Pendapatan kasar: Apa yang anda perlu tahu?

Pendapatan kasar: Apa yang anda perlu tahu?
Jobstreet content teamupdated on 24 July, 2024
Share

Pendapatan kasar adalah amaun pendapatan yang termasuk semua jenis elaun yang diberikan oleh majikan dan sebelum menolak sebarang caruman atau potongan. Gaji ialah bayaran yang diterima oleh pekerja untuk perkhidmatan yang diberikan kepada majikan. Biasanya, pekerja akan menerima gaji pada hari terakhir bulan itu. Sebagai pekerja, anda harus tahu tentang perbezaan antara jenis-jenis pendapatan seperti gaji kasar dan gaji bersih. 

Anda perlu faham dan cakna tentang hal ini sebelum anda mula bekerja bagi mengelakkan sebarang kekeliruan di masa depan. Ia juga dapat membantu anda merancang kewangan dengan lebih baik dan teratur. Di Malaysia, kerajaan telah menetapkan gaji minimum yang perlu anda terima, sekurang-kurangnya RM1,500 untuk pekerjaan sepenuh masa.

Artikel ini akan mendidik pekerja baru tentang kepentingan dan komponen pendapatan kasar, contoh praktikal serta tips pengurusan kewangan.

Maksud pendapatan kasar 

Pendapatan kasar, atau gaji kasar, ialah jumlah pendapatan yang anda terima sebelum sebarang pemotongan dilakukan, seperti pinjaman, caruman, cukai, dan sebagainya. Pendapatan ini merangkumi semua, termasuk gaji asas, gaji pokok, bonus, komisen, bayaran kerja lebih masa, dan lain-lain elaun jika ada. Biasanya, iklan pekerjaan yang menyatakan gaji untuk jawatan yang diiklankan merujuk kepada gaji kasar atau gaji pokok, bukan gaji asas sahaja.  Ini adalah sebagai gaji kasar yang menggambarkan jumlah pendapatan yang ditawarkan oleh majikan kepada pekerja, tidak termasuk sebarang pemotongan. Dengan memahami gaji anda sebagai pendapatan kasar, anda dapat mengurus kewangan dengan lebih baik.

Perbezaan utama antara pendapatan kasar dan pendapatan bersih ialah pendapatan kasar menunjukkan jumlah sebelum sebarang pemotongan atau caruman wajib. Manakala, pendapatan bersih ialah jumlah yang anda akan terima setelah pemotongan tersebut dilakukan. Memahami pendapatan kasar adalah penting supaya anda dapat menilai gaji yang ditawarkan oleh syarikat dengan lebih baik. Ia juga amat berguna untuk perbandingan penawaran pekerjaan atau perundingan gaji.

Kepentingan mengetahui pendapatan kasar

Adalah penting untuk anda tahu dan faham tentang pendapatan kasar supaya anda dapat merancang kewangan dan perbelanjaan dengan lebih efektif, memahami cukai, dan menilai faedah kerja dengan lebih tepat. Gaji asas yang anda terima memainkan peranan penting dalam menentukan jumlah pendapatan kasar. Dengan mengetahui jumlah pendapatan kasar, anda juga boleh membuat anggaran yang lebih realistik, menetapkan simpanan bulanan, dan memastikan kestabilan kewangan jangka panjang. Pendapatan kasar mempengaruhi pengiraan cukai dan faedah yang merupakan hak anda.

Pendapatan kasar mempengaruhi pengiraan cukai dan faedah yang anda layak terima. Penentuan jumlah cukai yang perlu anda bayar kepada pihak berkuasa juga dikira berdasarkan pendapatan kasar anda. 

Selain itu, banyak faedah lain seperti insurans kesihatan dan caruman KWSP juga berdasarkan pendapatan kasar. Oleh itu, penting untuk anda cakna dan ambil tahu tentang pendapatan kasar anda supaya anda faham dengan tepat tentang potongan dan faedah yang anda layak terima.Adalah penting untuk anda tahu dan faham tentang pendapatan kasar supaya anda dapat merancang kewangan dan perbelanjaan dengan lebih efektif, memahami cukai, dan menilai faedah kerja dengan lebih tepat. 

