Prestasi Kerja Tinggi Faktor Utama Perkembangan Kerjaya

Prestasi Kerja Tinggi Faktor Utama Perkembangan Kerjaya
Jobstreet content teamupdated on 11 October, 2024
Share

Dalam pasaran pekerjaan yang kompetitif, prestasi kerja yang tinggi adalah kunci utama untuk kemajuan kerjaya. Prestasi ini memberi impak kepada pekerja, majikan, dan organisasi secara keseluruhan.

Bagi pekerja, pencapaian cemerlang boleh membuka pintu kepada peluang kenaikan pangkat. Bagi majikan, prestasi yang tinggi dapat memupuk suasana kerja yang positif dan membantu organisasi mencapai matlamat perniagaan di pasaran.

Artikel ini membincangkan pentingnya prestasi kerja tinggi sebagai faktor utama dalam perkembangan kerjaya seseorang. Teruskan membaca untuk mengetahui lebih lanjut mengenai faktor-faktor, strategi, dan cadangan dalam memacu prestasi kerja yang tinggi.

Maksud prestasi kerja

Prestasi dalam konteks pekerjaan merujuk kepada tindakan melaksanakan tugas untuk memenuhi tanggungjawab yang diberikan. Melalui prestasi kerja, majikan dapat mengukur sejauh mana seorang pekerja itu memenuhi kualiti dan kuantiti kerja yang ditetapkan.

Dalam setiap pekerjaan, prestasi bukan sahaja menunjukkan keupayaan individu dalam tugas harian tetapi juga menjadi faktor penting dalam perkembangan kerjaya. Setiap individu berpeluang untuk maju ke hadapan melalui perkembangan kerjaya.

Seiring dengan perubahan dalam kemahiran, matlamat, dan motivasi pekerja, prestasi kerja akan terus berkembang dan mempengaruhi aspirasi serta hala tuju profesional seseorang.

Pekerja yang cemerlang sering kali diberi peluang untuk berkembang, sama ada melalui penglibatan dalam projek utama, kenaikan gaji, atau latihan tambahan. Peluang-peluang ini menyumbang kepada pencapaian matlamat organisasi dan mempercepatkan kemajuan kerjaya.

Oleh itu, prestasi yang tinggi bukan sahaja meningkatkan nilai seseorang dalam organisasi tetapi juga membuka jalan untuk pertumbuhan kerjaya yang lebih luas dan bermakna.

Faktor yang mempengaruhi prestasi kerja

Dua pekerja saling mengasah kemahiran berkomunikasi dan idea di ruang kerja

Prestasi kerja dipengaruhi oleh gabungan faktor dalaman dan luaran yang boleh memberi kesan ketara kepada perkembangan kerjaya. Mari ambil tahu aspek-aspek yang terlibat supaya lebih bersedia untuk meningkatkan prestasi kerjaya anda.

Faktor dalaman yang mempengaruhi prestasi kerja:

  1. Kemahiran dan pengetahuan: Merujuk kepada kebolehan praktikal seseorang dan pemahaman yang mendalam tentang tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan.

    ⁠Contohnya, Alex, seorang pereka grafik, kerap menghadiri bengkel dan kursus dalam talian untuk mempelajari perisian dan teknik reka bentuk baru, yang membolehkannya terlibat dalam projek yang lebih kompleks dan berkualiti tinggi.
  2. Motivasi: Merupakan faktor yang didorong oleh matlamat yang jelas dan aspirasi peribadi, memberikan tenaga dan arah untuk mencapai kejayaan.

    ⁠Contohnya, Maya, seorang jualan eksekutif (sales executive), menetapkan target jualan peribadi yang selari dengan aspirasi kerjayanya. Dorongan untuk mencapai matlamat ini membantu Maya mencapai sasaran dan juga melampaui target yang ditetapkan secara konsisten.
  3. Sikap kerja: Menggambarkan tingkah laku dan pandangan terhadap pekerjaan yang mencerminkan komitmen, dedikasi, dan etika profesional.

    ⁠Contohnya, Raj, seorang pengurus projek, sentiasa kekal positif walaupun berhadapan dengan tenggat waktu dan cabaran. Sikapnya yang positif membantu mencipta persekitaran kerja yang kondusif dan menyumbang kepada kejayaan penyiapan projek.
  4. Kesihatan fizikal dan mental: Ini pula merujuk kepada tahap kecergasan dan kesejahteraan emosi.

