Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) atau SOCSO (Social Security Organisation) ialah badan berkanun Malaysia di bawah Kementerian Sumber Manusia yang menguatkuasakan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.
Perkeso menyediakan dan menguruskan perlindungan sosial komprehensif kepada tenaga kerja yang mencarum kepada skim-skim perlindungan pekerjaan. Ia memastikan pekerja beroleh manfaat seperti rawatan kesihatan percuma, kemudahan pemulihan, dan pampasan kewangan kepada ahli yang ditimpa bencana sewaktu bekerja.
Apakah jenis-jenis tuntutan Perkeso yang boleh dibuat apabila anda menimpa kemalangan semasa kerja? Baca selanjutnya untuk mengetahui cara bagaimana anda boleh claim dari Socso.
Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4)
Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 adalah undang-undanguntuk melindungi kebajikan tenaga kerja, khususnya berkaitan kemalangan di tempat kerja. Tiga objektif Akta ini adalah:
- Peruntukan Pampasan: Memastikan pekerja yang terlibat kemalangan di tempat kerja beroleh jumlah pampasan PERKESO yang setimpal
- Permudah Tuntutan: Melicinkan urusan tuntutan tanpa perlu melalui proses perundangan yang panjang.
- Tanggungjawab Majikan: Menggariskan tanggungjawab majikan sebagai satu komponen keselamatan pekerja.
Berdasarkan Akta ini, majikan wajib mencarum, secara bulanan, untuk setiap pekerja yang layak. Terdapat dua kategori caruman yang perlu diambil maklum:
- Caruman kategori pertama
a. Untuk pekerja bawah 60 tahun
b. Merangkumi manfaat Skim Bencana Kerja dan Skim Keilatan
c. Kadar caruman adalah 1.75% untuk bahagian majikan dan 0.5% untuk bahagian bekerja, diambil daripada gaji bulanan
d. Pekerja yang belum berumur 60 tahun wajib mencarum dalam kategori ini, kecuali mereka berumur lebih 55 tahun dan tidak pernah mencarum. - Caruman kategori kedua
a. Untuk pekerja atas 60 tahun
b. Merangkumi Skim Bencana Kerja
c. Kadar caruman adalah 1.25% untuk bahagian majikan
d. Pekerja baharu yang berumur 55 tahun wajib mencarum dalam kategori kedua.
Jenis-jenis Tuntutan Perkeso
Perlindungan PERKESO terbahagi kepada tiga iaitu:
- Skim Bencana Pekerjaan
- Skim Keilatan
- Sistem Insurans Pekerjaan
1. Skim Bencana Pekerjaan
Skim Bencana Pekerjaan merupakan sejenis tuntutan kemalangan untuk melindungi pekerja yang mengalami kemalangan ataupun penyakit sewaktu bekerja. Berikut adalah perlindungan yang diberikan di bawah Skim Bencana Pekerjaan.
1. Perlindungan sewaktu bekerja
a. Pencarum mengalami kecederaan dalam waktu bekerja.
2. Perlindungan sewaktu dalam perjalanan ke tempat kerja
a. Pencarum mengalami kecederaan sewaktu dalam perjalanan dari rumah ke tempat kerja.
b. Pencarum mengalami kecederaan sewaktu dalam perjalanan ke tempat makan, dalam waktu rehat yang dibenarkan.
3. Perlindungan sewaktu dalam kecemasan
a. Pencarum mengalami kecederaan sewaktu membantu orang lain dalam kecemasan di tempat kerja
4. Penyakit khidmat
a. Pencarum menghidap penyakit yang berpunca daripada pekerjaannya seperti yang disenaraikan dalam Jadual Kelima, Akta 4.
b. Contoh Penyakit khidmat ialah:
i. Kehilangan deria dengar disebabkan pendedahan kepada bunyi bising di tempat kerja.
ii. Penyakit asma disebabkan pendedahan berpanjangan kepada habuk atau bahan kimia di tempat kerja.
