Apakah kerjaya gig dan cara memulakannya dengan pendapatan lumayan

Apakah kerjaya gig dan cara memulakannya dengan pendapatan lumayan
Jobstreet content teamupdated on 29 July, 2024
Share

Ekonomi gig merujuk kepada pekerjaan jangka pendek atau kontrak yang sering ditemukan di platform digital. Permintaan terhadap pekerjaan ini semakin meningkat dalam pasaran kerja hari ini kerana fleksibiliti dan peluang pendapatan tambahan yang ditawarkannya. Namun, kerjaya gig mungkin tidak sesuai untuk semua orang.

Artikel ini ditulis untuk memberikan pendedahan kepada mereka yang ingin menceburkan diri dalam kerjaya gig economy. Oleh itu, kami kongsikan apakah yang perlu  bagi membantu anda memulakan pekerjaan sepenuh masa dalam kerjaya gig. Dengan memahami kelebihan, kekurangan, dan cabaran ekonomi gig. 

Pastikan anda mempunyai kemahiran dan minat dalam bidang tersebut supaya dapat mencapai kepuasan serta kestabilan kewangan dalam kerjaya gig.

Memahami ekonomi gig

Apa itu ekonomi gig? Bagaimana ekonomi gig berfungsi? Apakah perbezaannya dengan pekerjaan biasa? Persoalan-persoalan ini akan dijawab dalam topik memahami ekonomi gig, supaya anda tidak salah faham dengan terma ini.

Definisi dan gambaran keseluruhan

Ekonomi gig merujuk kepada sistem di mana pekerjaan dilakukan berdasarkan projek atau kontrak jangka pendek, bukan sebagai pekerjaan tetap. Pekerjaan gig melibatkan pekerja bebas atau individu yang diupah untuk menyelesaikan tugas tertentu dalam tempoh yang telah ditetapkan. 

Ini berbeza dengan jenis pekerjaan kolar putih, kolar biru, atau kolar merah jambu di mana pekerja mempunyai perjanjian jangka panjang dengan majikan. Pekerjaan tersebut termasuk gaji tetap serta manfaat seperti insurans kesihatan dan pelan persaraan.

Dalam ekonomi gig, pekerja biasanya menggunakan platform digital seperti aplikasi atau laman sesawang untuk mencari peluang pekerjaan dan menyelesaikan tugasan. Contoh-contoh pekerjaan gig termasuk pemandu e-hailing, penulis bebas, pereka grafik, dan penghantar pesanan. Berbeza dengan pekerjaan biasa, pekerjaan gig tidak memerlukan pekerja bekerja di bawah organisasi dengan struktur hierarki dan tanggungjawab yang jelas.

Kelebihan ekonomi gig

Kerja dalam ekonomi gig menawarkan kelebihan yang jarang diperoleh oleh pekerja biasa. Antaranya adalah fleksibiliti dalam waktu bekerja, potensi pendapatan tambahan, dan variasi dalam jenis tugasan. Berikut kami kongsikan kelebihan ekonomi gig yang sering dinikmati oleh pekerja gig di Malaysia. 

1. Waktu kerja fleksibel

Anda memiliki kebebasan untuk menentukan jadual kerja sendiri dengan memilih projek yang sesuai dengan minat dan keperluan semasa. Ini membolehkan anda mengimbangi kerja, kehidupan peribadi, dan tanggungjawab lain dengan lebih baik. Kaedah pekerjaan seperti ini memudahkan pekerja gig mencapai keseimbangan antara kerja dan kehidupan.

2. Pendapatan tambahan

Pekerjaan gig sangat sesuai bagi mereka yang memerlukan pendapatan tambahan untuk menampung perbelanjaan harian atau mencapai matlamat kewangan tertentu.

