Cuti Bersalin Untuk Suami: Ketahui Hak Anda

Cuti Bersalin Untuk Suami: Ketahui Hak Anda
Jobstreet content teamupdated on 02 September, 2024
Share

Tahukah anda bahawa suami juga berhak mengambil cuti paterniti selama tujuh hari apabila isterinya bersalin? Cuti paterniti adalah tempoh cuti berbayar yang diberikan kepada pekerja lelaki untuk menjaga isteri dan bayi yang baru dilahirkan.

Artikel ini akan membincangkan hak-hak yang perlu diketahui oleh suami, kepentingan cuti paterniti, syarat-syarat untuk layak menerima cuti paterniti berbayar, dan cara memohon cuti paterniti.

Cuti paterniti untuk pekerja lelaki : Akta kerja 1955

Akta Kerja 1955 adalah undang-undang yang mengawal selia hak-hak pekerja di Malaysia, termasuk masa kerja, gaji, cuti, dan faedah-faedah lain yang berhubung dengan pekerjaan. Akta ini penting kerana ia melindungi hak pekerja daripada eksploitasi majikan serta memastikan wujudnya persekitaran kerja yang adil dan saksama.

Pindaan telah dibuat pada Akta Kerja 1955 pada tahun 2023 untuk memperbaiki hak-hak pekerja. Salah satu perubahan terbaru ini adalah pengenalan cuti paterniti selama tujuh hari untuk pekerja lelaki. Cuti ini diberikan secara berterusan mulai daripada tarikh isteri bersalin, termasuk hari rehat Sabtu dan Ahad serta hari kelepasan am.

Cuti paterniti berbayar

Cuti bersalin yang diberikan kepada suami adalah cuti berbayar, yang bermaksud suami akan menerima gaji penuh sepanjang tempoh cuti tersebut. Langkah ini penting untuk memastikan kewangan keluarga terjamin, membolehkan mereka yang baru menerima cahaya mata tidak menghadapi tekanan atau beban kewangan.

Selain itu, cuti paterniti membolehkan suami memberikan sokongan emosi dan fizikal yang sangat diperlukan oleh isteri selepas bersalin, serta mengambil peranan aktif dalam penjagaan anak yang baru lahir. Ini memastikan kesejahteraan dan kesihatan keluarga terpelihara.

Kepentingan cuti bersalin untuk suami

Cuti bersalin untuk suami juga memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan hubungan keluarga. Kehadiran suami di rumah semasa tempoh peralihan ini membolehkan pasangan saling menyokong dan berkongsi tanggungjawab yang datang dengan kelahiran bayi baru.

Suami dapat terlibat secara langsung dalam penjagaan bayi, seperti membantu menukar lampin dan menenangkan bayi, yang bukan sahaja membina ikatan yang kuat dengan anak tetapi juga membantu isteri pulih dengan lebih cepat.

Cuti bersalin membolehkan suami dan isteri bekerjasama dalam menguruskan kehidupan keluarga yang baru, memastikan harmoni dan kesejahteraan keluarga dalam jangka masa panjang.

Syarat-syarat untuk layak menerima cuti bersalin paterniti berbayar

Cuti paterniti hanya diberikan kepada pekerja lelaki yang telah berkahwin secara sah

Berikut adalah beberapa syarat yang perlu dipatuhi oleh suami yang memohon cuti paterniti:

  1. Perkahwinan yang sah: Cuti paterniti hanya diberikan kepada pekerja lelaki yang telah berkahwin secara sah dengan pasangannya.
  2. Tempoh khidmat: Anda mesti telah berkhidmat dengan majikan yang sama sekurang-kurangnya selama 12 bulan sebelum memulakan cuti.
  3. Pemakluman cuti: Anda perlu memaklumkan majikan sekurang-kurangnya 30 hari sebelum tarikh jangkaan bersalin isterinya atau secepat mungkin selepas kelahiran anak.
  4. Bilangan kelahiran: Kelayakan cuti paterniti berbayar adalah terhad kepada maksimum lima kali kelahiran, tanpa mengira bilangan isteri.

