Contoh Surat Cuti Kerja Tanpa Gaji Sebab Kecemasan, Sakit atau Alasan Peribadi

Contoh Surat Cuti Kerja Tanpa Gaji Sebab Kecemasan, Sakit atau Alasan Peribadi
Jobstreet content teamupdated on 29 April, 2024
Share

Memohon cuti kerja tanpa gaji boleh menjadi perkara yang merunsingkan bagi para pekerja, lebih-lebih lagi jika tiada persediaan rapi sebelum mengambil cuti. Patutkah anda menulis surat rasmi? Bagaimana jika permohonan cuti tanpa gaji anda ditolak? Bagaimana pula dengan
beban kerja anda sepanjang tempoh cuti? Ini adalah antara aspek-aspek yang anda perlu ambil kira bagi mengurangkan gangguan kerja semasa ketiadaan anda di pejabat.  

Jenis-Jenis Cuti yang Ditawarkan kepada Pekerja

Sebagai pekerja di Malaysia, anda layak menerima pelbagai faedah cuti kerja bergantung pada situasi anda. Selain daripada cuti kerja tanpa gaji, berikut adalah senarai jenis cuti lain yang anda perlu ketahui.

Cuti Kerja Mandatori

Cuti jenis ini WAJIB diberikan oleh pihak majikan kerana ia tertulis dalam Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022). Jika tidak dipatuhi, pihak syarikat boleh dikenakan tindakan undang-undang.  

  • Cuti tahunan
  • Cuti umum
  • Cuti sakit
  • Cuti hospitalisasi
  • Cuti bersalin/Cuti materniti
  • Cuti paterniti

Cuti Kerja Tambahan

Cuti jenis ini tidak dinyatakan dalam Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022), maka ia terserah kepada budi bicara pihak majikan. Namun, kebanyakan syarikat telah pun menawarkan cuti kerja tambahan seperti di bawah:

  • Cuti tanpa gaji
  • Cuti ihsan/Cuti kematian ahli keluarga terdekat
  • Cuti perkahwinan
  • Cuti belajar
  • Cuti sambutan hari lahir
  • Cuti menunaikan Haji/Umrah

Bilakah cuti kerja tanpa gaji ‘boleh’ diambil?

Cuti kerja tanpa gaji selalunya diambil oleh pekerja apabila cuti bergaji lain telah habis digunakan. Kebiasaannya, pekerja memohon cuti tanpa gaji bagi menyelesaikan hal peribadi atau hal kecemasan yang tidak dapat dielakkan seperti kecemasan perubatan atau menjaga ahli keluarga sakit.

Kadangkala, anda mungkin berhasrat untuk melaksanakan sesuatu yang memakan masa lebih lama, misalnya pergi melancong  ke luar negara, memberi tumpuan pada penulisan tesis (jika anda pelajar sambilan universiti), atau menunaikan ibadah umrah/haji.

Bagi sesetengah polisi syarikat, anda belum layak menikmati cuti tahunan sehingga cukup setahun kerja atau sehingga tempoh percubaan (probation period) telah selesai. Jadi jika anda ingin memohon cuti dalam jangka masa ini, anda hanya mempunyai pilihan cuti kerja tanpa gaji sahaja. 

Langkah Persediaan Sekiranya Ingin Mengambil Cuti Kerja Tanpa Gaji

Memohon cuti kerja tanpa gaji bukanlah semudah seperti yang anda sangka. Dalam alam pekerjaan, setiap tindakan perlu mengikut prosedur tertentu kerana ia melibatkan produktiviti pekerja lain.

Langkah 1 : Menilai keperluan memohon cuti kerja tanpa gaji

Mengambil cuti tanpa gaji boleh meninggalkan impak negatif pada pelbagai aspek kehidupan anda seperti prestasi kerja, bonus, job security, dan kewangan peribadi—-terutamanya jika anda merancang untuk memohon cuti tanpa gaji secara berpanjangan. 

Oleh sebab itu, tindakan utama sebelum meneruskan permohonan cuti adalah sebaik-baiknya mengetahui dengan pasti tujuan anda mengambil cuti tanpa gaji. Adakah alasan cuti tersebut berbaloi untuk mengorbankan sebahagian daripada gaji anda, atau adakah lebih baik untuk menjadualkan semula urusan tersebut pada hari lain tanpa perlu mengambil cuti tanpa gaji?

Langkah 2 : Membuat perancangan awal

Sekiranya tujuan permohonan cuti tanpa gaji anda bukan bersifat kecemasan (contohnya pergi melancong, menyelesaikan hal belajar, menunaikan ibadah umrah atau Haji dan lain-lain, ini bermakna anda mempunyai kesempatan untuk merancang dengan teliti. Selewat-lewatnya permohonan dibuat SEBULAN sebelumnya. Lagi awal, lagi baik.

Perancangan yang teratur mampu memberi masa yang secukupnya kepada pihak majikan, ketua jabatan, serta rakan-rakan kerja yang terlibat bagi membuat persediaan sewajarnya sepanjang ketiadaan anda. 