    ⁠Contohnya Liz, seorang pembantu tadbir (administrative assistant), mengutamakan kesihatannya dengan kerap melalui senaman. Gaya hidupnya yang seimbang membantu Liz kekal fokus dan bertenaga sepanjang hari bekerja.

Faktor luaran yang mempengaruhi prestasi kerja:

  1. Persekitaran kerja yang kondusif: Mencerminkan suasana atau keadaan tempat kerja yang menyokong.

    ⁠Contohnya, pejabat yang menggunakan konsep open space dan menyediakan perabot ergonomik dapat mewujudkan persekitaran kerja yang selesa. Secara tidak langsung, keselesaan tersebut mendorong kepada produktiviti individu dan membawa kepada kepuasan kerja.
  2. Latihan dan pembangunan pekerja: Adalah proses dan aktiviti yang bertujuan untuk meningkat kemahiran pekerja.

    ⁠Contohnya untuk melahirkan pekerja yang celik digital seiring dengan pasaran semasa, latihan seperti menguasai alat perisian terbaru dapat meningkatkan kemahiran teknologi. Ini membantu pekerja menyesuaikan diri dengan trend semasa dan memanfaatkan peluang.
  3. Motivasi dan ganjaran: Antara strategi penting yang boleh digunakan untuk merangsang prestasi pekerja.

    ⁠Contohnya, jika seorang pekerja mencapai jualan yang melebihi target, majikan boleh memberikan bonus atau pengiktirafan dalam mesyuarat sebagai ganjaran. Ini seterusnya mendorong pekerja lain untuk meningkatkan usaha dan memupuk budaya kerja yang positif.

Cara meningkatkan prestasi kerja

Sekumpulan pekerja tengah berbincang di bilik mesyuarat tentang prestasi kerja

Usaha dalam meningkatkan prestasi kerja bukan sahaja menyumbang kepada keseluruhan kejayaan organisasi malah membina kepuasan kerja dalam diri individu. Dengan pendekatan yang tepat, individu dapat mencapai kerja yang optimum dan mencapai hasil yang lebih baik untuk diri, jabatan, dan organisasi.

Apakah penilaian prestasi kerja?

Penilaian prestasi ialah penilaian sistematik terhadap keupayaan pekerja untuk memenuhi standard pekerjaan yang ditetapkan. Penilaian ini penting kerana ia menggalakkan latihan, memberikan maklum balas yang berguna, dan menawarkan langkah-langkah khusus bagi membantu pekerja meningkatkan prestasi kerja mereka.

Tujuan utama proses ini adalah untuk memastikan prestasi kerja selaras dengan matlamat organisasi, sekali gus menyokong pertumbuhan dan kejayaan keseluruhan organisasi.

Contoh penilaian prestasi kerja

Ada beberapa kaedah penilaian prestasi berkesan yang boleh digunakan untuk mengukur kecemerlangan pekerja. Yang paling penting, majikan perlu merancang dengan teliti dan menggunakan pendekatan yang sesuai untuk memastikan penilaian yang adil dan objektif.

Contoh-contoh kaedah penilaian yang efektif termasuk:

  1. Penilaian berdasarkan sasaran (Management by objectives - MBO): Ini adalah proses di mana pengurus dan pekerja bersetuju atas matlamat-matlamat tertentu yang harus dicapai dalam tempoh waktu tertentu. Prestasi diukur dengan seberapa jauh matlamat-matlamat ini telah tercapai.
  2. Penilaian 360 darjah (360-degree appraisal): Kaedah ini melibatkan maklum balas dari semua individu yang bekerja dekat dengan pekerja yang dinilai, termasuk atasan, rakan sekerja, dan kadang kala, pelanggan.
  3. Penilaian rakan sekerja (Peer assessment): Rakan sekerja akan menilai prestasi dan pencapaian dari segi keupayaan bekerjasama dalam kumpulan.
  4. Penilaian diri (Self assessment): Melibatkan penilaian diri sendiri, melihat sejauh mana mencapai matlamat peribadi.

Apakah indikator prestasi utama (KPI) dan bagaimana ia digunakan dalam penilaian prestasi?

Dua rakan sekerja tengah menilai indikator prestasi dalam bilik pejabat

Petunjuk Prestasi Utama (Key Performance Indicator atau KPI) ialah metrik yang digunakan untuk menilai pencapaian matlamat strategik oleh individu atau organisasi. Ia membantu dalam menilai prestasi dan keberkesanan strategi yang dilaksanakan.

