Setiap tahun, individu dan perniagaan di Malaysia wajib mengemukakan borang cukai pendapatan mereka kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Mengemukakan cukai dengan tepat dan pada masanya bukan sahaja memenuhi kewajipan undang-undang anda, tetapi juga menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara. Adakah anda mengetahui objektif pencukaian dan kewajipan anda dalam proses ini?
Artikel ini akan membincangkan 10 perkara penting yang perlu anda ketahui mengenai cukai pendapatan di Malaysia. Anda akan mendapat pemahaman yang mendalam tentang siapa yang perlu membayar cukai, kadar cukai yang dikenakan, pelepasan cukai yang boleh dituntut, dan cara melaporkan serta membayar cukai.
Apakah itu cukai pendapatan?
Mengikut definisi dalam Akta Cukai Pendapatan 1967, cukai pendapatan adalah caj kewangan yang dikenakan oleh kerajaan kepada individu dan perniagaan berdasarkan pendapatan mereka.
Pendapatan bercukai adalah termasuk pendapatan daripada pekerjaan, keuntungan perniagaan, dividen, faedah, dan sewaan.
Ia merupakan sumber utama pendapatan kerajaan, membolehkan kerajaan membiayai perkhidmatan awam, infrastruktur, dan pelbagai projek pembangunan.
LHDN bertanggungjawab menjalankan audit, siasatan, dan tindakan penguatkuasaan untuk memastikan pematuhan dan menangani pengelakan cukai.
Kepentingan cukai pendapatan bagi ekonomi negara
Cukai yang anda bayar memberi sumbangan yang signifikan kepada bajet negara Malaysia. Hasil kutipan ini digunakan untuk membiayai bidang-bidang penting seperti:
- Infrastruktur: Jalan raya, jambatan, pengangkutan awam – semuanya bergantung kepada pembiayaan cukai untuk memastikan Malaysia terus terhubung dan maju.
- Pendidikan: Daripada sekolah rendah hingga ke universiti, cukai memastikan rakyat Malaysia mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti.
- Penjagaan kesihatan: Hospital dan klinik awam bergantung kepada hasil cukai untuk menyediakan penjagaan kesihatan yang mampu diakses oleh semua.
- Program kebajikan sosial: Cukai membantu menyokong golongan yang terpinggir dalam masyarakat, memastikan jaringan keselamatan sosial yang kukuh.
Dengan mengemukakan cukai anda dengan tepat dan pada masanya, anda bukan sahaja memenuhi kewajipan undang-undang, tetapi juga secara aktif terlibat dalam pembangunan negara.
10 Perkara wajib anda perlu tahu tentang cukai pendapatan
1. Siapakah yang perlu membayar cukai pendapatan?
Di Malaysia, cukai pendapatan adalah kewajipan bagi semua individu dan perniagaan yang memenuhi kriteria tertentu. Berikut adalah kriteria individu yang perlu membayar cukai pendapatan di Malaysia:
- Pendapatan tahunan melebihi had tertentu: Individu yang mempunyai pendapatan tahunan melebihi had yang ditetapkan oleh LHDN dan boleh berubah setiap tahun bergantung kepada dasar fiskal kerajaan.
- Pendapatan dari pelbagai sumber: Cukai dikenakan bukan hanya pada pendapatan daripada pekerjaan tetap tetapi juga daripada sumber-sumber lain seperti perniagaan, sewaan hartanah, dividen, faedah, dan lain-lain.
- Penduduk Malaysia: Seseorang dianggap penduduk jika mereka berada di Malaysia selama 182 hari atau lebih dalam setahun.
- Individu berkahwin atau bujang: Kedua-dua individu yang sudah berkahwin dan bujang perlu membayar cukai jika pendapatan mereka melebihi had yang ditetapkan. Bagi pasangan berkahwin, mereka boleh memilih untuk mengemukakan penyata cukai bersama atau berasingan.
