10 Kerja Part-Time Yang Gaji Tinggi

10 Kerja Part-Time Yang Gaji Tinggi
Jobstreet content teamupdated on 12 August, 2024
Share

Tahukah anda bahawa kira-kira 40% daripada tenaga kerja di Malaysia terlibat dalam ekonomi gig? Kerja part-time gig ini penting dalam konteks ekonomi semasa kerana ia membantu individu menambah pendapatan dan memperbaiki kualiti hidup melalui fleksibiliti kerja.

Ia juga menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka yang kehilangan pekerjaan semasa pandemik COVID-19.Perkembangan pesat ekonomi gig di Malaysia telah menyaksikan lebih daripada 2.2 juta pekerja gig berdaftar dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Apakah jenis kerja part-time yang popular dan faktor-faktor yang menentukan gaji yang tinggi? Teruskan membaca untuk mengetahui lebih lanjut tentang hak pekerja sambilan dan 10 jenis kerja part-time bergaji tinggi yang boleh anda lakukan.

Faktor-faktor penentuan gaji kerja part-time

Gaji untuk kerja part-time boleh berbeza-beza bergantung kepada beberapa faktor penting iaitu:

1. Kemahiran

Kemahiran yang spesifik dan tinggi permintaan boleh menjadi penentu utama dalam menentukan gaji kerja part-time. Sebagai contoh, mereka yang mahir dalam pengaturcaraan komputer atau menggunakan perisian reka bentuk seperti Adobe Photoshop dan Illustrator berpeluang menerima gaji yang lebih tinggi.

Kemahiran khusus ini memberi nilai tambah berbanding dengan mereka yang hanya memiliki kemahiran yang lebih umum. Sebagai seorang pereka grafik part-time, gaji bulanan anda boleh berkisar antara RM200 hingga RM2,000, bergantung kepada bilangan projek dan tahap kemahiran anda.

2. Pengalaman

Pengalaman kerja dan relevansi memainkan peranan penting dalam menentukan struktur gaji pekerja sambilan. Jika anda mempunyai pengetahuan mendalam tentang sesuatu produk atau bidang, ini dapat meningkatkan keberkesanan kerja anda - suatu kriteria yang dicari oleh majikan.

Di Malaysia, gaji part-time bagi pekerja yang mempunyai pengalaman lebih daripada 3-5 tahun boleh berkisar antara RM20 hingga RM35 sejam. Jika dikira secara bulanan dengan anggaran 80 jam kerja sebulan, jumlah gaji bulanan adalah antara RM1,600 hingga RM2,800.

Angka ini mungkin berbeza mengikut industri dan kemahiran khusus yang dimiliki oleh pekerja tersebut.

3. Industri

Industri tertentu, seperti teknologi maklumat atau ekonomi digital, memerlukan kemahiran khusus seperti pembangunan aplikasi, analisis data, atau keselamatan siber.

Permintaan yang tinggi untuk pekerja dengan kemahiran ini, ditambah dengan kekurangan pekerja mahir, mendorong gaji yang lebih kompetitif berbanding industri lain yang kurang teknikal.

Sebagai contoh, pendapatan seorang programmer dalam industri digital biasanya purata sekitar RM80 sejam. Ini menunjukkan permintaan yang tinggi untuk kemahiran teknikal dan pengalaman dalam bidang ini.

4. Lokasi

Lokasi juga memainkan peranan penting dalam menentukan gaji. Di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur atau Johor Bahru, gaji mungkin lebih tinggi berbanding kawasan luar bandar disebabkan oleh kos sara hidup yang lebih tinggi.

Selain itu, bandar besar menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan yang berkembang pesat, yang mencipta permintaan besar untuk pekerja part-time.

Dengan mempertimbangkan semua faktor ini, pekerja part-time boleh memilih cara terbaik untuk meningkatkan potensi pendapatan mereka.

