Contoh Resume Bahasa Melayu: Panduan & PDF Download

Contoh Resume Bahasa Melayu: Panduan & PDF Download
Jobstreet content teamupdated on 02 September, 2024
Share

Resume ialah tiket emas anda untuk menarik perhatian majikan. Ia merupakan gambaran ringkas mengenai latar belakang pendidikan, pengalaman kerja, kemahiran, dan pencapaian anda.

Jika anda sedang mencari peluang dalam sektor kerajaan atau syarikat yang menekankan kefasihan dalam Bahasa Melayu, menyediakan resume dalam Bahasa Melayu adalah suatu kemestian.

Namun, resume dalam English adalah penting untuk memohon kerja di sektor swasta terutamanya dalam syarikat multinasional (MNCs).

Oleh itu, menyediakan resume dalam kedua-dua bahasa akan meningkatkan lagi peluang pekerjaan anda.

Baca seterusnya artikel ini untuk mendapatkan panduan lengkap cara menulis resume dalam Bahasa Melayu. Disertakan juga pelbagai jenis contoh templat resume dalam Bahasa Melayu yang boleh anda gunakan untuk pelbagai konteks permohonan kerja.

Apakah itu resume?

Panduan menulis resume

Contoh resume simple dalam bahasa melayu

Contoh-contoh resume dan template PDF untuk download

Cara hantar resume melalui email dalam bahasa melayu

Kesimpulan

Soalan lazim (FAQ) mengenai resume bahasa melayu: panduan & PDF download

Apakah itu resume?

Resume adalah dokumen yang memberikan ringkasan tentang latar belakang profesional seseorang. Ia berbeza dengan Curriculum Vitae (CV), yang lebih panjang dan terperinci.

Resume biasanya tidak melebihi dua halaman dan memberi tumpuan kepada pengalaman serta kemahiran yang relevan dengan pekerjaan yang dimohon.

Bagi kebanyakan pekerjaan korporat, resume yang ringkas dan padat lebih disukai kerana majikan ingin melihat kualiti pengalaman serta kaitan dengan jawatan yang dimohon dengan sepintas lalu.

Namun, bagi jawatan dalam bidang akademik, penyelidikan, atau untuk memohon geran dan biasiswa, CV lebih diperlukan untuk menunjukkan pengalaman dan pencapaian anda secara terperinci.

Portfolio juga mungkin digunakan dalam beberapa bidang kreatif atau profesional untuk menunjukkan contoh hasil kerja, tetapi ini adalah berbeza daripada keperluan resume atau CV.

Resume yang profesional dan disusun dengan teliti dapat menarik perhatian majikan dan meningkatkan peluang anda untuk dipanggil ke sesi temu duga. Oleh itu, pastikan resume anda jelas, teratur, dan mencerminkan kualiti serta keunikan anda sebagai calon yang berpotensi.

Panduan menulis resume

Seorang individu sedang melihat resume pada skrin komputer

Tahukah anda bahawa penggunaan format resume yang tepat dan disesuaikan dengan jenis pekerjaan yang dimohon adalah penting untuk menunjukkan kemampuan dan potensi anda?

Terdapat pelbagai jenis resume yang sesuai untuk tujuan dan peranan yang berbeza. Contohnya, ada resume yang ideal untuk lepasan SPM, dan ada juga resume yang sesuai untuk temuduga SPA atau jawatan seperti pembantu tadbir.

Jenis-jenis resume

Berikut adalah tiga jenis resume utama dalam Bahasa Melayu yang boleh digunakan sesuai dengan pekerjaan yang dimohon:

1. Resume kronologi (Chronological Resume)

Resume yang menggunakan format ini popular dan sering digunakan oleh kebanyakan calon. Resume jenis ini menyenaraikan pengalaman kerja berdasarkan urutan masa, dari yang terkini hingga yang terdahulu.

Ia sesuai untuk calon dengan pengalaman kerja yang banyak dan sejarah kerja yang berterusan. Oleh itu, resume Bahasa Melayu yang menggunakan format kronologi akan menonjolkan pengalaman kerja anda dengan jelas dan teratur, memudahkan majikan menilai pencapaian anda dengan berkesan.

2. Resume fungsional (Functional Resume)

Resume jenis ini memberi tumpuan kepada kemahiran dan pencapaian tanpa mengambil kira urutan masa.