  • Spesifik (Specific): Matlamat yang jelas dan terperinci, yang merujuk secara spesifik kepada apa yang hendak dicapai.
  • Boleh diukur (Measurable): Matlamat yang mempunyai kriteria yang jelas dan dapat diukur untuk mengukur kemajuan serta pencapaian.
  • Boleh dicapai (Attainable): Matlamat yang realistik dan boleh dicapai dengan memanfaatkan sumber dan usaha yang tersedia.
  • Relevan (Relevant): Matlamat yang relevan dan penting, berhubung kait secara langsung dengan objektif keseluruhan dan keperluan semasa.
  • Terikat waktu (Time-bound): Matlamat yang mempunyai jangka waktu yang jelas, dengan tarikh akhir yang spesifik untuk pencapaian hasil.

Indikator SMART ini membantu memastikan matlamat yang ditetapkan adalah jelas, dan juga praktikal dan bermakna, mendorong pencapaian yang lebih efektif.

Apakah aspek-aspek relevan dalam penilaian prestasi kerja?

Prestasi kerja dapat dinilai melalui aspek-aspek penting yang berkaitan dengan tugas dan tanggungjawab khusus pekerja. Sebagai contoh, ketepatan masa adalah elemen penilaian yang kritikal bagi seorang Pengurus Projek (Project Manager) kerana ia menunjukkan kemampuan mereka untuk mengurus dan menyiapkan projek dengan cekap serta tepat pada waktunya.

Berikut adalah contoh-contoh aspek relevan yang berkaitan dengan tanggungjawab pekerja:

  • Kehadiran (Attendance): Menepati masa dan hadir di tempat kerja mengikut jadual yang ditetapkan.
  • Produktiviti (Productivity): Jumlah output yang dihasilkan dalam tempoh tertentu, mencerminkan kecekapan.
  • Kualiti Kerja (Work Quality): Hasil kerja mengikut standard yang ditetapkan, termasuk ketelitian dan ketepatan.
  • Komunikasi (Communication): Keupayaan berkongsi maklumat, mendengar, dan bertindak balas dengan berkesan di tempat kerja.
  • Inisiatif (Initiative): Kesediaan untuk mengambil tindakan proaktif dan membuat keputusan tanpa menunggu arahan.
  • Kerja berpasukan (Teamwork): Keupayaan untuk bekerjasama secara berkesan dan menyumbang secara positif kepada pasukan.
  • Kepimpinan (Leadership): Keupayaan untuk membimbing, memberi inspirasi, dan mengurus pasukan.
  • Penyelesaian masalah (Problem-Solving): Keupayaan mengenal pasti isu, menganalisisnya, dan menyediakan penyelesaian praktikal.

Melalui penilaian yang baik, majikan dapat mengoptimumkan potensi setiap pekerja dan mencapai kecemerlangan kerjaya dalam organisasi.

Cara menggunakan penilaian prestasi untuk meningkatkan perkembangan kerjaya

Seorang pekerja tengah berfikir tentang prestasi kerja sendiri

Penilaian prestasi bukan sahaja bertujuan untuk menilai pencapaian semasa, tetapi juga untuk mengenal pasti peluang bagi peningkatan dan pembangunan kerjaya. Proses ini memberi peluang kepada pekerja untuk memahami potensi mereka dan membantu majikan menyelaraskan matlamat individu dengan objektif organisasi.

Berikut adalah cara menggunakan penilaian prestasi untuk meningkatkan perkembangan kerjaya:

  1. Penilaian dan maklum balas: Keputusan penilaian digunakan untuk memberi maklum balas yang membina kepada pekerja mengenai kekuatan dan kelemahan mereka. Maklum balas ini bertujuan untuk memperkukuh kekuatan yang ada serta memperbaiki kelemahan, membantu pekerja mencapai prestasi yang lebih baik.
  2. Rancang latihan dan pembangunan: Latihan dan pembangunan kerjaya boleh dirancang untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan pekerja berdasarkan hasil penilaian.
  3. Tetapkan matlamat: Matlamat pembangunan kerjaya perlu dijelaskan dengan spesifik bagi setiap pekerja untuk memastikan arah yang jelas.
  4. Pantau kemajuan: Pantau kemajuan pekerja secara berterusan dan lakukan penilaian semula secara berkala untuk memastikan konsistensi dalam peningkatan prestasi.

