Contoh resume kerja F&B yang profesional dan relevan

Contoh resume kerja F&B yang profesional dan relevan
Jobstreet content teamupdated on 23 September, 2025
Share

Industri F&B merupakan bidang yang dinamik dan menawarkan peluang kerjaya dalam perkhidmatan pelanggan, dapur, serta pengurusan operasi. Banyak syarikat makanan dan minuman di Malaysia mencari individu yang cekap, bertenaga, dan mampu bekerja dalam persekitaran yang pantas.

Resume kerja dalam industri F&B perlu disediakan secara ringkas, jelas, dan padat. Fokus utama harus diberikan kepada kemahiran praktikal, pengalaman sebenar di lapangan, serta kebolehan untuk mengendalikan tugasan dengan pantas dan berdisiplin.

Artikel ini akan membantu anda menyediakan resume yang lebih tersusun dan menarik perhatian majikan dalam industri F&B. Anda akan mempelajari elemen penting yang perlu dimasukkan serta contoh-contoh resume bagi pelbagai jawatan dalam bidang F&B.

Maklumat penting dalam resume kerja F&B

Resume untuk kerja F&B perlu padat dan fokus kepada kemahiran yang majikan cari. Pastikan setiap maklumat disusun kemas, mudah dibaca dan relevan dengan tugas yang dimohon.

  • Maklumat peribadi lengkap: Sertakan nama penuh, nombor telefon dan e-mel profesional. Elakkan alamat e-mel yang tidak sesuai.

  • Profil ringkas diri: Nyatakan ringkasan pengalaman kerja F&B, kemahiran  utama dan sikap kerja anda secara ringkas.

  • Pengalaman kerja terdahulu: Senaraikan jawatan, tempat kerja, tempoh, dan tugasan utama seperti ambil pesanan, sediakan makanan atau urus bayaran.

  • Pendidikan dan sijil berkaitan: Masukkan tahap pendidikan dan sijil seperti Sijil Pengendalian Makanan atau kursus keselamatan makanan.

  • Kemahiran praktikal: Tekankan kemahiran seperti kerja berpasukan, layanan pelanggan, pengurusan masa serta multitasking semasa waktu sibuk.

  • Rujukan jika perlu: Jika diminta, boleh nyatakan rujukan bekas majikan. Pastikan mereka bersetuju sebelum letak maklumat.

Maklumat ini bantu majikan kenal pasti kesesuaian anda untuk kerja F&B. Struktur yang jelas juga menunjukkan anda seorang calon yang teratur.

Contoh resume kerja F&B

Secawan kopi latte di atas meja kayu dengan buku nota kosong dan pen hitam di sebelah.

Terdapat pelbagai cara untuk menyusun resume yang sesuai mengikut pengalaman, tahap kemahiran, dan jenis jawatan dalam industri F&B. Anda boleh mengubah suai kandungan berdasarkan keperluan dan latar belakang anda sendiri.

Berikut adalah beberapa contoh resume khusus untuk industri F&B: 

1. Resume pembantu dapur (peringkat asas)

Nama

Nur Aina Binti Hasan

Telefon

012-3456789

E-mel

[email protected]

Alamat

Bandar Seri Putra, Selangor

Ringkasan Profil

Minat yang mendalam dalam kerja dapur dan persekitaran F&B. Berpengalaman membantu dalam penyediaan makanan semasa latihan industri. Seorang yang pantas, rajin, dan sentiasa menitikberatkan kebersihan.

Pengalaman Kerja

Latihan Industri – Kafe Rasa, Shah Alam (Jan 2023 – Mac 2023)

  • Membantu memotong bahan mentah, menyusun stok, dan menjaga kebersihan kawasan dapur.
  • Belajar mengendalikan peralatan dapur dan mematuhi SOP keselamatan makanan.
  • Membersihkan peralatan dan membantu dapur semasa waktu puncak

Pendidikan

SPM – SMK Bandar Seri Putra (Tamat 2021)

Sijil & Kursus

Sijil Pengendalian Makanan (2023)

Kemahiran

  • Pantas dan fokus semasa kerja dapur
  • Menjaga kebersihan dan tahu asas penyediaan makanan
  • Boleh bekerja syif dan bersedia belajar perkara baharu

Rujukan

Pn. Rosnah, Penyelia Latihan Industri, Kafe Rasa (017-6543210)

2. Resume barista (separa mahir)

Nama

Adam Firdaus Bin Ramli

Telefon

013-8765432

E-mel

[email protected]

Alamat

Puchong Perdana, Selangor

Ringkasan Profil

Barista yang berdedikasi dengan lebih 2 tahun pengalaman dalam penyediaan minuman dan perkhidmatan pelanggan di kafe. Mahir menggunakan mesin espresso, menjaga kebersihan kawasan kerja, dan memastikan kepuasan pelanggan. Seorang yang cekap, mesra, dan mampu bekerja di bawah tekanan terutamanya semasa waktu sibuk.

