Apabila istilah "intern" disebut, apakah yang bakal terlintas di fikiran anda? Bagi segelintir individu, ia mungkin sekadar tempoh latihan industri yang perlu dilalui. Namun begitu, maksud sebenar "intern" adalah lebih daripada itu.
Menjadi seorang intern bukan sahaja bertujuan memberi pendedahan awal tentang pengalaman bekerja, tetapi juga merupakan tempoh yang mengajar setiap individu menangani cabaran di tempat kerja.
Artikel ini akan membincangkan maksud "intern" dengan lebih mendalam, kepentingan latihan industri, undang-undang yang terlibat, serta beberapa tip untuk memaksimumkan manfaat latihan industri (internship).
Intern atau pelatih latihan industri merujuk kepada pelajar universiti yang diberikan latihan di tempat kerja tertentu selaras dengan bidang pengajian mereka. Secara asasnya, istilah latihan industri, pelajar praktikal, dan internship membawa makna yang sama.
Dalam konteks pekerjaan, internship memainkan peranan penting sebagai langkah awal bagi seseorang individu untuk memahami realiti alam pekerjaan. Kebiasaannya, tempoh internship adalah singkat, bergantung kepada struktur pengajian yang telah ditetapkan oleh institusi pengajian tinggi (IPT).
Namun, pengalaman yang diperoleh amat bermakna dalam memberi pendedahan kepada bakal pekerja bagi memahami bagaimana sesebuah organisasi beroperasi. Internship juga merupakan peluang untuk meningkatkan kemahiran seseorang individu, memperoleh pengalaman bekerja, dan mengembangkan pengetahuan.
Pelatih internship tidak dianggap sebagai pekerja penuh dan tidak layak menerima faedah di bawah Akta Kerja 1955. Walau bagaimanapun, internship di Malaysia tetap diperkenalkan untuk mempersiapkan pelajar sebelum memasuki alam pekerjaan secara profesional.
Terdapat beberapa kepentingan latihan industri dalam membantu pelajar bersedia untuk memasuki dunia pekerjaan sebenar. Antara kepentingannya adalah seperti berikut:
Melalui latihan industri, pelajar dapat merasai sendiri keadaan dan cabaran yang wujud dalam industri. Ini adalah pengalaman berharga yang tidak dapat dipelajari secara teori di dalam kelas. Internship membuka peluang kepada pelajar untuk memahami realiti dunia kerja, seperti proses operasi, budaya organisasi, dan keperluan semasa industri.
Selain itu, pelajar berpeluang mengaplikasikan teori yang dipelajari secara praktikal. Ini membantu mereka menghubungkan pengetahuan akademik dengan situasi sebenar yang berlaku di tempat kerja, sekali gus meningkatkan pemahaman dan kecekapan diri dalam mengendalikan tugas-tugas yang diberikan.
Pengalaman bekerja merupakan salah satu aspek yang bernilai dalam dunia pekerjaan. Ini merupakan salah satu faktor utama yang menjadikan latihan industri begitu berharga. Pelajar yang menjalani internship berpeluang memperoleh pengalaman kerjaya untuk meningkatkan kebolehpasaran diri mereka di alam pekerjaan.
Berbanding dengan calon yang tidak berpengalaman , pelajar yang pernah menjalani latihan industri akan tampil lebih menonjol di mata majikan. Ini kerana mereka telah menunjukkan kemampuan untuk bekerja di sesebuah organisasi.
Pengalaman yang diperoleh semasa internship juga dapat membantu pelajar membina kemahiran yang relevan dalam bidang pilihan mereka. Ini termasuk kemahiran teknikal dan interpersonal yang penting dalam menghadapi cabaran industri.
Oleh itu, pelajar yang telah menjalani internship akan lebih bersedia untuk memulakan kerjaya mereka dengan yakin.
Bagi pelajar, internship memberi mereka peluang untuk mengembangkan kemahiran komunikasi dan pengetahuan praktikal. Mereka juga dapat membina rangkaian profesional yang penting untuk masa depan mereka. Ini juga membuka peluang untuk mereka mendapatkan pekerjaan tetap selepas tamat latihan.
Ramai majikan cenderung menyerap pelatih menjadi pekerja tetap jika prestasi mereka cemerlang. Statistik menunjukkan kebolehpasaran graduan adalah sebanyak 89.8% pada tahun 2023 sebaik sahaja menamatkan pengajian.
Internship bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar tetapi juga kepada syarikat yang menerima pelatih. Bagi majikan, pelatih internship berfungsi sebagai cara untuk menilai kesesuaian calon dengan organisasi sebelum menawarkan mereka pekerjaan tetap.