10 pekerjaan sambilan bergaji tinggi di Malaysia

Sekumpulan freelancers berbincang dengan gembira tentang pekerjaan sambilan bergaji tinggi yang mereka kendalikan

Berikutnya adalah senarai 10 pekerjaan sambilan bergaji tinggi yang boleh membantu anda mencari pendapatan tambahan yang sesuai dengan anda.

1. Penghantar makanan/Pemandu e-hailing

Industri penghantaran makanan dan e-hailing berkembang pesat di Malaysia, memberikan peluang kepada ramai individu untuk menjana pendapatan yang menarik. Kerja ini menawarkan fleksibiliti waktu kerja, membolehkan anda memilih masa yang sesuai untuk bekerja.

Pendapatan bergantung kepada jumlah perjalanan yang dilakukan, dengan anggaran gaji mencapai sehingga RM2,000 hingga RM3,000 sebulan, bergantung kepada prestasi dan lokasi anda. Antara platform popular untuk kerja part-time ini adalah Grab, Foodpanda, dan MisiRakyat.

2. Freelancer

Pekerjaan freelance serupa dengan pekerja kontrak di mana anda tidak menerima gaji tetap dari syarikat tetapi dibayar berdasarkan projek. Sebagai freelancer, anda boleh melibatkan diri dalam pelbagai bidang seperti penulisan, reka bentuk grafik, pembangunan web, atau latihan kemahiran.

Kerja freelance part-time secara dalam talian seperti data entry juga sesuai untuk pelajar kerana ia boleh dilakukan dari rumah tanpa modal.

Banyak Perusahaan Kecil dan Sederhana(PKS) dan syarikat besar mencari freelancer untuk projek-projek mereka. Pendapatan sebagai freelancer sangat berbeza mengikut jenis pekerjaan, tahap pengalaman, kemahiran, dan jumlah projek yang diambil.

Sebahagian freelancer yang berpengalaman dan mempunyai kemahiran khusus boleh mencapai pendapatan sehingga RM5,000 sebulan atau lebih, namun pendapatan ini tidak tetap dan boleh berubah-ubah bergantung kepada keadaan pasaran dan beban kerja.

Kelebihan menjadi freelancer termasuk kebebasan memilih projek dan klien, serta masa kerja yang fleksibel. Jika anda mencari kebebasan dalam kerjaya anda, pertimbangkanlah untuk menjadi freelancer.

Semak peluang freelance digital di platform seperti SayaDigitalFreelance MDEC.

3. Pengajar bahasa (Language tutor)

Jika anda mahir dalam sesuatu bahasa, ketahuilah bahawa kemahiran dan minat anda ini boleh dijadikan sebagai pekerjaan part-time yang lumayan. Terdapat permintaan yang tinggi untuk pengajar bahasa, terutamanya bagi bahasa Inggeris, Cina, dan bahasa-bahasa lain yang sering digunakan sebagai lingua franca.

Anda boleh mengajar secara online, di pusat pembelajaran, atau secara persendirian sebagai kerja dari rumah. Gaji untuk pekerjaan part-time ini boleh mencecah sehingga RM50-RM100 sejam, bergantung kepada bahasa yang diajar, tahap kemahiran anda, dan pengalaman mengajar.

Selain itu, pengajaran bahasa juga memberikan kepuasan tersendiri kerana anda membantu individu lain mencapai kemahiran komunikasi yang penting dalam dunia global masa kini.

4. Pencipta kandungan (Content creator)

Pekerjaan sebagai pencipta kandungan semakin berkembang pesat. Banyak jenama dan agensi mencari individu kreatif dengan pengikut media sosial yang ramai untuk mempromosikan produk atau servis mereka.

Selain itu, terdapat permintaan untuk pencipta kandungan yang khusus membuat video promosi tanpa mengira bilangan pengikut. Jika anda boleh menghasilkan video menarik, melakukan pemasaran kreatif, dan menarik audiens untuk menonton serta membeli produk, anda mempunyai masa depan yang cerah dalam bidang ini.

