Contoh Cover Letter Internship (Latihan Industri)

Contoh Cover Letter Internship (Latihan Industri)
Jobstreet content teamupdated on 02 September, 2024
Share

Ramai pelajar yang memohon internship sering terlepas pandang kepentingan menyertakan cover letter bersama permohonan mereka.

Cover letter yang baik membolehkan anda mempamerkan nilai unik, menunjukkan minat dan motivasi, serta menjelaskan sebarang kekosongan atau peralihan dalam resume anda. Ia juga berfungsi untuk menarik perhatian bakal majikan.

Artikel ini akan memberikan panduan lengkap untuk menulis cover letter internship yang profesional dan komprehensif termasuk contoh-contoh untuk rujukan. Ikuti langkah-langkah yang disediakan untuk memastikan cover letter anda menonjol daripada calon lain dan seterusnya meningkatkan peluang anda untuk mendapatkan internship yang anda impikan.

Apakah itu internship?

Internship, atau latihan industri,adalah tempoh praktikal di mana pelajar atau fresh graduate bekerja di sebuah syarikat untuk mendapatkan pengalaman kerja yang sebenar.

Tujuan utama internship adalah untuk menerapkan pengetahuan teori yang diperoleh di bilik kuliah ke dalam situasi kerja sebenar. Latihan industri membolehkan pelajar memperoleh kemahiran praktikal yang diperlukan dalam industri, dan berpeluang membina rangkaian profesional yang berguna untuk membina kerjaya mereka.

Baca artikel ini “Kenapa Latihan Industri (Internship) Penting Untuk Kerjaya,” supaya anda dapat mendalami bagaimana latihan industri boleh membuka pintu kepada peluang yang tidak pernah terlintas di fikiran anda.

Apakah itu cover letter internship?

Cover letter internship merupakan surat pengenalan yang dihantar bersama resume semasa memohon latihan industri. Fungsi utama surat ini adalah untuk memperkenalkan diri anda dengan baik dan menjelaskan sebab anda berminat untuk menjalani internship di syarikat tersebut.

Ia juga berperanan untuk menunjukkan bagaimana kemahiran serta kursus yang anda pelajari di kolej atau universiti menjadikan anda calon yang sesuai untuk syarikat mereka.

Gunakan pelbagai contoh cover letter internship yang disediakan dalam artikel ini untuk membantu anda dalam menyediakan cover letter yang profesional dan tersusun.

Struktur asas cover letter

Seorang individu sedang menggunakan laptop

Menulis cover letter yang baik memerlukan struktur yang teratur dan komponen yang tepat. Berikut adalah komponen asas yang perlu disertakan dalam cover letter anda:

1. Pengenalan:

Mulakan dengan memperkenalkan diri anda dan nyatakan tujuan surat anda. Jelaskan bagaimana anda mengetahui tentang peluang internship yang diiklankan dan nyatakan minat anda terhadap syarikat dan jawatan tersebut.

Contoh:

"Nama saya Amirul Hakim, seorang pelajar tahun akhir dalam bidang Kejuruteraan Elektrik di Universiti Teknologi Malaysia. Saya menulis surat ini untuk memohon peluang latihan industri di syarikat anda, XYZ Electronics, seperti yang diiklankan di portal Jobstreet.

Saya sangat bersemangat untuk menyertai XYZ Electronics kerana syarikat ini dikenali dengan inovasi teknologi dan pendekatannya yang progresif dalam industri elektronik. Ini amat selaras dengan minat dan pengajian saya.”

2. Badan surat:

Dalam bahagian ini, jelaskan pengalaman, kemahiran, dan motivasi anda untuk menyertai syarikat tersebut dengan padat dan tersusun. Terangkan bagaimana pengalaman dan kemahiran anda sepadan dengan keperluan jawatan yang dimohon serta bagaimana anda boleh menyumbang kepada syarikat tersebut.

Contohnya:

"Sebagai pelajar tahun akhir dalam bidang Kejuruteraan Elektrik di Universiti Teknologi Malaysia, saya telah mendalami prinsip-prinsip reka bentuk sistem dan teknologi elektrik melalui pelbagai kursus akademik. Pengetahuan ini telah memberikan saya asas yang kukuh dalam bidang yang saya ceburi.

