Contoh resume guru yang menarik perhatian majikan

Contoh resume guru yang menarik perhatian majikan
Jobstreet content teamupdated on 12 September, 2025
Share

Resume guru yang kemas dan profesional memainkan peranan penting dalam permohonan kerja di sekolah atau institusi pendidikan. Menurut laporan Astro Awani, Kementerian Pendidikan Malaysia telah menempatkan seramai 13,749 guru baharu setakat tahun 2024 bagi menangani isu kekurangan guru di seluruh negara.

Berita ini menunjukkan bahawa permintaan terhadap tenaga pengajar masih tinggi namun persaingan untuk mendapatkan jawatan juga semakin sengit. Resume anda bukan sekadar dokumen maklumat tetapi merupakan gambaran awal tentang kelayakan, pengalaman dan kemahiran anda sebagai seorang pendidik.

Artikel ini menyediakan panduan lengkap untuk menulis resume guru yang berkesan, beserta dua contoh resume sebenar sebagai rujukan permohonan anda.

Kepentingan mempunyai resume yang menarik perhatian majikan

Resume seorang guru merupakan dokumen utama yang akan dinilai oleh majikan sebelum calon dipanggil ke sesi temu duga. 

Ia bukan sekadar ringkasan latar belakang, tetapi juga gambaran awal tentang profesionalisme dan kesesuaian seseorang untuk mengisi jawatan pendidik. 

Oleh itu, resume yang menarik perhatian mampu memberikan kelebihan besar dalam proses pemilihan.

1. Persaingan permohonan jawatan guru sangat tinggi

Setiap jawatan guru yang diiklankan, terutamanya di sekolah berprestasi tinggi atau di kawasan bandar, boleh menerima ratusan permohonan. 

Dalam situasi ini, resume yang kelihatan biasa atau tidak tersusun mudah diabaikan. Resume yang kemas, padat dan menonjol mampu menarik perhatian majikan serta meningkatkan peluang untuk dipertimbangkan.

2. Resume yang jelas dan relevan lebih mudah dinilai

Apabila resume ditulis secara jelas dan fokus kepada maklumat yang berkaitan, ia membantu pihak sekolah menilai kesesuaian calon dengan cepat. 

Contohnya, maklumat seperti subjek yang pernah diajar, tahap pelajar, serta penglibatan dalam aktiviti luar bilik darjah memberi gambaran langsung tentang kecekapan dan pengalaman anda. Resume yang jelas dan relevan meningkatkan peluang dipanggil temu duga.

3. Menunjukkan kebolehan mengajar dan membimbing secara holistik

Resume yang baik bukan sekadar menyatakan kelayakan akademik. Ia juga menunjukkan bagaimana calon mengendalikan kelas, menggunakan pendekatan pengajaran yang berkesan dan membimbing pelajar secara individu. 

Ini memberi keyakinan kepada majikan bahawa calon bukan sahaja layak, malah mampu memberikan impak positif kepada pembangunan pelajar.

Maklumat penting dalam resume guru

Resume guru yang padat dan relevan menunjukkan bahawa anda serius dan bersedia untuk memikul peranan tersebut. Setiap maklumat yang disertakan mesti membantu majikan memahami kelayakan, pengalaman serta kekuatan anda dalam dunia pendidikan.

Berikut ialah maklumat utama yang perlu ada dalam resume seorang guru:

  • Maklumat peribadi: Nama penuh, nombor telefon dan alamat e-mel yang profesional.

  • Ringkasan profesional: Menggambarkan pengalaman mengajar, falsafah pendidikan atau gaya pengajaran.

  • Pendidikan: Menunjukkan kelayakan akademik dalam bidang pengajaran atau bidang subjek berkaitan.

  • Pengalaman kerja: Merangkumi senarai sekolah, subjek yang diajar dan tempoh perkhidmatan.

  • Kemahiran mengajar: Merangkumi kemahiran insaniah atau teknikal seperti pengurusan kelas, penggunaan alat teknologi atau kebolehan membimbing pelajar secara individu.

  • Sijil tambahan: Contohnya, kursus latihan guru, bengkel pendidikan atau pensijilan Google for Education.

Struktur asas resume guru

Resume yang disusun dengan baik memudahkan majikan menilai kelayakan anda secara pantas. Struktur resume juga menunjukkan tahap profesionalisme dan perhatian terhadap perincian. 

