MySTEP (2025): Panduan permohonan jawatan kosong personel MySTEP

MySTEP (2025): Panduan permohonan jawatan kosong personel MySTEP
Jobstreet content teamupdated on 28 July, 2025
Share

Pasaran kerja kini semakin mencabar, terutamanya bagi pencari kerja muda dan graduan baharu. Bagi membantu golongan ini, kerajaan telah memperkenalkan satu inisiatif kontrak jangka pendek yang dikenali sebagai MySTEP.

MySTEP diwujudkan bagi menawarkan peluang pekerjaan dalam sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Program ini sesuai untuk individu yang ingin membina pengalaman serta menambah kemahiran sebelum memperoleh pekerjaan tetap.

Apa itu MySTEP?

MySTEP adalah singkatan kepada Malaysia Short-Term Employment Programme, iaitu satu program pekerjaan kontrak jangka pendek yang diperkenalkan oleh Kerajaan Malaysia. Program ini diumumkan dalam Belanjawan 2021 dan terus dilanjutkan berikutan sambutan positif daripada pencari kerja dan agensi pelaksana.

MySTEP diwujudkan sebagai inisiatif untuk menangani isu pengangguran, terutamanya dalam kalangan graduan baharu dan individu yang kehilangan pekerjaan akibat krisis seperti pandemik COVID-19.

Program ini membuka peluang kepada rakyat Malaysia untuk bekerja secara kontrak di sektor awam dan juga syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Tempoh kontrak dalam MySTEP biasanya antara 1 hingga 12 bulan, bergantung pada keperluan agensi yang menawarkan. Pekerjaan ini bukan bersifat tetap, namun ia memberi peluang kepada peserta untuk menimba pengalaman kerja sebenar dalam suasana profesional.

Program ini terbuka kepada individu seperti:

  • Graduan baharu yang belum mempunyai pengalaman kerja tetap.

  • Pencari kerja muda yang ingin membina kerjaya awal.

  • Individu yang terkesan akibat kehilangan pekerjaan, sama ada dari sektor awam atau swasta.

  • Individu Orang Kurang Upaya (OKU) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

  • Golongan emas (warga emas) yang masih berupaya dan berminat untuk terus menyumbang dalam sektor kerja.

MySTEP membantu mengisi jurang pengalaman dalam resume anda. Ia juga meningkatkan keboleh pasaran anda apabila memohon jawatan tetap selepas tamat tempoh kontrak.

Ramai peserta MySTEP terdahulu berjaya menggunakan pengalaman ini sebagai batu loncatan untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih stabil.

Oleh itu, MySTEP bukan sekadar peluang sementara, tetapi merupakan satu langkah penting untuk memulakan kerjaya anda dengan lebih yakin.

Jenis pekerjaan yang ditawarkan

MySTEP menawarkan pelbagai jenis pekerjaan kontrak bergantung kepada keperluan jabatan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Jawatan yang ditawarkan berbeza mengikut kelayakan, kemahiran serta keperluan organisasi.

Terdapat dua kategori utama tempat penempatan bagi peserta MySTEP:

1. Sektor awam (agensi dan jabatan kerajaan)

Penempatan dalam sektor awam memberi pendedahan kepada sistem pentadbiran dan pengurusan kerajaan. Beberapa bidang kerja yang sering ditawarkan termasuk:

  • Pentadbiran dan dokumentasi: Membantu urusan pengendalian fail, surat-menyurat, rekod jabatan serta tugas penyelarasan pentadbiran.

  • Sokongan operasi teknikal: Menyokong unit teknikal dalam aspek pengurusan projek, penyediaan laporan serta tugasan penyelidikan.

  • Perkhidmatan pelanggan awam: Mengendalikan pertanyaan, aduan, dan pendaftaran melalui kaunter perkhidmatan atau saluran telefon.

  • Sokongan kewangan dan ICT: Membantu dalam proses pembayaran, pengurusan data kewangan, serta memberikan sokongan terhadap sistem komputer jabatan.

2. Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta berkaitan

Penempatan dalam GLC dan syarikat berkaitan kerajaan memberi peluang kepada peserta untuk terlibat dalam bidang yang lebih dinamik dan teknikal. Beberapa bidang kerja yang kerap ditawarkan termasuk:

  • Khidmat pelanggan dan urusan jualan: Mengurus pertanyaan pelanggan, aduan, dan kemas kini maklumat perkhidmatan.