Kemahiran saya dalam penyelesaian masalah dan kerja berpasukan telah diperkukuh melalui latihan yang diperoleh dalam kursus-kursus tersebut. Selain itu, saya juga mempunyai kemahiran komunikasi yang baik dan keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan cepat dalam persekitaran baru.

Pengalaman saya dalam aktiviti kokurikulum, seperti penyertaan aktif dalam kelab inovasi teknologi, telah memperkaya kemahiran praktikal saya dan membentuk keupayaan saya dalam menangani cabaran secara kreatif. Setelah meneliti projek-projek inovatif di XYZ Electronics melalui laman web syarikat, saya sangat bersemangat untuk menyumbang kepada inisiatif tersebut dan berhasrat untuk memanfaatkan kemahiran serta pengalaman saya bagi menyokong matlamat syarikat.”

3. Penutup:

Akhiri surat dengan kesimpulan ringkas yang merangkumkan minat anda dan nyatakan cara untuk menghubungi anda. Ucapkan terima kasih kepada majikan kerana mempertimbangkan permohonan anda.

Contohnya:

“Saya amat menghargai peluang untuk ditemu duga dan berbincang lebih lanjut tentang bagaimana saya boleh memanfaatkan peluang latihan industri ini untuk belajar serta menyokong matlamat syarikat anda. Saya juga berharap dapat menyumbang dengan sebaik mungkin sepanjang tempoh latihan ini. Untuk sebarang maklumat lanjut atau pertanyaan, sila hubungi saya di [nombor telefon] atau melalui e-mel di [alamat e-mel]. Terima kasih kerana mempertimbangkan permohonan saya.”

Contoh cover letter

Sebuah laptop terbuka dengan layar email

Menulis cover letter yang berkesan dapat meningkatkan peluang anda untuk mendapatkan internship. Untuk memudahkan anda, berikut adalah beberapa contoh cover letter internship yang boleh digunakan sebagai panduan.

Anda boleh memilih untuk menggunakan contoh cover letter internship dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris, bergantung kepada keperluan syarikat yang anda mohon.

1. Contoh cover letter internship dalam Bahasa Melayu

Syarikat yang terlibat dalam sektor kerajaan mungkin lebih menghargai penggunaan Bahasa Melayu dalam cover letter. Berikut adalah contoh cover letter internship dalam Bahasa Melayu yang boleh anda gunakan untuk memohon tempat latihan industri.

Ili Binti Sulaiman
⁠24, Jalan Anggerik,
⁠42350 Kuala Lumpur
[email protected]

1 Julai 2024

Encik Mohd HusainiABC Sdn Bhd
⁠Pengurus Sumber Manusia
⁠ABC Sdn Bhd

Tuan,

Permohonan untuk Internship di syarikat ABC Sdn Bhd

Saya, Ili Binti Sulaiman, ingin memohon peluang untuk menyertai program internship di syarikat ABC Sdn Bhd dalam bidang pemasaran. Saya sedang mengikuti pengajian dalam bidang Multimedia di Politeknik M dan ingin memohon untuk menjalani latihan industri di syarikat ABC Sdn Bhd bermula 1 Ogos 2024 hingga 1 Disember 2024.

Sepanjang pengajian saya dalam bidang Multimedia di Politeknik M, saya telah mengikuti kursus-kursus yang meliputi reka bentuk grafik, pengurusan media sosial, dan strategi pemasaran digital. Kursus-kursus ini telah memberi saya pemahaman yang mendalam tentang prinsip-prinsip dan teknik-teknik terkini dalam pemasaran.

Selain kemahiran kreatif dalam reka bentuk grafik, saya juga fasih dalam beberapa bahasa, termasuk Bahasa Inggeris, Melayu, dan Mandarin. Keupayaan komunikasi saya membolehkan saya berhubung dengan pelbagai pihak secara efektif dan menyesuaikan diri dengan mudah dalam persekitaran kerja yang pelbagai.

Tambahan pula, penglibatan aktif saya dalam aktiviti persatuan telah memperkaya pengalaman saya, terutamanya dalam mengendalikan kempen media sosial dan mereka bentuk poster untuk bisnes kecil-kecilan. Melalui projek-projek ini, saya telah mengasah kemahiran praktikal saya dalam reka bentuk grafik dan strategi media sosial.

Saya percaya bahawa latihan industri di syarikat ABC Sdn Bhd akan memberi peluang kepada saya untuk mengaplikasikan pengetahuan teori yang telah saya pelajari ke dalam situasi kerja sebenar. Saya juga yakin bahawa pengalaman ini akan membolehkan saya membangunkan kemahiran profesional yang penting dan membina rangkaian industri yang luas.