Ini mengurangkan risiko yang berkaitan dengan pengambilan pekerja baharu kerana majikan sudah memiliki gambaran jelas tentang prestasi dan sikap kerja pelatih.
Selain itu, internship menyediakan syarikat dengan peluang untuk meningkatkan tenaga kerja mereka dengan individu yang bersemangat dan berkemahiran. Pelatih sering membawa idea baharu dan perspektif segar yang boleh membantu meningkatkan produktiviti dan inovasi di dalam syarikat.
Tambahan pula, kos pengambilan pelatih umumnya lebih rendah berbanding pekerja tetap. Ini kerana pelatih biasanya menerima elaun yang lebih kecil berbanding gaji pekerja sepenuh masa, terutamanya dalam sektor awam.
Bagi sektor swasta pula, banyak syarikat menawarkan elaun atau gaji kepada pelatih, namun jumlahnya bergantung kepada dasar dan kemampuan syarikat masing-masing.
Dalam konteks undang-undang Malaysia, isu berkaitan pelajar latihan industri atau "internship" sering menimbulkan perbincangan di kalangan ramai. Secara khususnya, ia berkaitan dengan hak-hak pelajar semasa menjalani latihan industri.
Salah satu isu utama yang sering dibangkitkan adalah sama ada pelajar yang menjalani latihan industri di Malaysia dilindungi di bawah Akta Kerja 1955. Jawapan kepada persoalan ini sangat penting kerana ia berkait rapat dengan hak pelajar dalam menerima gaji, elaun, dan faedah-faedah lain.
Menurut Akta Kerja 1955, seseorang pekerja didefinisikan sebagai individu yang mempunyai kontrak perkhidmatan dengan majikan. Dalam konteks pelajar praktikal atau "intern," mereka tidak mempunyai kontrak perkhidmatan dengan syarikat atau organisasi yang menawarkan tempat latihan.
Oleh itu, pelajar praktikal tidak dikategorikan sebagai ‘pekerja’ di bawah Akta Kerja 1955. Organisasi atau tempat di mana pelajar menjalani latihan juga tidak dianggap sebagai 'majikan,' tetapi sebagai penyelia.
Berdasarkan peruntukan yang sama, Akta Kerja turut merangkumi kontrak perantisan, yang menetapkan tempoh latihan minimum selama enam bulan dan maksimum selama 24 bulan.
Memandangkan tempoh latihan industri kebiasaannya berlangsung antara 3 hingga 6 bulan, pelajar latihan praktikal tidak tergolong dalam kategori perantis. Oleh itu, pelajar tidak dilindungi oleh hak-hak yang diberikan kepada pekerja, termasuk gaji minimum yang ditetapkan dalam Perintah Gaji Minimum 2022.
Walaupun pelajar latihan industri tidak dianggap sebagai pekerja di bawah Akta Kerja 1955, ini tidak bermakna hak mereka diabaikan sepenuhnya. Institusi Pengajian Tinggi (IPT) lazimnya mempunyai garis panduan atau perjanjian dengan syarikat yang menyediakan tempat latihan bagi melindungi pelajar daripada eksploitasi.
Walaupun pelajar tidak menerima gaji minimum, mereka sering diberi elaun, yang jumlahnya bergantung kepada budi bicara syarikat.
Elaun yang diterima oleh pelajar latihan industri merupakan bentuk imbuhan yang diberikan kepada mereka. Ia boleh dibahagikan kepada dua jenis, iaitu Elaun Monetari (wang yang diberikan secara berkala) dan Elaun Manfaat (peruntukan tambahan untuk kemudahan).
Di sektor kerajaan, bermula 1 September 2019, pelajar latihan industri di agensi kerajaan akan menerima elaun sebanyak RM5 sejam, yang boleh mencecah sehingga RM900 sebulan.
Selain daripada gaji, pelajar latihan industri juga tidak berhak mendapat cuti rehat atau perlindungan terhadap waktu kerja tambahan seperti pekerja tetap. Sebarang permohonan cuti atau keizinan untuk keluar awal dari tempat kerja bergantung sepenuhnya kepada kebenaran majikan, dan pelajar tidak akan dibayar elaun untuk cuti tersebut.
Di samping itu, pelajar tidak perlu memberikan notis sekiranya ingin berhenti daripada latihan industri, dan syarikat juga tidak terikat untuk membayar sebarang ganti rugi jika pelajar berhenti sebelum tamat tempoh internship mereka.