  • Sokongan sumber manusia: Membantu dalam proses pemilihan pekerja, dokumentasi staf dan pelaksanaan latihan dalaman.

  • Sokongan digital dan sistem IT: Menyokong pembangunan laman web, kempen digital atau sistem pengurusan maklumat syarikat.

  • Pengurusan kewangan dan perakaunan: Menyemak invois, merekod pembayaran serta membantu dalam penyediaan laporan kewangan.

  • Sokongan operasi syarikat: Menjalankan tugas berkaitan logistik, pengurusan inventori atau penyelarasan pentadbiran.

Jawatan yang ditawarkan tidak semestinya memerlukan pengalaman kerja yang tinggi. Namun, sikap proaktif, keinginan untuk belajar, dan kemahiran komunikasi yang baik amat digalakkan.

Syarat kelayakan

Untuk mohon MySTEP, calon perlu penuhi syarat minimum berikut:

  • Warganegara Malaysia

  • Berumur 18 tahun ke atas pada tarikh tutup iklan

  • Kepujian dalam Bahasa Melayu di peringkat SPM atau setaraf

  • Kelayakan minimum: SPM, diploma, atau ijazah

  • Sedang menganggur atau aktif mencari pekerjaan

  • Tidak mempunyai pekerjaan tetap

  • Mempunyai kemahiran dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris

  • Mempunyai kemahiran dalam ICT, Microsoft Office, dan penulisan asas

  • Keutamaan diberikan kepada pemohon dari kawasan Cyberjaya, Putrajaya, Dengkil, Sepang, Seri Kembangan dan Puchong

  • Mempunyai tahap kesihatan fizikal yang baik

Untuk jawatan tertentu, kelayakan dalam bidang IT, sains komputer, pentadbiran, atau kewangan turut diperlukan.

Individu berstatus OKU yang berdaftar dengan JKM juga dialu-alukan untuk memohon. Penempatan akan disesuaikan mengikut keperluan dan kesesuaian tugas.

Sekumpulan pekerja muda sedang bertepuk tangan dan tersenyum dalam suasana mesyuarat pejabat.

Manfaat menyertai MySTEP

Program MySTEP bukan sahaja membuka peluang pekerjaan jangka pendek, malah turut menawarkan kelebihan jangka panjang kepada pencari kerja di Malaysia. Berikut adalah manfaat utama yang boleh diperoleh melalui penyertaan dalam program ini:

1. Pengalaman kerja dalam sektor profesional

MySTEP memberi peluang kepada anda untuk merasai suasana kerja sebenar dalam sektor awam atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC). 

Sepanjang tempoh kontrak, anda akan belajar mengurus tugasan harian, berkomunikasi secara profesional, serta menyelesaikan masalah sebenar di tempat kerja. Pengalaman ini amat berguna untuk membina keyakinan serta menambah nilai dalam resume anda.

2. Elaun bulanan yang kompetitif

Setiap jawatan di bawah MySTEP disertakan dengan bayaran elaun mengikut tahap kelayakan. Sebagai contoh, jawatan setaraf ijazah mungkin menerima sekitar RM2,100 sebulan, manakala jawatan setaraf diploma atau SPM pula sekitar RM1,900 sebulan. 

Jumlah ini membantu menampung keperluan asas sambil anda menimba pengalaman kerja yang berharga.

3. Caruman KWSP dan PERKESO

Walaupun MySTEP bersifat kontrak, anda tetap layak menerima caruman KWSP dan PERKESO seperti pekerja tetap. Ini penting bagi menjamin perlindungan sosial dan simpanan masa depan. Dengan adanya caruman ini, anda kekal dilindungi sekiranya berlaku kemalangan atau kecemasan sepanjang tempoh pekerjaan.

4. Meningkatkan keboleh pasaran untuk kerja tetap

Majikan sering memandang tinggi calon yang mempunyai pengalaman kerja dalam sektor profesional, walaupun bersifat kontrak. 

