Pengurusan operasi: Skop kerja, gaji dan laluan kerjaya di Malaysia

Pengurusan operasi: Skop kerja, gaji dan laluan kerjaya di Malaysia
Jobstreet content teamupdated on 10 September, 2025
Share

Ramai yang pernah mendengar tentang pengurusan operasi, tetapi tidak semua benar-benar memahami skop kerjaya ini. Sebenarnya, jawatan pengurus operasi sangat penting dalam memastikan kelancaran aktiviti harian sesebuah organisasi.

Peranan ini bukan sahaja terhad kepada sektor pembuatan, malah turut wujud dalam bidang seperti logistik, runcit, hospitaliti dan pusat panggilan. Artikel ini akan membantu anda memahami skop kerja, anggaran gaji, kemahiran penting serta cara untuk mula membina kerjaya dalam bidang ini.

Apa itu pengurusan operasi?

Pengurusan operasi merujuk kepada proses merancang, menyelaras dan memantau aktiviti harian dalam sesebuah organisasi. Fokus utama bidang ini adalah untuk memastikan segala proses berjalan dengan lancar, cekap dan memberikan hasil yang optimum. Ia memainkan peranan penting dalam mencapai objektif perniagaan serta meningkatkan kepuasan pelanggan.

Seorang pengurus operasi biasanya bertanggungjawab terhadap pelbagai aspek seperti pengeluaran, penghantaran, kawalan inventori dan pengurusan staf. Mereka juga perlu berinteraksi dengan jabatan lain untuk memastikan semua bahagian berfungsi secara selaras.

Peranan ini menuntut keupayaan membuat keputusan dengan pantas dan menyelesaikan masalah secara efektif supaya operasi harian tidak terganggu.

Skop kerja seorang pengurus operasi

Tugas utama pengurus operasi melibatkan pelbagai aspek harian yang perlu dijalankan dengan cekap. Peranan ini bukan sekadar menyelia pekerja, malah turut melibatkan penyelesaian masalah, perancangan jangka pendek, dan penambahbaikan proses kerja secara berterusan.
Kecekapan seorang pengurus operasi memberikan kesan langsung kepada prestasi keseluruhan organisasi.

Antara tanggungjawab utama termasuk:

1. Memastikan kelancaran pengeluaran atau penyampaian perkhidmatan

Tanggungjawab utama seorang pengurus operasi adalah memastikan segala aktiviti harian berjalan lancar dan mengikut jadual. Mereka perlu menyelaras proses agar tiada gangguan yang menjejaskan prestasi syarikat. Ini termasuk menyemak aliran kerja, menyelesaikan isu teknikal, serta memastikan bahan atau sumber mencukupi untuk memenuhi sasaran harian.

2. Menyelia staf barisan hadapan dan jadual kerja

Pengurus operasi juga bertanggungjawab menyusun jadual kerja staf, merancang giliran, dan memastikan kehadiran mencukupi pada setiap masa. Mereka perlu menyelia pasukan secara langsung bagi memastikan setiap ahli memahami tugasan masing-masing dan bekerja mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP).

3. Memantau KPI dan menyelesaikan isu berkaitan operasi harian

Setiap organisasi menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sebagai penanda aras kejayaan operasi. Pengurus operasi perlu sentiasa memantau data ini dan mengambil tindakan segera sekiranya prestasi menunjukkan penurunan. Ini termasuk menyiasat punca kelewatan, kesilapan inventori, atau isu kualiti yang boleh menjejaskan reputasi syarikat.

4. Menyemak laporan prestasi dan mencadangkan penambahbaikan

Pengurus perlu menyediakan laporan berkala yang mengandungi maklumat penting seperti tahap pengeluaran, kecekapan masa, kadar ralat, dan maklum balas pelanggan. Berdasarkan analisis ini, mereka akan mencadangkan langkah penambahbaikan dari segi proses kerja, penggunaan sumber, dan pendekatan pengurusan staf.

5. Berinteraksi dengan jabatan lain seperti logistik, HR dan kewangan

Mereka perlu bekerjasama rapat dengan pasukan logistik bagi memastikan penghantaran berjalan lancar, berbincang dengan jabatan Sumber Manusia (HR) mengenai isu tenaga kerja dan latihan, serta menyelaras dengan jabatan kewangan untuk kawalan kos.

6. Menjaga pematuhan kepada SOP dan standard kualiti

Pengurus operasi memainkan peranan penting dalam memastikan setiap proses dan pekerja mematuhi peraturan dan standard yang ditetapkan, bagi mengelakkan risiko keselamatan, kesalahan kerja, atau ketidakpatuhan kepada undang-undang industri.

Pasukan operasi di pejabat sedang menyelaras tugasan harian dan komunikasi antara jabatan.

Gaji dan prospek kerjaya di Malaysia

Gaji dalam bidang pengurusan operasi berbeza mengikut tahap pengalaman, jenis industri dan saiz organisasi. Secara umum, semakin besar skop tanggungjawab dan pengalaman kerja, semakin tinggi julat gaji yang ditawarkan. Jawatan ini juga mempunyai permintaan tinggi dalam sektor yang memerlukan pengurusan harian yang cekap dan tersusun.