Ini adalah zaman kreatif di mana kandungan yang menarik dan berkualiti sangat bernilai. Anggaran pendapatan sebagai pencipta kandungan berbeza-beza bergantung kepada industri, bilangan pengikut, jenis kandungan yang dihasilkan, dan nilai yang diberikan kepada pengiklan atau klien.

Pekerjaan ini boleh memberikan pulangan yang lumayan dan boleh dilakukan sebagai kerja dari rumah. Jadi, jika anda mempunyai bakat dalam penciptaan kandungan, manfaatkan peluang ini untuk menjana pendapatan dan mengembangkan kerjaya anda!

5. Penjual online / Personal shopper

Jika anda berminat untuk menjana pendapatan tambahan dengan menjalankan perniagaan sendiri, pekerjaan sambilan sebagai penjual online atau personal shopper mungkin sesuai untuk anda.

Sebagai penjual online, anda boleh menjual pelbagai barangan, dari pakaian hingga aksesori, di platform jualan dalam talian seperti Shopee, Lazada, atau melalui media sosial. Penjual online juga boleh menawarkan produk seperti perabot dan elektronik, yang biasanya memerlukan pengurusan inventori dan logistik yang lebih terperinci.

Penjual online juga mempunyai fleksibiliti untuk menguruskan perniagaan mengikut masa anda sendiri, menjadikannya pilihan yang ideal bagi mereka yang ingin bekerja dari rumah atau mempunyai jadual yang fleksibel. Pendapatan sebagai penjual online boleh berbeza-beza bergantung kepada skala perniagaan:

  • Penjual baru atau kecil boleh menjana sekitar RM500 hingga RM2,000 sebulan.
  • Penjual berskala sederhana boleh mencapai RM2,000 hingga RM5,000 sebulan.
  • Penjual berskala besar pula boleh memperoleh sehingga RM5,000 hingga RM10,000 sebulan atau lebih.

Sebagai personal shopper pula, anda memberi perkhidmatan membeli-belah bagi pihak orang lain, membantu mereka memilih produk yang sesuai dengan keperluan dan bajet mereka. Dengan konsistensi dan perkhidmatan pelanggan yang baik, anda boleh memperoleh sehingga RM2,000 sebulan.

Dengan usaha yang konsisten dan pengetahuan yang baik tentang pasaran, kedua-dua peranan ini menawarkan peluang pendapatan yang lumayan melalui perniagaan dalam talian atau perkhidmatan peribadi.

6. Jurugambar

Di era visual ini, ramai yang mencari jurugambar kreatif dan berpengalaman untuk merakam momen indah dalam acara penting seperti pernikahan, perayaan, majlis konvokesyen, dan lain-lain.

Bayaran bagi perkhidmatan ini bergantung kepada jenis majlis, lokasi, tempoh masa, serta kemahiran anda. Jika anda berminat dengan kamera, teliti, suka mengambil gambar, dan kreatif, anda patut mempertimbangkan kerja part-time sebagai jurugambar.

Selain menjadi jurugambar acara, anda juga boleh mengambil gambar dan menjualnya secara online di pelbagai platform seperti Etsy dan Shutterstock. Ramai yang mencari gambar berkualiti tinggi dan sanggup membayar mahal untuk hasil karya yang menarik.

Peluang ini bukan sahaja membolehkan anda menjana pendapatan tambahan tetapi juga mengembangkan minat dan bakat anda dalam bidang fotografi.

7. Pembangun perisian

Pada zaman ini, tidak dapat dinafikan bahawa kemahiran coding boleh menjana pendapatan yang lumayan. Pembangun perisian yang memiliki kemahiran ini boleh terlibat dalam pengembangan aplikasi web atau mobile.

Gaji sebagai pembangun perisian sambilan boleh mencapai sehingga RM5,000 sebulan atau lebih, bergantung kepada tahap kemahiran, pengalaman, dan jenis projek yang dijalankan. Walaupun anda baru bermula, tidak terlambat untuk mempelajari dan mempersiapkan diri dengan kemahiran yang semakin meningkat permintaannya pada masa hadapan. Kerja ini boleh dilakukan dari rumah, menjadikannya sebagai kerja di rumah yang ideal.