Pengalaman Kerja

Barista – D’Cafe Express, Kuala Lumpur (Mac 2020 – Sept 2020)

  • Menyediakan minuman panas dan sejuk seperti kopi, latte dan cappuccino.
  • Membersihkan kaunter bar dan memastikan peralatan dibasuh mengikut SOP.
  • Menyambut pelanggan dengan ramah serta membantu mencadangkan minuman mengikut cita rasa mereka.
  • Mempelajari teknik asas pengendalian bar dan susun atur bahan untuk servis pantas.

Pendidikan

Sijil Kemahiran Barista – Kolej Komuniti Setapak (Tamat 2021)

  • Modul merangkumi teknik penyediaan espresso, asas latte art, dan pengendalian mesin kopi profesional.
  • Menjalani latihan amali dalam pengurusan kaunter, kebersihan F&B, serta komunikasi dengan pelanggan.

Sijil & Kursus

  • Sijil Latihan Barista (2021)
  • Sijil Pengendalian Makanan (2022)

Kemahiran

  • Mahir mengendalikan mesin espresso dan mengaplikasikan teknik asas latte art.
  • Cekap dalam memberikan perkhidmatan pelanggan yang mesra dan profesional.
  • Mampu bekerja syif panjang serta menyesuaikan diri dalam persekitaran kerja yang pantas.
  • Menjaga kebersihan kawasan kerja dan memastikan peralatan barista sentiasa dalam keadaan bersih dan teratur.

Rujukan

Encik Azlan, Pengurus Cawangan D’Cafe Express (012-7778899).

3. Resume chef de partie (mahir)

Nama

Farhana Binti Roslan

Telefon

012-9123456

E-mel

[email protected]

Alamat

Cheras, Kuala Lumpur

Ringkasan Profil

Chef de Partie dengan pengalaman lebih 5 tahun dalam dapur hotel dan restoran fine dining. Mahir mengurus stesen masakan panas, melatih staf junior, serta memastikan kualiti hidangan sentiasa konsisten dan mematuhi standard operasi.

Pengalaman Kerja

Chef de Partie – Hotel UrbanStay, Kuala Lumpur (Ogos 2020 – Sekarang)

  • Mengurus stesen grill dan sauté untuk hidangan masakan Barat.
  • Merancang menu harian bersama ketua chef.
  • Memastikan pematuhan piawaian HACCP dalam penyediaan bahan dan pengurusan stor.
  • Melatih commis chef dalam teknik asas memasak dan plating profesional.

Commis Chef – Restoran Olive Grove, Damansara (Jan 2018 – Julai 2020)

  • Membantu dalam penyediaan mise en place.
  • Memasak menu brunch, salad, dan pasta.
  • Mengawal kebersihan dapur mengikut SOP yang ditetapkan.

Pendidikan

Diploma Seni Kulinari – Kolej Vokasional Sungai Buloh (Tamat 2017)

Sijil & Kursus

  • Sijil Pengendalian Makanan (2023)
  • Kursus HACCP Awareness
  • Latihan Asas Pengurusan Dapur

Kemahiran

  • Teknik memasak panas dan pengendalian dapur profesional
  • Pengurusan stok dan tempahan bahan mentah
  • Pengurusan staf dapur dan penyediaan jadual kerja
  • Mampu bekerja syif panjang dan dalam situasi tekanan tinggi

Rujukan

Chef Halim, Executive Chef, Hotel UrbanStay (013-8877665)

4. Resume pengurus restoran (profesional)

Nama

Jonathan Lim Kai Wen

Telefon

017-3344556

E-mel

[email protected]

Alamat

Georgetown, Pulau Pinang

Ringkasan Profil

Pengurus restoran dengan 7 tahun pengalaman dalam industri F&B. Mahir mengurus operasi harian, pasukan yang besar, dan mencapai KPI perniagaan. Berfokus kepada kualiti perkhidmatan serta kepuasan pelanggan sebagai keutamaan utama.