Dengan mengetahui jumlah pendapatan kasar, anda juga boleh membuat anggaran yang lebih realistik, menetapkan simpanan bulanan, dan memastikan kestabilan kewangan jangka panjang. Pendapatan kasar mempengaruhi pengiraan cukai dan faedah yang anda layak terima. Penentuan jumlah cukai yang perlu anda bayar kepada pihak berkuasa juga dikira berdasarkan pendapatan kasar anda. Selain itu, banyak faedah lain seperti insurans kesihatan dan caruman KWSP juga berdasarkan pendapatan kasar. Oleh itu, penting untuk anda cakna dan ambil tahu tentang pendapatan kasar anda supaya anda faham dengan tepat tentang potongan dan faedah yang anda layak terima.

Komponen pendapatan kasar

Terdapat beberapa komponen yang anda perlu tahu dalam pendapatan kasar, termasuk gaji pokok, elaun, bonus, bayaran kerja lebih masa, komisen, dan pendapatan lain seperti insentif dan kemudahan tambahan. Semua ini membentuk gaji bulanan yang diterima oleh pekerja.

Gaji Pokok: Gaji pokok adalah bayaran asas yang diterima oleh pekerja berdasarkan kontrak pekerjaan. Ia merupakan jumlah tetap yang dibayar setiap bulan tanpa mengambil kira elaun atau bonus yang diberikan oleh syarikat atau organisasi.

Elaun: Elaun ini secara amnya diberikan oleh syarikat kepada pekerja untuk membantu menampung kos sesuatu perkara. Terdapat beberapa jenis elaun yang disediakan seperti elaun perumahan, elaun pengangkutan, atau elaun makan, dan ia bergantung sepenuhnya kepada syarikat tersebut.

  • Elaun Perumahan: Elaun perumahan adalah tambahan bayaran untuk membantu pekerja menampung kos sewa atau pembelian rumah.
  • Elaun Pengangkutan: Elaun pengangkutan diberikan untuk menampung kos perjalanan harian ke tempat kerja.
  • Elaun Makan: Elaun makan pula adalah bayaran tambahan yang diberikan untuk menampung kos makanan semasa bekerja.

Bonus: Kebiasaannya, bonus ada dua jenis, iaitu bonus tahunan dan bonus prestasi, dan ini boleh diibaratkan sebagai token penghargaan daripada syarikat kepada pekerjanya.

  • Bonus Tahunan: Bonus tahunan adalah bayaran yang diberikan sekali setahun berdasarkan prestasi tahunan syarikat.
  • Bonus Prestasi: Bonus prestasi adalah insentif tambahan yang diberikan berdasarkan pencapaian individu atau pasukan dalam mencapai target tertentu.

Bayaran Kerja Lebih Masa: Bayaran kerja lebih masa adalah tambahan bayaran untuk masa yang dihabiskan bekerja melebihi jam kerja standard yang ditetapkan. Anda juga layak untuk menerima bayaran kerja lebih masa jika anda diminta bekerja pada hari rehat atau cuti umum (tidak tertakluk untuk pekerja syif).

Komisen: Komisen adalah bayaran tambahan yang diberikan berdasarkan jumlah jualan atau perkhidmatan yang berjaya dijual oleh pekerja, biasanya diberikan kepada pekerja jualan. Jumlah komisen yang anda akan terima juga boleh berubah setiap bulan mengikut peratusan yang ditetapkan dan jumlah jualan yang telah berjaya dibuat.

Pendapatan Lain: Adakah terdapat pendapatan lain? Ada juga beberapa pendapatan lain yang diberikan oleh sesetengah syarikat kepada pekerjanya seperti insentif atau kemudahan-kemudahan tambahan.

  • Insentif: Insentif adalah ganjaran tambahan yang diberikan sebagai galakan untuk mendorong prestasi tertentu atau pencapaian terhadap sesuatu target.
  • Kemudahan Tambahan: Kemudahan tambahan termasuk faedah lain seperti insurans kesihatan, keahlian gimnasium, atau program latihan yang disediakan oleh majikan.