Lihat juga: Tips dan contoh surat tunjuk sebab tidak hadir kerja: panduan wajib untuk pekerja

Prosedur untuk memohon cuti bersalin untuk suami

Berikut adalah cara bagaimana suami boleh memohon cuti bersalin.

Pemberitahuan awal: Anda perlu memaklumkan majikan sekurang-kurangnya 30 hari sebelum tarikh jangkaan bersalin isteri. Ini membolehkan majikan membuat persediaan bagi menggantikan tugas anda semasa cuti. Sekiranya kelahiran berlaku lebih awal daripada jangkaan, anda harus memaklumkan majikan secepat mungkin.

Penyediaan dokumen: Anda perlu menyediakan dan menyerahkan dokumen yang diperlukan kepada bahagian sumber manusia atau pihak yang bertanggungjawab di tempat kerja anda.

Permohonan Dalam Talian: Jika syarikat menggunakan sistem HR dalam talian, permohonan cuti mungkin perlu dilakukan melalui sistem tersebut.

Dokumen permohonan

Untuk memohon cuti paterniti berbayar, beberapa dokumen perlu disediakan dan diserahkan kepada majikan sebagai bukti kelayakan anda. Antara dokumen yang biasanya diperlukan termasuklah:

Surat Pengesahan Kehamilan: Suami perlu menyediakan Surat pengesahan kehamilan daripada doktor atau institusi perubatan yang sah sebagai bukti bahawa isteri anda sedang hamil dan dijangka akan bersalin.

Surat Permohonan Cuti Paterniti: Surat rasmi yang memohon cuti paterniti perlu disediakan. Dalam surat ini, anda harus menyatakan tarikh jangkaan bersalin serta tempoh cuti yang dimohon.

Salinan Sijil Perkahwinan: Sesetengah majikan mungkin akan meminta salinan sijil perkahwinan sebagai bukti bahawa anda telah berkahwin secara sah. Ini adalah untuk memastikan bahawa anda memenuhi syarat-syarat kelayakan untuk cuti paterniti berbayar.

Komponen surat permohonan cuti paterniti

1. Struktur asas

  • Kepala Surat:

- Butiran pengirim seperti nama,jawatan,nama syarikat dan alamat syarikat Anda.
⁠- Butiran penerima seperti nama dan alamat majikan.
⁠- Tarikh
⁠- Baris subjek

2. Isu surat

  • Salam pembuka (Gunakan "Nama Majikan atau Pengurus Sumber Manusia”)
  • Perenggan pembuka / penjelasan: Nyatakan tujuan surat anda dengan jelas, contoh:
    ⁠“Dengan ini saya ingin memohon cuti bersalin paterniti selama tujuh hari, bermula dari [tarikh mula cuti hingga habis cuti]. Permohonan ini adalah berdasarkan tarikh jangkaan bersalin isteri saya yang telah disahkan oleh doktor, seperti yang dilampirkan dalam dokumen sokongan.”
  • Pernyataan sokongan: Memberikan butiran dan konteks, contoh: ⁠“Saya akan menyediakan maklumat lanjut sekiranya diperlukan dan akan kembali ke pejabat sebaik sahaja cuti berakhir.”

3. Pernyataan penutup

  • Perenggan penutup, contoh:
    ⁠“Saya akan memastikan semua tugas yang diberikan kepada saya selesai sebelum saya mengambil cuti paterniti.”
  • Nota terima kasih, contoh:
    ⁠“Terima kasih atas sokongan dan kerjasama.”
  • Nama dan tandatangan anda

Contoh surat permohonan cuti paterniti

Berikut adalah contoh surat memohon cuti bersalin untuk suami.