Pengalaman Kerja

Pengurus Restoran – Dine&Co, Penang (Jan 2021 – Sekarang)

  • Mengurus operasi outlet berkapasiti 60 tempat duduk dengan 15 orang staf.
  • Memantau jualan, kos operasi, dan mengawal kerugian bahan mentah.
  • Mengendalikan latihan staf baharu, aduan pelanggan, dan audit dalaman.
  • Menjalinkan kerjasama dengan vendor serta merancang promosi bulanan.

Penolong Pengurus – Rasa Lounge Café, Penang (Feb 2017 – Dis 2020)

  • Menyokong pengurus dalam pengurusan waktu puncak dan operasi harian.
  • Bertanggungjawab terhadap jadual staf, pengurusan stok barangan, dan penyusunan SOP.

Pendidikan

Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hospitaliti – UUM (Tamat 2016)

Sijil & Kursus

  • Kursus Pengurusan Operasi Restoran (MRA)
  • Sijil Pengendalian Makanan
  • Bengkel Latihan Perkhidmatan Pelanggan

Kemahiran

  • Kepimpinan pasukan, audit perkhidmatan, dan pengurusan kos.
  • Fasih dalam Bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin.
  • Mahir menggunakan sistem POS dan perisian inventori F&B.
  • Mampu mengurus lebih daripada satu outlet jika diperlukan.

Rujukan

Puan Anita, Area Manager, Dine&Co (019-6655443)

5. Resume pelayan restoran (peringkat asas/separa mahir)

Nama

Nurul Aina Binti Zulkifli

Telefon

011-22667744

E-mel

[email protected]

Alamat

Seremban, Negeri Sembilan

Ringkasan Profil

Pelayan restoran yang mesra dan cekap, dengan pengalaman selama 1 tahun dalam perkhidmatan pelanggan. Mahir dalam layanan pantas, memastikan kebersihan meja, dan berkomunikasi dengan jelas bersama pasukan dapur.

Pengalaman Kerja

Pelayan – Restoran Selera Kampung, Seremban (Julai 2023 – Sekarang)

  • Mengambil pesanan pelanggan dengan tepat dan efisien.
  • Menghidangkan makanan serta memastikan susun atur meja sentiasa kemas.
  • Mencadangkan menu istimewa kepada pelanggan tetap dan baharu.
  • Mengendalikan bayaran di kaunter apabila diperlukan.

Pendidikan

SPM – SMK Dato' Shah Bandar, Seremban (Tamat 2022)

Sijil & Kursus

  • Sijil Pengendalian Makanan (2023)
  • Kursus Asas Servis Pelanggan (Kolej Komuniti)

Kemahiran

  • Layanan pelanggan yang sopan dan efisien.
  • Kerja berkumpulan dengan pelayan lain dan staf dapur.
  • Mampu berdiri lama dan bekerja pada waktu malam atau hujung minggu.
  • Mahir menyusun bil dan mengurus keutamaan meja pelanggan.

Rujukan

Encik Rizal, Penyelia Operasi, Restoran Selera Kampung (013-9988774)

Tips menulis resume kerja F&B yang menarik perhatian majikan

Resume untuk kerja dalam industri F&B perlu ringkas, padat, dan terus menonjolkan kemahiran praktikal. Majikan ingin melihat sama ada anda sesuai untuk bekerja dalam persekitaran yang pantas dan berorientasikan pelanggan. Gunakan gaya penulisan yang profesional tetapi mudah difahami.

  • Guna bahasa mudah dan profesional: Elakkan penggunaan ayat berbunga atau terlalu panjang. Gunakan bahasa yang jelas, langsung, dan mudah untuk menyampaikan maklumat dengan pantas.

  • Fokus kepada kemahiran yang boleh digunakan terus di tempat kerja: Nyatakan kemahiran seperti layanan pelanggan, kerja di dapur, atau kemahiran mengendalikan mesin yang berkaitan, yang boleh terus digunakan apabila bekerja.

  • Sertakan pengalaman kerja sambilan, latihan industri, atau pengalaman sukarela: Semua pengalaman praktikal, walaupun bukan kerja tetap, boleh membantu majikan menilai tahap kesiapsiagaan dan kemahiran sebenar anda.

  • Gunakan bullet points untuk menyenaraikan tugas: Maklumat yang disusun dalam bentuk senarai titik (bullet points) lebih mudah dibaca dan difahami oleh majikan, serta nampak lebih kemas.

  • Resume satu muka surat, format kemas dan mudah dibaca: Pastikan resume tidak melebihi satu muka surat. Gunakan nombor telefon bimbit yang aktif, jarak perenggan yang cukup, dan tajuk yang jelas. Elakkan penggunaan warna yang terlalu terang atau reka bentuk yang berlebihan.