Cadangan untuk meningkatkan prestasi semasa dan prestasi jangka panjang

Untuk individu, anda sebagai pekerja perlu menjadi proaktif dalam usaha meningkatkan prestasi kerja. Prestasi yang ditonjolkan sebenarnya memberi impak besar kepada kecemerlangan ataupun kegagalan organisasi. Anda boleh mengukur usaha anda dengan menetapkan matlamat jangka pendek dan jangka panjang untuk mencapainya.

Jangka Pendek:

  1. Teknik Pengurusan Masa yang Efektif: Gunakan teknik seperti Pomodoro untuk mengatur masa tertentu bagi menyelesaikan satu tugasan. Teknik ini membantu anda mengekalkan fokus dengan bekerja dalam selang masa yang ditetapkan, seperti 25 minit, untuk mengelakkan burnout dan meningkatkan produktiviti.
  2. Meningkatkan Fokus: Untuk kekal fokus, pastikan anda bebas dari gangguan, terutamanya daripada telefon anda semasa bekerja. Ambil masa rehat yang pendek untuk menjaga konsentrasi dan memberi otak anda peluang untuk berehat. Dengan cara ini, anda dapat mengekalkan fokus dan tidak mudah terganggu.
  3. Komunikasi yang Berkesan: Pelajari cara untuk menyampaikan dan mendengar maklumat dengan jelas supaya mesej yang disampaikan difahami dengan tepat, mengurangkan salah faham, serta meningkatkan kerjasama dan produktiviti dalam pasukan. Untuk panduan lanjut, anda boleh membaca artikel "Komunikasi Berkesan: Asas Kemahiran Interpersonal Tempat Kerja."
  4. Meminta Maklum Balas: Rajinlah meminta maklum balas daripada pengurus atau rakan sekerja mengenai prestasi anda. Ini untuk memastikan anda mengetahui kekuatan dan bidang yang perlu diperbaiki bagi mendorong inovasi di tempat kerja.

Jangka Panjang:

  1. Mengembangkan Keterampilan Baru: Mempelajari kemahiran baru yang relevan dengan jawatan atau bidang anda membantu untuk kekal berdaya saing di pasaran pekerjaan. Anda berpeluang untuk menambah ilmu pengetahuan, seterusnya meningkatkan perkembangan kerjaya.
  2. Mengikuti Pelatihan: Mengikuti latihan yang sesuai seperti kursus atau seminar dapat meningkatkan kemahiran sedia ada. Latihan sebegini mendorong anda untuk memperbaiki prestasi kerja, mengurangkan kesilapan, dan memupuk kepuasan kerja.
  3. Membangun Jaringan Profesional: Menjalinkan hubungan profesional dengan individu lain di dalam atau luar industri membolehkan anda bertukar pengetahuan dan belajar dari pengalaman orang lain. Jaringan yang kuat juga dapat membuka pintu kepada kolaborasi, perkongsian ilmu, dan peluang kerjaya yang mungkin tidak terjangkau secara sendiri.

Peranan majikan dalam usaha untuk meningkatkan prestasi pekerja

Seorang pengurus tengah mengendalikan mesyuarat dengan ahli pasukannya.

Untuk memastikan pekerja melaksanakan matlamat organisasi, majikan juga perlu memainkan peranan dalam memupuk budaya pekerja berprestasi tinggi. Budaya berikut akan mendatangkan hasil dalam melahirkan pekerja yang bertanggungjawab dan bersikap positif dalam melakukan sesuatu tugasan.

Berikut adalah contoh-contoh usaha dalam meningkatkan prestasi pekerja:

  • Penyediaan peluang latihan dan pembangunan
    Untuk memastikan pekerja terus berkembang dan kekal relevan dengan perkembangan industri, majikan perlu menyediakan peluang latihan dan pembangunan yang dapat meningkatkan kemahiran dan juga pengetahuan mereka. Terdapat pelbagai jenis program yang ditawarkan oleh Kementerian Sumber Manusia yang boleh dipilih majikan mengikut keperluan semasa ataupun masa depan.
  • Penetapan matlamat yang jelas dan realistik
    Sebagai majikan, anda perlu memastikan matlamat organisasi dan jabatan adalah spesifik, relevan, dan realistik. Ini supaya pekerja anda tidak berasa tertekan atau tidak mampu untuk mencapai matlamat. Penetapan matlamat yang jelas dan realistik memastikan pekerja memahami apa yang perlu dicapai dan mempunyai panduan yang praktikal dalam mencapai kejayaan.
  • Pemberian maklum balas yang konstruktif
    Memberi maklum balas yang konstruktif menunjukkan bahawa anda, sebagai majikan, mengambil berat tentang pekerja anda. Mengenal pasti kelemahan dan memberi peluang untuk memperbaiki diri dapat mengelakkan masalah pada masa akan datang. Jika perlu, maklum balas boleh dilakukan secara berkala untuk peningkatan yang diperlukan.
  • Penghargaan dan ganjaran kepada pekerja yang berprestasi tinggi
    Majikan yang menawarkan ganjaran seperti bonus, kenaikan gaji, atau pengiktirafan dapat meningkatkan moral pekerja. Pekerja yang merasa diri mereka dihargai akan lebih cenderung untuk berprestasi tinggi dan pada masa yang sama, membantu membentuk organisasi yang positif dan produktif.