- Pekerja asing: Pekerja asing yang bekerja di Malaysia juga perlu membayar cukai pendapatan sekiranya mereka memenuhi syarat tempoh tinggal dan pendapatan yang ditetapkan oleh LHDN.
- Pengusaha dan freelancer: Mereka yang menjalankan perniagaan sendiri atau bekerja secara bebas (freelancer) jika pendapatan tahunan mereka melebihi had tertentu. Ini termasuk peniaga kecil, usahawan, dan pekerja gig.
2. Pendapatan minimum bercukai
Di Malaysia, tidak semua pendapatan dikenakan cukai pendapatan. Untuk individu dikenakan cukai, mereka perlu memenuhi syarat pendapatan minimum yang ditetapkan oleh LHDN seperti berikut:
Berapakah gaji minimum yang dikenakan cukai?
Bagi tahun taksiran 2023, pendapatan tahunan minimum yang dikenakan cukai untuk individu bujang adalah RM34,000 selepas menolak KWSP. Had ini mungkin berubah setiap tahun berdasarkan polisi fiskal kerajaan.
Kriteria lain yang perlu diambil kira
- Pendapatan tambahan: Selain gaji, pendapatan daripada sumber lain seperti sewaan hartanah, dividen, dan faedah juga perlu diambil kira.
- Pelepasan cukai: Contohnya, perbelanjaan untuk pendidikan, perubatan, dan derma boleh mengurangkan jumlah cukai yang perlu dibayar.
Adakah bonus dan faedah lain dikenakan cukai?
Ya, bonus dan manfaat lain yang diterima oleh pekerja juga dikenakan cukai, seperti berikut:
Cukai ke atas bonus dan faedah lain
Bonus tahunan, insentif prestasi, dan faedah lain seperti elaun, bayaran lebih masa (OT), komisen sebarang bentuk ganjaran kewangan lain juga termasuk dalam pendapatan bercukai mesti diisytiharkan.
Cukai ke atas faedah (Interest)
Pendapatan faedah yang diperoleh daripada simpanan bank, bon, dan pelaburan lain juga tertakluk kepada cukai pendapatan. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa pengecualian untuk faedah yang diperoleh daripada simpanan tertentu, seperti akaun simpanan yang mendapat pelepasan cukai.
3. Kadar cukai pendapatan
Kadar cukai pendapatan di Malaysia berbeza mengikut peringkat pendapatan iaitu:
- Pendapatan rendah: Pada tahap ini, kadar cukai mungkin bermula dari serendah 0% hingga 10%, bergantung kepada pendapatan yang diperoleh, iaitu di antara RM5000 hingga RM70,000 setahun.
- Pendapatan sederhana: Kadar cukai yang dikenakan adalah dalam julat pertengahan, biasanya antara 10% hingga 24%. Ini termasuk individu yang pendapatannya berada di antara RM70,001 hingga RM400,000 setahun.
- Pendapatan tinggi: Kadar cukai maksimum boleh mencecah sehingga 30%. Ini memastikan bahawa mereka yang berkemampuan menyumbang lebih kepada pembangunan negara. Ini tergunapakai untuk mereka yang berpendapatan RM400,001 ke atas.
Untuk maklumat terperinci mengenai kadar cukai bagi setiap peringkat pendapatan, anda boleh merujuk kepada Jadual Kadar Cukai Pendapatan LHDN.
4. Pelepasan cukai: Apa yang boleh tuntut dalam cukai anda?
Pelepasan cukai ini bertujuan untuk meringankan beban kewangan individu dan menyokong perbelanjaan penting seperti pendidikan, kesihatan, dan kehidupan keluarga.
