang untuk mendapatkan gaji yang diingini.

5. Bagaimana saya boleh mengembangkan tabiat membaca yang konsisten?

Tetapkan sasaran yang realistik, seperti membaca 5 halaman sehari atau 15 minit setiap hari. Manfaatkan masa lapang seperti semasa berehat atau dalam pengangkutan awam untuk membaca. Pilih bahan bacaan yang sesuai dengan minat anda dan cari rakan yang berkongsi minat untuk saling menyokong amalan membaca.

More from this category: Workplace wellbeing

Top search terms

Want to know what people are searching for on Jobstreet? Explore our top search terms to stay across industry trends.

Subscribe to Career Advice

Get expert career advice delivered to your inbox.
You can cancel emails at any time. By clicking ‘subscribe’ you agree to Jobstreet’s Privacy Statement.