Nama penuh

Nombor Telefon | E-mel Profesional | 

Profil ringkas

"Guru [subjek] yang berpengalaman dan berminat dalam [pendekatan pengajaran / falsafah pendidikan]. Komited untuk membantu pelajar mencapai potensi penuh mereka dari segi akademik dan peribadi."

Pendidikan

[Tahun Tamat] – [Ijazah atau Sijil], [Nama Institusi]

[Tahun Tamat] – [Ijazah atau Sijil], [Nama Institusi]

Pengalaman kerja

[Tahun – Tahun] | [Jawatan], [Nama Sekolah]

Mengajar [subjek] untuk [tahap pelajar]

Terlibat dalam [aktiviti / inisiatif pengajaran]

Kemahiran

Penggunaan ICT dalam bilik darjah, pengurusan kelas, komunikasi berkesan, perancangan pengajaran, pendekatan berpusatkan pelajar

Anugerah & sijil tambahan

[Anugerah / Pencapaian], [Tahun / Tempat]

Rujukan

[Nama Penuh], [Jawatan]

[E-mel] | [Nombor Telefon]

Contoh resume guru

Guru wanita membimbing murid bermain catur sebagai aktiviti pembelajaran di dalam bilik darjah.

Selepas anda faham struktur asas dan maklumat penting yang perlu dimasukkan, anda mungkin tertanya-tanya bagaimana rupa sebenar resume guru yang baik. Anda boleh jadikan contoh ini sebagai rujukan untuk menyesuaikan sebuah resume yang berkesan.

1. Contoh resume guru sekolah menengah

NUR FARAH NADIAH BINTI ZAINAL

Shah Alam, Selangor

012-3456789

[email protected]

Profil profesional

Guru Bahasa Inggeris berpengalaman dengan lebih lima tahun mengajar di sekolah menengah harian dan sekolah berprestasi tinggi. Mahir dalam merancang pengajaran berasaskan KBAT, menggunakan teknologi dalam bilik darjah serta mengaplikasikan pendekatan pembezaan untuk memenuhi keperluan pelajar pelbagai tahap. Bersemangat dalam membina keyakinan pelajar melalui penguasaan bahasa dan kemahiran komunikasi.

Pendidikan

Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (TESL)

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

2013 – 2017

Sijil STPM (Aliran Sastera)

SMK Sultan Abdul Aziz, Kuala Selangor

2011 – 2012

Pengalaman kerja

Guru Bahasa Inggeris

SMK Seksyen 9, Shah Alam

Jan 2020 – Kini

  • Mengajar Bahasa Inggeris untuk Tingkatan 4 dan Tingkatan 5.

  • Menjadi penyelaras panitia Bahasa Inggeris dan penggubal soalan peperiksaan dalaman.

  • Menyediakan bahan pengajaran digital menggunakan Google Slides dan Quizizz.

  • Melatih pasukan debat sekolah dan pelajar untuk pertandingan Pidato Bahasa Inggeris Peringkat Negeri.

  • Memperkenalkan sistem portfolio digital pelajar untuk menilai kemajuan penulisan kreatif.

Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT)

SMK Raja Muda Musa, Bestari Jaya

Julai 2018 – Dis 2019

  • Menggantikan guru tetap untuk Bahasa Inggeris Tingkatan 2 dan 3.

  • Menyediakan rancangan pengajaran harian selaras dengan DSKP.

  • Mengendalikan kelas pemulihan asas tatabahasa untuk pelajar lemah.

  • Mengurus program Minggu Bahasa dan pertandingan Ejaan Spelling Bee.

Kemahiran

  • Perancangan pengajaran berasaskan objektif pembelajaran.

  • Penggunaan teknologi dalam PdPc (Google Classroom, Canva, Padlet).

  • Penilaian penulisan dan komunikasi lisan pelajar.

  • Kepimpinan dalam aktiviti kokurikulum

  • Menggalakkan pembelajaran aktif dan pemikiran kritis.

Anugerah dan sijil tambahan

  • Anugerah Guru Inovatif (Peringkat Daerah) – 2022
    Projek pengajaran tatabahasa interaktif menggunakan bahan QR dan video pendek.

  • Ketua Panitia Bahasa Inggeris Cemerlang (SMK Seksyen 9) – 2021
    Diiktiraf atas peningkatan keputusan SPM Bahasa Inggeris sebanyak 28% dalam tempoh dua tahun.

