Faktor Pemilihan Kerjaya & Cara Plan Kerjaya

Faktor Pemilihan Kerjaya & Cara Plan Kerjaya
Jobstreet content teamupdated on 11 October, 2024
Share

Memilih kerjaya adalah salah satu keputusan penting yang boleh mempengaruhi kejayaan dan kepuasan masa depan anda.

Sesetengah individu mungkin sudah mempunyai hala tuju yang jelas, manakala yang lain mungkin cuba menyesuaikan diri mengikut peluang pekerjaan yang ada. Semuanya bermula dengan memahami keinginan dan aspirasi peribadi.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar penyertaan tenaga buruh negara mencapai 70.3% pada Mei 2024. Ini menunjukkan rakyat kita semakin berdaya saing dalam pasaran kerja, mencerminkan pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan yang lebih baik, serta penggunaan kemahiran dan bakat yang lebih berkesan.

Oleh itu, jika anda sedang mencari peluang kerjaya yang sesuai, sama ada anda graduan baru atau ingin bertukar kerjaya, teruskan membaca untuk mendapatkan tips memilih kerjaya yang tepat dan panduan merancang kerjaya untuk kestabilan jangka panjang.

Apakah faktor yang menentukan pemilihan kerjaya?

Pemilihan kerjaya yang tepat adalah penting untuk memastikan kepuasan dan kejayaan jangka panjang. Berikut adalah faktor-faktor yang dapat membentuk kehidupan profesional dan kepuasan hidup anda dalam memilih kerjaya yang ideal

1. Minat

Minat boleh datang daripada hobi, pengalaman, atau aktiviti. Sebagai contoh, anda mungkin telah meminati permainan robot sejak kecil, dan minat tersebut boleh dijadikan kerjaya sebagai Jurutera Robotik melalui kemahiran dalam sains dan teknologi.

Program STEM, iaitu singkatan bagi ‘Science’, ‘Technology’, ‘Engineering’, dan ‘Mathematics’, juga giat dilancarkan di sekolah rendah dan menengah sebagai salah satu inisiatif untuk mencungkil minat anak muda sejak awal."

2. Bakat dan kemahiran peribadi

Untuk mengenal pasti dan menilai kekuatan anda dalam sesuatu bidang, anda boleh cuba membuat inventori kemahiran.

Senaraikan bakat atau kemahiran yang anda miliki, kemudian selaraskan dengan matlamat kerjaya anda. Anda boleh menilai kemahiran anda melalui dua kategori: kemahiran insaniah (soft skills), seperti komunikasi dan penyelesaian masalah serta kemahiran teknikal (hard skills), seperti menganalisis data atau reka bentuk.

Jika anda seorang yang mesra dan petah berbicara, anda mungkin akan berjaya dalam bidang jualan, pemasaran, atau perhubungan awam. Bidang-bidang ini memerlukan kebolehan komunikasi yang sangat baik.

3. Peluang pekerjaan dan prospek masa depan

Sebelum membuat pilihan, anda juga perlu menilai peluang pekerjaan yang ada di pasaran semasa serta industri yang akan datang. Luangkan masa untuk membuat penyelidikan bagi mengenal pasti jenis pekerjaan yang mempunyai permintaan tinggi.

Menurut laporan “Digital Talent Snapshot Q1 2024” oleh MDEC, kemahiran dalam bidang digital mendapat permintaan tinggi dalam kalangan majikan. Data Engineer dan Data Scientist adalah dua jawatan yang paling pesat berkembang di Malaysia sejajar dengan perkembangan ekonomi digital.

4. Gaji dan faedah pekerjaan

Ramai individu memilih kerjaya berdasarkan potensi gaji dan faedah seperti insurans kesihatan, cuti tahunan, dan bonus. Gaji yang tinggi dan faedah yang baik menjadi faktor utama dalam keputusan ini. Gaji dan faedah berbeza mengikut industri, lokasi, dan pengalaman.

Contohnya, sektor perubatan, kejuruteraan, dan IT sering menawarkan gaji lebih tinggi, terutama di kawasan metropolitan. Selain gaji, ramai yang mengutamakan keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi, dengan mencari majikan yang menawarkan mod pekerjaan hibrid atau sepenuhnya jarak jauh.

5. Kestabilan dan keselamatan pekerjaan

Dalam persekitaran ekonomi yang tidak menentu, seseorang akan cenderung memilih kerjaya yang menawarkan pekerjaan tetap serta pendapatan yang stabil. Ini penting untuk memastikan keselamatan kewangan jangka panjang, terutama jika mempunyai tanggungan seperti keluarga.