Saya berharap dapat berbincang dengan lebih lanjut mengenai peluang ini. Saya boleh dihubungi melalui email di [email protected] atau telefon di 011-234567

Terima kasih atas pertimbangan tuan.

Yang benar,

Ili Binti Sulaiman
⁠Pelajar Tahun Ketiga, politeknik M

2. Contoh cover letter internship dalam Bahasa Inggeris

Di kebanyakan sektor swasta, penggunaan Bahasa Inggeris dalam permohonan kerja adalah perkara biasa, termasuk untuk permohonan internship. Oleh itu, adalah penting untuk menulis cover letter dalam Bahasa Inggeris bagi menunjukkan kesediaan anda untuk berkomunikasi dalam bahasa profesional yang digunakan dalam industri.

Berikut adalah contoh cover letter internship dalam Bahasa Inggeris yang boleh membantu anda dalam memohon tempat internship:

Muhammad Daniel Ikram
⁠33, Jalan Desa, 42350 Kuala Lumpur
[email protected]

1st July 2024

Ms Jennie Tan
⁠HR Manager
⁠ABC Sdn Bhd

Dear Ms. Jennie Tan,

Application for Internship at ABC Sdn Bhd

I am writing to express my strong interest in the IT Project Assistant Internship position at ABC Sdn Bhd, as advertised on Jobstreet. I am currently pursuing a Bachelor’s degree in Information Technology at University T, and I am eager to intern with your esteemed organization from 1st August 2024 to 1st December 2024.

Throughout my academic career, I have built a solid foundation in IT, focusing on system administration, network management, and cybersecurity. My projects and coursework have endowed me with practical skills in troubleshooting, database management, and IT support, alongside proficiency in SQL, Linux, and Cisco networking.

I have also honed essential soft skills such as effective communication, teamwork, and problem-solving. My ability to articulate complex technical concepts clearly has been instrumental in collaborative projects, and my proactive approach has consistently driven team success.

I have also been involved in a project to develop a web application for the university's IT Society. This role involved designing functionality, addressing technical issues, and managing smooth operations, providing me with hands-on experience in SQL, Linux, and network configurations using Cisco.

I am particularly impressed with ABC Sdn Bhd's commitment to innovation and excellence, highlighted by your recognition as the "Top IT Solutions Provider in Malaysia" by the Malaysian Digital Association and your pivotal role in the nationwide cybersecurity initiative.

The opportunity to contribute to and learn from such an esteemed organisation excites me. I am confident that my technical skills, combined with my proactive approach and eagerness to learn, will allow me to make meaningful contributions to your IT team.

Thank you for considering my application. I look forward to the possibility of discussing how my background, skills, and enthusiasm align with the goals of your team. I can be reached at [email protected] or 01-1145365 at your convenience.

Sincerely,
⁠Muhammad Daniel Ikram
⁠Final year IT student, University T

Anda juga boleh mengikuti panduan dalam artikel Fresh Graduates: How to Make Effective Cover Letters that Stand Out ini untuk menulis cover letter yang menarik perhatian majikan.

3. Contoh cover letter internship accounting

Berikut adalah contoh cover letter internship dalam bidang perakaunan yang sesuai untuk pelajar perakaunan yang ingin memohon internship. Contoh ini boleh digunakan sebagai panduan untuk mempamerkan kemahiran serta minat anda dalam bidang tersebut.

Shamini Nadarajan
⁠10, Jalan TTC2, 47000 Sungai Buloh
[email protected]

1 Julai 2024

Encik Aaron Lim
⁠Pengurus Sumber Manusia
⁠ABC Sdn Bhd

Tuan,

Permohonan untuk Internship di Bidang Perakaunan

Saya, Shamini Nadarajan, merupakan pelajar tahun akhir dalam bidang Perakaunan di Universiti A dan ingin memohon untuk program internship di ABC Sdn Bhd. Tempoh latihan industri yang saya memohon adalah dari 1 Ogos 2024 hingga 1 November 2024. Saya yakin bahawa peluang ini akan membolehkan saya mendalami aspek praktikal perakaunan serta memperkukuhkan asas teori yang telah saya pelajari sepanjang pengajian saya. Pengalaman ini akan menjadi batu loncatan yang penting dalam membangunkan kemahiran dan pengetahuan saya, sambil memberikan sumbangan yang bernilai kepada pasukan di ABC Sdn Bhd.