Kebanyakan pekerjaan gig tidak mempunyai ikatan jangka panjang dengan pelanggan atau organisasi. Oleh itu, walaupun anda sudah mempunyai pekerjaan tetap, anda masih boleh menyertainya tanpa merisikokan pekerjaan sedia ada. 

3. Kepelbagaian tugasan

Pekerjaan gig tidak terhad kepada satu jenis tugasan sahaja. Anda bebas memilih lebih daripada satu jenis tugasan yang sesuai dengan kemahiran dan minat anda dalam pelbagai bidang.

Secara tak langsung, ini membolehkan anda mengembangkan kemahiran baru dan memperoleh pengalaman dalam pelbagai bidang. Lebih menarik lagi, kerja ini tiada sempadan geografi, kerana anda dapat bekerjasama dengan pelanggan dari luar negara hanya dengan berurusan secara dalam talian.

Cabaran ekonomi gig

Tidak ada kerja yang tiada cabaran. Pekerja gig juga turut menghadapinya dalam mengusahakan kerjaya gig di Malaysia ini. 

1. Kekurangan keselamatan kerja

Walaupun terdapat banyak kelebihan, ekonomi gig juga mempunyai cabarannya tersendiri. Salah satu cabaran utama ialah kekurangan keselamatan kerja. Pekerja gig tidak mempunyai jaminan pekerjaan jangka panjang dan mungkin menghadapi tempoh tanpa pekerjaan. Ini  menimbulkan tekanan kewangan dan ketidakpastian tentang masa depan.

2. Pendapatan yang tidak konsisten

Pendapatan yang tidak konsisten juga merupakan cabaran besar dalam ekonomi gig. Pekerja gig tidak mempunyai gaji tetap dan pendapatan mereka bergantung pada jumlah dan jenis tugas yang telah disempurnakan. Ini boleh menyebabkan kesukaran dalam merancang kewangan dan menampung perbelanjaan tetap.

3. Manfaat terhad

Manfaat terhad adalah satu lagi cabaran dalam ekonomi gig. Pekerja gig biasanya tidak menerima faedah seperti insurans kesihatan, pelan persaraan, atau cuti berbayar yang biasanya ditawarkan dalam pekerjaan biasa.

Ini bermakna mereka perlu pengeluaran kos sendiri untuk insurans dan simpanan persaraan bagi kegunaan di hari tua. Secara keseluruhan, ekonomi gig menawarkan peluang dan fleksibiliti yang menarik kepada ramai orang.

Namun, pekerjaan gig juga membawa cabaran yang memerlukan perancangan dan pengurusan kewangan yang teliti. Pekerja gig perlu bersedia menghadapi ketidakpastian serta mengambil langkah-langkah proaktif untuk melindungi diri dari segi kewangan dan kesihatan.

Pekerjaan gig popular di Malaysia

seorang individu masuk kerjaya gig dalam perkhidmatan penghantaran

Kali ini, kami kongsikan empat jenis pekerjaan gig yang popular di Malaysia. Setiap pekerjaan mempunyai kriteria tersendiri bagi pekerja yang berminat untuk menawarkan perkhidmatan.

1. Perkhidmatan penghantaran dan pengantaraan (e-hailing

Pekerjaan ini melibatkan pemandu yang menyediakan perkhidmatan penghantaran penumpang, makanan atau barangan menggunakan aplikasi seperti Grab, Foodpanda dan Lalamove. Pekerja yang terlibat dalam perkhidmatan penghantaran ini hendaklah mempunyai kenderaan, lesen memandu, telefon pintar dan akses internet. 

Di samping itu, pemandu juga perlu mengetahui cara membaca peta untuk memudahkan mereka melalui jalan di kawasan tersebut. Perkhidmatan penghantaran dan e-hailing adalah antara pekerjaan gig yang popular di Malaysia. Untuk berjaya dan menerima banyak pesanan, pekerja harus memberikan perkhidmatan yang cekap dan pantas.