Penyertaan dalam MySTEP memberi anda peluang menonjolkan kemahiran sebenar, yang boleh menjadi titik tolak kepada pelantikan tetap. Malah, ramai peserta MySTEP sebelum ini telah ditawarkan pekerjaan tetap selepas tamat program.

5. Peluang rangkaian dan rujukan pekerjaan

Sepanjang tempoh MySTEP, anda akan berinteraksi dengan pegawai kanan, rakan sekerja, dan profesional industri. 

Ini membuka ruang untuk membina rangkaian kerja yang bermanfaat, termasuk peluang rujukan, testimoni prestasi, dan mungkin juga jemputan temu duga pada masa hadapan. Rangkaian ini boleh menjadi kelebihan besar dalam pencarian kerja seterusnya.

Wanita bertudung tersenyum di hadapan komputer riba semasa sesi kerja bersama rakan sekerja.

Cara memohon MySTEP

Permohonan untuk program MySTEP boleh dilakukan secara atas talian melalui portal rasmi kerajaan. Proses ini mudah dan dibuka sepanjang tahun, tertakluk kepada kekosongan. Berikut adalah langkah-langkah yang perlu anda ikuti:

  1. Layari portal MyFutureJobs: Kunjungi laman web www.myfuturejobs.gov.my dan log masuk atau daftar akaun sebagai pencari kerja.

  2. Cari iklan kerja MySTEP: Gunakan kata kunci “MySTEP” dalam carian untuk menyemak jawatan yang ditawarkan di bawah program ini.

  3. Sediakan dokumen sokongan: Pastikan anda menyediakan resume terkini, salinan kad pengenalan, sijil akademik, dan dokumen berkaitan lain.

  4. Hantar permohonan: Mohon jawatan yang diingini terus melalui portal MyFutureJobs mengikut arahan yang dinyatakan dalam butiran iklan.

  5. Hadiri sesi temu duga: Jika anda di senarai pendek, anda akan dipanggil untuk temu duga secara fizikal atau atas talian.

  6. Semak e-mel dan portal secara berkala: Pastikan anda menyemak status permohonan dari semasa ke semasa untuk tindakan lanjut seperti panggilan temu duga atau penempatan. Status permohonan MySTEP juga boleh disemak melalui laman rasmi PERKESO.

Perkara penting yang perlu diketahui

MySTEP adalah peluang pekerjaan kontrak bersifat sementara. Oleh itu, penting untuk anda memahami syarat serta hak anda sebagai pekerja kontrak.

  • Tempoh kerja biasanya 6 hingga 12 bulan.

  • Tiada jaminan pelantikan ke jawatan tetap selepas tamat kontrak.

  • Program ini sesuai untuk bina pengalaman dan kemahiran

  • Pilihan baik untuk mengisi jurang dalam resume, terutamanya jika menganggur lama.

  • Pengalaman MySTEP diiktiraf sebagai nilai tambah dalam permohonan kerja, walaupun tempohnya bersifat kontrak.

Kadar upah dan elaun MySTEP

Setiap peserta MySTEP akan menerima elaun bulanan sebagai ganti gaji tetap. Elaun ini ditetapkan mengikut tahap kelayakan akademik, jenis jawatan, dan agensi penempatan.

Jika anda memiliki SPM, anda akan menerima kadar elaun asas yang sesuai untuk tugasan pentadbiran atau operasi. Bagi pemegang diploma atau ijazah, kadar elaun biasanya lebih tinggi dan sepadan dengan tanggungjawab kerja yang lebih kompleks seperti dalam bidang sumber manusia, kewangan, atau digital.

Kadar elaun bulanan semasa (termasuk caruman KWSP dan PERKESO) adalah seperti berikut:

  • Ijazah: RM2,100

  • Diploma / STPM: RM1,900

  • SPM: RM1,700

  • Tiada SPM: RM1,500

Walaupun jawatan ini bersifat kontrak, peserta MySTEP tetap layak menerima kemudahan asas seperti pekerja tetap. Kemudahan ini membantu menjamin kebajikan anda sepanjang tempoh penempatan.

Antara faedah yang akan anda terima termasuk:

  • Caruman KWSP dan PERKESO secara automatik: Caruman ini wajib dan ditolak terus daripada elaun bulanan anda. Ia memberi perlindungan jangka panjang dan keselamatan sosial sekiranya berlaku kecemasan atau kecederaan semasa kerja.

