Kerja shift Malaysia: Jenis, kelebihan, dan cara mengurus

Kerja shift Malaysia: Jenis, kelebihan, dan cara mengurus
Jobstreet content teamupdated on 31 December, 2024
Share

Kerja shift menjadi pilihan popular bagi ramai individu yang mencari fleksibiliti dan peluang baru. Bagi anda yang ingin menyesuaikan jadual kerja dengan gaya hidup peribadi atau komitmen lain, kerja shift menawarkan alternatif yang menarik dan berpotensi memberi manfaat besar kepada anda.

Dalam artikel ini, kami akan menerangkan dan membantu anda memahami pelbagai konsep kerja shift, fungsi, cara, kelebihan dan kekurangan dan tips-tips berguna.

Apa itu kerja shift?

Kerja shift merujuk kepada kerja yang pengaturan masa bekerja di luar jam kerja yang biasa seperti sembilan hingga lima. Ini melibatkan penjadualan pekerja untuk bekerja pada masa yang berbeza seperti waktu malam, pagi, siang, atau dalam pola giliran tertentu. 

Matlamat utama kerja shift adalah untuk memastikan operasi berjalan tanpa henti walaupun berada di luar waktu kerja, bagi memenuhi keperluan pelbagai industri.

Antara industri yang biasanya menggunakan kerja shift adalah industri perkhidmatan pelanggan, perhotelan, penyediaan makanan, perkhidmatan kesihatan, kilang, keselamatan dan pengangkutan.

Kenapa wujud jadual kerja shift?

Kerja shift memastikan segala kerja dan operasi syarikat berjalan lancar sepanjang hari dan malam. Antara industri yang memerlukan jadual waktu kerja shift untuk keperluan operasi 24 jam adalah perkilangan. 

Contohnya, dalam industri Khidmat Pelanggan, kerja shift memainkan peranan penting. Pasukan khidmat pelanggan di syarikat-syarikat ini bekerja mengikut jadual shift untuk memastikan sentiasa ada yang bersedia menjawab panggilan pengguna. 

Ini membolehkan mereka memberikan bantuan segera apabila masalah atau kecemasan berlaku, serta memastikan pengguna tidak dibiarkan tanpa sokongan pada bila-bila masa. Selain itu, perkhidmatan penting negara seperti Polis dan Anggota Kesihatan juga menggunakan kerja syif untuk memastikan keselamatan dan kesihatan rakyat terjaga. 

Jenis-jenis shift kerja

Suasana di dalam sebuah pejabat yang dipenuhi oleh pekerja

Pelbagai jenis shift kerja diwujudkan untuk memenuhi keperluan perniagaan dan keperluan pekerja. Dengan memahami jenis-jenis shift ini, serta kelebihan dan kekurangannya, individu dapat membuat keputusan yang tepat mengenai apa yang paling sesuai untuk keseimbangan kehidupan dan pekerjaan mereka.

1. Shift pagi (Day shift)

Shift pagi merujuk kepada waktu kerja yang bermula dari pagi hingga petang, biasanya dari pukul 9 pagi hingga 5 petang. Shift ini adalah pilihan popular kerana ia selaras dengan kehidupan harian biasa dan memberikan pekerja peluang untuk berinteraksi dengan keluarga dan rakan selepas waktu kerja. 

Selain itu, ia membolehkan pekerja melibatkan diri dalam aktiviti sosial, yang membantu mengekalkan hubungan sosial yang kukuh.

  • Contoh industri: Sektor perkhidmatan, pejabat, dan perkhidmatan pelanggan.

Kelebihan dan Kekurangan:

  • Kelebihan: Shift pagi membolehkan pekerja mengekalkan rutin harian yang teratur dan mempunyai lebih banyak masa untuk aktiviti sosial.

  • Kekurangan: Pekerja shift pagi perlu bangun awal dan komited kepada waktu kerja yang tetap setiap hari, yang boleh menjadi kurang sesuai bagi mereka yang lebih suka jadual fleksibel.

2. Shift petang (Afternoon shift)

Shift petang bermula dari tengah hari hingga malam, contohnya dari pukul 4 petang hingga tengah malam. Shift ini sesuai untuk individu yang lebih suka mempunyai waktu pagi untuk menguruskan urusan peribadi sebelum memulakan kerja.

  • Contoh industri: Pusat panggilan, hospital, dan restoran.