2. Kerja freelance

Kerja freelance adalah pilihan bagi mereka yang mempunyai kemahiran khusus dan ingin bekerja sendiri. Contoh kerja freelance termasuk penulisan, reka bentuk grafik, dan pengaturcaraan. 

Penulis bebas menyediakan perkhidmatan seperti menulis artikel, kandungan blog, atau bertindak sebagai "ghost writer" untuk buku atau e-buku. Ada kalanya, mereka perlu bekerjasama dengan ahli pemasaran digital untuk mendapatkan hasil karya terbaik. 

Pereka grafik pula menghasilkan reka bentuk logo, risalah, atau bahan grafik laman web. Sementara itu, pengaturcara bebas membangunkan aplikasi atau perisian mengikut keperluan pelanggan.

Kerja freelance adalah sesuatu yang memerlukan kemahiran khusus dalam bidang tertentu serta kemampuan komunikasi yang baik dengan pelanggan. Pekerja bebas juga perlu mahir dalam pengurusan masa dan projek untuk memastikan kerja diselesaikan mengikut jadual.

3. Mengajar dalam talian

Mengajar dalam talian adalah salah satu cabang pekerjaan gig yang semakin berkembang di Malaysia. Subjek seperti bahasa Inggeris, matematik, dan sains adalah antara yang mempunyai permintaan tinggi. 

Guru sambilan akan memberikan bimbingan kepada pelajar melalui sesi dalam talian atau mengajar secara langsung. Paling penting untuk menjadi guru sambilan, seseorang perlu mempunyai pengetahuan mendalam dalam subjek yang diajar.

Pengajaran dan bimbingan dalam talian juga memerlukan sambungan internet yang stabil serta peralatan seperti komputer yang berfungsi dengan baik. 

4. Perkhidmatan berasaskan tugas

Perkhidmatan berasaskan tugas termasuklah baik pulih peralatan rumah dan perkhidmatan pembersihan. Bidang tugas penukang meliputi membaiki paip bocor, mengecat dinding, atau memperbaiki peralatan elektrik.

Sebaliknya, pekerja pembersihan boleh menawarkan perkhidmatan membersihkan rumah, pejabat, atau premis komersial. Pekerja yang terlibat dalam tugas ini tergolong dalam sektor pembersihan dan pencucian.

Untuk bekerja dalam perkhidmatan berasaskan tugas, seseorang perlu memiliki kemahiran dan alat yang sesuai untuk menjalankan tugas. Kerja ini memerlukan individu yang cekap dalam menyelesaikan tugasan dan boleh dipercayai untuk mencapai kepuasan pelanggan.

Secara keseluruhan, pekerjaan gig di Malaysia menawarkan pelbagai peluang kepada individu yang mencari fleksibiliti dan ingin meningkatkan pendapatan. Setiap jenis pekerjaan gig mempunyai keperluan dan cabaran tersendiri, namun ia juga menyediakan platform yang baik untuk mengembangkan kemahiran dan mencapai kestabilan kewangan. 

Dengan teknologi dan platform digital yang semakin canggih, pekerjaan gig dijangka terus berkembang dan menjadi pilihan utama bagi ramai rakyat Malaysia.

Memulakan kerjaya dalam ekonomi gig

seorang wanita sedang memulakan kerjaya gig

Sesiapa pun boleh menceburkan diri dalam bidang ekonomi gig asalkan mereka tahu cara yang betul untuk memulakan kerja ini. Kami kongsikan bersama anda tiga perkara penting yang perlu diketahui sebelum memulakan pekerjaan gig di Malaysia. 

Mengenal pasti kemahiran dan minat anda

Langkah pertama untuk memulakan kerjaya dalam ekonomi gig adalah mengenal pasti kemahiran dan minat anda. Luangkan masa untuk menilai apa yang anda mahir dan suka lakukan. 