  • Cuti rehat dan cuti sakit secara pro rata: Anda layak memohon cuti bergaji mengikut tempoh kontrak yang dipersetujui. Jumlah hari cuti biasanya dikira secara pro rata berdasarkan jumlah bulan anda bekerja.

  • Elaun perjalanan, makan, dan penginapan (jika bertugas luar kawasan): Jika anda diarahkan menjalankan tugasan rasmi di luar pejabat, anda boleh menuntut elaun harian, tambang perjalanan, dan penginapan. Kadar elaun ini tertakluk kepada jenis perjalanan dan kelulusan jabatan.

Namun, penting untuk anda tahu bahawa bayaran kerja lebih masa (OT) tidak diberikan dalam program MySTEP. Jika anda diminta bekerja lebih waktu, tiada bayaran tambahan akan disediakan melainkan dinyatakan secara rasmi dalam surat tawaran.

Semua elaun dan kemudahan tertakluk kepada syarat kontrak serta kelulusan jabatan yang menempatkan anda. Sebaiknya, semak dengan pegawai pentadbiran apabila anda mula bertugas supaya jelas tentang semua hak dan tanggungjawab yang anda terima.

Peluang kerjaya pertama anda bermula dengan MySTEP

Jika anda masih belum memperoleh pekerjaan tetap dan ingin membina pengalaman, jawapannya adalah ya. MySTEP adalah pilihan yang sesuai untuk memulakan langkah pertama dalam kerjaya anda.

Program ini bukan sekadar menawarkan gaji, tetapi turut memberi anda ilmu, pendedahan dunia kerja, rangkaian profesional dan peluang untuk membuktikan kebolehan sebenar.

Gunakan peluang ini untuk menambah nilai diri, mengembangkan kemahiran dan mempersiapkan diri untuk kerjaya yang lebih stabil pada masa hadapan.

Soalan lazim

1. Adakah pengalaman MySTEP dikira sebagai pengalaman kerja rasmi?

Ya. Pengalaman MySTEP boleh dianggap sebagai pengalaman kerja rasmi. Ia membuktikan bahawa anda telah berkhidmat dalam persekitaran profesional dan memahami cara melaksanakan tugas mengikut struktur organisasi. Kebanyakan majikan mengiktiraf pengalaman ini sebagai nilai tambah dalam proses pengambilan pekerja.

2. Boleh tak saya mohon MySTEP jika saya pernah kerja dalam sektor swasta?

Ya. Anda masih boleh memohon walaupun pernah bekerja di sektor swasta. Syarat utama adalah anda tidak sedang bekerja secara tetap semasa permohonan dibuat. Program ini terbuka kepada individu yang sedang menganggur atau aktif mencari pekerjaan.

3. Adakah elaun MySTEP dikenakan potongan KWSP dan PERKESO?

Ya. Peserta MySTEP akan menerima caruman KWSP dan PERKESO. Ini termasuk sebagai sebahagian daripada manfaat program bagi tujuan perlindungan sosial. Potongan akan dibuat daripada elaun bulanan mengikut kadar yang ditetapkan oleh kerajaan.

4. Bagaimanakah saya tahu bila dan di mana kekosongan MySTEP dibuka?

Anda boleh menyemak kekosongan jawatan melalui portal MyFutureJobs, iaitu saluran utama permohonan MySTEP. Selain itu, iklan jawatan juga mungkin disiarkan di portal kerja seperti JobStreet atau laman rasmi agensi kerajaan. 

Pastikan anda mencari jawatan yang bertanda “MySTEP” atau “Projek MySTEP” dan perhatikan tarikh tutup permohonan yang dinyatakan dalam butiran iklan.

More from this category: Finding the job for you

Top search terms

Want to know what people are searching for on Jobstreet? Explore our top search terms to stay across industry trends.

Explore related topics

Choose an area of interest to browse related careers.

Subscribe to Career Advice

Get expert career advice delivered to your inbox.
By providing your personal information, you agree to the Collection Notice and Privacy Policy. If you are under 18 years old, you must have parental consent for Jobstreet and affiliates to process your personal data. You can unsubscribe at any time.