Tuntutan Penyakit Pekerjaan
PERKESO melindungi pencarum daripada penyakit yang dihadapi berkaitan pekerjaan. Berikut adalah senarai penyakit yang boleh claim SOCSO :
- Keracunan bahan kimia
- Antraks
- Glanders
- Leptospirosis
- Ulser
- Ulser krom
- Radang, ulcer, atau penyakit malignan pada kulit disebabkan sinar radioaktif
- Jaundis toksik
- Bular panas sinaran
- Selulitis subkutis atau bursitis di lutut
- Selulitis subkutis di tangan
- Selulitis subkutis atau bursitis di siku
- Bengkak di lapik sonival sendi pergelangan tangan
- Kejang atau strok haba
- Kejang tangan atau lengan disebabkan pergerakan berulang-ulang
- Penyakit berkaitan udara mampat
- Tuberkulosis, kusta, viral hepatitis.
- Rosak pendengaran
- Dermatitis khidmat
- Penyakit disebabkan getaran
- Barah paru-paru disebabkan asbestos
- Penyakit bronko pulmonari
- Gangguan paru-paru
- Asma khidmat disebabkan agen pemekaan atau pengganggu
- Pneumokoniosis
- Barah disebabkan bahan kimia
- Penyakit fibrotik paru-paru disebabkan habuk ditempat kerja
Sila rujuk kepada Jadual Kelima berada di Seksyen 28 Akta tersebut di muka surat 108 hingga 119.
Faedah dan Tuntutan Skim Bencana Pekerjaan
Antara faedah-faedah yang pencarum boleh claim dari Perkeso adalah seperti berikut:
1. Faedah Perubatan
- Pencarum yang menghidap penyakit khidmat boleh menerima rawatan percuma di klinik panel PERKESO ataupun kemudahan kesihatan kerajaan sehingga sembuh
- Untuk kecederaan serius, pencarum boleh mendapatkan rawatan di kemudahan kerajaan dengan kelayakan menduduki wad kelas 2 dan mana-mana rawatan pakar sekiranya perlu
- Pencarum boleh menuntut semula kos rawatan yang diterima di klinik bukan panel PERKESO, tertakluk kepada Akta Fee 1951.
2. Faedah Hilang Upaya Sementara (HUS)
- Diberikan kepada pencarum yang diberi cuti sakit tidak kurang daripada 4 hari, termasuk hari kemalangan, oleh doktor yang berdaftar. Faedah ini terbatal sekiranya pekerja masuk bekerja dan menerima gaji sewaktu cuti sakit.
- Pampasan adalah 80% daripada gaji purata harian dengan minimum RM30/hari dan maksimum RM132/hari.
3. Faedah Hilang Upaya Kekal (HUK)
- Pencarum yang mengalami kehilangan upaya kekal boleh memohon faedah ini.
- Pampasan adalah 90% daripada gaji purata harian dengan minimum RM30/hari ataupun maksimum RM118.50/hari.
- Tuntutan perlu dilakukan dalam tempoh 12 bulan daripada tarikh hilang upaya sementara.
- Pembayaran boleh dibuat secara pukal (taksiran <20%) ataupun bayaran 1/5 kadar faedah dibayar terus dan baki 4/5 dibayar bulanan sepanjang hayat (taksiran >20%).
4. Elaun Layanan Sentiasa
- Pencarum yang memerlukan pemantauan sentiasa seperti yang disahkan oleh Jemaah Doktor ataupun Jemaah Doktor Rayuan.
- Pampasan adalah RM500/bulan.
5. Kemudahan Pemulihan Jasmani/Vokasional
- Pencarum boleh menggunakan kemudahan fisioterapi, terapi pekerjaan, pembedahan rekonstruktif, pemakaian prostetik, ortotik, dan lain-lain alat.
- Semua perbelanjaan ditanggung PERKESO mengikut kadar dan syarat-syarat yang ditetapkan.
6. Faedah Orang Tanggungan (FOT)
- Waris pencarum boleh menerima faedah sekiranya berlakunya kematian.
- Pampasan adalah 90% daripada gaji purata harian dengan minimum RM30/hari ataupun maksimum RM148.50/hari.
- Balu boleh menerima sehingga 3/5 daripada pampasan sementara 2/5 kepada anak.