Tanyakan pada diri anda, apakah kemahiran yang anda miliki dan nikmati? Apakah jenis tugas yang membuat anda berasa puas? Ini penting kerana memilih kerja gig yang sesuai dengan kemahiran dan minat anda akan meningkatkan peluang kejayaan dan kepuasan kerja.

Setelah mengenal pasti kemahiran dan minat anda, padankan dengan peluang gig yang tersedia. Sebagai contoh, jika anda mahir dalam penulisan, cari kerja gig sebagai penulis bebas. Jika anda berminat dengan reka bentuk grafik, pertimbangkan untuk menjadi pereka grafik bebas.

Membina profil yang kuat

Membina profil yang kuat di platform gig adalah langkah penting untuk menarik perhatian majikan. Cipta profil yang menarik dan profesional di platform gig seperti Upwork, Freelancer, atau Fiverr. Pastikan maklumat dalam profil anda lengkap dan tepat, termasuk pengalaman kerja, kemahiran, dan pencapaian anda. 

Kepentingan portfolio tidak boleh diabaikan; sertakan contoh kerja terdahulu yang relevan dalam portfolio anda. Portfolio yang kukuh dapat menonjolkan potensi diri dan meningkatkan peluang anda untuk mendapatkan pekerjaan.

Ulasan pelanggan juga sangat penting. Dapatkan maklum balas dari pihak pelanggan dan berikan perkhidmatan terbaik supaya anda dapat menerima ulasan positif. Ulasan yang baik boleh membantu meningkatkan reputasi anda di platform gig dan menarik lebih banyak majikan.

Menetapkan kadar bayaran anda

Menetapkan kadar bayaran yang tepat adalah langkah kritikal dalam kerjaya gig anda. Mulakan dengan meneliti standar industri untuk jenis kerja gig yang anda pilih. Lihat kadar bayaran yang ditawarkan oleh pekerja gig lain dalam bidang yang sama. Ini akan memberikan anda idea tentang harga yang berpatutan. 

Setelah itu, tetapkan harga yang kompetitif untuk menjaga nilai tugasan itu di pasaran kerjaya gig. Jangan terlalu merendahkan harga anda hanya untuk mendapatkan pekerjaan. Hargai kemahiran dan usaha anda. Sebagai pekerja gig, anda perlu memastikan bahawa kadar bayaran anda mencerminkan kualiti dan nilai kerja yang anda sediakan. 

Ini bukan sahaja membantu anda mendapatkan pendapatan yang memuaskan tetapi juga menunjukkan kepada majikan bahawa anda serius dalam kerja anda.

Kesimpulannya, memulakan kerjaya dalam ekonomi gig memerlukan persediaan dan strategi yang tersusun. Dengan mengenal pasti kemahiran dan minat anda, membina profil yang kuat, dan menetapkan kadar bayaran yang tepat, anda boleh meletakkan diri anda di laluan kejayaan. 

Ekonomi gig menawarkan peluang yang luas untuk individu yang bersedia berusaha dan menyesuaikan diri dengan perubahan. Dengan komitmen dan ketekunan, anda boleh mencapai kejayaan dan kepuasan dalam kerjaya gig anda.

Pertimbangan undang-undang dan cukai dalam kerjaya gig

Kerjaya gig semakin popular di Malaysia dan memahami hak serta kewajipan anda sebagai pekerja gig adalah penting. Status undang-undang pekerja gig di Malaysia berbeza dengan pekerja tetap. 

Pekerja gig biasanya dianggap sebagai kontraktor bebas atau freelancer dan tidak mempunyai perlindungan yang sama seperti pekerja tetap. 

Oleh itu, pekerja gig perlu memahami kontrak dan perjanjian dengan klien. Setiap kontrak harus jelas tentang skop kerja, bayaran, tempoh kerja, dan syarat-syarat lain. Pastikan anda membaca semua terma sebelum menandatangani apa-apa perjanjian. Ini membantu mengelakkan pertikaian dan memastikan anda dilindungi dari segi undang-undang.