Senarai pelepasan cukai pendapatan yang boleh dituntut pada tahun 2024
Untuk tahun taksiran 2024, berikut adalah senarai pelepasan cukai yang boleh dituntut oleh pembayar cukai di Malaysia:
- Pelepasan Diri: RM9,000
- Pelepasan untuk suami/isteri: RM4,000
- Pelepasan untuk anak: RM2,000 setiap anak di bawah umur 18 tahun
- Pelepasan pendidikan untuk anak: RM8,000 setiap anak untuk pengajian tinggi
- Pelepasan perubatan untuk ibu bapa: RM8,000
- Pelepasan yuran pendidikan sendiri: RM7,000
- Pelepasan perbelanjaan perubatan untuk penyakit serius: RM10,000
- Pelepasan insurans hayat dan KWSP: RM7,000
- Pelepasan sumbangan derma: Sehingga 10% daripada pendapatan agregat
- Pelepasan untuk pembelian buku, majalah, jurnal dan penerbitan: RM2,500
- Pelepasan untuk pembelian komputer peribadi: RM2,500 (setiap 3 tahun)
- Pelepasan untuk bayaran perkhidmatan penjagaan anak: RM3,000
- Pelepasan untuk skim persaraan swasta (PRS): RM3,000
Pastikan anda menyimpan resit dan rekod pembayaran untuk perkara tersebut supaya dapat menuntut pelepasan cukai. Sila rujuk kepada senarai lengkap Pelepasan Cukai di laman web LHDN.
Apa perbezaan pengecualian cukai, pengurangan cukai, rebat cukai dan pelepasan cukai?
Berikut adalah penjelasan terperinci untuk setiap kategori.
1. Pengecualian cukai
Pengecualian cukai merujuk kepada pendapatan yang tidak dikenakan cukai. Ini bermakna jenis pendapatan tertentu dikecualikan daripada pendapatan bercukai anda, mengurangkan jumlah keseluruhan liabiliti cukai anda.
Contoh pengecualian cukai:
- Pendapatan faedah daripada akaun simpanan.
- Pendapatan dari sumber luar negara.
- Pencen kerajaan tertentu.
- Biasiswa dan geran pendidikan.
- Dividen yang diterima dari syarikat yang telah membayar cukai korporat.
2. Pengurangan cukai
Pengurangan cukai mengurangkan jumlah pendapatan bercukai atau cukai yang perlu dibayar dengan menggunakan potongan atau elaun tertentu. Pengurangan ini secara langsung mengurangkan jumlah pendapatan yang dikenakan cukai.
Contoh pengurangan cukai:
- Perbelanjaan untuk rawatan perubatan.
- Sumbangan kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
- Derma kepada badan amal yang diluluskan.
- Yuran pendidikan untuk pendidikan tinggi.
3. Pelepasan cukai
Pelepasan cukai adalah potongan yang mengurangkan pendapatan bercukai anda, sekali gus mengurangkan jumlah keseluruhan pendapatan yang dikenakan cukai. Pelepasan ini direka untuk mengiktiraf keadaan peribadi dan menggalakkan aktiviti yang bermanfaat.
Contoh pelepasan cukai:
- Pelepasan untuk yuran pendidikan diri.
- Pelepasan untuk menyokong ibu bapa yang tua.
- Pelepasan untuk perbelanjaan perubatan untuk penyakit serius.
- Pelepasan untuk insurans hayat dan sumbangan KWSP.
4. Rebat cukai
Rebat cukai adalah jumlah tertentu yang ditolak daripada jumlah cukai yang perlu dibayar, memberikan penjimatan langsung ke atas jumlah cukai yang perlu dibayar. Rebat sering diberikan untuk menggalakkan tingkah laku tertentu atau menyokong kumpulan pembayar cukai tertentu.
Contoh rebat cukai:
- Rebat untuk pembayar cukai individu dengan pendapatan di bawah ambang tertentu.
- Rebat untuk premium insurans yang dibayar untuk polisi pendidikan atau perubatan.
- Rebat untuk pembelian komputer.
Memahami perbezaan antara pengecualian cukai, pengurangan cukai, rebat cukai, dan pelepasan cukai adalah penting untuk perancangan cukai yang berkesan.