Terdapat beberapa cara untuk setiap individu memanfaatkan sepenuhnya pengalaman internship. Langkah-langkah ini dapat memastikan pengalaman internship memberi impak positif kepada masa depan kerjaya. Berikut adalah cara-cara untuk memanfaatkan pengalaman internship:
Internship adalah peluang terbaik untuk membina rangkaian profesional yang kukuh. Tempoh ini harus dimanfaatkan sepenuhnya dengan menjalin hubungan baik dengan rakan sekerja dan penyelia.
Libatkan diri secara aktif dalam pelbagai aspek operasi syarikat agar anda dapat mengenali pelbagai peranan dalam industri. Hubungan profesional ini boleh membuka peluang pekerjaan pada masa hadapan, sama ada dalam syarikat yang sama atau di tempat lain.
Selain itu, gunakan tempoh internship untuk memahami dengan lebih mendalam budaya kerja dan cara sesebuah organisasi beroperasi. Pengalaman ini akan memberi anda kelebihan apabila memulakan kerjaya sepenuh masa kerana anda telah terdedah kepada cara bekerja dalam industri tersebut.
Walaupun tempoh latihan industri kebiasaannya singkat, ia adalah satu proses pembelajaran yang berterusan. Internship memberi peluang untuk mengembangkan kemahiran dan membuat persediaan bagi masa depan kerjaya.
Sentiasa bersedia untuk mempelajari perkara baharu dan menunjukkan keinginan untuk berkembang. Internship adalah peluang yang sangat sesuai untuk mengasah kemahiran ini kerana anda dikelilingi oleh pekerja profesional yang berpengalaman. Maklum balas yang diberikan amat berharga untuk meningkatkan mutu kerja dan membina kemahiran diri.
Selain itu, ini juga merupakan peluang terbaik untuk mengasah kemahiran teknikal yang diperlukan dalam industri tersebut. Kemahiran insaniah seperti komunikasi, penyelesaian masalah, dan pengurusan masa juga akan diperkuat melalui pengalaman praktikal yang diperoleh.
Dengan menguasai kemahiran-kemahiran ini, anda akan lebih bersedia untuk menghadapi cabaran dalam dunia pekerjaan sebenar.
Pengalaman yang diperoleh semasa internship adalah bukti kemampuan dan kesungguhan anda dalam industri yang diceburi. Ramai pelatih berjaya menggunakan pengalaman mereka sebagai batu loncatan untuk mendapatkan pekerjaan tetap.
Syarikat sering melihat prestasi semasa internship sebagai petunjuk potensi pelatih untuk menjadi pekerja sepenuh masa. Oleh itu, tunjukkan komitmen, dedikasi, dan sikap positif sepanjang tempoh internship.
Dengan pengalaman kerja sebenar yang diperoleh melalui internship, anda akan lebih bersedia untuk menghadapi dunia pekerjaan yang kompetitif. Pengalaman ini memberi keyakinan kepada majikan bahawa anda mampu bekerja secara profesional dan mengatasi cabaran industri.
Pengalaman internship turut membantu anda mengenal pasti kekuatan dan kelemahan diri. Anda mungkin menemui kemahiran atau bidang tertentu di mana anda cemerlang.
Sebaliknya, anda mungkin menyedari kelemahan yang perlu diperbaiki. Dengan maklum balas yang diterima daripada penyelia atau rakan sekerja, anda dapat memperbaiki diri sebelum melangkah ke alam pekerjaan sepenuh masa.
Untuk memastikan anda mendapat manfaat sepenuhnya daripada internship, terdapat beberapa strategi yang boleh anda amalkan:
Tunjukkan inisiatif dalam tugasan harian. Jangan tunggu tugasan diberikan kepada anda; sebaliknya, tawarkan diri untuk membantu dalam projek atau tugas tambahan. Sikap proaktif ini dapat menunjukkan komitmen anda dan membuka peluang untuk mempelajari lebih banyak perkara serta berinteraksi dengan pelbagai jabatan dalam organisasi.
Jangan takut untuk bertanya soalan atau meminta penjelasan jika terdapat perkara yang kurang jelas. Tempoh internship adalah masa untuk belajar dan memperoleh pengetahuan baharu.
Majikan biasanya menghargai intern yang bersemangat untuk mempelajari lebih banyak. Mereka juga lebih menghargai intern yang berusaha memahami selok-belok industri atau tugas yang diberikan. Setiap soalan yang anda tanya akan membantu meningkatkan kefahaman dan kemahiran anda.
Menjaga etika bekerja dan bersikap profesional adalah penting, biarpun keberadaan anda di sesebuah organisasi hanya untuk jangka masa yang singkat.
Datang tepat pada waktunya, berpakaian sesuai dengan budaya syarikat, dan menghormati rakan sekerja serta pihak atasan adalah perkara yang perlu diterapkan sejak awal. Ini akan membina reputasi anda sebagai pekerja yang serius dan berdedikasi. Sikap ini juga dapat memberi impak positif terhadap peluang kerjaya anda pada masa depan.