Menguruskan cukai

Menguruskan cukai merupakan aspek penting dalam kerjaya gig. Sebagai pekerja gig, anda bertanggungjawab untuk menyimpan rekod kewangan semasa bekerja. Ini termasuk menyimpan semua resit, invois, dan rekod pendapatan serta perbelanjaan. 

Menyimpan rekod yang baik membantu anda mengemukakan cukai dengan betul dan mengelakkan masalah dengan pihak berkuasa cukai. Di Malaysia, pekerja gig perlu mengemukakan cukai pendapatan sendiri kerana tiada majikan yang akan melakukannya bagi pihak mereka. 

Anda perlu mendaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan mengemukakan Borang B setiap tahun. Pastikan anda mengetahui tarikh akhir pengemukaan cukai dan memenuhi semua keperluan cukai yang ditetapkan oleh LHDN.

Penyertaan KWSP (EPF) sebagai pekerja gig

Pekerja gig tidak diwajibkan membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) seperti pekerja tetap. Namun, menyertai KWSP adalah satu langkah bijak untuk merancang kewangan jangka panjang. 

KWSP menawarkan faedah simpanan untuk persaraan dan memberikan pulangan yang lebih baik berbanding simpanan biasa. Untuk mendaftar sebagai pekerja gig di KWSP, anda boleh mengisi Borang KWSP 16F (Pendaftaran Ahli) dan menyerahkannya di mana-mana cawangan KWSP. 

Anda juga boleh mendaftar secara dalam talian melalui laman sesawang KWSP. Individu yang berdaftar boleh membuat caruman sukarela pada bila-bila masa melalui pelbagai saluran pembayaran yang disediakan oleh KWSP.

Tips untuk kejayaan dalam ekonomi gig

Setiap pekerja yang ingin berjaya dalam ekonomi gig harus sentiasa mengikuti perkembangan dalam industri masing-masing. Dunia kerja gig sentiasa berubah, lebih-lebih lagi dengan kemajuan teknologi dan aliran baru yang muncul dengan pantas. 

Oleh itu, sebagai pekerja bebas, pastikan anda sentiasa peka dengan perubahan ini agar kekal relevan dan kompetitif. Salah satu cara terbaik untuk melakukannya adalah dengan mengambil kursus untuk meningkatkan kemahiran anda. 

Banyak platform dalam talian menawarkan kursus dalam pelbagai bidang, termasuk penulisan, reka bentuk, pengaturcaraan. Melalui kursus ini, anda boleh mempelajari kemahiran baru dan memperbaiki kemahiran sedia ada. Ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan kerja tetapi juga meningkatkan  tarikan kepada pelanggan dan bakal pelanggan.

Jaringan dan membina hubungan

Networking merupakan elemen penting dalam mendapatkan lebih banyak pekerjaan gig dan membina kerjaya yang berjaya dalam ekonomi ini. Ia membolehkan anda berhubung secara profesional dengan pihak berkepentingan dalam industri anda, membuka peluang untuk bertukar-tukar idea dan mencari peluang kerja baru. 

Ambil bahagian dalam kumpulan komuniti dalam talian, forum, atau kumpulan media sosial yang berkaitan dengan bidang yang anda ceburi. Ini boleh membantu anda membina hubungan yang kuat serta mendapatkan sokongan dan maklumat yang berguna. 

Selain itu, membina hubungan jangka panjang dengan pelanggan juga penting sebagai kunci kejayaan dalam kerja gig. Pelanggan yang berpuas hati dengan perkhidmatan anda cenderung untuk kembali dan mungkin juga mengesyorkan anda kepada orang lain. Oleh itu, pekerja gig hendaklah berusaha untuk memberikan perkhidmatan terbaik dan menjaga hubungan baik dengan setiap pelanggan.