5. Bila mesti melaporkan cukai?
Setiap individu yang bekerja di Malaysia perlu melaporkan cukai pendapatan mereka sebelum atau pada 30 April setiap tahun. Manakala perniagaan mempunyai tarikh akhir yang berbeza bergantung kepada tahun kewangan mereka.
Tarikh ini adalah penting untuk memastikan anda tidak dikenakan penalti kerana kelewatan.
6. Bagaimana melaporkan cukai?
Anda boleh melapor melalui dua cara:
- Secara manual: Hantar borang nyata (borang cukai) secara manual ke Seksi Pengurusan Rekod & Maklumat Percukaian, HASiL di cawangan LHDN yang berdekatan. Ini dilakukan dengan mengisi borang fizikal dan menyerahkannya terus kepada LHDN.
- Melalui platform e-Filing dalam sistem MyTax: Melaporkan cukai secara dalam talian menggunakan e-Filing adalah cara yang lebih mudah dan digalakkan oleh LHDN.
Langkah-langkahnya ialah:
- Mendaftar akaun: Daftar akaun di https://mytax.hasil.gov.my
- Log masuk: Log masuk ke akaun anda menggunakan ID pengguna dan kata laluan yang telah didaftarkan.
- Isi borang: Pilih borang cukai yang sesuai, seperti Borang BE untuk individu dengan pendapatan penggajian sahaja atau Borang B untuk individu dengan pendapatan perniagaan.
- Penghantaran: Hantar borang yang telah diisi secara dalam talian melalui sistem e-Filing sebelum tarikh akhir yang ditetapkan oleh LHDN.
Borang untuk memfailkan cukai
Terdapat beberapa borang cukai yang perlu diisi oleh pembayar cukai, bergantung kepada jenis pendapatan mereka. Beberapa borang yang biasa digunakan termasuk:
- Borang BE: Untuk individu yang mempunyai pendapatan penggajian sahaja.
- Borang B: Untuk individu yang mempunyai pendapatan perniagaan.
- Borang M: Untuk individu bukan pemastautin yang mempunyai pendapatan dari Malaysia.
Setiap borang mempunyai arahan terperinci yang perlu diikuti untuk memastikan maklumat yang betul disediakan.
Untuk maklumat lebih lanjut, anda boleh melayari MyTAX.
7. Cara mengisi borang cukai pendapatan
Mengisi borang cukai pendapatan dengan tepat adalah penting untuk memastikan semua maklumat yang diberikan adalah betul. Berikut adalah panduan untuk mengisi borang dengan betul:
- Kumpulkan dokumen: Pastikan anda mempunyai semua dokumen sokongan seperti penyata gaji, resit perubatan, resit derma, dan dokumen lain yang relevan.
- Masukkan maklumat peribadi: Isi maklumat peribadi anda seperti nama, nombor kad pengenalan, alamat dan nombor cukai (sekiranya anda telah berdaftar dengan LHDN).
- Pendapatan dan potongan: Masukkan jumlah pendapatan tahunan anda dan potongan yang layak seperti KWSP, insurans, dan perbelanjaan perubatan.
- Pengiraan cukai: Sistem akan mengira jumlah cukai yang perlu dibayar atau lebihan bayaran cukai yang boleh dituntut semula.
Kesalahan biasa yang perlu dielakkan:
- Kesalahan nombor: Memasukkan nombor pendapatan atau potongan yang salah.
- Tidak melampirkan dokumen sokongan: Gagal melampirkan resit atau dokumen sokongan yang diperlukan.
- Tidak menyemak borang: Tidak menyemak borang sebelum penghantaran boleh menyebabkan kesilapan tidak disedari.