- Sekiranya pencarum tidak berkahwin dan tidak mempunyai anak, faedah akan diberikan kepada ibu-bapa, saudara lelaki/perempuan, ataupun datuk/nenek.
7. Faedah Pengurusan Mayat
- Waris layak menerima pampasan RM3,000 (bermula 1 Jun 2024) sekiranya pencarum meninggal dunia sewaktu bekerja ataupun sewaktu menerima HUK. Sekiranya tiada waris, faedah akan dibayar kepada pihak yang menguruskan pengkebumian pada kadar mengikut resit ataupun mana-mana yang lebih rendah.
8. Faedah Pendidikan
- Anak pencarum layak menerima pinjaman pendidikan sekiranya pencarum meninggal dunia sewaktu bekerja ataupun sewaktu menerima HUK.
- Kadar faedah ialah 2% dengan terma & syarat.
2. Tuntutan Hilang Upaya (Skim Keilatan)
Berbeza dengan Skim Bencana Pekerjaan yang melindungi pencarum yang ditimpa kemalangan tetapi masih boleh bekerja, skim keilatan melindungi pencarum yang ditimpa kemalangan sehingga dia tidak lagi boleh bekerja dalam bentuk Pencen Ilat.
Yang bagusnya tentang Skim Keilatan, ia memberikan perlindungan 24 jam kepada pekerja daripada keilatan atau kematian akibat daripada sebarang sebab termasuklah sebab yang tidak berkaitan dengan pekerjaan. Sekiranya pencarum didapati tidak lagi boleh bekerja, dia boleh memohon Notis Keilatan daripada Jemaah Doktor ataupun Jemaah Doktor Rayuan dan ia diperlukan sebagai dokumen pengesahan tentang keadaannya.
Pencen Ilat terbahagi kepada dua kategori dan kadarnya juga berbeza iaitu:
1. Kadar Pencen Ilat Berkelayakan Penuh
- Kadar pencen bermula 50% hingga 65% daripada gaji bulanan purata tertakluk kepada pencen minimum sebanyak RM550 sebulan.
- Kadar akhir adalah bergantung kepada bilangan caruman yang dibayar sepanjang mencarum menggunakan formula 1% tambahan untuk setiap 12 bulan caruman, tertakluk kepada maksimum 65% daripada gaji bulanan purata.
2. Kadar Pencen Ilat Berkelayakan Separa
- Kadar pencen pada 50% daripada gaji bulanan purata tertakluk kepada pencen minimum sebanyak RM550 sebulan.
- Diberikan kepada pencarum yang membayar tidak kurang daripada 1/3 bilangan caruman sepatutnya sepanjang tarikh masuk skim.
Syarat tuntutan PERKESO Pencen Ilat:
Bagi melayakkan pencarum menerima Pencen Ilat, syarat tuntutan PERKESO ini perlu dipenuhi iaitu:
- Pencarum belum mencapai umur 60 tahun sewaktu Notis Keilatan diterima, atau
- Pencarum yang berumur 60 tahun (bermula 1 Januari 2013) sewaktu Notis Keilatan diterima perlu menunjukkan bahawa dia menghidap keuzuran yang berkaitan ilat sebelum umur 60 tahun dan tidak lagi boleh bekerja untuk beroleh keuntungan sejak itu.
- Pencarum membayar caruman bulanan sekurang-kurangnya 24 kali dalam tempoh 40 bulan berturut-turut sebelum Notis Keilatan diterima.
3. Tuntutan Skim Insurans Pekerjaan (SIP)
Skim Insurans Pekerjaan (SIP) adalah inisiatif kerajaan di bawah Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) bagi melindungi mereka yang kehilangan pekerjaan. Antara faedah-faedah yang disediakan kepada Orang Berinsurans atau peserta skim adalah pengantian pendapatan serta membantu mereka untuk mendapatkan petempatan kerja secepat yang mungkin.
Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan (ESO) akan membantu peserta skim dalam usaha mencari pekerjaan baharu apabila peserta berdaftar dengan MuFutureJobs. Sekiranya tiada petempatan yang sesuai, peserta skim boleh menyerta mana-mana latihan kemahiran anjuran PERKESO sebagai sebahagian daripada program pasaran buruk aktif SIP.