Kelebihan dan Kekurangan:

  • Kelebihan: Pekerja shift petang mempunyai fleksibiliti pada waktu pagi dan dapat mengelakkan kesesakan lalu lintas pada waktu puncak.

  • Kekurangan: Shift ini boleh mengganggu pola tidur dan menyebabkan ketidakseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi.

3. Shift malam (Night shift)

Shift malam melibatkan kerja dari malam hingga pagi, contohnya dari tengah malam hingga 8 pagi. Shift ini sesuai untuk mereka yang lebih produktif pada waktu malam dan gemar suasana kerja yang tenang.

  • Contoh industri: Kesihatan, keselamatan, dan tenaga. 

Kelebihan dan Kekurangan:

  • Kelebihan: Shift malam menawarkan elaun tambahan dan perjalanan ke tempat kerja yang bebas daripada kesesakan.

  • Kekurangan: Risiko kesihatan yang lebih tinggi dan kurangnya interaksi sosial adalah antara kekurangan shift malam.

4. Shift pecahan (Split shift)

Split shift membahagikan waktu kerja kepada dua sesi dalam sehari, seperti dari 8 pagi hingga 12 tengah hari dan 4 petang hingga 8 malam. Ini membolehkan pekerja mempunyai masa rehat yang panjang di antara dua sesi kerja.

  • Contoh industri: Perkhidmatan pelanggan, restoran, dan perniagaan runcit.

5. Shift tetap (Fixed shift)

Fixed shift adalah jadual kerja tetap di mana waktu bekerja adalah konsisten pada hari dan masa tertentu setiap minggu. Ini memberikan kestabilan kepada pekerja untuk merancang kehidupan mereka.

  • Contoh industri: Industri perkhidmatan pejabat, pembuatan, dan perkhidmatan.

6. Shift bergilir (Rotating shift)

Rotating shift melibatkan perubahan jadual kerja secara berkala, yang berubah mengikut kitaran mingguan atau bulanan. Contohnya, pekerja mungkin bertugas pada shift malam selama seminggu dan kemudian shift pagi pada minggu berikutnya. Ini memberikan pengalaman bekerja pada pelbagai waktu yang berbeza.

  • Contoh industri: Pengilangan, perkhidmatan kecemasan, dan perkhidmatan yang memerlukan operasi sepanjang masa.

7. Shift panggilan (On-call shift)

On-call shift memerlukan pekerja untuk bersedia bekerja apabila dipanggil. Ini memberikan fleksibiliti kepada majikan untuk memenuhi keperluan operasi yang mendesak.

  • Masa: Berdasarkan keperluan tugasan atau apabila dipanggil untuk bekerja.

  • Contoh industri: Perkhidmatan kecemasan, perubatan, dan industri dengan keperluan mendadak atau tidak terjadual.

Undang-undang berkaitan kerja shift

Kerja shift adalah penting dalam banyak industri, dan terdapat undang-undang yang harus dipatuhi oleh syarikat yang mengamalkan sistem ini. Akta Kerja 1955 adalah undang-undang utama yang mengawal selia waktu kerja pekerja shift di Malaysia. Seksyen 60C dalam Akta Kerja 1955 menetapkan beberapa peraturan penting mengenai kerja shift:

  • Pengiraan waktu kerja: Akta ini menetapkan cara pengiraan waktu kerja untuk pekerja shift, di mana waktu kerja tidak boleh melebihi 45 jam seminggu.

  • Kompensasi dan faedah: Akta ini juga menetapkan syarat untuk pembayaran tambahan kepada pekerja shift, termasuk kerja lebih masa.

Pekerja shift di Malaysia mempunyai hak yang dilindungi di bawah Akta Kerja 1955. Seksyen 60C merangkumi aspek seperti kerja lebih masa, hari rehat, cuti, KWSP, dan PERKESO - semua ini terpakai kepada pekerja shift. 

Selain itu, Seksyen 60A menetapkan hak pekerja shift untuk menerima bayaran lebih masa. Hak keselamatan dan kesihatan pekerja juga dilindungi oleh Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022.

Langkah keselamatan adalah penting untuk melindungi pekerja shift. Pekerja perlu diberikan latihan keselamatan menyeluruh, termasuk penggunaan peralatan dan prosedur kecemasan. 