8. Pereka bentuk grafik

Antara pilihan kerja part-time di rumah yang menguntungkan ialah sebagai pereka bentuk grafik. Anggaran gaji boleh mencapai sehingga RM3,000 sebulan atau lebih, bergantung kepada kemahiran dan dedikasi anda. Banyak syarikat yang mencari pereka bentuk grafik untuk membuat logo, banner dan pelbagai bahan pemasaran lain.

Portfolio yang baik akan mempamerkan kemahiran dan kreativiti anda, serta menarik klien yang sanggup membayar harga yang sesuai dengan kualiti kerja yang anda tawarkan. Pastikan portfolio anda sentiasa dikemas kini dengan projek-projek terkini untuk menonjolkan kepakaran dan kepelbagaian anda dalam reka bentuk grafik.

9. Agen insurans

Salah satu pekerjaan yang sesuai untuk mereka yang berpersonaliti extrovert, periang, pandai bercakap, dan mahir menjual ialah menjadi agen insurans. Sebagai agen insurans, anda boleh menjana pendapatan yang tinggi melalui komisen.

Waktu kerja yang fleksibel adalah satu kelebihan besar, membolehkan anda menyesuaikan jadual mengikut keperluan anda. Pendapatan anda akan bergantung pada jumlah klien atau polisi yang berjaya dijual.

Jika anda mencari kerja part-time pada hujung minggu atau hanya pada Sabtu dan Ahad, ini mungkin pilihan yang sesuai untuk anda.

10. Jurulatih peribadi

Seiring dengan trend terkini menuju gaya hidup sihat dan senaman di gimnasium, anda boleh menjana pendapatan sambilan sebagai jurulatih peribadi yang menyediakan latihan fizikal dan nasihat kesihatan.

Anda boleh menawarkan perkhidmatan sambilan ini melalui gimnasium atau secara freelance. Anggaran gaji boleh mencapai sehingga RM100 sejam, bergantung kepada jumlah klien dan masa bekerja.

Aplikasi dan sumber untuk mencari kerja part-time: Jobstreet

Seorang lelaki sedang menggunakan telefon bimbitnya untuk mencari peluang pekerjaan melalui sebuah aplikasi carian kerja

Mencari kerja part-time kini menjadi lebih mudah dengan bantuan aplikasi dalam talian. Salah satu aplikasi yang dipercayai di Malaysia adalah Jobstreet, yang menawarkan ribuan peluang pekerjaan part-time dari pelbagai industri.

Sama ada anda mencari kerja part-time di rumah, kerja part-time gaji hari, atau kerja part-time weekend, Jobstreet memudahkan anda mencari pekerjaan yang sesuai dengan keperluan anda. Apps ini mempunyai antara ciri mesra pengguna yang membolehkan anda menapis carian mengikut kategori pekerjaan, lokasi, dan gaji.

Tidak kira sama ada anda seorang pelajar, ibu rumah tangga, atau pekerja yang ingin menambah pendapatan, Jobstreet boleh membantu anda mencapai matlamat kerjaya anda.

Pekerjaan part time dan perlindungan pekerja

Adalah penting untuk anda mengetahui hak-hak anda sebagai pekerja part-time. Maklumat ini sangat berguna, terutama jika anda sedang mempertimbangkan untuk bekerja dalam bidang sambilan atau freelance, supaya anda boleh merancang pendapatan jangka panjang dengan lebih bijak.

Adakah pekerja sambilan dilindungi Akta Kerja 1955?

Ya, pekerja sambilan atau part-time di Malaysia dilindungi di bawah Peraturan-peraturan Kerja (Pekerja Separa Masa) 2010, yang merupakan sebahagian daripada Akta Kerja 1955.

Kerja sambilan didefinisikan sebagai pekerjaan yang mengambil masa tidak melebihi 70% daripada masa kerja biasa bagi seorang pekerja sepenuh masa dalam pekerjaan yang sama.