Anggaran gaji mengikut tahap kerjaya:

Antara industri yang sering menawarkan peluang kerjaya dalam bidang ini ialah:

  • Industri pembuatan dan perkilangan

  • Sektor logistik dan rantaian bekalan

  • Perhotelan, makanan dan minuman

  • E-dagang dan peruncitan fizikal

  • Perkhidmatan pelanggan dan pusat panggilan

Laluan kerjaya dalam pengurusan operasi selalunya bermula dari posisi penyelaras. Selepas memperoleh pengalaman, anda boleh dinaikkan ke peranan pengurus operasi, kemudian ke pengurus kanan operasi, dan akhirnya memegang jawatan strategik seperti ketua pegawai operasi (COO).

Kemahiran dan kelayakan diperlukan untuk pengurus operasi

Untuk berjaya sebagai pengurus operasi, anda memerlukan gabungan kelayakan akademik dan kemahiran praktikal. Jawatan ini memerlukan individu yang boleh bertindak cepat, menyusun kerja dengan teratur, dan berkomunikasi secara berkesan dalam pelbagai situasi.

Kelayakan asas yang diperlukan termasuk:

  • Diploma atau ijazah dalam bidang pengurusan perniagaan, logistik, rantaian bekalan atau operasi.

  • Sebarang sijil profesional dalam pengurusan projek atau pengurusan proses adalah satu kelebihan.

  • Pengalaman kerja dalam mengurus pasukan, proses pengeluaran atau perkhidmatan akan membantu mempercepatkan kemajuan kerjaya anda.

Kemahiran penting yang perlu dikuasai:

  • Keupayaan menyelesaikan masalah harian dengan pantas dan mencari penyelesaian jangka panjang.

  • Kepimpinan yang kukuh untuk memberi arahan, membimbing staf dan menjaga moral pasukan.

  • Komunikasi antara jabatan yang jelas untuk memastikan semua pihak memahami matlamat dan peranan masing-masing.

  • Kefahaman asas tentang sistem ERP seperti SAP untuk memantau aliran inventori dan prestasi kerja.

  • Kemahiran pengurusan masa dan kebolehan mengendalikan beban kerja yang pelbagai dengan berkesan.

Contoh tanggungjawab harian dalam kerjaya pengurusan operasi

Tugas harian seorang pengurus operasi bergantung kepada industri dan skop syarikat, tetapi secara umumnya melibatkan pemantauan aktiviti serta penyelesaian masalah secara langsung. Kerja ini memerlukan kecekapan dalam membuat keputusan yang pantas supaya operasi tidak terganggu.

Beberapa contoh tugasan harian termasuk:

1. Menyelesaikan isu staf seperti kekurangan tenaga kerja harian

Pengurus operasi perlu memastikan jumlah staf mencukupi setiap hari. Jika berlaku ketidakhadiran, mereka perlu segera merombak jadual dan mengagihkan semula tugas agar operasi berjalan lancar.

2. Menyemak laporan pengeluaran dan memastikan sasaran harian dicapai

Pengurus akan menyemak output harian dan memastikan sasaran dicapai. Jika berlaku kelewatan, tindakan pembetulan akan diambil segera bersama pasukan.

3. Memantau keberkesanan sistem inventori atau penghantaran

Tahap stok dan proses penghantaran perlu dipantau secara berterusan bagi memastikan kelancaran operasi. Sistem digital seperti ERP digunakan untuk mengawal selia aliran barang.

4. Menyelia audit dalaman dan laporan prestasi bulanan

Pengurus bertanggungjawab menyediakan laporan prestasi secara berkala untuk pihak pengurusan. Audit dalaman juga dikendalikan bagi memastikan pematuhan terhadap SOP dan piawaian yang ditetapkan.

5. Menyediakan shift kerja dan menyelaras aktiviti dengan bahagian logistik

Jadual kerja staf perlu disusun dengan teratur dan di selaras bersama pasukan logistik. Ini penting bagi memastikan operasi berjalan tanpa pertindihan atau kelewatan.

Cabaran dalam bidang ini

Kerjaya dalam pengurusan operasi sememangnya mencabar kerana ia melibatkan keperluan membuat keputusan pantas dalam situasi tidak dijangka. Pengurus operasi perlu sentiasa bersedia menangani tekanan harian sambil mengekalkan prestasi pasukan dan produktiviti syarikat.

Beberapa cabaran biasa yang dihadapi termasuk:

  • Menjaga kos operasi pada tahap minimum tanpa menjejaskan kualiti atau kelajuan perkhidmatan.

  • Menangani gangguan seperti kerosakan mesin, kelewatan penghantaran atau isu keselamatan di tempat kerja.

  • Menghadapi kekurangan staf ketika waktu puncak, terutamanya musim perayaan atau ketika ada ketidakhadiran mendadak.