Situasi Tuntutan Perkeso Selepas Berhenti Kerja termasuk:
Berikut adalah situasi-situasi yang membolehkan peserta SIP mengemukakan tuntutan:
- Pemberhentian kerja biasa
- VSS/MSS (skim pemisahan sukarela/persefahaman bersama)
- Penutupan tempat kerja kerana bencana alam (force majeure)
- Bankrap atau penutupan perniagaan
- Pembuangan kerja secara konstruktif
- Peletakan jawatan disebabkan gangguan seksual atau ugutan di tempat kerja
- Perletakan jawatan apabila diarah melaksanakan kerja di luar skop yang membahayakan keselamatan
Sumber: Laman Rasmi Perkeso
Syarat Tuntutan Faedah SIP
Peserta SIP layak menerima faedah SIP sekiranya:
- Memohon dalam tempoh 60 hari dari tarikh kehilangan pekerjaan
- Memenuhi syarat kelayakan caruman seperti mempunyai bilangan caruman yang mencukupi
- Tidak bekerja mengikut definisi kehilangan pekerjaan di bawah Akta SIP
Tuntutan dan Faedah SIP Perkeso dalam Kehilangan Pekerjaan
Sebanyak 6 faedah disediakan di bawah SIP iaitu:
- Elaun Mencari Pekerjaan (EMP)
a. Sebagai pengganti pendapatan sekiranya kehilangan sumber tunggal
b. Elaun diberikan untuk tempoh 3-6 bulan.
c. Tempoh bayaran berdasarkan Syarat Kelayakan Caruman. - Elain Pendapatan Berkurangan (EPB)
a. Sebagai pengganti pendapatan sekiranya kehilangan salah satu sumber pendapatan.
b. Kadar dan tempoh bayaran adalah sama dengan EMP
c. Bayaran secara pukal - Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA)
a. Insentif kewangan bagi pekerja yang mendapat petempatan dalam tempoh EMP
b. Kadar bayaran 25% daripada baki EMP yang belum dibayar
c. Bayaran secara pukal - Fi Latihan (TF)
a. Penerima EMP layak menerima elaun sekiranya menghadiri latihan vokasional kelolaan PERKESO.
b. Fi latihan sebanyak RM4,000 disediakan. - Elaun Latihan (TA)
a. Insentif harian sebanyak RM10 hingga RM20 berdasarkan gaji
b. Latihan perlu dihadiri bagi melayakkannya menerima elaun - Elaun Orang Tanggungan (EOT)
a. Elaun kepada salah seorang balu/duda/anak/ibu bapa/adik beradik/datuk nenek bagi peserta skim sekiranya berlaku kematian, koma, atau tidak sempurna akal.
b. Elaun tertakluk kepada baki tuntutan faedah EMP, EBSA, EFB, atau Elain Latihan yang belum dituntut berdasarkan Akta 800.
Proses Tuntutan Perkeso: Bagaimana cara membuat tuntutan Perkeso?
Proses tuntutan mengambil masa antara 3 hari hingga 14 hari bergantung kepada jenis tuntutan. Contohnya, 3 hari diperlukan untuk bayaran faedah pengurusan mayat sementara 14 hari diperlukan untuk bayaran faedah seperti hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, pencen ilat dan lain-lain.
Semakan Tuntutan Perkeso
Anda boleh lakukan semakan nombor PERKESO melalui beberapa cara.
- Secara fizikal di pejabat PERKESO yang berhampiran menggunakan nombor kad pengenalan dan juga melalui slip gaji.
- Semakan tuntutan PERKESO juga boleh dibuat dengan cara menghubungi pihak tersebut di talian 1-300-22-8000.
- Status pendaftaran majikan dan pekerja juga boleh disemak di laman web PERKESO di http://esemak.perkeso.gov.my/.
Tips dan Panduan untuk Pekerja dan Majikan
Untuk Pekerja
Sebagai seorang pencarum PERKESO, anda seharusnya cakna dengan jenis-jenis perlindungan yang disediakan seperti Skim Bencana Pekerjaan, Skim Keilatan, dan Sistem Insurans Pekerjaan. Semuanya mempunyai faedah-faedah yang tersendiri dan tuntutan boleh dilakukan secara dalam talian.