Rujukan

Pn. Mariam binti Hassan

Pengetua, SMK Seksyen 9

03-88881234

[email protected]

2. Contoh resume guru sekolah rendah

SITI MARDHIAH BINTI ABDULLAH

Pasir Gudang, Johor

017-4321567

[email protected]

Profil profesional

Guru sekolah rendah yang berdedikasi dengan pengalaman enam tahun mengajar subjek teras Tahap 1 dan Tahap 2. Mempunyai pendekatan mesra pelajar serta fokus kepada pembelajaran aktif dan sokongan emosi. Mahir dalam penyediaan bahan bantu mengajar dan pengendalian program kokurikulum peringkat sekolah rendah.

Pendidikan

Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pengajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah)

Institut Pendidikan Guru Kampus Temenggong Ibrahim

2012 – 2016

Sijil STPM (Bahasa & Sejarah)

SMK Seri Pulai Perdana, Johor Bahru

2010 – 2011

Pengalaman kerja

Guru Bahasa Melayu & Sains Tahap 2

SK Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang

Jan 2018 – Kini

  • Mengajar Bahasa Melayu dan Sains bagi murid Tahun 4 dan Tahun 5.

  • Menyusun RPH dan modul pengajaran berpandukan DSKP dan tema Pembelajaran Abad ke-21.

  • Melatih pasukan kuiz sains sekolah ke pertandingan antara zon.

  • Menjadi guru kelas dan penasihat Kelab Bahasa.

  • Menghasilkan video pendek PdPR semasa tempoh pengajaran dalam talian.

Guru Interim

SK Kampung Pasir Putih, Johor Bahru

Mei 2016 – Dis 2017

  • Menggantikan guru tetap bagi subjek Matematik dan Bahasa Malaysia Tahun 1.

  • Menyediakan aktiviti permainan bahasa untuk murid pemulihan.

  • Membantu pelaksanaan aktiviti luar kelas seperti Hari Kantin dan Lawatan Ilmiah.

  • Menyusun buku rekod dan borang pentaksiran individu.

Kemahiran

  • Reka bentuk aktiviti interaktif untuk murid sekolah rendah.

  • Penggunaan Google Classroom, Wordwall, dan Liveworksheets.

  • Teknik bercerita dan pendekatan fonik untuk murid tahap awal.

  • Pengurusan kelas dan bimbingan murid secara individu.

  • Penulisan laporan aktiviti dan rekod pentaksiran.

Anugerah dan pencapaian

  • Guru Kelas Paling Komited (SK Taman Bukit Dahlia) – 2021
    Dicalonkan oleh pentadbir sekolah atas peranan aktif membimbing murid lemah secara konsisten.

  • Pengendali Modul PdPR Sekolah Rendah – 2020
    Menyumbang bahan ajar digital untuk laman pembelajaran rasmi sekolah ketika sesi dalam talian.

Rujukan

Pn. Rozita binti Hassan

Penolong Kanan Kurikulum, SK Taman Bukit Dahlia

07-8912345

[email protected]

Tips menulis resume guru yang menarik

Guru lelaki mengajar subjek Matematik menggunakan papan hitam dalam suasana kelas sekolah menengah.

Resume yang baik boleh membantu anda menyerlah sejak awal proses permohonan. Pengetua dan pentadbir sekolah biasanya menyemak puluhan resume, jadi struktur yang jelas serta kandungan yang relevan boleh memberikan kelebihan yang besar.

  • Gunakan bahasa profesional: Pastikan setiap ayat mudah difahami dan bebas daripada bahasa pasar atau frasa berbunga-bunga.

  • Fokus pada pencapaian, bukan tugas: Nyatakan impak kerja anda seperti peningkatan pencapaian pelajar atau kejayaan sesuatu program. Resume anda juga boleh merujuk kepada keperluan kompetensi yang dinyatakan dalam dokumen seperti Standard Guru Malaysia.

  • Sesuaikan mengikut jawatan yang dipohon: Padankan pengalaman dan kemahiran anda dengan keperluan jawatan serta jenis sekolah (rendah, menengah, atau pendidikan khas).

  • Pastikan susun atur kemas dan teratur: Gunakan fon yang bersesuaian, jarak perenggan yang selesa, dan pastikan maklumat mudah dilihat dan dibaca.

  • Hadkan kepada dua muka surat atau kurang: Pilih maklumat yang paling relevan dan padatkan isi kandungan tanpa mengorbankan kejelasan.