Dengan memahami komponen-komponen ini, anda akan dapat menggambarkan dengan lebih jelas mengenai jumlah pendapatan kasar yang akan diterima setiap bulan.

seorang individu yang sedang mengira pendapatan kasar

Mengira pendapatan kasar

Untuk mengira pendapatan kasar, anda harus menjumlahkan semua komponen pendapatan seperti gaji pokok, elaun, bonus, komisen, insentif, dan bayaran-bayaran lain jika ada. Rujuk langkah mudah di bawah untuk contoh pengiraan yang lebih terperinci supaya anda mendapat gambaran yang lebih jelas berkaitan gaji bulanan anda.

Panduan langkah demi langkah

  • Menjumlahkan semua komponen pendapatan
  1. Mulakan dengan gaji pokok bulanan yang diterima

  2. Tambahkan semua elaun seperti elaun perumahan, elaun pengangkutan, elaun makan.

  3. Masukkan jumlah bonus yang diterima pada bulan tersebut 

  4. Tambahkan bagi bayaran untuk kerja lebih masa yang dilakukan

  5. Sertakan jumlah komisen yang diterima

  6. Masukkan insentif dan kemudahan tambahan jika ada

  • Contoh pengiraan
  1. Gaji Pokok: RM3000

  2. Elaun Perumahan: RM500

  3. Elaun Pengangkutan: RM300

  4. Elaun Makan: RM200

  5. Bonus Tahunan: RM2400 (dibahagikan kepada 12 bulan: RM200 sebulan)

  6. Bonus Prestasi: RM100

  7. Bayaran Kerja Lebih Masa: RM300

  8. Komisen: RM600

  9. Insentif dan Pendapatan Lain: RM500

Pendapatan kasar bulanan: 
RM3000 + RM500 + RM300 + RM200 + RM200 + RM100 + RM300 + RM600 + RM500 = RM5700

Gaji mengikut struktur ini memberikan jumlah keseluruhan pendapatan kasar sebelum potongan.

Selain itu, anda juga boleh memanfaatkan dan merujuk kepada alat dan sumber-sumber yang tersedia seperti slip gaji, perisian penggajian ataupun kalkulator dalam talian melalui laman web.

  • Slip gaji: Secara amnya, ianya lebih mudah untuk anda merujuk kepada slip gaji kerana ia telah menyediakan perincian semua komponen pendapatan yang diterima setiap bulan. Ia juga dijadikan sebagai rujukan utama untuk mengira pendapatan kasar.
  • Perisian penggajian: Anda juga boleh menggunakan perisian penggajian kerana alat ini dapat membantu majikan mahupun pekerja untuk mengira pendapatan kasar dengan tepat. Ini kerana, alat ini akan memastikan semua komponen diambil kira dan menyediakan jumlah yang betul dengan pengiraan secara automatik.
  • Kalkulator dalam talian: Dengan menggunakan kalkulator dalam talian, anda boleh mengira pendapatan kasar tersebut dengan lebih cepat. Anda hanya perlu memasukkan jumlah setiap komponen pendapatan dan kalkulator dalam talian akan mengira jumlah keseluruhan. Sebagai contoh, anda boleh merujuk laman web ini

Dengan mengikuti panduan yang disediakan di atas, anda dapat mengira pendapatan kasar dengan tepat dan memahami jumlah keseluruhan pendapatan yang bakal diterima untuk bulan tersebut.

Perbezaan antara pendapatan kasar dan pendapatan bersih

Pendapatan kasar adalah jumlah keseluruhan pendapatan sebelum pemotongan atau caruman dibuat, manakala pendapatan bersih pula adalah jumlah yang diterima selepas semua pemotongan dilakukan. Walau bagaimanapun, memahami perbezaan ini adalah penting untuk mengetahui jumlah yang sebenarnya anda dibayar gaji oleh majikan dan jumlah yang akhirnya anda terima.