Antara kursus yang saya telah ambil adalah Perakaunan Kewangan dan Perakaunan Pengurusan untuk mengasah kemahiran teknikal dalam bidang perakaunan. Selain daripada keupayaan komunikasi yang baik, saya juga memiliki kebolehan memimpin dan bekerja dalam pasukan, serta dikenali sebagai seorang yang teliti dan analitikal.

Ini membawa kepada pemilihan saya sebagai Bendahari Kelab Usahawan di universiti, di mana kami telah menjalankan pelbagai program keusahawanan. Dalam peranan ini, saya berpeluang untuk mengurus bajet, menyelaraskan laporan kewangan, dan memastikan ketepatan rekod kewangan.

Pengalaman ini telah membantu saya memperkukuhkan kemahiran dalam pengurusan kewangan, serta meningkatkan kecekapan saya dalam setiap tugas yang diamanahkan.

Saya berharap dapat diberi peluang untuk menjalani internship di ABC Sdn Bhd dan menerapkan kemahiran yang saya pelajari dalam projek-projek syarikat sepanjang tempoh latihan industri ini. Saya boleh dihubungi melalui e-mel di [email protected] atau nombor 019-8765439

Yang benar,

Shamini Nadarajan
⁠Pelajar Tahun Akhir Jurusan Perakaunan, Universiti A

4. Contoh cover letter untuk management trainee dalam bahasa melayu

Sebagai fresh grad atau pelajar tahun akhir, mengambil bahagian dalam program latihan seperti management trainee adalah langkah strategik untuk memperluas pengalaman profesional. Berikut adalah contoh cover letter untuk management trainee dalam Bahasa Melayu yang boleh membantu anda memohon jawatan ini dan membina asas kerjaya anda.

Farhan Hazim
⁠143, Jalan Indah Permai, 47000 Sungai Buloh [email protected]

1 Julai 2024

Puan Cheryl Raj
⁠Pengurus Sumber Manusia
⁠ABC Sdn Bhd

Puan,

Permohonan untuk Jawatan Management Trainee

Saya, Farhan Hazim, ingin memohon jawatan sebagai Management Trainee di ABC Sdn Bhd. Saya merupakan pelajar tahun akhir di Universiti S dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan.

Saya amat berminat untuk menyertai syarikat ini kerana ABC Sdn Bhd dikenali sebagai peneraju dalam industri dengan reputasi cemerlang dalam inovasi dan pengurusan projek. Saya ingin memohon untuk menjalani tempoh latihan di syarikat ABC Sdn Bhd dari 1 Ogos 2024 hingga 1 November 2024.

Sepanjang pengajian saya, saya telah mempelajari pelbagai aspek pengurusan seperti Pengurusan Kewangan, Pengurusan Sumber Manusia, dan Pengurusan Strategik. Penguasaan dalam bidang-bidang ini membolehkan saya memahami asas-asas penting dalam pengurusan perniagaan dan strategi korporat.

Selain itu, saya mempunyai kemahiran dalam menganalisis data, membuat keputusan strategik, dan menguruskan projek. Pengalaman sebagai Ketua Projek untuk beberapa inisiatif universiti seperti Projek Keusahawanan Muda dan Program Kesedaran Kewangan telah membolehkan saya mengasah kemahiran dalam memimpin pasukan, merancang strategi, dan melaksanakan projek dengan jayanya. Pengalaman berorganisasi ini telah mengajar saya untuk mengurus masa, sumber, dan pasukan dengan cekap.

Saya berharap dapat diberi peluang untuk membincangkan bagaimana saya boleh mengambil bahagian dalam pasukan ABC Sdn Bhd dan menyumbang kepada projek-projek syarikat sepanjang tempoh latihan ini.

Saya percaya bahawa pengalaman ini akan menjadi landasan kukuh untuk kerjaya saya dan membantu saya mencapai matlamat profesional saya. Saya boleh dihubungi melalui e-mel di [email protected] atau nombor 018-765432.

Saya sertakan bersama resume untuk rujukan pihak Puan. Saya berharap untuk mendapat peluang menghadiri temu duga dan seterusnya menyertai pasukan ABC Sdn Bhd.

Sekian, terima kasih.