Senarai dokumen yang diperlukan
- Borang EA/EC & CP58
- Baucar dividen
- Resit premium insurans
- Resit pembelian buku
- Resit perubatan
- Resit derma
- Resit pembayaran zakat
- Sijil kelahiran anak dan sijil anak angkat
- Sijil nikah
- Dokumen sokongan lain
Kepentingan menyimpan dokumen
Menyimpan dokumen yang berkaitan dengan cukai adalah amat penting untuk memastikan anda mempunyai rekod yang betul dan dapat mengesahkan tuntutan anda jika diperlukan oleh pihak berkuasa cukai.
8. Pengiraan cukai pendapatan yang tepat
Menggunakan teknik pengiraan yang betul adalah penting untuk memastikan pengiraan cukai pendapatan anda tepat. Berikut adalah langkah-langkah yang boleh diikuti:
- Kumpul semua pendapatan: Pastikan anda mengumpul semua sumber pendapatan anda termasuk gaji, bonus, faedah, sewa, dan pendapatan lain.
- Kenal pasti potongan dan pelepasan: Senaraikan semua potongan dan pelepasan yang layak seperti sumbangan KWSP, insurans hayat, dan perbelanjaan perubatan.
- Gunakan jadual cukai pendapatan: Rujuk jadual cukai pendapatan terkini yang disediakan oleh LHDN untuk tahun taksiran semasa. Jadual ini menunjukkan kadar cukai progresif, di mana kadar cukai meningkat selaras dengan jumlah pendapatan bercukai anda.
- Kira jumlah cukai: Gunakan kadar cukai yang sesuai untuk mengira jumlah cukai yang perlu dibayar.
Contoh pengiraan cukai pendapatan yang betul
Untuk memberikan gambaran yang lebih jelas, berikut adalah contoh pengiraan cukai pendapatan yang betul:
Contoh:
- Pendapatan tahunan: RM60,000
- Sumbangan KWSP: RM6,000
- Insurans hayat: RM3,000
- Perbelanjaan perubatan: RM1,000
Langkah pengiraan:
- Pendapatan tahunan: RM60,000
- Potongan KWSP: - RM6,000
- Insurans hayat: - RM3,000
- Perbelanjaan perubatan: - RM1,000
- Pendapatan bercukai: RM50,000
Rujuk jadual cukai pendapatan untuk kadar cukai yang sepadan dengan pendapatan bercukai RM50,000. Misalnya, jika kadar cukai adalah 6%, jumlah cukai yang perlu dibayar adalah:
Jumlah Cukai:
RM35,000 pertama = RM600
RM15,000 berikutnya x 6% = RM900
Jadi, RM600+RM900 = RM1500 (jumlah cukai yang perlu dibayar)
Kalkulator cukai pendapatan
Untuk memudahkan pengiraan cukai pendapatan, anda boleh menggunakan Kalkulator Cukai Pendapatan yang disediakan oleh LHDN.
9. Cara membayar cukai pendapatan
Pemotongan PCB
PCB (Potongan Cukai Berjadual) adalah sistem di mana majikan membuat potongan cukai secara bulanan daripada gaji pekerja. Potongan ini adalah berdasarkan anggaran cukai tahunan pekerja dan membantu memastikan pekerja tidak perlu membayar sejumlah besar cukai sekaligus pada akhir tahun.
10. Akibat pengelakkan pembayaran cukai pendapatan
Mengelak daripada membayar cukai pendapatan boleh membawa kepada pelbagai akibat serius. Jika anda tidak pernah mengisytiharkan cukai pendapatan, anda berisiko menghadapi tindakan undang-undang, denda, dan penalti.