Definisi Pendapatan Bersih

Pendapatan bersih adalah jumlah pendapatan yang anda akan terima setelah caruman seperti KWSP dan SOCSO atau PERKESO serta mana-mana penolakan seperti zakat atau pinjaman dibuat. Menurut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), pendapatan bersih atau gaji bersih ialah jumlah gaji yang diterima selepas ditolak dengan caruman wajib serta ditambah dengan elaun tambahan yang diterima. Dalam bahasa mudah, pendapatan bersih adalah jumlah gaji yang masuk ke dalam bank anda setelah semua pemotongan atau tambahan tersebut dilakukan. Jadi, jumlah yang tersedia inilah yang akan dibelanjakan dan disimpan sebagai gaji bersih dan boleh digunakan untuk perbelanjaan harian.

Juga: Cara Betul Memohon Kerja dan Hantar Resume Melalui Email

Jenis potongan 

  1. Potongan biasa⁠
  • KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja): KWSP adalah simpanan hari tua atau simpanan untuk persaraan. Pekerja dan majikan menyumbang peratusan tertentu dari gaji ke dalam akaun KWSP pekerja.
  • PCB (Potongan Cukai Bulanan): PCB adalah potongan cukai pendapatan yang dikenakan bagi setiap bulan. Bergantung pada jumlah gaji, kadar potongan PCB ini akan berbeza.
  • PERKESO (Pertubuhan Keselamatan Sosial): PERKESO menyediakan perlindungan keselamatan sosial untuk pekerja, termasuk faedah perubatan dan kecederaan pekerjaan. Sama seperti KWSP dimana majikan dan pekerja akan menyumbang kepada skim ini.

2. Potongan lain: 

  • Bayaran balik pinjaman: Potongan bagi tujuan bayaran balik pinjaman seperti pinjaman pendidikan, peribadi atau rumah.

  • Premium insurans: Potongan untuk insurans kesihatan, optikal, pergigian ataupun insurans nyawa.

Kepentingan memahami potongan

Berikut di bawah adalah kepentingan kenapa anda perlu memahami potongan-potongan gaji:

Kesan Terhadap Gaji yang Diterima

Memahami kesan potongan terhadap gaji yang diterima akan membantu anda mengetahui jumlah pendapatan bersih yang akan diterima setiap bulan. Ia juga penting supaya sebarang kekeliruan mengenai gaji yang diterima dapat dielakkan. Zakat gaji atau Zakat pendapatan adalah salah satu potongan yang perlu difahami dengan jelas oleh pekerja Muslim.

Perancangan untuk Simpanan dan Perbelanjaan

Dengan mengetahui potongan tertentu, anda boleh merancang lebih awal mengenai perbelanjaan bulanan serta simpanan yang akan dilakukan dengan lebih efektif. Ini juga sangat membantu dalam menetapkan bajet bulanan dan memastikan kestabilan kewangan.

Memahami perbezaan antara pendapatan kasar dan pendapatan bersih serta potongan yang berkaitan dapat membantu anda menguruskan kewangan dengan lebih efisien. Ia juga dapat membantu anda membuat keputusan yang lebih baik mengenai perbelanjaan dan simpanan.

Implikasi cukai terhadap pendapatan kasar

Di bawah, kami akan memberi penjelasan yang ringkas tentang implikasi cukai terhadap pendapatan kasar:

Tinjauan sistem cukai Malaysia

  • Kurungan Cukai dan Kadar Cukai 
    Di Malaysia, sistem cukai adalah berdasarkan kurungan cukai berperingkat, dimana kadar cukai akan meningkat dengan pendapatan. Merujuk kepada laman sesawang rasmi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), berikut adalah kadar cukai individu bagi tahun 2023:

  • RM0 - RM5,000 - 0%
  • RM5,001 - RM20,000 - 1%
  • RM20,001 - RM35,000 - 3%
  • RM35,001 - RM50,000 - 6%
  • RM50,001 - RM70,000 - 11%
  • RM70,001 - RM100,00 - 19%
  • RM100,001 - RM400,000 - 25%
  • RM400,001 - RM600,000 - 26%
  • RM600,001 - RM2,000,000 - 28%
  • Melebihi RM2,000,000 - 30%