Ia sesuai untuk graduan baru dan mereka yang ingin beralih kerjaya. Contohnya, resume lepasan SPM atau resume untuk fresh graduate akan lebih efektif jika menggunakan format fungsional kerana ia menonjolkan kemahiran dan pencapaian yang relevan dengan jawatan yang dimohon.

3. Resume gabungan (Combination Resume)

Resume ini menggabungkan elemen resume kronologi dan fungsional. Ia memberi tumpuan kepada kemahiran sambil menunjukkan urutan pengalaman kerja.

Ini memberikan gambaran menyeluruh tentang kemahiran dan pengalaman kerja anda secara seimbang, menjadikannya pilihan yang baik bagi mereka yang ingin menonjolkan kedua-dua aspek tersebut.

Apakah yang harus ada dalam resume?

Resume yang bagus biasanya tidak melebihi satu halaman dan hanya fokus pada pengalaman kerja yang relevan. Berikut adalah lima elemen penting yang wajib ada dalam resume anda:

  1. Profil
    Pengenalan ringkas mengenai diri anda, termasuk maklumat peribadi seperti nama, alamat, nombor telefon, dan alamat email.

    ⁠⁠Sertakan juga objektif kerjaya dan kemahiran utama yang berkait dengan jawatan yang dimohon. Contohnya, jika anda memohon untuk jawatan pembantu tadbir, pastikan kemahiran pentadbiran anda dinyatakan dengan jelas.
  2. Pendidikan
    Senaraikan kelayakan akademik yang relevan, termasuk institusi pendidikan, tarikh tamat pengajian, dan bidang pengkhususan. Jika anda seorang lepasan SPM atau graduan baru, pastikan untuk menonjolkan pencapaian akademik atau tugasan yang berkaitan dengan jawatan yang dimohon.
  3. Pengalaman kerja
    Ini adalah perkara penting yang wajib ada dalam resume anda. Senaraikan pengalaman kerja yang relevan dengan pekerjaan yang dimohon dengan teratur. Sertakan nama syarikat, jawatan, tarikh bekerja, dan tanggungjawab utama.

    ⁠Jika anda mempunyai pengalaman kerja yang banyak, fokuskan kepada pekerjaan yang paling berkaitan dengan jawatan yang dimohon. Pastikan anda menyertakan pencapaian khusus dalam kerja tersebut ketika menyenaraikan pengalaman anda.
  4. Pencapaian
    Masukkan juga anugerah atau pencapaian yang relevan untuk menunjukkan kejayaan dan sumbangan anda dalam bidang tertentu. Ini boleh merangkumi anugerah akademik, pengiktirafan profesional, atau projek khas yang telah anda selesaikan dengan berjaya dalam pekerjaan sebelum ini.
  5. Kemahiran
    Senaraikan kemahiran yang relevan dengan pekerjaan yang dimohon, seperti kemahiran teknikal, bahasa, atau kemahiran interpersonal. Pastikan anda menyertakan kemahiran yang paling relevan dan yang boleh memberi nilai tambah kepada jawatan yang anda inginkan.

    ⁠Sebagai contoh, resume kerja kilang Bahasa Melayu akan menekankan kemahiran teknikal dan ketahanan fizikal.

    ⁠Dengan memasukkan elemen-elemen ini, resume anda akan lebih komprehensif dan mampu menarik perhatian majikan, seterusnya meningkatkan peluang anda untuk dipanggil ke sesi temu duga.

Contoh resume simple dalam bahasa melayu

Majikan sedang membaca resume ringkas yang disediakan dalam Bahasa Melayu.

Maklumat Peribadi

  • Nama: Nurliana Binti Azizi
  • ⁠Alamat: No. 123, Jalan Impian, 12345 Kuala Lumpur
  • ⁠Nombor Telefon: +6012-3456789
  • E-mel: [email protected]

Objektif Kerjaya

Pembantu Tadbir dengan pengalaman 4 tahun, teliti dan cekap dalam pengurusan pejabat serta komunikasi. Berhasrat untuk memanfaatkan kemahiran organisasi dan pentadbiran bagi menyokong operasi pejabat yang efisien dan berkesan.