Kekal bermotivasi dan tangguh

Pekerja gig akan sering menghadapi penolakan dan kegagalan kerana ia adalah sebahagian daripada perjalanan dalam ekonomi gig. Tidak semua projek akan berjaya dan tidak semua klien akan berpuas hati. 

Namun begitu, nilai yang setiap pekerja gig wajib ada adalah ketabahan. Setiap kegagalan adalah peluang untuk belajar dan memperbaiki diri. Kekal fokus pada matlamat jangka panjang dan jangan sesekali biarkan halangan kecil menghalang anda daripada mencapai kejayaan.

Untuk kekal bermotivasi, tetapkan matlamat yang jelas dan realistik. Pecahkan matlamat besar kepada langkah-langkah kecil yang boleh dicapai dan raikan setiap pencapaian kecil. Kaedah ini akan membantu anda kekal bersemangat dan fokus dalam kerjaya gig.

Selain itu, penting untuk menjaga keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi. Kerja gig boleh menjadi mencabar dan memerlukan banyak masa serta tenaga. Oleh itu, pastikan anda mengambil masa untuk berehat dan menjaga kesihatan mental dan fizikal anda.

Kesimpulannya, kejayaan dalam ekonomi gig memerlukan pembelajaran berterusan, jaringan yang kuat dan motivasi yang tinggi. 

Dengan mengikuti perkembangan industri, membina hubungan baik dengan klien dan kekal fokus pada matlamat, anda boleh mencapai kejayaan dalam kerjaya gig. Setiap langkah yang diambil dengan bijak dan berstrategi akan membawa anda lebih dekat kepada kejayaan yang diimpikan. 

Ekonomi gig menawarkan banyak peluang bagi mereka yang bersedia berusaha dan belajar secara berterusan. Dengan komitmen dan ketekunan, anda boleh mencapai kejayaan dan kepuasan dalam dunia gig.

Kesimpulan

Kerjaya gig menawarkan waktu kerja yang fleksibel, peluang pendapatan tambahan, dan pelbagai pilihan pekerjaan yang sesuai dengan kemahiran dan minat. Namun, ia datang dengan cabaran seperti kekurangan keselamatan kerja, pendapatan yang tidak konsisten, dan manfaat yang terhad.

Walaupun begitu, kerjaya gig adalah pilihan berdaya maju yang memberikan kebebasan untuk bekerja mengikut jadual sendiri. Dengan kemajuan teknologi dan platform digital, mencari pekerjaan gig menjadi lebih mudah.

Kebolehsuaian dan pembelajaran berterusan adalah kunci kejayaan dalam ekonomi gig. Anda harus sentiasa mengikuti perkembangan industri, memperbaiki kemahiran, dan membina hubungan baik dengan klien. Jika anda rela untuk belajar dan berkembang, anda boleh mencapai kejayaan dan kepuasan dalam kerjaya gig.

Soalan lazim

1. Apakah itu kerjaya gig?
Kerjaya gig merujuk kepada pekerjaan sementara atau kontrak sering disediakan melalui platform digital.

2. Apakah kelebihan dan kekurangan bekerja dalam kerjaya gig?
Waktu kerja yang fleksibel dan peluang pendapatan tambahan. Kekurangannya termasuk kekurangan keselamatan kerja dan pendapatan yang tidak konsisten.

3. Bagaimana cara mencari peluang kerjaya gig?
Platform dalam talian seperti Upwork, Freelancer atau aplikasi seperti Grab atau Foodpanda adalah platform yang diperlukan. Jaringan dengan profesional dalam bidang yang diminati juga membantu.

More from this category: Finding the job for you

Top search terms

Want to know what people are searching for on Jobstreet? Explore our top search terms to stay across industry trends.

Explore related topics

Choose an area of interest to browse related careers.

Subscribe to Career Advice

Get expert career advice delivered to your inbox.
You can cancel emails at any time. By clicking ‘subscribe’ you agree to Jobstreet’s Privacy Statement.