Pemeriksaan kesihatan berkala juga diperlukan untuk mengesan sebarang masalah akibat jadual kerja yang tidak menentu. Selain itu, waktu kerja perlu diuruskan dengan baik, dengan jadual yang wajar dan rehat mencukupi bagi mengurangkan keletihan serta meningkatkan keselamatan pekerja.

Dua orang lelaki sedang berbincang mengenai kerja shift

Kelebihan dan kekurangan kerja shift

Kerja shift mempunyai kelebihan dan kekurangannya tersendiri. Bagi sesetengah individu, fleksibiliti yang ditawarkan oleh kerja shift sangat berharga, manakala yang lain mungkin mendapati perubahan jadual yang kerap sebagai satu cabaran besar. Mari kita lihat dengan lebih terperinci.

Kelebihan kerja shift

Berikut adalah beberapa kelebihan kerja shift yang menjadikannya pilihan popular bagi mereka yang mencari fleksibiliti dan peluang pendapatan tambahan.

Fleksibiliti waktu bekerja

Pekerja boleh memilih jadual yang sesuai dengan keperluan peribadi mereka, seperti menjaga anak-anak, menghadiri kelas, atau menyesuaikan waktu bekerja dengan aktiviti lain. Ini menjadikan kerja shift pilihan yang baik bagi mereka yang memerlukan lebih banyak fleksibiliti berbanding waktu kerja tetap 9-ke-5.

Peluang pendapatan tambahan

Dengan elaun shift, pendapatan bulanan dapat meningkat dengan ketara. Contohnya, pekerja yang bertugas pada shift malam mungkin menerima bayaran tambahan atau insentif yang tidak ditawarkan kepada pekerja shift siang.

Sesuai untuk pelajar atau pekerja separuh masa

Pelajar yang ingin menampung perbelanjaan mereka boleh memilih kerja shift yang tidak mengganggu jadual kelas. Pekerja separuh masa pula dapat memilih shift yang membolehkan mereka bekerja sambil menjalankan tanggungjawab lain, seperti mengurus keluarga.

Namun, kerja shift juga mempunyai kekurangannya. Ia boleh menyebabkan kesukaran mengekalkan keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi.

Kekurangan kerja shift

Antara kekurangan kerja shift yang perlu dipertimbangkan adalah seperti berikut.

Risiko kesihatan

Gangguan terhadap ritma sirkadian, iaitu jam biologi tubuh, boleh berlaku apabila bekerja pada waktu malam atau beralih-alih antara shift siang dan malam. Ini boleh menyebabkan masalah tidur, keletihan yang berpanjangan, dan dalam jangka masa panjang, meningkatkan risiko penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi.

Kesukaran untuk mengimbangi kehidupan kerja dan peribadi

Dengan jadual yang berubah-ubah, pekerja mungkin menghadapi kesukaran untuk merancang masa bersama keluarga atau rakan-rakan. Ini boleh mengakibatkan rasa terasing atau kesukaran mengekalkan hubungan sosial kerana waktu bekerja yang tidak menentu.

Risiko keselamatan bagi shift malam

Pekerja shift malam mungkin terpaksa pulang atau pergi bekerja pada waktu yang kurang selamat, seperti lewat malam atau awal pagi. Ini boleh meningkatkan risiko keselamatan, terutamanya bagi mereka yang perlu menggunakan pengangkutan awam atau berjalan kaki ke tempat kerja.

Tips untuk mengurus kerja shift

Berikut adalah beberapa tip berkesan untuk mengurus kerja shift dengan lebih mudah dan teratur. Dengan mengikuti panduan ini, anda dapat memastikan keseimbangan antara tugas kerja dan kehidupan peribadi serta mengurangkan tekanan akibat jadual yang tidak menentu.

Pengurusan waktu

Gunakan teknik pengurusan masa seperti membuat senarai tugasan harian atau menggunakan aplikasi pengurusan waktu untuk menyusun tugas dengan berkesan. Ini membantu memastikan semua tugasan diselesaikan tepat pada masanya dan mengurangkan tekanan. 

Tetapkan rutin harian yang konsisten untuk aktiviti seperti tidur, makan, dan waktu luang. Rutin yang teratur membantu mengekalkan struktur dalam kehidupan seharian, sambil meningkatkan produktiviti dan kesejahteraan.

Kesihatan dan kebajikan

Amalkan senaman secara berkala dan ambil masa untuk berehat antara shift bagi menjaga kesihatan fizikal dan mental. Sertakan aktiviti yang menyeronokkan atau hobi untuk membantu melepaskan tekanan. 

