Siapa itu pekerja kolar biru? Maksud, contoh pekerjaan, dan peranan mereka

Siapa itu pekerja kolar biru? Maksud, contoh pekerjaan, dan peranan mereka
Jobstreet content teamupdated on 22 September, 2025
Share

Istilah “pekerja kolar biru” sering kita dengar dalam perbualan tentang dunia pekerjaan – tetapi apakah sebenarnya maksudnya? Walaupun kerap digunakan, ramai masih kurang pasti tentang siapa yang tergolong dalam kategori ini dan jenis kerja yang mereka lakukan.

Dalam era kerja moden, konsep seperti “kolar baharu” juga mula mendapat perhatian kerana ia menawarkan prospek cerah dalam bidang kemahiran teknikal dan vokasional di Malaysia. Perubahan ini menjadikan peranan pekerja kolar biru semakin penting dalam membentuk tenaga kerja masa hadapan.

Artikel ini akan membantu anda memahami maksud sebenar pekerja kolar biru, contoh pekerjaan dalam kategori ini, serta mengapa mereka memainkan peranan yang begitu penting dalam pelbagai industri dan ekonomi negara.

Apa maksud pekerja kolar biru?

Pekerja kolar biru merujuk kepada individu yang menjalankan kerja-kerja yang bersifat fizikal, teknikal atau menggunakan kemahiran khusus. Kerja-kerja ini sering memerlukan tenaga, ketelitian dan kepakaran praktikal yang diperoleh melalui latihan atau pengalaman, bukan semata-mata melalui kelayakan akademik.

Kebiasaannya, pekerjaan ini tidak memerlukan ijazah universiti. Sebaliknya, kemahiran tangan, latihan vokasional atau sijil teknikal sudah memadai untuk membolehkan seseorang menceburi kerjaya ini.

Pekerja kolar biru boleh ditemui dalam pelbagai sektor penting seperti pembuatan, pembinaan, perkhidmatan awam, logistik dan penyelenggaraan. Mereka inilah yang memastikan sistem dan infrastruktur berjalan lancar, daripada membina bangunan hinggalah membaiki paip di rumah.

Ciri-ciri umum pekerja kolar biru

Pekerja kolar biru biasanya dikaitkan dengan peranan yang melibatkan kemahiran praktikal dan tenaga fizikal. Mereka memainkan peranan penting dalam memastikan operasi harian industri berjalan lancar. Antara ciri utama pekerjaan ini ialah:

  • Melibatkan kerja manual atau operasi mesin: Tugas mereka selalunya memerlukan tenaga fizikal serta penggunaan alat atau jentera.

  • Bekerja di lokasi luar pejabat: Contohnya di kilang, bengkel, tapak pembinaan, kawasan lapangan atau platform luar pesisir (offshore).

  • Pendapatan berdasarkan jam atau hasil kerja: Mereka dibayar mengikut jam kerja atau output, bukan gaji bulanan tetap.

  • Perlu disiplin, kemahiran teknikal dan ketahanan fizikal:  Pekerjaan ini memerlukan fokus, kepakaran praktikal dan daya tahan tubuh.

Seorang individu sedang menjalankan kerja kimpalan di kawasan kerja logam.

Contoh pekerjaan kolar biru di Malaysia

Di Malaysia, pekerjaan kolar biru merangkumi pelbagai sektor dan industri yang penting dalam memastikan kelangsungan ekonomi serta perkhidmatan harian. Berikut antara contoh kerja yang tergolong dalam kategori ini:

  • Juruteknik mekanikal dan elektrik menjalankan kerja penyelenggaraan serta membaiki sistem dan peralatan yang rosak.

  • Pemandu lori atau penghantar barang bertanggungjawab mengangkut barangan antara lokasi untuk tujuan logistik atau penghantaran kepada pelanggan.

  • Operator mesin kilang mengendalikan mesin pengeluaran dan memastikan proses pengeluaran harian berjalan lancar.

  • Pekerja binaan atau tukang paip terlibat dalam pembinaan bangunan dan pemasangan sistem paip di tapak projek.