  • Bekerja di luar waktu biasa termasuk waktu malam atau hujung minggu, terutamanya dalam industri yang beroperasi 24 jam.

  • Menyesuaikan diri dengan teknologi baharu, sistem automasi dan perubahan proses yang berlaku secara berterusan.

Kakitangan operasi sedang berbincang antara satu sama lain untuk menyelaras tugas harian di tempat kerja.

Tips untuk memulakan kerjaya dalam pengurusan operasi

Bagi anda yang berminat memulakan kerjaya dalam pengurusan operasi, langkah awal yang betul boleh membuka banyak peluang. Anda tidak perlu terus berada dalam jawatan pengurusan kerana ramai yang berjaya bermula dari peringkat asas dan berkembang secara berperingkat.

Beberapa cadangan untuk bermula termasuk:

1. Mula dengan kerja sambilan atau internship dalam sektor berkaitan

Cari pengalaman awal melalui latihan industri atau kerja sambilan dalam sektor logistik, kilang atau runcit. Ia memberi pendedahan praktikal kepada operasi sebenar dan proses kerja harian.

2. Ambil kursus asas pengurusan rantaian bekalan atau pengurusan projek

Ikuti kursus pendek dalam pengurusan projek atau supply chain untuk kukuhkan asas. Kursus pendek dalam topik seperti ‘inventory management’, logistik, atau ‘planning & scheduling’ dapat memberi anda gambaran jelas tentang aliran kerja sebenar di lapangan.

3. Bangunkan kemahiran komunikasi dan kepimpinan sejak awal

Sertai aktiviti kolej, kelab atau program sukarelawan untuk latih diri berkomunikasi dan memimpin. Pengurus yang cekap perlu berupaya menyusun pasukan dan menyampaikan arahan dengan jelas.

4. Guna peluang naik pangkat dalaman

Ramai pengurus bermula sebagai penyelia atau penyelaras. Ambil tanggungjawab tambahan, tunjuk prestasi dan rebut peluang kenaikan dari dalam organisasi.

5. Bangunkan resume yang menekankan pengalaman organisasi dan multitasking

Tonjolkan kemahiran mengurus jadual, menyusun tugasan dan menyelesaikan masalah dalam resume anda. Gunakan contoh projek atau kerja sambilan untuk buktikan kebolehan multitasking anda.

Bangunkan kerjaya anda dalam pengurusan operasi

Bidang pengurusan operasi bukan sahaja menawarkan gaji yang kompetitif dan laluan kenaikan pangkat yang jelas, tetapi juga membentuk tulang belakang kepada kejayaan organisasi moden.

Daripada peranan harian seperti menyelaras tugasan hingga ke pembuatan keputusan penting yang melibatkan operasi seluruh syarikat, pengurus operasi memainkan peranan utama dalam memastikan kelancaran organisasi.

Bagi mereka yang cemerlang dalam menyusun strategi, menyelesaikan masalah dan berkomunikasi dengan pelbagai jabatan, kerjaya ini merupakan satu laluan yang kukuh untuk berkembang secara profesional.

Soalan lazim

1. Apakah beza pengurus operasi dengan penyelia atau pengurus am?

Penyelia biasanya bertanggungjawab ke atas satu unit kecil seperti satu barisan pengeluaran. Pengurus operasi pula mengawal keseluruhan aliran kerja, strategi harian dan penyelarasan antara jabatan untuk memastikan semua proses dalam organisasi berjalan dengan lancar dan cekap.

2. Adakah perlu mempunyai ijazah untuk menjadi pengurus operasi?

Ijazah dalam bidang seperti pengurusan atau logistik memang membantu, tetapi bukan syarat wajib. Ramai yang berjaya dalam peranan ini berbekalkan pengalaman kerja yang kukuh, kemahiran organisasi yang baik, serta keupayaan menyelesaikan masalah secara praktikal dan efisien.

3. Adakah pekerja kilang boleh naik pangkat menjadi pengurus operasi?

Ya, boleh. Ramai pengurus operasi bermula dari peranan seperti operator atau penyelia. Jika anda rajin belajar, menunjukkan prestasi yang baik dan membina kemahiran pengurusan, anda berpeluang untuk naik pangkat ke jawatan pengurusan walaupun bermula dari bawah.

4. Adakah kerjaya ini sesuai untuk wanita?

Ya, kerjaya ini terbuka kepada semua. Ramai wanita kini berjaya memegang peranan sebagai pengurus operasi dalam pelbagai sektor termasuk logistik, perkilangan dan runcit. Yang penting ialah kemahiran, kepimpinan dan kebolehan mengurus operasi harian dengan cekap.

More from this category: Resumes

Top search terms

Want to know what people are searching for on Jobstreet? Explore our top search terms to stay across industry trends.

Explore related topics

Choose an area of interest to browse related careers.

Subscribe to Career Advice

Get expert career advice delivered to your inbox.
By providing your personal information, you agree to the Collection Notice and Privacy Policy. If you are under 18 years old, you must have parental consent for Jobstreet and affiliates to process your personal data. You can unsubscribe at any time.