Yang benar,
⁠Farhan Hazim
⁠Pelajar Tahun Akhir Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan, Universiti S

Rujuk artikel 6 contoh cover letter dalam bahasa melayu untuk fresh graduate untuk dapatkan idea dan inspirasi untuk menulis cover letter bagi pelbagai jawatan lain.

Tips tambahan untuk menulis cover letter internship

Seorang wanita sedang duduk di depan komputer dan berfikir

Terdapat beberapa Do's and Don'ts yang penting untuk memastikan cover letter anda menonjol daripada calon-calon yang lain.

Do’s:

  • Ringkas dan padat: Pastikan surat permohonan anda tidak melebihi satu halaman agar anda dapat menyampaikan maklumat penting secara efektif.
  • Fokus pada kemahiran dan pengalaman relevan: Sorot kemahiran dan pengalaman yang berkaitan dengan jawatan yang dimohon, dan jelaskan bagaimana kemahiran tersebut boleh menyumbang kepada syarikat.
  • Semak kesalahan tatabahasa dan ejaan: Pastikan tiada kesalahan tatabahasa atau ejaan, kerana kesalahan ini boleh menjejaskan profesionalisme anda.

Don’ts:

  • Jangan menggunakan bahasa santai atau informal: Elakkan gaya bahasa yang terlalu kasual yang tidak sesuai dengan suasana profesional.
  • Jangan menghantar surat permohonan generik: Hindari menggunakan satu cover letter yang sama untuk semua permohonan. Pastikan ia disesuaikan khusus untuk syarikat dan jawatan yang dimohon.
  • Jangan mengulang maklumat dari resume: Elakkan mengulangi maklumat yang sudah terdapat dalam resume anda. Sebaliknya, fokuskan pada bagaimana pengalaman dan kemahiran anda relevan dengan jawatan yang dimohon.

Kesimpulan

Cover letter adalah elemen penting dalam permohonan internship, kerana ia memberikan peluang untuk memperkenalkan diri dan meyakinkan majikan bahawa anda adalah calon yang ideal untuk menyertai pasukan mereka.

Dengan cover letter, anda dapat menonjolkan kemahiran dan pengalaman yang relevan serta menunjukkan minat anda terhadap syarikat tersebut. Selain itu, cover letter yang disusun dengan baik menunjukkan kesungguhan anda dan boleh memberikan kelebihan berbanding calon lain.

Gunakan panduan dan contoh-contoh ini untuk memastikan cover letter anda profesional, tersusun, dan mampu menarik perhatian majikan. Ini akan meningkatkan peluang anda untuk berjaya mendapatkan internship yang diinginkan.

Soalan lazim (FAQ)

1. Perlu saya menyebutkan tempoh latihan industri dalam cover letter?

Ya, menyebutkan tempoh latihan industri dalam cover letter adalah penting kerana ia membantu majikan menilai kesesuaian tempoh latihan anda dengan keperluan syarikat.

2. Bagaimanakah cara menunjukkan minat terhadap syarikat dalam cover letter?

Kaji dengan teliti syarikat tersebut dan terangkan dalam cover letter apa yang menarik minat anda mengenai syarikat itu serta bagaimana ia sejajar dengan matlamat anda.

3. Apakah perbezaan antara cover letter dan resume?

Cover letter adalah surat pengenalan yang menerangkan minat dan kelayakan anda, manakala resume adalah dokumen ringkas yang merangkumi pengalaman kerja dan kelayakan akademik anda.

4. Bagaimanakah cara untuk menonjolkan diri dalam cover letter?

Fokuskan pada kemahiran dan pengalaman yang relevan, dan berikan contoh konkrit tentang bagaimana anda telah menggunakan kemahiran tersebut untuk mencapai kejayaan.

5. Adakah saya perlu menghantar cover letter jika tidak diminta dalam iklan jawatan?

Ya, menghantar cover letter walaupun tidak diminta menunjukkan bahawa anda bersikap proaktif dan ini boleh meningkatkan peluang anda untuk mendapat peluang temu duga atau internship di syarikat tersebut.

More from this category: Cover letters

Top search terms

Want to know what people are searching for on Jobstreet? Explore our top search terms to stay across industry trends.

Explore related topics

Choose an area of interest to browse related careers.

Subscribe to Career Advice

Get expert career advice delivered to your inbox.
You can cancel emails at any time. By clicking ‘subscribe’ you agree to Jobstreet’s Privacy Statement.