Salah satu tips perancangan—menentukan tempoh paling sesuai untuk mengambil cuti tanpa gaji—dapat mengurangkan tekanan kerja bukan sahaja pada anda, malah pada rakan kerja lain juga. Sebaiknya, elakkan memilih tarikh semasa musim puncak syarikat iaitu ketika kebanyakan staf perlu mengejar deadline (tarikh akhir) penting. 

Langkah 3 : Memaklumkan kepada pihak majikan

Sebaik sahaja menentukan tarikh untuk memohon cuti kerja tanpa gaji, anda hendaklah membuat permohonan dalam bentuk surat rasmi kepada pihak majikan atau Jabatan Sumber Manusia syarikat bagi mendapatkan kelulusan cuti.

Untuk pengetahuan anda, majikan berhak menolak permohonan cuti anda jika:

  •  ia tidak mematuhi polisi Syarikat
  • alasan cuti yang dikemukakan tidak munasabah
  • diberi notis lewat
  • terdapat konflik jadual dengan cuti pekerja lain

Oleh itu, anda dinasihatkan untuk berbincang baik dengan pihak majikan bagi mencapai kata persetujuan. Lebih bagus lagi, bentangkan pelan tindakan (action plan) yang terperinci agar ia mampu meyakinkan pihak majikan untuk mempertimbangkan permohonan cuti anda. 

Langkah 4 : Memberitahu rakan kerja lain

Sekiranya permohonan cuti tanpa gaji anda telah diluluskan, langkah seterusnya adalah menyampaikan berita ini kepada kakitangan lain yang berkenaan.  

Jika anda bekerja dalam syarikat besar, pengumuman kebiasaanya dilakukan melalui e-mel out-of-office. Bagi syarikat kecil yang jarang mempraktikkan kaedah e-mel, anda boleh menghantar teks rasmi dalam kumpulan Whatsapp syarikat atau jabatan anda.  

Pastikan segala maklumat penting berkaitan ketiadaan anda disertakan seperti tempoh cuti dan staf bertanggungjawab yang boleh dihubungi. Komunikasi sebegini akan menunjukkan sifat profesionalisme anda sebagai pekerja.

Langkah 5 :  Menjelaskan pengagihan beban kerja 

Sebelum menyerahkan tugasan, anda harus bersidang dengan ketua jabatan dan rakan kerja lain bagi menentukan pembahagian kerja yang sesuai.

Dengan menyenaraikan tugasan yang perlu dilaksanakan (to-do list) mengikut keutamaan, risiko gangguan kerja dapat dikurangkan dan kelancaran gerak kerja sepanjang tempoh cuti anda lebih terjamin. 

Anda turut digalakkan menyediakan dokumen garis panduan bagi skop kerja anda sebagai rujukan buat rakan kerja yang terlibat, termasuk tugasan semasa dan tarikh-tarikh penting. Dokumen ini boleh dimuat naik melalui platform perkongsian atas talian seperti Google Drive yang boleh diakses dengan mudah oleh setiap rakan kerja pada bila-bila masa.

Persediaan kerja yang rapi sebelum mengambil cuti membuktikkan anda seorang pekerja yang bertanggungjawab dan gigih dalam memberikan komitmen pada tugas, meskipun anda tiada secara fizikal di pejabat.

Alternatif Selain Cuti Tanpa Gaji

Mengambil cuti tidak berbayar lama-kelamaan boleh menjejaskan kelangsungan hidup anda. Oleh itu, anda mungkin ingin berkongsi cadangan yang dapat menyokong work-life balance dengan pihak majikan.

Bekerja secara hybrid

Cara kerja ini dapat memberikan anda fleksibiliti dari segi masa. Anda mungkin boleh meminta untuk bekerja dari rumah bagi hari-hari tertentu agar dapat memenuhi keperluan peribadi dan
menjalankan tugas pada masa yang sama.

Berkongsi kerja

Jika pada masa ini hanya anda seorang sahaja yang memikul tanggungjawab skop kerja, anda boleh cuba berbincang dengan ketua jabatan atau pihak majikan untuk menugaskan satu atau dua pembantu yang mampu mengambil alih kerja anda semasa tempoh cuti.

Contoh Surat Cuti Kerja Tanpa Gaji

Apa-apa pun alasan anda, bersedialah untuk menulis surat rasmi memohon cuti kerja tanpa gaji. Jika anda tak tahu apa yang perlu disertakan, rujuklah contoh surat rasmi berikut.

Kesimpulan

Walaupun majikan tidak membayar gaji anda selama cuti panjang, anda masih seorang pekerja di syarikat tersebut yang mempunyai tanggungjawab tertentu.

Sebelum pergi bercuti, pastikan anda selesaikan segala tugas yang diperlukan dan memastikan bahawa apa-apa tugas yang perlu dilaksanakan ketika anda bercuti akan dikendalikan oleh rakan kerja.

Apabila menulis surat untuk memberitahu majikan, pastikan anda jujur dengan alasan anda. Selepas itu, anda boleh berbincang dengan lebih terpeinci bersama majikan.

More from this category: Workplace wellbeing

Top search terms

Want to know what people are searching for on Jobstreet? Explore our top search terms to stay across industry trends.

Subscribe to Career Advice

Get expert career advice delivered to your inbox.
You can cancel emails at any time. By clicking ‘subscribe’ you agree to Jobstreet’s Privacy Statement.