Pendidikan

  • Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan, Universiti Malaya, 2016 - 2020
  • Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Indah, 2011 - 2016

Pengalaman Kerja

  • Pembantu Tadbir, Syarikat ABC Sdn Bhd, Januari 2021 - Sekarang
    ⁠- Menyusun dan menyelenggara dokumen pejabat.
    ⁠- Menguruskan jadual dan temu janji eksekutif.
    ⁠- Menyediakan laporan bulanan dan mingguan.
  • Intern, Jabatan Sumber Manusia, Syarikat XYZ Sdn Bhd, Jun 2020 - Disember 2020
    ⁠- Membantu dalam proses pengambilan pekerja.
    ⁠- Mengemas kini rekod pekerja.
    ⁠- Menyediakan surat tawaran dan dokumen berkaitan.

Kemahiran

  • Kemahiran Komunikasi: Mahir dalam komunikasi lisan dan tulisan.
  • Kemahiran Organisasi: Cemerlang dalam pengurusan masa dan tugasan.
  • Kemahiran Teknologi: Mahir dalam penggunaan Microsoft Office (Word, Excel, PowerPoint).
  • Bahasa: Fasih dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Rujukan

Berikan nama dan maklumat hubungan individu yang mempunyai hubungan profesional yang baik dengan anda, seperti bekas majikan atau pensyarah/guru. Ini penting kerana mereka boleh dihubungi untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang anda. Pastikan individu yang anda pilih sebagai rujukan boleh memberikan penilaian positif mengenai prestasi dan keperibadian anda.

Contoh Rujukan dalam Resume:

  • Nama: Encik Ahmad Bin Salleh
  • Jawatan: Pengurus, Syarikat ABC Sdn Bhd
  • ⁠Nombor Telefon: +6012-3456789
  • ⁠E-mel: [email protected]

Memilih rujukan yang tepat dan menyediakan maklumat hubungan mereka dengan jelas akan membantu memberikan gambaran yang positif dan profesional kepada majikan.

Dengan mengikuti panduan ini, resume anda akan menjadi lebih teratur, jelas, dan berkesan dalam menarik perhatian majikan.

Contoh-contoh resume dan template PDF untuk download

Berikut adalah beberapa contoh resume dalam Bahasa Melayu yang boleh anda muat turun dalam format PDF:

1. Contoh resume lepasan SPM dalam bahasa melayu

Adakah anda baru sahaja menamatkan SPM dan sedang mencari pekerjaan pertama? Di sini, anda boleh melihat contoh resume yang disusun dengan baik dan mudah untuk diikuti.

Resume ini merangkumi semua maklumat penting seperti maklumat peribadi, latar belakang pendidikan, kemahiran, dan pengalaman kerja (jika ada). Gunakan templat ini sebagai panduan untuk menghasilkan resume yang sesuai dengan keperluan anda.

Download template PDF di sini: Template contoh resume lepasan SPM dalam Bahasa Melayu PDF

2. Contoh resume kerja kilang dalam bahasa melayu

Bagi anda yang sedang mencari pekerjaan di kilang, anda boleh menggunakan panduan dan contoh resume dalam Bahasa Melayu ini untuk menulis resume anda. Panduan ini merangkumi maklumat penting seperti pengalaman kerja, kemahiran teknikal, dan latar belakang pendidikan yang relevan untuk jawatan di kilang.

Download template PDF di sini: Template contoh resume kerja kilang Bahasa Melayu PDF

3. Contoh resume internship dalam bahasa melayu

Jika anda sedang mencari peluang untuk menjalani latihan industri atau internship di syarikat yang memerlukan kefasihan dalam Bahasa Melayu, gunakan template resume ini untuk memohon jawatan internship yang anda minati.

Sesuaikan contoh resume internship dalam Bahasa Melayu ini untuk menonjolkan pengetahuan akademik, kemahiran yang telah anda pelajari, dan pengalaman praktikal yang anda miliki.

Download template PDF di sini: Template contoh internship bahasa melayu PDF

4. Contoh resume bahasa melayu untuk fresh graduate

Fresh graduate sering berhadapan dengan cabaran dalam menulis resume yang menarik. Anda mungkin keliru dan tidak pasti bagaimana untuk memulakannya.

Jangan risau, dengan membaca artikel ini, anda akan mendapat 10 panduan menulis resume pertama yang akan membimbing anda langkah demi langkah untuk menghasilkan resume yang menonjol.