  • Pekerja pembersihan dan penyelenggaraan menjaga kebersihan kawasan serta menyelenggara kemudahan seperti pejabat atau bangunan awam.

  • Pengawal keselamatan memantau kawasan premis dan memastikan keselamatan orang ramai serta aset syarikat.

Peranan penting pekerja kolar biru dalam industri

Pekerja kolar biru memainkan peranan utama dalam memastikan kelancaran pelbagai sektor penting di Malaysia. Walaupun tugas mereka tidak diklasifikasikan sebagai profesional, sumbangan mereka terhadap ekonomi negara sangat besar.

Golongan ini menyokong operasi harian dalam sektor kritikal seperti pembuatan, logistik dan Penyelenggaraan infrastruktur. Tanpa tenaga kerja ini, pengeluaran barang dan perkhidmatan tidak dapat berjalan dengan lancar.

Mereka juga berperanan dalam menjaga infrastruktur awam, kebersihan kawasan kerja dan keselamatan di tempat umum. Ini termasuk kerja seperti pembersihan, pemantauan keselamatan serta penyelenggaraan aset fizikal seperti kilang dan pejabat.

Selain itu, pekerja kolar biru meningkatkan produktiviti ekonomi melalui kemahiran teknikal yang mereka kuasai. Ramai antara mereka memiliki latihan khusus atau pengalaman yang membolehkan mereka bekerja dengan cekap dan pantas dalam bidang masing-masing.

Peranan mereka juga penting dalam memastikan kestabilan tenaga kerja di sektor bukan profesional. Ini kerana mereka membentuk sebahagian besar tenaga kerja aktif dalam pelbagai industri, sekali gus memastikan operasi syarikat tidak terganggu.

Perbezaan pekerja kolar biru dan kolar putih

Seorang mekanik sedang mengendalikan enjin kereta di bengkel automotif.

Walaupun kedua-dua kumpulan menyumbang kepada pembangunan ekonomi, jenis kerja dan persekitaran mereka sangat berbeza. Perbezaan ini penting untuk difahami supaya anda boleh tentukan laluan kerjaya yang paling sesuai dengan minat dan kekuatan anda.

Pekerja kolar biru biasanya melakukan tugas teknikal dan fizikal yang melibatkan kerja lapangan atau lokasi luar pejabat. Contohnya termasuk kerja pembinaan, penyelenggaraan, pengendalian mesin dan pengangkutan.

Sebaliknya, pekerja kolar putih lebih tertumpu kepada tugas pentadbiran, pengurusan dan kerja profesional yang berlaku di dalam pejabat. Ini merangkumi bidang seperti kewangan, sumber manusia, IT dan perundangan.

Perbezaan ketara turut dilihat dari aspek latihan, pakaian kerja dan struktur gaji. Pekerja kolar biru biasanya perlu ikuti latihan kemahiran teknikal, manakala kolar putih pula lebih banyak melalui pendidikan akademik dan profesional. Struktur gaji mereka juga berbeza bergantung kepada jenis tugas, industri dan tahap kemahiran.

Cabaran pekerja kolar biru

Walaupun pekerjaan kolar biru memainkan peranan penting dalam sektor ekonomi, terdapat beberapa cabaran yang perlu dihadapi. Kefahaman tentang isu-isu ini boleh membantu anda membuat keputusan kerjaya dengan lebih bersedia dan realistik.

1. Risiko keselamatan di tempat kerja

Pekerja kolar biru berdepan risiko keselamatan yang tinggi dalam tugasan harian mereka. Sama ada di tapak pembinaan, kilang atau kawasan penyelenggaraan, mereka terdedah kepada bahaya seperti kecederaan fizikal dan keletihan akibat kerja berat.

2. Pendapatan tidak tetap jika bergantung kepada projek

Pendapatan mereka boleh berubah-ubah jika bergantung kepada projek atau bayaran hasil kerja. Tanpa gaji bulanan tetap, pendapatan boleh terjejas apabila projek ditunda atau jumlah kerja berkurangan, sekali gus menyukarkan perancangan kewangan.