Terdapat beberapa komponen pendapatan kasar yang boleh dikenakan cukai dan ada juga yang tidak boleh dikenakan cukai. Rujuk senarai di bawah:-

Pendapatan yang boleh dikenakan cukai:

  1. Gaji dan upah

  2. Faedah dari simpanan

  3. Dividen 

  4. Pendapatan sewa

  5. Royalti atau premium

  6. Komisen

  7. Pencen atau anuiti

  8. Pendapatan berkala lain

Pendapatan yang tidak boleh dikenakan cukai:

  1. Dividen yang dikecualikan cukai
  2. Faedah dari simpanan dalam akaun bank simpanan yang dikecualikan cukai
  3. Pendapatan pampasan atau pendapatan dari majikan atas sebab situasi yang tertentu
  4. Biasiswa

Anda boleh rujuk maklumat lebih lanjut mengenai pendapatan yang boleh dan tidak boleh dikenakan cukai di laman sesawang rasmi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

seorang individu sedang memastikan pendapatan kasar tepat dan betul

Kepentingan laporan yang tepat

Mengelakkan denda dan penalti

Laporan cukai yang tidak tepat boleh menyebabkan pelbagai masalah seperti:-

  • Denda kelewatan: Jika anda lewat mengemukakan borang cukai, pihak berwajib boleh mengenakan denda terhadap anda.
  • Penalti pengelakan cukai: Mengemukakan maklumat yang tidak betul atau mengelak dari membayar cukai juga boleh dikenakan penalti berat oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Memastikan kelayakan untuk pelepasan dan potongan cukai

Mengemukakan laporan yang tepat amatlah penting untuk memastikan bahawa anda layak untuk pelepasan dan potongan cukai yang boleh mengurangkan beban cukai mereka. Dengan memastikan laporan cukai yang tepat, anda boleh memaksimumkan kelayakan untuk pelepasan dan potongan ini, yang seterusnya mengurangkan jumlah cukai yang perlu dibayar.

Contoh penyata pendapatan kasar

Anda boleh rujuk contoh penyata gaji di bawah untuk gambaran yang lebih jelas tentang perbezaan pendapatan kasar dan bersih. Selain itu, bagaimana potongan, caruman dan bayaran tambahan lain boleh menjejaskan jumlah pendapatan yang anda akan terima.

Contoh pendapatan kasar: Penyata gaji bulanan standard

Anda seorang pekerja yang menerima gaji bulanan tetap tanpa sebarang bonus atau elaun tambahan.

Komponen Pendapatan

Jumlah (RM)

Gaji Pokok

5,500.00

Potongan KWSP (11%)

-605

Potongan PERKESO

-24.75

Potongan Cukai Bulanan

-76.70

Pendapatan Kasar

5,500.00

Pendapatan Bersih

4,818.30

*Ini hanyalah contoh pengiraan sila rujuk Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) untuk butiran lanjut dan terkini mengenai cukai

Contoh pendapatan kasar: Penyata gaji dengan bonus dan elaun

Anda seorang pekerja yang menerima gaji bulanan tetap dengan bonus dan elaun tambahan seperti elaun pengangkutan dan elaun makan.

Komponen Pendapatan

Jumlah (RM)

Gaji Pokok

5,500.00

Bonus Bulanan

+500.00

Elaun Pengangkutan

+300.00

Elaun Makan

+200.00

Potongan KWSP (11%)

-605

Potongan PERKESO

-24.75

Potongan Cukai Bulanan

-76.70

Pendapatan Kasar

6,000.00

Pendaptan Bersih

5,293.55

*Ini hanyalah contoh pengiraan sila rujuk Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) untuk butiran lanjut dan terkini mengenai cukai

Contoh pendapatan kasar: Penyata gaji dengan kerja lebih masa dan komisen

Anda seorang pekerja yang menerima gaji bulanan tetap, serta ada tambahan bayaran kerja lebih masa dan komisen jualan.