Kesalahan biasa dalam resume F&B

Barista wanita menyediakan minuman di kafe, dikelilingi oleh bekas berisi biskut dan peralatan kopi.

Walaupun resume kerja F&B kelihatan mudah, ramai calon masih melakukan kesilapan yang boleh menjejaskan peluang untuk dipanggil ke temu duga. Kenal pasti dan elakkan kesalahan-kesalahan ini agar resume anda kekal relevan dan mampu menarik perhatian majikan.

  • Gagal sesuaikan resume dengan jawatan dipohon: Menggunakan satu resume untuk semua jawatan menyebabkan isi terlalu umum. Sesuaikan mengikut posisi agar lebih relevan dan menarik perhatian majikan.

  • Maklumat peribadi tidak dikemas kini: Gunakan nombor telefon dan alamat e-mel yang aktif. Pastikan nama penuh dan alamat juga dinyatakan secara profesional.

  • Tiada pengalaman langsung dalam F&B disebut: Walaupun anda baru bermula, nyatakan pengalaman seperti latihan industri, kerja sambilan, atau tugasan berkaitan dapur dan pelanggan.

  • Sertakan hobi atau aktiviti sekolah yang tidak relevan: Elakkan mengisi resume dengan maklumat yang tidak membantu majikan menilai kelayakan anda untuk jawatan yang ditawarkan.

  • Format terlalu panjang atau bersepah: Resume kerja F&B sebaiknya tidak melebihi satu muka surat. Gunakan bullet point dan susun isi mengikut tajuk yang jelas serta mudah dibaca.

Resume F&B yang baik boleh buka peluang kerja lebih cepat

Resume kerja F&B yang ringkas, padat, dan relevan mampu memberikan kelebihan besar dalam proses pemilihan. Majikan dalam industri ini menghargai calon yang boleh segera menyesuaikan diri dengan operasi harian.

Walaupun anda tidak mempunyai pengalaman penuh, resume yang disusun dengan baik tetap mampu membawa anda ke peringkat seterusnya dalam kerjaya. Pastikan setiap maklumat yang anda nyatakan jelas menunjukkan kesediaan anda untuk bekerja, belajar, dan menyumbang.

Soalan lazim

1. Adakah saya perlu pengalaman kerja untuk mohon kerja F&B?

Anda tidak wajib mempunyai pengalaman kerja untuk memohon kerja dalam industri F&B. Ramai majikan sedia mengambil pekerja tanpa pengalaman jika anda menunjukkan minat yang tinggi, rajin, dan boleh belajar dengan cepat. Pengalaman kerja sambilan atau latihan industri juga boleh membantu.

2. Adakah saya perlu ada sijil pengendalian makanan untuk mohon kerja dapur?

Ya, kebanyakan majikan lebih suka calon yang mempunyai sijil pengendalian makanan, terutamanya untuk jawatan di dapur. Sijil ini menunjukkan bahawa anda tahu asas keselamatan makanan dan boleh mengendalikan bahan mentah dengan betul. Sesetengah majikan malah menjadikannya sebagai syarat wajib.

3. Berapakah jumlah muka surat yang sesuai untuk resume F&B?

Resume untuk permohonan kerja F&B paling sesuai disediakan dalam satu muka surat sahaja. Majikan F&B biasanya mencari maklumat yang ringkas, padat, dan mudah dibaca. Elakkan menulis terlalu panjang kerana mereka mungkin tidak sempat meneliti semua kandungan.

4. Adakah saya perlu membuat resume yang berbeza jika memohon jawatan lain dalam F&B?

Ya, anda disarankan untuk mengubah suai resume jika memohon jawatan yang berbeza dalam industri F&B. Setiap jawatan memerlukan kemahiran yang berbeza, jadi resume perlu disesuaikan agar selari dengan keperluan kerja tersebut. Ini menunjukkan bahawa anda serius dan memahami peranan yang dimohon.

More from this category: Resumes

Top search terms

Want to know what people are searching for on Jobstreet? Explore our top search terms to stay across industry trends.

Explore related topics

Choose an area of interest to browse related careers.

Subscribe to Career Advice

Get expert career advice delivered to your inbox.
By providing your personal information, you agree to the Collection Notice and Privacy Policy. If you are under 18 years old, you must have parental consent for Jobstreet and affiliates to process your personal data. You can unsubscribe at any time.