Hak-hak pekerja sambilan adalah setara dengan pekerja sepenuh masa, termasuk gaji minimum, cuti umum, cuti sakit, dan faedah lain, tetapi ia dikira secara pro rata berdasarkan jumlah jam kerja.

Adakah freelancer atau pekerja “casual” dilindungi Akta Kerja 1955?

Tidak. Menurut Peraturan-peraturan Kerja (Pekerja Separa Masa) 2010, pekerja sambilan yang diambil bekerja secara tidak tetap atau hanya apabila diperlukan, dan yang masa kerjanya dalam seminggu tidak melebihi 30% daripada kerja normal sepenuh masa, tidak dilindungi oleh peraturan ini.

Ini bermakna mereka tidak layak menerima faedah yang diperuntukkan kepada pekerja sepenuh masa, seperti cuti tahunan, cuti sakit, atau faedah penamatan kerja.

Namun, kerajaan Malaysia telah mengambil inisiatif untuk meningkatkan keselamatan sosial dan kesihatan kewangan bagi pekerja gig melalui Program Global Online Workforce (GLOW) di bawah MDEC, yang mempromosikan peluang kerjaya global melalui bimbingan untuk freelancer digital.

Pekerja gig dan freelancer harus memanfaatkan program-program yang sedia ada untuk meningkatkan prospek kerjaya mereka. Dengan sokongan seperti GLOW, pekerja gig dapat menjalani kerjaya yang berjaya dan stabil dalam ekonomi digital yang semakin berkembang.

Kesimpulan

Memilih kerja part-time yang sesuai berdasarkan kemahiran dan keperluan individu adalah penting untuk memastikan anda dapat menjana pendapatan tambahan dengan efektif.

Kerja part-time bukan sahaja membantu dari segi kewangan tetapi juga menawarkan fleksibiliti dan peluang untuk mengembangkan kemahiran. Dengan panduan tentang hak-hak pekerja part-time yang disediakan, semoga anda dapat membuat pilihan yang bijak untuk kerjaya anda.

Daftar atau kemas kini profil anda hari ini di JobStreet. Anda juga boleh layari halaman Sumber Kerjaya di JobStreet untuk mendapatkan lebih banyak panduan tentang cara mendapatkan pekerjaan part-time idaman anda.

Soalan lazim (FAQ) mengenai kerja part-time

1. Bagaimanakah saya boleh mencari kerja part-time yang sesuai?

Gunakan aplikasi carian kerja seperti JobStreet dan pastikan anda mempunyai resume yang berkualiti dan cover letter yang baik.

2. Adakah saya perlu mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk kerja part-time?

Tidak semestinya, tetapi jika anda menjalankan perniagaan sendiri, pendaftaran dengan SSM adalah disyorkan.

3. Bagaimanakah saya boleh mengelakkan penipuan dalam mencari kerja part-time?

Pastikan anda mencari pekerjaan melalui platform yang dipercayai dan elakkan daripada memberikan maklumat peribadi atau membayar wang kepada mana-mana pihak untuk mendapatkan peluang pekerjaan

4. Adakah saya perlu menyediakan resume untuk memohon kerja part-time?

Ya, menyediakan resume yang ringkas dan padat dengan maklumat yang berkaitan sangat penting untuk memohon kerja part-time.

5. Bolehkah kerja part-time dijadikan kerjaya jangka panjang?

Kerja part-time boleh dijadikan kerjaya jangka panjang, terutamanya jika anda mempunyai kemahiran dan pengalaman yang relevan. Dengan dedikasi dan pengkhususan dalam bidang tertentu, kerja sambilan boleh berkembang menjadi kerjaya yang stabil dan berterusan.

More from this category: Explore careers

Top search terms

Want to know what people are searching for on Jobstreet? Explore our top search terms to stay across industry trends.

Subscribe to Career Advice

Get expert career advice delivered to your inbox.
You can cancel emails at any time. By clicking ‘subscribe’ you agree to Jobstreet’s Privacy Statement.