Rizal bin Ahmad
⁠Jabatan pemasaran
⁠Syarikat ABC Sdn. Bhd.
⁠Jalan Sejahtera 1,
⁠53300 Kuala Lumpur

1 Jun 2024

Kepada:
⁠Puan Aisyah binti Dahlan

⁠Pengurus sumber manusia
⁠Syarikat ABC Sdn. Bhd.
⁠Jalan Sejahtera 1,
⁠53300 Kuala Lumpur

Puan,

PERMOHONAN CUTI PATERNITI

Dengan segala hormatnya, saya Rizal Bin Ahmad dari Jabatan Pemasaran, ingin memohon kemudahan cuti paterniti selama 7 hari bermula dari 1 Julai 2024 sehingga 7 Julai 2024. Permohonan ini dibuat berdasarkan tarikh jangkaan bersalin isteri saya pada 1 Julai 2024 yang telah disahkan oleh doktor. Sebagai dokumen sokongan, sijil pengesahan kehamilan dan tarikh jangkaan bersalin daripada doktor turut disertakan bersama surat ini.

Saya akan memastikan semua tugas yang diamanahkan diselesaikan sebelum cuti paterniti bermula dan akan memberikan sebarang maklumat tambahan jika diperlukan. Saya juga komited untuk kembali bertugas sebaik sahaja cuti paterniti ini tamat.

Saya amat menghargai pertimbangan dan sokongan yang diberikan oleh pihak puan.

Sekian, terima kasih.

Yang benar,

(Tandatangan)

Rizal Bin Ahmad
⁠Jabatan Pemasaran
⁠Syarikat ABC Sdn. Bhd.

Tanggungjawab majikan

bapa penyayang dengan bayi yang baru dilahirkan

Majikan berperanan penting dalam menghormati hak pekerja lelaki untuk mengambil cuti paterniti. Pihak syarikat perlu merancang dan menyediakan cuti bersalin bagi suami dengan memastikan prosedur permohonan yang jelas dan mudah difahami.

Di samping itu, majikan juga perlu memberikan taklimat mengenai hak ini pada awal kemasukan pekerja, agar mereka sedar akan hak mereka sejak mula bekerja.

Cuti paterniti yang diberikan tanpa sebarang diskriminasi atau penalti menunjukkan bahawa syarikat menghargai dan menyokong pekerja dalam menjalankan tanggungjawab keluarga. Langkah ini bukan sahaja membantu mengekalkan kesejahteraan pekerja, tetapi juga membina budaya kerja yang positif dan inklusif.

Implikasi undang-undang jika majikan tidak mematuhi peraturan

Sekiranya majikan gagal mematuhi peraturan mengenai cuti paterniti, mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa. Menurut pindaan Akta Kerja 1955 yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2023, pihak yang melanggar peruntukan akta ini boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000.00.

Dengan memastikan kepatuhan kepada peraturan-peraturan ini, majikan bukan sahaja mengelakkan risiko tindakan undang-undang, tetapi juga memupuk persekitaran kerja yang adil dan menyokong kesejahteraan pekerja, khususnya dalam tempoh penting seperti kelahiran anak.

Tips dan panduan untuk pekerja dan majikan

Berikut adalah tips dan panduan untuk para suami dan majikan bagi memastikan operasi kerja tidak terganggu sepanjang cuti bersalin.

Untuk pekerja

  1. Memberitahu awal tentang kehamilan isteri: Adalah penting untuk memaklumkan majikan mengenai kehamilan isteri seawal mungkin. Ini akan membantu dalam merancang tempoh cuti dengan teliti, termasuk persediaan kewangan dan logistik.

    ⁠Ketahui hak-hak anda sebagai pekerja yang layak menerima cuti paternity berbayar selama 7 hari. Anda juga boleh mengambil cuti paterniti walaupun isteri tidak bekerja, asalkan syarat-syarat lain dipenuhi.
  2. Merancang kerja semasa cuti paterniti: Bincangkan aturan kerja dengan majikan dan pasukan anda. Adalah berguna untuk menyediakan senarai tugas dan tanggungjawab anda di tempat kerja serta melatih rakan sekerja untuk mengambil alih tugas-tugas penting semasa ketiadaan anda.