Komponen Pendapatan

Jumlah (RM)

Gaji Pokok

5,500.00

Bayaran Kerja Lebih Masa

+300

Komisen

+550

Potongan KWSP (11%)

-605

Potongan PERKESO

-24.75

Potongan Cukai Bulanan

-76.70

Pendapatan Kasar

6,350.00

Pendapatan Bersih

5,643.55

*Ini hanyalah contoh pengiraan sila rujuk Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) untuk butiran lanjut dan terkini mengenai cukai

Kesilapan biasa yang perlu dielakkan

Berikut di bawah adalah beberapa kesilapan yang anda patut elakkkan tentang pendapatan anda:

1. Salah faham antara pendapatan kasar dan pendapatan bersih

Terdapat beberapa perkara yang sering menjadi salah faham dan menimbulkan kekeliruan antara pendapatan kasar dan bersih mengenai jumlah wang yang akan diterima sebelum dan selepas potongan. Ini boleh menyebabkan kesilapan dalam perancangan kewangan, apatah lagi profession makan gaji, yang bergantung kepada pendapatan tetap setiap bulan.

  • Pendapatan kasar: Pendapatan kasar adalah jumlah keseluruhan pendapatan sebelum sebarang potongan, termasuk gaji, elaun, bonus dan pendapatan lain yang diterima sepanjang tahun.
  • Pendapatan bersih: Pendapatan bersih adalah pendapatan yang diperoleh selepas semua potongan dan caruman termasuk potongan cukai, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), potongan PERKESO dan lain-lain.
  • Kesilapan biasa: Salah faham antara pendapatan kasar dan pendapatan bersih boleh menyebabkan kesilapan dalam laporan cukai. Contohnya, jika anda melaporkan pendapatan bersih sebagai pendapatan kasar, anda mungkin boleh mengurangkan peratusan cukai yang akan dikenakan dan boleh mengurangkan jumlah pendapatan yang dilaporkan. Namun anda juga boleh dikenakan penalti akibat dari kesalahan jumlah pendapatan yang dilaporkan yang dianggap tidak tepat.
  • Cara mengelakkan: Pastikan kejelasan jumlah pendapatan keseluruhan berbanding gaji yang diterima. Fahami dan tahu membezakan antara jumlah keseluruhan pendapatan kasar dan gaji yang diterima selepas potongan yang berkaitan iaitu gaji bersih. Semak penyata gaji bulanan dan tahunan bagi memastikan semua komponen pendapatan disertakan dalam laporan cukai.

2. Mengabaikan elaun dan bonus

Selain itu, Salah satu kesilapan yang perlu dielakkan adalah pengabaian elaun dan bonus. Memahami setiap komponen pendapatan kasar membantu anda melihat keseluruhan gaji bulanan yang anda terima dan mengelakkan kesilapan dalam pengiraan kewangan.. 

  • Kepentingan menyertakan semua komponen pendapatan: Elaun dan bonus merupakan sebahagian daripada pendapatan keseluruhan seseorang. Mengabaikan mereka boleh mengakibatkan kesilapan dalam pengiraan kewangan peribadi atau perniagaan.
  • Kesilapan biasa: Kesilapan yang sering berlaku adalah menganggap hanya gaji pokok sebagai pendapatan utama dan mengabaikan tambahan seperti elaun perumahan, elaun kenderaan, atau bonus tahunan.
  • Cara mengelakkan: Untuk mengelakkan kesilapan mengabaikan elaun dan bonus, anda boleh pastikan untuk merakam semua jenis pendapatan yang diterima, termasuk gaji pokok, elaun, dan bonus. Selain itu, jika perlu, dapatkan nasihat dari pengurus kewangan atau perakaunan untuk membantu menguruskan dan memantau semua komponen pendapatan.

3. Mengabaikan potongan dan cukai

Kesilapan lain yang sering terjadi adalah pengabaian potongan dan cukai yang sebenarnya anda mungkin terlepas pandang tentang hal ini dan boleh menyebabkan anda dikenakan denda.