Kesimpulan

Prestasi kerja tinggi merupakan kunci kepada perkembangan kerjaya yang menggalakkan aspirasi peribadi dan pertumbuhan profesional. Pekerja yang berjaya menampilkan prestasi cemerlang menjadikan mereka pemimpin dalam bidang mereka dan merupakan aset berharga kepada organisasi.

Perkembangan diri yang berlanjutan penting dalam membina masa depan yang baik untuk karier seseorang kerana ia membantu dalam menyesuaikan diri dengan perubahan dalam industri dan keperluan pekerjaan. Pembelajaran berterusan memanfaatkan peluang baharu, meningkatkan kepuasan kerja dan memacu prestasi kerja tinggi.

Jika anda seorang pekerja, teruskan menunjukkan komitmen dan kecemerlangan dalam tugasan anda bagi membina perkembangan kerjaya (career development) jangka masa panjang.

Jika anda seorang majikan pula, laksanakan usaha dalam mencipta budaya pekerja berprestasi tinggi untuk memastikan organisasi berkembang maju menghadapi cabaran industri.

Soalan lazim (FAQ)

1. Apakah kepentingan motivasi dalam prestasi kerja?

Apabila pekerja bermotivasi, mereka menunjukkan prestasi yang lebih baik dan produktiviti tinggi. Mereka jadi lebih fokus, kreatif dan proaktif dalam menyelesaikan masalah, lalu membawa kepada kejayaan dalam kerjaya mereka.

2. Apakah peranan latihan dalam meningkatkan prestasi kerja?

Latihan dapat memberikan pekerja pengetahuan dan kemahiran tambahan yang diperlukan untuk melaksanakan tugas dengan lebih berkesan. Mereka dapat mengasah kemahiran baru, memahami teknologi terkini dan meningkatkan keyakinan diri.

3. Apakah langkah-langkah yang boleh diambil untuk memastikan penilaian prestasi yang adil?

Untuk memastikan penilaian prestasi yang adil, majikan perlu menetapkan kriteria yang jelas, dan menggunakan metodologi objektif yang berdasarkan data dan fakta.

Pada masa yang sama beri kesempatan untuk pekerja anda memberi maklum balas mengenai penilaian mereka. Ini untuk memastikan keperluan dan matlamat organisasi dicapai oleh kedua-dua pihak.

4. Apakah kaedah terbaik untuk memberi maklum balas kepada pekerja mengenai prestasi mereka?

Berikan maklum balas yang jujur ​​dan membina dengan contoh-contoh tertentu. Tetapkan matlamat dan langkah tindakan yang jelas, wujudkan suasana yang positif dan tawarkan sokongan sekiranya perlu untuk meningkatkan prestasi pekerja.

5. Bagaimanakah penilaian prestasi secara berkala dapat membantu pekerja?

Melalui penilaian prestasi berkala, pekerja dapat mengenal pasti kekuatan dan kelemahan diri. Ini membolehkan pekerja memahami di mana mereka perlu memperbaiki diri dan di mana mereka berjaya, seterusnya memotivasikan mereka untuk meningkatkan prestasi.

Ia juga memberi peluang untuk berkomunikasi berterusan di antara pekerja dan majikan untuk memantau perkembangan matlamat jangka masa pendek dan panjang.

More from this category: Workplace skills

Top search terms

Want to know what people are searching for on Jobstreet? Explore our top search terms to stay across industry trends.

Subscribe to Career Advice

Get expert career advice delivered to your inbox.
You can cancel emails at any time. By clicking ‘subscribe’ you agree to Jobstreet’s Privacy Statement.