Kesalahan, denda dan penalti jika tidak pernah declare cukai pendapatan
Berikut adalah tindakan undang-undang yang boleh diambil untuk seorang pengelak cukai:
- Denda
LHDN boleh mengenakan denda yang sangat tinggi bergantung kepada jumlah cukai yang tidak dibayar dan tempoh kelewatan. LHDN juga boleh mengenakan penalti tambahan sekiranya denda ini tidak dijelaskan dalam tempoh yang ditetapkan. - Tindakan undang-undang
Jika gagal membayar cukai pendapatan, LHDN boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang terlibat. Ini termasuk prosiding mahkamah yang boleh mengakibatkan denda lebih tinggi atau hukuman penjara, bergantung kepada keseriusan kesalahan.. - Sekatan perjalanan
LHDN mempunyai kuasa untuk mengeluarkan sekatan perjalanan kepada individu yang mempunyai tunggakan cukai yang tidak dibayar. Larangan ini menghalang anda daripada meninggalkan negara sehingga semua cukai tertunggak dilunaskan. Sekatan perjalanan ini boleh menjejaskan perancangan peribadi, termasuk percutian dan urusan perniagaan antarabangsa.
Langkah-langkah yang perlu diambil jika anda tidak pernah mengisytiharkan cukai
- Daftar dengan LHDN:
Langkah pertama ialah mendaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melalui laman web MyTAX. Anda akan diberikan nombor cukai yang membolehkan anda mengakses platform e-filing untuk mengemukakan cukai anda. - Kumpul dokumen:
Kumpulkan semua dokumen berkaitan dengan pendapatan anda, termasuk penyata gaji, resit perbelanjaan, dan dokumen-dokumen lain yang relevan untuk tempoh cukai yang belum diisytiharkan. - Isi borang cukai:
Isi borang cukai yang sesuai untuk setiap tahun taksiran yang belum diisytiharkan. Gunakan borang BE untuk pendapatan penggajian, atau borang B untuk pendapatan perniagaan. - Hantar borang dan bayar cukai:
Hantar borang cukai yang telah diisi dan bayar jumlah cukai yang terhutang. Pastikan anda menghantar borang sebelum tarikh akhir yang ditetapkan oleh LHDN untuk mengelakkan dikenakan penalti atau faedah tambahan.
Cara mengatasi masalah cukai tertunggak
- Hubungi LHDN:
Hubungi LHDN untuk membincangkan situasi anda dan mendapatkan nasihat mengenai langkah-langkah yang perlu diambil. Mereka mungkin menawarkan pelan pembayaran ansuran untuk membantu anda menyelesaikan cukai tertunggak. - Penyelesaian sukarela:
Pertimbangkan untuk membuat penyelesaian sukarela di mana anda mengisytiharkan semua pendapatan yang belum diisytiharkan dan membayar cukai tertunggak. Ini boleh mengurangkan denda dan penalti yang dikenakan. - Gunakan perkhidmatan profesional:
Jika situasi anda kompleks, pertimbangkan untuk mendapatkan bantuan daripada perunding cukai profesional yang boleh membantu anda menguruskan dan menyelesaikan cukai tertunggak dengan lebih efisien.
Menghubungi LHDN dan menggunakan perkhidmatan profesional boleh membantu anda mengatasi masalah cukai tertunggak dan memastikan kepatuhan cukai yang berterusan.
Tips mengurus cukai dengan bijak
Pengurusan cukai yang bijak adalah sebahagian daripada perancangan kewangan yang holistik. Berikut adalah beberapa tip untuk mengurus cukai dengan bijak:
- Catat semua pendapatan dan perbelanjaan: Simpan rekod yang teliti mengenai semua pendapatan dan perbelanjaan anda sepanjang tahun. Ini akan memudahkan proses pengisytiharan cukai anda.
- Gunakan potongan dan pelepasan cukai: Pastikan anda mengambil kira semua potongan dan pelepasan cukai yang layak untuk meminimumkan jumlah cukai yang perlu dibayar.
- Rujuk profesional: Jika anda menghadapi kesukaran dalam memahami atau mengurus cukai anda, jangan teragak-agak untuk mendapatkan bantuan daripada perunding cukai profesional.
- Gunakan sumber dalam talian: Manfaatkan platform dalam talian seperti ezHASil LHDN untuk memudahkan proses pengisytiharan dan pembayaran cukai anda.
- Buat perancangan awal: Jangan tunggu sehingga saat akhir untuk mengisytiharkan cukai anda. Buat perancangan awal dan pastikan semua dokumen dan maklumat yang diperlukan tersedia.