3. Kurang peluang kenaikan pangkat atau latihan formal

Peluang kenaikan pangkat dan latihan formal lebih terhad berbanding sektor profesional. Struktur kerjaya tidak selalu jelas dan program peningkatan kemahiran selalunya bergantung kepada inisiatif sendiri atau majikan yang proaktif.

4. Persepsi rendah terhadap kerja fizikal berbanding kerja pejabat

Persepsi terhadap kerja fizikal masih rendah walaupun ia menyumbang besar kepada ekonomi. Ramai memandang remeh pekerjaan ini kerana dianggap kurang berprestij berbanding kerja pejabat, walaupun realitinya ia adalah tulang belakang banyak sektor industri.

Peluang kerjaya dan latihan untuk kolar biru

Kerja kolar biru sering dikaitkan dengan tugas fizikal, tetapi pekerja dalam sektor ini sebenarnya mempunyai peluang besar untuk maju dalam kerjaya. Dengan latihan yang sesuai dan pengalaman praktikal, anda boleh membina masa depan yang lebih stabil dan berkembang dalam bidang pilihan.

Antara laluan pembangunan yang boleh dipertimbangkan termasuk:

  • Meningkatkan kelayakan melalui sijil kemahiran seperti TVET dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang diiktiraf oleh industri.

  • Menyertai program latihan teknikal yang ditawarkan oleh agensi kerajaan, politeknik atau institusi swasta.

  • Menyasarkan sektor dengan permintaan tinggi seperti minyak dan gas, logistik serta industri elektrik yang aktif mencari tenaga mahir.

  • Membina laluan kerjaya ke arah jawatan penyelia atau bahkan memulakan perniagaan sendiri dalam bidang kepakaran yang dikuasai.

Pekerja kolar biru adalah tulang belakang operasi industri

Pekerja kolar biru memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran operasi harian pelbagai sektor seperti pembinaan, logistik, penyelenggaraan dan pengeluaran. Tanpa mereka, banyak sistem asas dalam masyarakat tidak dapat berfungsi dengan baik.

Namun begitu, kepakaran mereka sering kurang mendapat pengiktirafan. Dengan sokongan latihan dan peluang pembangunan kerjaya, golongan ini mampu mencapai kestabilan ekonomi dan terus menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan industri negara.

Soalan lazim

1. Apakah beza pekerja kolar biru dan kolar putih?

Pekerja kolar biru fokus kepada kerja teknikal atau fizikal di lapangan seperti pengendalian mesin, pembinaan dan penyelenggaraan. Pekerja kolar putih pula menjalankan tugas pentadbiran, pengurusan atau kerja profesional yang biasanya dilakukan dalam persekitaran pejabat.

2. Adakah pekerja kolar biru memerlukan kelayakan akademik?

Pekerjaan kolar biru biasanya tidak mewajibkan ijazah akademik. Namun, kemahiran teknikal dan latihan seperti Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) atau TVET sangat penting untuk meningkatkan keboleh pasaran, keselamatan dan prestasi dalam tugasan harian.

3. Bolehkah pekerja kolar biru capai pendapatan tinggi?

Ya, pekerja kolar biru boleh mencapai pendapatan tinggi, terutama dalam sektor seperti minyak dan gas, maritim, logistik atau penyelenggaraan teknikal. Pendapatan mereka biasanya meningkat mengikut kemahiran, pengalaman dan sijil profesional yang dimiliki.

4. Apakah pilihan latihan untuk pekerja kolar biru di Malaysia?

Pilihan latihan termasuk program TVET, Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan kursus teknikal yang ditawarkan oleh institusi latihan awam atau swasta. Banyak syarikat juga menyediakan latihan dalam perkhidmatan untuk membantu pekerja mengembangkan kepakaran dan meningkatkan peluang kenaikan pangkat dalam bidang masing-masing.

More from this category: Career development

Top search terms

Want to know what people are searching for on Jobstreet? Explore our top search terms to stay across industry trends.

Subscribe to Career Advice

Get expert career advice delivered to your inbox.
By providing your personal information, you agree to the Collection Notice and Privacy Policy. If you are under 18 years old, you must have parental consent for Jobstreet and affiliates to process your personal data. You can unsubscribe at any time.