Berbincanglah dengan jabatan HR anda mengenai membuat tuntutan dari Socso. Atau anda juga boleh berhubung dengan Perkeso mengenai faedah yang anda layak terima dalam situasi anda dan cara membuat tuntutan.
Untuk Majikan
Majikan yang menggaji pekerja perlulah bertanggungjawab memastikan orang bawahan mereka berdaftar dibawah Perkeso dan membayar caruman tepat pada waktunya mengikut kadar yang telah ditetapkan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan Akta Insurans Pekerjaan 2017. Majikan juga perlu membantu pekerja mereka dalam proses tuntutan PERKESO.
PERKESO menyediakan senarai semak yang komprehensif bagi membantu majikan melicinkan proses tuntutan faedah dan ada beberapa faedah yang boleh dimohon secara dalam talian.
Anda sebagai majikan boleh menghantar pegawai HR anda untuk menghadiri kursus yang disediakan oleh Perkeso tentang skim-skim perlindungan pekerja.
Majikan juga perlu membantu pekerja mereka dalam proses tuntutan PERKESO.
Kesimpulan
PERKESO adalah sebuah badan yang menjaga kebajikan sosial pekerja di Malaysia. Makanya, penting untuk anda untuk mengetahui jenis-jenis tuntutan PERKESO yang ada dan bagaimanakah cara untuk memanfaatkannya supaya anda dan orang tanggungan anda tidak terputus sumber pendapatan, seandainya berlaku apa-apa kejadian luar jangka sewaktu bekerja.
Sebahagian besar transaksi ataupun permohonan kini boleh dibuat secara dalam talian di laman rasmi PERKESO. Maka, pastikan anda sentiasa lawati laman-laman rasmi dalam talian mereka untuk mendapatkan maklumat lanjut info-info terbaharu daripada mereka.
Soalan Lazim (FAQ) Mengenai Pengeluaran KWSP
1. Adakah saya boleh membuat tuntutan PERKESO selepas berhenti kerja?
Ada beberapa keadaan yang membolehkan anda melakukan tuntutan PERKESO selepas berhenti kerja. Kebanyakan faedah terletak di bawah Skim Insurans Pekerjaan. Anda boleh mendapatkan faedah seperti:
- Elaun mencari pekerjaan
- Elaun pendapatan berkurang
- Yuran latihan
- Elaun latihan
- Elaun bekerja semula awal
- Program Perkhidmatan Pekerjaan
2. Apakah senarai penyakit yang boleh claim PERKESO?
Maklumat lanjut tentang senarai penyakit yang dilindungi di bawah Penyakit Khidmat ada di dalam Jadual Kelima, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dimana sebanyak 27 penyakit khidmat layak menerima faedah PERKESO. Anda juga boleh membaca artikel Penyakit-penyakit Yang Boleh Claim Perkeso/Socso.
3. Adakah saya boleh membuat tuntutan PERKESO selepas umur 60 tahun?
Boleh. Skim Bencana Pekerjaan tidak memiliki had umur tuntutan dengan syarat anda memenuhi syarat-syarat caruman yang ditetapkan. Walau bagaimanapun, Skim Keilatan dan Skim Insurans Pekerja hanya terhad sehingga umur 60 tahun sahaja.
4. Adakah saya boleh membuat tuntutan Perkeso untuk kemalangan yang berlaku di luar waktu kerja?
Tidak. PERKESO hanya memberi perlindungan kepada pencarum yang ditimpa kemalangan di dalam waktu kerja. Namun, kerajaan kini sedang merangka Rang Undang-undang Keselamatan Sosial Pekerja Pindaan) 2024 untuk membolehkan faedah dipanjangkan di luar waktu kerja.
5. Adakah pekerja yang bekerja secara kontrak atau sementara layak untuk membuat tuntutan Perkeso?
Layak. Individu yang bekerja di bawah satu kontrak perkhidmatan ataupun kontrak perantisan dengan seorang majikan adalah tertakluk di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969. Dia wajib didaftarkan di bawah PERKESO dan layak menerima manfaat-manfaat yang ada.