Kesimpulan
Mematuhi peraturan cukai adalah penting untuk memastikan anda memenuhi kewajipan sebagai pembayar cukai, sambil mengelakkan masalah kewangan atau undang-undang di kemudian hari.
Kepatuhan ini juga mencerminkan tanggungjawab dan menyumbang kepada kemajuan negara. Dengan pengurusan cukai yang bijak, anda dapat mengurus kewangan dengan lebih baik dan menyokong pembangunan ekonomi.
Pelajarilah cara mengira kadar cukai pendapatan termasuk potongan cukai dalam artikel Cara Mengira Kadar Cukai Pendapatan Anda.
Soalan lazim (FAQ) Mengenai cukai pendapatan di Malaysia
1. Apakah potongan cukai yang boleh dituntut oleh individu?
Individu boleh menuntut pelbagai potongan cukai untuk mengurangkan jumlah pendapatan yang dikenakan cukai. Antara potongan cukai yang boleh dituntut termasuk:
- Sumbangan kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
- Premium insurans hayat.
- Yuran pendidikan diri.
- Perbelanjaan perubatan untuk penyakit serius.
- Derma kepada organisasi amal yang diiktiraf.
- Pembelian peralatan sokongan untuk Orang Kurang Upaya (OKU).
2. Apa yang perlu dilakukan jika anda akan bekerja di luar negara?
Jika anda akan bekerja di luar negara, langkah-langkah berikut perlu diambil:
- Maklumkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) mengenai perubahan status kerja anda.
- Pastikan anda menyelesaikan semua cukai tertunggak sebelum berlepas.
- Semak perjanjian cukai dua hala antara Malaysia dan negara destinasi untuk mengelakkan cukai berganda.
- Simpan rekod pendapatan dan perbelanjaan anda di luar negara untuk pengisytiharan cukai yang tepat.
3. Bagaimana saya boleh mendapat nasihat tentang cukai pendapatan?
Untuk mendapatkan nasihat tentang cukai pendapatan, anda boleh:
- Menghubungi LHDN melalui telefon atau emel untuk mendapatkan maklumat dan panduan.
- Lawati laman web LHDN untuk mengakses sumber dan panduan mengenai cukai.
- Dapatkan bantuan daripada perunding cukai atau akauntan bertauliah yang berpengalaman dalam perundangan cukai Malaysia.
4. Apa yang perlu dilakukan jika terdapat kesilapan dalam borang cukai yang dihantar?
Jika terdapat kesilapan dalam borang cukai yang telah dihantar, langkah-langkah berikut perlu diambil:
- Segera hubungi LHDN untuk memaklumkan kesilapan tersebut.
- Anda boleh membuat pindaan terhadap maklumat atau taksiran dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) yang telah dihantar dalam tempoh enam bulan dari tarikh akhir penghantaran BNCP.
- Isi dan hantar Borang Nyata Terpinda (BNT) , yang boleh didapati di laman web LHDN.
- Pindaan ke atas borang cukai yang dihantar hanya boleh dilakukan sekali sahaja, jadi pastikan maklumat yang dihantar dalam pindaan adalah tepat.
- Pastikan anda menyimpan salinan semua komunikasi dan borang yang dihantar sebagai rekod.
5. Apa yang perlu dilakukan jika anda menerima surat audit dari LHDN?
Jika anda menerima surat audit daripada LHDN, anda perlu:
- Bertenang dan jangan panik. Surat audit merupakan proses biasa dalam pengurusan cukai.
- Kumpul dan sediakan semua dokumen dan rekod yang berkaitan dengan pendapatan dan perbelanjaan anda.
- Berikan kerjasama sepenuhnya kepada pegawai audit LHDN dan sediakan maklumat yang diminta. Dapatkan nasihat daripada perunding cukai atau akauntan bertauliah untuk membantu anda melalui proses audit.