Kesalahan biasa dalam resume guru

Ramai calon yang layak masih gagal melepasi saringan awal disebabkan kesilapan kecil dalam resume. Majikan biasanya mengambil masa yang singkat untuk menilai sama ada sesuatu permohonan wajar dipertimbangkan. Oleh itu, antara kesalahan yang perlu dielakkan agar resume anda kekal kemas, relevan dan meyakinkan adalah seperti berikut:

1. Maklumat terlalu umum tanpa fokus subjek: Jika anda hanya menyebut “pengalaman mengajar” tanpa menyatakan subjek atau tahap murid, resume anda akan kelihatan kabur. Majikan tidak dapat menentukan kepakaran anda dalam sesuatu subjek.

2. Tiada bukti pencapaian sebenar: Resume yang hanya menyenaraikan tugas harian tidak menonjolkan nilai sebenar anda. Tanpa maklumat pencapaian, majikan sukar menilai impak anda dalam pelaksanaan tugasan.

3. Format tidak kemas atau sukar dibaca: Susun atur yang tidak konsisten boleh mengganggu tumpuan pembaca. Jika font terlalu kecil atau jarakkan baris terlalu rapat, majikan mungkin berhenti membaca walaupun kandungannya berkualiti.

4. Tiada maklumat tambahan yang penting: Maklumat seperti kursus yang dihadiri, sijil tambahan, atau latihan profesional sering diabaikan, sedangkan ia mencerminkan usaha anda untuk meningkatkan kemahiran. Tanpa maklumat ini, resume anda mungkin kurang menonjol dan menjejaskan keyakinan majikan.

5. Maklumat tidak dikemas kini: Resume yang mengandungi pengalaman lama atau rujukan yang tidak sah boleh dianggap tidak teliti. Majikan mahu melihat usaha anda untuk kekal relevan dalam bidang pendidikan.

Tingkatkan kebolehpasaran anda dengan resume guru yang tersusun

Resume yang kemas, jelas dan teratur mampu memberikan kesan pertama yang kuat kepada majikan. Dalam permohonan jawatan guru, resume anda perlu memaparkan kelayakan, pengalaman, kemahiran dan pencapaian secara ringkas tetapi meyakinkan. Penyusunan maklumat yang sistematik turut membantu majikan menilai kesesuaian anda dengan lebih mudah.

Dengan penyediaan resume yang baik, anda bukan sahaja meningkatkan peluang untuk dipanggil temu duga, malah menunjukkan tahap profesionalisme anda sebagai calon pendidik. Luangkan masa untuk menyemak semula setiap bahagian dan pastikan setiap maklumat benar-benar membantu anda untuk menyerlah.

Soalan lazim

1. Apakah maklumat paling penting yang perlu dimasukkan dalam resume guru?

Resume guru perlu mengandungi maklumat peribadi, ringkasan profesional, kelayakan akademik, pengalaman mengajar, kemahiran mengajar serta rujukan. Jika anda mempunyai pencapaian khas atau sijil tambahan, maklumat ini juga wajar disertakan kerana dapat menambah nilai kepada permohonan anda.

2. Berapakah panjang resume guru yang ideal?

Resume yang ideal tidak melebihi dua muka surat. Tumpukan kepada maklumat yang paling relevan dengan jawatan yang dimohon. Elakkan memasukkan butiran yang tidak berkaitan atau berulang.

3. Bagaimanakah cara menonjolkan pencapaian mengajar dalam resume?

Tulis pencapaian anda dengan jelas dan spesifik. Nyatakan impak sebenar seperti peningkatan prestasi pelajar, kejayaan program atau anugerah yang diterima. Gunakan angka, peratus atau hasil yang boleh diukur sekiranya ada, bagi menguatkan bukti dan menunjukkan keberkesanan anda sebagai pendidik.

4. Adakah perlu menyertakan sijil kursus tambahan dalam resume guru?

Ya. Sijil tambahan menunjukkan bahawa anda aktif meningkatkan kemahiran dan pengetahuan. Ia turut mencerminkan kesungguhan anda terhadap kerjaya pendidikan, terutamanya jika berkaitan dengan pedagogi, teknologi bilik darjah atau strategi pengajaran terkini.

More from this category: Resumes

Top search terms

Want to know what people are searching for on Jobstreet? Explore our top search terms to stay across industry trends.

Explore related topics

Choose an area of interest to browse related careers.

Subscribe to Career Advice

Get expert career advice delivered to your inbox.
By providing your personal information, you agree to the Collection Notice and Privacy Policy. If you are under 18 years old, you must have parental consent for Jobstreet and affiliates to process your personal data. You can unsubscribe at any time.