6. Pengaruh keluarga dan rakan-rakan

Di Malaysia, nilai kekeluargaan sering memainkan peranan utama dalam membuat pilihan hidup. Pendapat saudara terdekat dan rakan sebaya boleh memberi pengaruh yang kuat terhadap keputusan kerjaya.

Cara terbaik adalah dengan mengambil pengalaman role model anda sebagai inspirasi kerjaya. Proses tersebut dapat membantu anda membentuk gambaran untuk meneruskan laluan yang sama.

7. Pendidikan dan kelayakan akademik

Pendidikan dan kelayakan adalah salah satu faktor penting dalam pemilihan kerjaya. Tahap pendidikan dan jenis kelayakan yang dimiliki oleh seseorang boleh membuka peluang kepada pelbagai bidang kerjaya, khususnya yang memerlukan kemahiran atau pengetahuan khusus.

Sebagai contoh, untuk menjadi seorang doktor, peguam, atau jurutera, kelayakan akademik tertentu seperti ijazah atau lesen profesional adalah wajib. Ini membantu memastikan individu dalam kerjaya tersebut mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang mencukupi untuk menjalankan tugas dengan berkesan.

Faktor ekonomi semasa dalam pemilihan kerjaya

Seorang wanita senyum ketika berbicara dengan rakan sambil memegang tablet.

Keadaan ekonomi semasa memainkan peranan penting dalam mempengaruhi pemilihan kerjaya, terutamanya kerana ia menentukan permintaan untuk kemahiran tertentu dalam pelbagai industri. Apabila ekonomi berkembang atau menghadapi perubahan, keperluan terhadap kemahiran dan jawatan tertentu juga berubah.

Pada masa kini, banyak syarikat di Malaysia berusaha menawarkan peluang pekerjaan yang berkaitan dengan pertumbuhan ekonomi, manakala pencari kerja lebih cenderung memilih jawatan yang menawarkan kestabilan dan jaminan masa depan.

Menurut laporan Jobstreet “Hiring Compensation and Benefits Report 2024”, sektor-sektor yang sedang berkembang di Malaysia dengan peluang pekerjaan yang cerah termasuk:

  • Pentadbiran dan Sumber Manusia (39%)
  • Jualan dan Pembangunan Perniagaan (31%)
  • Perakaunan (29%)
  • Pemasaran dan Penjenamaan (21%)
  • Teknologi Maklumat (20%)

Peranan Pentadbiran dan Sumber Manusia menduduki tempat teratas dengan permintaan tertinggi. Ini disebabkan oleh peranan penting jabatan ini dalam menyelaraskan pengambilan pekerja berdasarkan trend pasaran.

Jabatan ini juga memastikan syarikat merekrut bakat yang sesuai untuk memenuhi keperluan masa depan, sekali gus membantu organisasi berkembang dan kekal kompetitif.

Sektor Pemasaran dan Teknologi Maklumat pula menyaksikan peningkatan permintaan pekerjaan berikutan keperluan terhadap pekerja yang berkemahiran teknikal dan profesional.

Tenaga kerja dalam bidang ini diperlukan untuk membantu syarikat memanfaatkan alat digital, mengekalkan kestabilan kewangan, dan mencipta kelebihan daya saing dalam pasaran yang semakin mencabar.

Maka, penting untuk anda memahami ekonomi semasa dan ketahui pekerjaan yang sedang trending supaya anda dapat menyelaraskan laluan kerjaya dengan sektor yang stabil.

Kesan pemilihan kerjaya

Membuat pilihan kerjaya yang tepat adalah satu keputusan penting yang boleh memberi kesan besar kepada kehidupan seseorang secara keseluruhan.

Pemilihan kerjaya harus didasarkan pada dorongan utama seperti minat, kemahiran, dan matlamat jangka panjang. Keputusan ini dapat mempengaruhi keseimbangan antara kehidupan peribadi dan profesional serta kesejahteraan mental dan fizikal.

Kesan positif pemilihan kerjaya yang sesuai termasuk:

  1. Kepuasan kerja dan kehidupan - Apabila kerjaya yang dipilih selari dengan minat dan nilai peribadi, ia akan meningkatkan kepuasan dalam kehidupan harian. Seseorang yang menikmati kerja mereka akan lebih bersemangat, merasa gembira, dan puas hati dengan kehidupan.
  2. Produktiviti dan prestasi yang tinggi - Kerjaya yang sesuai cenderung meningkatkan produktiviti dan prestasi di tempat kerja. Apabila anda seronok dengan pekerjaan anda, anda lebih cenderung untuk memberikan yang terbaik.

    ⁠Ini boleh membuka peluang untuk kenaikan pangkat, pengiktirafan profesional, dan pembangunan kerjaya yang lebih cerah.