  • Merancang untuk kesan potongan terhadap pendapatan bersih: Potongan dan caruman seperti potongan cukai, caruman KWSP, Perkeso, dan lain-lain sebenarnya boleh memberi kesan dan perbezaan yang ketara terhadap pendapatan bersih.
  • Kesilapan biasa: Mengabaikan potongan ini boleh menyebabkan anggaran pendapatan bersih yang tidak tepat, dan seterusnya boleh menjejaskan perancangan kewangan dan simpanan anda.
  • Cara mengelakkan: Pastikan anda membuat semakan dan pantau potongan secara berkala pada penyata gaji bulanan dan tahunan untuk melihat jumlah potongan yang dibuat. Anda juga perlu memahami bagaimana setiap potongan memberi kesan kepada pendapatan bersih anda. Gunakan maklumat ini untuk merancang perbelanjaan dan simpanan dengan lebih baik. Anda juga harus sentiasa membuat semakan kelayakan untuk pelepasan dan potongan cukai yang boleh mengurangkan jumlah cukai yang perlu dibayar. Tambahan, semak gaji anda melalui e-Penyata Gaji ANM secara berkala untuk memastikan semua potongan dan caruman dicatat dengan betul.

Dengan mengelakkan kesilapan-kesilapan remeh yang sering berlaku ini, anda dapat memastikan laporan cukai yang tepat dan memanfaatkan sepenuhnya peluang untuk mengurangkan beban cukai anda. Kesilapan yang tampak remeh ini juga boleh mengakibatkan anda mengalami masalah besar di kemudian hari. Ini bukan sahaja dapat membantu anda dalam pengurusan kewangan peribadi tapi juga untuk memastikan pematuhan undang-undang cukai yang telah ditetapkan.

Kesimpulan

Kesimpulannya, memahami perbezaan antara pendapatan kasar dan pendapatan bersih adalah penting untuk membuat perancangan awal serta pengurusan kewangan yang lebih baik. Ia juga penting untuk mengelakkan kesilapan dalam laporan cukai. Sebagai pekerja baru, anda digalakkan untuk proaktif dalam memahami penyata pendapatan termasuk semua komponen pendapatan kasar dan potongan atau caruman.

Pendapatan kasar memainkan peranan penting dalam perancangan dan kestabilan kewangan. Dengan memahami dan menguruskan pendapatan kasar, individu dapat membuat perancangan kewangan yang lebih baik, memastikan pematuhan cukai dan mencapai kestabilan kewangan jangka panjang.

Soalan lazim

1. Apakah maksud pendapatan kasar? 
Pendapatan kasar adalah jumlah pendapatan keseluruhan termasuk elaun, bonus dan lain-lain bayaran tambahan sebelum sebarang potongan dan caruman dibuat. Gaji kasar juga bermaksud pendapatan yang belum ditolak dengan sebarang potongan.

2. Bagaimanakah cara untuk mengira pendapatan kasar? 
⁠Cara untuk mengira pendapatan kasar, anda perlu menambahkan semua komponen yang anda terima. Ini termasuk dengan elaun, bonus, premium insurans, bayaran kerja lebih masa, komisen dan bayaran-bayaran lain yang anda akan terima. Jumlah dari penambahan itu biasanya merujuk kepada gaji dibayar secara bulanan.

3. Apakah perbezaan antara pendapatan kasar dengan pendapatan bersih? 
⁠Perbezaan antara pendapatan kasar dan pendapatan bersih adalah, pendapatan kasar adalah jumlah keseluruhan gaji beserta kadarnya tanpa menolak apa-apa potongan dan caruman seperti KWSP dan PERKESO. Manakala, pendapatan bersih pula adalah jumlah yang bakal anda terima pada bulan tersebut selepas potongan dan caruman dilakukan

More from this category: Your employment rights

Top search terms

Want to know what people are searching for on Jobstreet? Explore our top search terms to stay across industry trends.

Subscribe to Career Advice

Get expert career advice delivered to your inbox.
You can cancel emails at any time. By clicking ‘subscribe’ you agree to Jobstreet’s Privacy Statement.