Untuk bantuan tambahan, anda boleh memuat turun templat resume permohonan kerja ini dan mengubahsuainya mengikut kesesuaian anda.

Download template PDF di sini: Template contoh resume bahasa melayu untuk fresh graduate PDF

5. Contoh resume bahasa melayu untuk pembantu tadbir

Mencari pekerjaan sebagai Pembantu Tadbir memerlukan resume yang kemas dan profesional. Resume yang baik mampu membezakan anda daripada calon lain dan menarik perhatian majikan. Ikuti panduan dan contoh yang disediakan untuk membantu anda memohon jawatan sebagai Pembantu Tadbir.

Download template PDF di sini: Template contoh resume bahasa melayu pembantu tadbir PDF

Cara hantar resume melalui email dalam bahasa melayu

Seorang lelaki sedang menulis nota di buku.

Menghantar resume melalui email memerlukan cara yang betul untuk memastikan permohonan anda dilihat dan dinilai oleh majikan. Mulakan dengan sapaan yang sesuai, diikuti dengan pengenalan diri dan tujuan email anda.

Nyatakan jawatan yang anda mohon dan sertakan resume dan dokumen sokongan lain yang diperlukan dalam format PDF. Gunakan subjek email yang jelas dan spesifik seperti "Permohonan Jawatan Pembantu Tadbir - [Nama Anda]".

Pastikan email anda ringkas tetapi padat, menjelaskan tujuan anda dengan jelas. Untuk panduan yang lebih terperinci, anda boleh merujuk artikel ini: Cara betul memohon kerja dan hantar resume melalui email

Kesimpulan

Mempunyai resume yang baik adalah kunci untuk berjaya dalam permohonan kerja. Resume yang disusun dengan baik mampu menarik perhatian majikan dan meningkatkan peluang anda dipanggil untuk temu duga.

Penting untuk diingat bahawa resume dalam Bahasa Melayu yang tepat dan jelas dapat memberi kelebihan kepada anda, terutama apabila memohon pekerjaan di syarikat tempatan yang menghargai kemahiran berbahasa Melayu.

Jangan lepaskan peluang untuk memuat turun dan menggunakan contoh resume yang disediakan bagi memudahkan anda menyediakan resume yang berkualiti.

Download template resume anda di sini: Free resume templates

Soalan lazim (FAQ) mengenai resume bahasa melayu: panduan & PDF download

1. Bagaimanakah cara menulis objektif kerjaya yang berkesan?

Objektif kerjaya perlu jelas dan sesuai dengan pekerjaan yang dimohon. Fokus kepada matlamat jangka pendek dan panjang anda dalam kerjaya.

2. Apakah tips untuk membuat resume yang menarik?

Gunakan format yang kemas, ringkas, dan jelas. Fokus kepada pengalaman dan kemahiran yang relevan dengan pekerjaan yang dimohon.

3. Bagaimanakah saya boleh menyesuaikan resume saya untuk setiap pekerjaan?

Sesuaikan resume anda dengan menekankan pengalaman dan kemahiran yang paling relevan dengan pekerjaan yang dimohon. Teliti job description yang diberikan dan pastikan kemahiran yang dikehendaki ada ditulis dalam resume anda.

4. Adakah saya perlu menyertakan gambar dalam resume saya?

Tidak perlu menyertakan gambar dalam resume anda. Di Malaysia, penyertaan gambar tidak diwajibkan.

5. Apakah perlu saya tulis jika saya kekurangan pengalaman kerja?

Jika anda kekurangan pengalaman kerja, fokuskan kepada kemahiran dan pencapaian yang relevan. Anda boleh merujuk kepada artikel Cara Tulis Resume Walaupun Kekurangan Pengalaman Kerja untuk membantu anda menulis resume yang baik walaupun dengan pengalaman yang sedikit.

More from this category: Resumes

Top search terms

Want to know what people are searching for on Jobstreet? Explore our top search terms to stay across industry trends.

Explore related topics

Choose an area of interest to browse related careers.

Subscribe to Career Advice

Get expert career advice delivered to your inbox.
You can cancel emails at any time. By clicking ‘subscribe’ you agree to Jobstreet’s Privacy Statement.