Kesan negatif pemilihan kerjaya yang tidak tepat termasuk:

  1. Stress dan kekecewaan - Memilih kerjaya yang tidak sesuai boleh menyebabkan perasaan tertekan dan kecewa. Jika peranan kerja yang dipilih tidak selari dengan minat atau keupayaan, ia boleh menyebabkan individu berasa tertekan, tidak gembira, dan tidak berpuas hati dengan pekerjaan.
  2. Produktiviti dan prestasi yang rendah - Apabila seseorang tidak menyukai kerjanya, mereka cenderung kurang produktif dan prestasi kerja mereka menurun. Ini boleh memberi kesan negatif terhadap kualiti kerja yang dihasilkan, yang akhirnya boleh menjejaskan reputasi dan prospek kerjaya.

Oleh itu, penting untuk memahami kerjaya yang paling sesuai dengan diri sendiri dan mempunyai gambaran yang jelas mengenai masa depan. Memilih kerjaya yang tepat bukan sahaja membantu mencapai kejayaan profesional, tetapi juga memastikan kesejahteraan peribadi dan kebahagiaan dalam jangka panjang.

Untuk mula merancang hala tuju kerjaya anda, anda boleh memuat turun Career Development Planner secara percuma. Selain itu, anda juga boleh menjalani ujian personaliti yang selaras dengan bidang yang diminati.

Langkah-langkah pemilihan kerjaya yang ideal

Seorang wanita senyum di hadapan komputer riba di ruang kerja

Untuk merancang kerjaya yang efektif, berikut adalah 6 langkah bagaimana anda boleh membina masa depan yang lebih baik:

1. Penilaian diri dan penetapan matlamat

Langkah pertama dalam merancang kerjaya ialah memahami diri sendiri. Ini melibatkan penilaian dari segi minat, kekuatan dan kelemahan. Kenal pasti apa yang mendorong anda suka melakukan sesuatu.

Setelah anda mempunyai gambaran yang jelas, tetapkan matlamat yang khusus dan ingin dicapai. Matlamat ini perlu sejajar dengan aspirasi peribadi dan profesional anda, yang akan menyediakan hala tuju untuk perjalanan kerjaya anda.

2. Menyediakan rancangan jangka pendek dan jangka panjang

Dengan matlamat yang telah ditetapkan, bahagikan kepada dua objektif, iaitu jangka pendek dan jangka panjang. Ini akan membantu anda kekal fokus dan mengikuti perkembangan diri dengan lebih sistematik.

Dalam tempoh masa yang singkat, anda mungkin ingin mempelajari kemahiran baharu atau menyiapkan projek tertentu. Manakala, dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, tumpuan anda mungkin lebih kepada pencapaian seperti kenaikan pangkat atau perkembangan laluan kerjaya.

3. Mencari informasi dan membuat kajian pasaran kerja

Pastikan anda membuat kajian terhadap industri dan syarikat yang menarik minat anda. Lihat peranan pekerjaan, kelayakan yang diperlukan, dan kemahiran yang dicari oleh majikan pilihan.

Career AdviceCareer Advice. Pengetahuan sebegini penting untuk anda lebih peka dan bersedia.

4. Membangun kemahiran yang relevan dan memperoleh kelayakan yang diperlukan

Pembelajaran berterusan dan peningkatan diri adalah kunci untuk kekal berdaya saing dan maju dalam kerjaya anda, terutamanya kerana pasaran kerja hari ini semakin pesat dan sentiasa berubah.

Majikan sangat menghargai pekerja yang menunjukkan komitmen terhadap pertumbuhan profesional, kerana ini membuktikan bahawa anda mampu menyesuaikan diri mengikut keperluan organisasi. Selaraskan usaha pembelajaran berterusan anda dengan matlamat kerjaya serta jangkaan majikan bagi memastikan anda terus relevan dalam industri.

5. Mencari peluang latihan dan pengalaman kerja

Melibatkan diri dalam latihan industri, kerja sukarela, atau kerja sambilan yang berkaitan dapat memberikan pendedahan yang sangat besar.

Ini bukan sahaja membolehkan anda mengaplikasikan teori yang dipelajari, tetapi juga membantu anda menangani cabaran sebenar di tempat kerja. Peluang internship juga memberikan pengalaman profesional yang berharga, selain memberi anda bimbingan dan peluang untuk terlibat dalam projek-projek penting.

Malah, terdapat kemungkinan besar anda diserap sebagai pekerja sepenuh masa selepas tamat latihan. Begitu juga, kerja sambilan dapat membantu anda mengumpul pengalaman kerja yang berguna.