    ⁠Menggunakan teknologi seperti aplikasi pengurusan projek atau kalendar dalam talian juga boleh membantu dalam memastikan semua urusan kerja disusun dengan baik dan mudah dipantau.
  3. Fleksibiliti bekerja: Anda juga boleh berbincang dengan majikan mengenai kemungkinan bekerja dari rumah atau jadual kerja fleksibel jika keadaan mengizinkan. Ini akan membolehkan anda menguruskan masa dengan lebih baik di antara tanggungjawab kerja dan keluarga.

Untuk majikan

Untuk memastikan operasi syarikat berjalan lancar semasa ketiadaan pekerja yang mengambil cuti paterniti, majikan perlu mengambil beberapa langkah proaktif.

  1. Komunikasi dengan pekerja: Majikan perlu berkomunikasi secara efektif dengan pekerja sebelum cuti bermula untuk memastikan semua urusan kerja disusun dengan baik dan tiada tugasan yang tertangguh.
  2. Pengurusan kerja: Selain itu, sediakan pelan kontingensi yang komprehensif untuk menguruskan kerja semasa ketiadaan pekerja. Latih pekerja lain untuk mengambil alih tugas sementara semasa tempoh cuti paterniti jika perlu.

    ⁠Langkah-langkah ini dapat memastikan kelancaran operasi syarikat dan memastikan hak dan kebajikan pekerja dijaga dengan baik.

Kesimpulan

Cuti bersalin untuk suami merupakan langkah progresif yang memberikan peluang kepada bapa untuk turut serta dalam fasa penting kehidupan keluarga mereka.

Dengan memahami hak-hak yang diperuntukkan di bawah Akta Kerja 1955 pindaan 2022, suami dapat merancang cuti mereka dengan lebih baik dan memberikan sokongan yang diperlukan kepada isteri serta bayi baru lahir.

Sementara itu, majikan perlu memainkan peranan aktif dalam memastikan hak ini dihormati dan dipatuhi, dengan menyusun perancangan tugas yang teratur.

Dengan kerjasama yang baik antara pekerja dan majikan, keseimbangan antara kerja dan kehidupan keluarga dapat dicapai, menjadikan persekitaran kerja lebih harmonis dan produktif. Ketahui hak anda, rancang dengan bijak, dan pastikan anda dan keluarga mendapat manfaat sepenuhnya daripada cuti paterniti yang diberikan.

Soalan lazim (FAQ) mengenai cuti bersalin di Malaysia

1. Apakah itu cuti bersalin untuk suami?

Cuti bersalin untuk suami, atau cuti paterniti, ialah tempoh cuti berbayar yang diberikan kepada pekerja lelaki untuk menjaga isteri dan bayi yang baru dilahirkan.

2. Berapa lama tempoh cuti bersalin untuk suami di Malaysia?

Tempoh cuti bersalin untuk suami di Malaysia adalah selama 7 hari bagi setiap kelahiran.

3. Apakah syarat-syarat untuk layak menerima cuti bersalin berbayar untuk suami?

Pekerja lelaki tersebut mestilah berkahwin secara sah dengan pasangannya, telah bekerja sekurang-kurangnya 12 bulan dengan majikan yang sama sebelum memulakan cuti, dan memaklumkan majikan sekurang-kurangnya 30 hari sebelum isterinya bersalin atau secepat mungkin selepas kelahiran.

4. Bagaimanakah cara memohon cuti bersalin untuk suami?

Sediakan surat pengesahan kehamilan isteri, tulis surat permohonan cuti paterniti, dan hantar kepada majikan sekurang-kurangnya 30 hari sebelum tarikh jangkaan bersalin atau secepat mungkin selepas kelahiran.

5. Bolehkah tempoh cuti bersalin untuk suami dipanjangkan?

Tempoh cuti bersalin untuk suami adalah tetap selama 7 hari dan tidak boleh dipanjangkan.

More from this category: Your employment rights

Top search terms

Want to know what people are searching for on Jobstreet? Explore our top search terms to stay across industry trends.

Subscribe to Career Advice

Get expert career advice delivered to your inbox.
You can cancel emails at any time. By clicking ‘subscribe’ you agree to Jobstreet’s Privacy Statement.