Anda berpeluang menerima maklum balas tentang prestasi anda ketika menjalani internship. Jangan mudah berkecil hati dengan kritikan membina.
Sebaliknya, gunakan maklum balas ini sebagai panduan untuk memperbaiki diri. Pengurus atau penyelia anda mungkin memberikan pandangan berharga yang dapat membantu anda berkembang dan menjadi lebih baik dalam melaksanakan tugasan.
Setiap pengalaman yang anda peroleh semasa internship adalah aset yang berharga. Pastikan anda mendokumentasikan pencapaian yang signifikan, kemahiran baharu yang anda pelajari, dan projek yang anda sertai.
Ini akan memudahkan anda untuk menyertakan pengalaman tersebut dalam resume dan seterusnya memperkukuh profil anda sebagai calon pekerja yang berpengalaman.
Selain daripada tugasan yang diberikan, ramai majikan menyediakan peluang pembelajaran tambahan seperti latihan dalaman atau seminar. Jangan lepaskan peluang ini untuk menambah ilmu dan kemahiran anda. Anda dapat memperluaskan pengetahuan tentang industri dan kekal relevan dalam dunia kerja yang sentiasa berubah.
Latihan industri (internship) merupakan langkah penting dalam membina kerjaya. Ia menawarkan pelbagai manfaat bukan sahaja kepada pelajar, tetapi juga kepada majikan. Bagi pelajar, latihan industri memberikan peluang untuk membina kemahiran komunikasi serta meningkatkan kebolehpasaran diri.
Bagi majikan, latihan industri membantu dalam mengenal pasti bakat baru, memperluaskan tenaga kerja, dan mengurangkan kos pengambilan pekerja baharu.
Pengalaman yang diperoleh semasa latihan industri menjadi aset berharga dalam perkembangan kerjaya masa depan pelajar dan membekalkan mereka dengan kemahiran yang diperlukan untuk bersaing dalam pasaran kerja. Oleh itu, ambillah peluang latihan industri ini dengan serius dan manfaatkannya sebaik mungkin.
Sebagai langkah awal dalam membangun kerjaya, latihan industri menyediakan platform untuk pelajar menguji teori yang dipelajari dan membina jaringan profesional, sambil memahami realiti dunia pekerjaan. Setiap pengalaman yang diperoleh semasa latihan industri akan membawa kesan yang besar.
1. Apa maksud intern dalam konteks pekerjaan di Malaysia?
Intern dalam konteks pekerjaan di Malaysia merujuk kepada pelajar atau graduan yang menjalani latihan industri di sebuah syarikat untuk tempoh yang sementara.
Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada dunia pekerjaan sebenar serta membolehkan pelajar mengembangkan kemahiran dan pengalaman kerjaya yang relevan dengan bidang pengajian mereka.
2. Bagaimana internship boleh membantu dalam membina kerjaya?
Internship membantu dalam membina kerjaya dengan memberikan peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan teori yang dipelajari di kelas ke dalam situasi dunia sebenar.
Selain itu, pelajar dapat membina kemahiran komunikasi, mengembangkan rangkaian profesional, dan memahami budaya kerja dalam industri yang diceburi. Pengalaman ini menjadikan pelajar lebih bersedia dan kompetitif apabila memasuki pasaran kerja.
3. Bagaimana cara terbaik untuk memanfaatkan pengalaman internship?
Untuk memanfaatkan sepenuhnya pengalaman internship, anda perlu berkomunikasi dengan berkesan dan menunjukkan minat untuk belajar. Anda juga perlu melibatkan diri secara aktif dalam tugasan yang diberikan.
Selain itu, anda harus merekodkan setiap tugasan yang dilakukan dan membina hubungan profesional. Dapatkan juga maklum balas daripada penyelia dan rakan sekerja untuk memperbaiki prestasi. Ini akan membantu anda meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran dalam industri.
4. Adakah internship wajib di Malaysia dan bagaimana ia diatur dalam Akta Kerja?
Di Malaysia, internship tidak diwajibkan oleh undang-undang, tetapi ia merupakan komponen penting dalam banyak program pendidikan tinggi.
Pelajar yang menjalani latihan industri tidak dianggap sebagai pekerja sepenuh masa dan oleh itu, mereka tidak layak menerima faedah yang digariskan dalam Akta Kerja 1955. Walaupun begitu, internship tetap memainkan peranan penting dalam persediaan pelajar untuk memasuki alam pekerjaan selepas tamat pengajian.