Manakala, bagi kerja sukarela pula, walaupun ia biasanya tidak dibayar, ia tetap menawarkan pengalaman yang berharga. Secara tidak langsung, ia menunjukkan dedikasi tinggi anda terhadap bidang yang diceburi.

6. Menyediakan resume dan persiapan temu duga yang baik

Resume yang anda sediakan merupakan kesan pertama terhadap bakal majikan. Pastikan kemahiran, pengalaman, dan pencapaian anda terserlah dengan jelas dan ringkas. Sesuaikan setiap resume mengikut keperluan permohonan kerja yang berbeza.

Begitu juga dengan persediaan temu duga. Amalkan menjawab soalan-soalan temuduga yang biasa ditanya, selidik latar belakang syarikat, dan bersedia untuk menonjolkan diri anda sebagai calon yang berdaya saing. Keyakinan dan persediaan yang baik boleh membezakan anda daripada calon lain.

Untuk panduan mengenai cara memohon pekerjaan, anda boleh membaca penulisan cara yang betul memohon kerja dan hantar resume melalui email.

Kesimpulan

Pilihan kerjaya yang ideal ada di tangan anda, oleh itu pastikan anda membuat keputusan yang bijak. Sentiasa nilai minat, bakat, dan keadaan ekonomi dari semasa ke semasa.

Di mana terdapat kekurangan, anda boleh memperbaikinya melalui mentoring atau dengan mengambil kursus pendek. Perkembangan diri dan keboleh suaian yang berterusan adalah kunci dalam mengemudi pasaran pekerjaan yang semakin berkembang pesat.

Ambil peluang untuk terus belajar, dan sentiasa bersedia menyesuaikan strategi kerjaya mengikut keperluan.

Dengan berbuat demikian, anda memastikan kerjaya anda kekal berdaya tahan dan bermanfaat, membantu anda berkembang dalam persekitaran yang dinamik dan berdaya saing.

Baca artikel selanjutnya untuk mendapatkan tips memilih kerjaya terbaik untuk anda.

Soalan lazim (FAQ) mengenai faktor pemilihan kerjaya & cara plan kerjaya

1. Apakah faktor pemilihan kerjaya dalam kalangan remaja?

Remaja masa kini cenderung memilih kerjaya berdasarkan minat mereka dalam bidang tertentu, yang memungkinkan mereka untuk merasa lebih terlibat dan puas dengan pilihan kerjaya mereka.

2. Bagaimanakah saya boleh mencari peluang pekerjaan yang sesuai dengan minat dan bakat saya?

Anda boleh mempertimbangkan sesuatu kerjaya dengan mencuba pekerjaan sambilan atau latihan industri. Jawatan part-time ini memberi peluang kepada anda untuk mencuba pelbagai bidang atau pengalaman, sekali gus membantu anda menilai sama ada sesuatu jawatan itu sesuai dengan minat dan kemahiran anda.

Ini juga membolehkan anda memperoleh pengalaman praktikal sebelum membuat keputusan kerjaya jangka panjang.

3. Bagaimanakah cara mencari peluang latihan dan pengalaman kerja?

Anda boleh mencari peluang latihan dan pengalaman kerja menggunakan platform Jobstreet, yang membolehkan anda mencari pelbagai jenis peluang pekerjaan mengikut trend terkini, pilihan lokasi, dan industri.

4. Bagaimanakah peranan teknologi dalam pemilihan kerjaya moden?

Teknologi memainkan peranan penting dalam pemilihan kerjaya moden dengan mencipta bidang kerjaya baharu, menawarkan peluang pembelajaran dalam talian, serta memperluaskan akses kepada peluang pekerjaan.

Ini membolehkan individu memperoleh kemahiran baharu dan memilih kerjaya yang relevan dengan perkembangan teknologi semasa..

5. Apakah ujian penilaian kerjaya yang boleh saya ambil untuk menentukan kerjaya yang sesuai untuk saya?

Untuk menentukan kerjaya yang sesuai, salah satu ujian yang paling umum dan asas yang boleh anda ambil ialah Indikator Jenis Myers-Briggs (MBTI). Ujian ini mengukur pilihan psikologi dalam cara individu melihat dunia dan membuat keputusan.

Ia membantu mengenal pasti kerjaya yang sesuai dengan jenis personaliti anda dan membolehkan anda membuat pilihan yang lebih tepat.

More from this category: Changing careers

Top search terms

Want to know what people are searching for on Jobstreet? Explore our top search terms to stay across industry trends.

Explore related topics

Choose an area of interest to browse related careers.

Subscribe to Career Advice

Get expert career advice delivered to your inbox.
You can cancel emails at any time. By clicking ‘subscribe’ you agree to Jobstreet’s Privacy Statement.