Pastikan tidur yang mencukupi dengan mengekalkan jadual tidur yang konsisten untuk menyesuaikan diri dengan jadual kerja yang berubah-ubah. Makan makanan seimbang dan berkhasiat juga penting untuk mengekalkan tenaga sepanjang waktu bekerja dan mengelakkan keletihan yang melampau.

Keseimbangan kerja dan kehidupan peribadi

Luangkan masa untuk bersama keluarga dan rakan-rakan dengan menjadualkan waktu berkualiti bersama mereka, walaupun jadual kerja anda mungkin tidak tetap. Menyelaraskan jadual dapat membantu mengekalkan hubungan yang baik dan mengurangkan rasa terasing. 

Selain itu, libatkan diri dalam aktiviti seperti seni, sukan, atau persembahan sebagai cara untuk melepaskan tekanan daripada kerja dan menyegarkan semula minda. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja membantu menguruskan stres, tetapi juga memperbaiki keseimbangan emosi dan mental secara keseluruhan.

Kesimpulan

Kerja shift memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran operasi industri yang berterusan, sambil memberikan anda fleksibiliti untuk menyesuaikan jadual kerja mengikut keperluan peribadi. Namun, anda mungkin menghadapi cabaran seperti gangguan tidur, keletihan, dan kesukaran untuk menyeimbangkan kehidupan kerja dengan kehidupan peribadi.

Bagi anda yang bekerja shift, menjaga kesejahteraan fizikal dan mental adalah sangat penting. Pastikan anda mendapat tidur yang cukup antara shift, menjaga pemakanan yang seimbang, dan melakukan senaman secara berkala.

Sentiasa beri perhatian kepada kesihatan anda, dan jangan teragak-agak untuk mendapatkan bantuan jika diperlukan. Dengan menjaga diri anda dengan baik, anda dapat mengekalkan prestasi kerja yang stabil dan berkualiti, sambil memastikan kesihatan dan kesejahteraan untuk jangka masa panjang.

Soalan lazim

1. Apakah kerja shift dan industri mana yang paling banyak menggunakan kerja shift? 

Kerja shift merujuk kepada jadual kerja yang dijalankan di luar waktu kerja biasa. Antara industri yang banyak menggunakan sistem kerja shift termasuk perkhidmatan kesihatan, perhotelan, perkhidmatan kecemasan, pengangkutan, serta kilang pengeluaran.

2. Apakah kelebihan dan kekurangan kerja shift? 

Kelebihan kerja shift termasuk fleksibiliti dalam mengurus masa dan aktiviti lain, terutamanya bagi pelajar. 

Namun, kekurangannya merangkumi risiko gangguan tidur dan keletihan, kesukaran dalam mengekalkan keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi, serta peningkatan risiko keselamatan, khususnya semasa shift malam.

3. Bagaimanakah cara menguruskan kesihatan semasa bekerja shift? 

Menjaga jadual tidur yang konsisten, walaupun dalam shift yang berubah-ubah, adalah penting untuk memastikan tubuh anda dapat menyesuaikan diri dan berfungsi dengan baik. 

Selain itu, melakukan senaman secara berkala dan mengamalkan diet seimbang membantu mengekalkan kesihatan fizikal serta memberikan tenaga yang diperlukan.

4. Bagaimanakah cara mengira bayaran overtime untuk pekerja shift? 

Untuk mengira bayaran kerja lebih masa, bahagikan gaji pokok dengan 26 untuk mendapatkan upah harian. Kemudian, bahagikan upah harian dengan jumlah jam bekerja sehari untuk menentukan kadar sejam. 

Bagi kerja lebih masa, gandakan kadar sejam ini dengan 1.5 untuk hari biasa, 2.0 untuk hari rehat, dan 3.0 untuk cuti umum.

More from this category: Finding the job for you

Top search terms

Want to know what people are searching for on Jobstreet? Explore our top search terms to stay across industry trends.

Explore related topics

Choose an area of interest to browse related careers.

Subscribe to Career Advice

Get expert career advice delivered to your inbox.
By providing your personal information, you agree to the Collection Notice and Privacy Policy. If you are under 18 years old, you must have parental consent for Jobstreet and affiliates to process your personal data. You can unsubscribe at any time.