Tips Merancang Cuti Bersalin

Tips Merancang Cuti Bersalin
Jobstreet content teamupdated on 10 October, 2024
Share

Sama ada anda bekerja di sektor awam atau swasta, merancang cuti bersalin dengan teliti adalah sangat penting untuk memastikan kesihatan fizikal, mental, dan emosi anda terjaga sepanjang tempoh berpantang nanti.

Artikel ini membincangkan kepentingan merancang cuti bersalin serta memberikan tips berguna dari berbagai-bagai aspek.

Apa itu cuti bersalin?

Cuti bersalin adalah tempoh rehat yang diberikan kepada pekerja wanita yang sedang mengandung atau baru melahirkan anak. Tujuan cuti ini adalah untuk membolehkan ibu berehat dan pulih dari kelahiran, serta memberi masa untuk menjaga bayi yang baru lahir.

Sejak 1 Januari 2023, pekerja wanita di Malaysia berhak menikmati cuti bersalin berbayar selama 98 hari , tertakluk di bawah pindaan Akta Kerja 1955 tahun 2022.

Kepentingan merancang cuti bersalin

 Sebuah meja kerja dengan kalendar bulan Mei, telefon, kacamata, dan alat tulis.

Seorang ibu yang baru melahirkan anak perlu berehat sekurang-kurangnya enam minggu agar dapat pulih dari segi fizikal. Oleh itu, cuti bersalin sangat penting untuk menjaga kesihatan ibu dan bayi serta mengurus emosi ibu yang baru bersalin.

Jika tempoh berpantang yang sepatutnya tenang dan damai terganggu oleh tuntutan kerja, ia boleh menjadi tidak menyenangkan. Justeru, adalah penting bagi pekerja wanita yang mengandung untuk merancang cuti bersalin dengan teliti sejak awal kehamilan.

Panduan lengkap merancang cuti bersalin

Berikut adalah beberapa tips yang boleh membantu anda merancang cuti bersalin dengan lebih baik.

Tips 1: Komunikasi dengan majikan

Perkara pertama yang perlu dilakukan ketika merancang cuti bersalin adalah memaklumkan kehamilan kepada majikan. Walaupun tiada waktu yang tepat untuk mengumumkan kehamilan, adalah wajar untuk memberitahu majikan tentang kehamilan anda di trimester pertama.

Apabila majikan sudah maklum dengan keadaan anda, syarikat dapat merancang untuk memberikan beban kerja yang sesuai. Anda juga dapat membincangkan awal tentang cuti bersalin, termasuk kemungkinan untuk memperpanjang cuti dan fleksibiliti bekerja dari rumah.

Bagaimana memulakan perbincangan tentang cuti bersalin dengan majikan?

Anda boleh membuat temu janji khusus dengan majikan untuk memulakan perbincangan tentang perancangan cuti bersalin.

Ketika bertemu, sampaikan secara ringkas, "Saya baru sahaja mendapat pengesahan kehamilan dari doktor dan dijangka melahirkan pada bulan September ini. Saya ingin berbincang dengan anda tentang permohonan cuti bersalin serta perancangan kerja semasa tempoh cuti nanti."

Pendekatan ini memudahkan anda menyampaikan berita kehamilan dan memberi peluang kepada majikan untuk merancang kebajikan anda.

Dokumen yang diperlukan

Sebaiknya, hantar satu email formal kepada majikan anda dengan surat permohonan cuti bersalin dan surat pengesahan kehamilan daripada doktor.

Anda boleh merujuk kepada Contoh surat permohonan cuti bersalin dalam artikel Cuti Bersalin: Hak Pekerja Wanita Sekurang-kurangnya 98 Hari – Ketahui Hak Anda

Merancang tempoh cuti bersalin

Dalam perancangan anda, ambil kira acara penting syarikat dan kenal pasti penglibatan anda semasa merancang tempoh cuti. Pastikan anda berbincang secara terbuka dengan majikan jika ada perkara penting yang perlu anda kendalikan sepanjang tempoh cuti.

Mengira tempoh cuti yang diperlukan

Cuti bersalin diberikan selama 98 hari berterusan. Oleh itu, ketika merancang cuti, pastikan anda mengambil kira hari Sabtu, Ahad, dan hari kelepasan am agar kiraan tempoh cuti lebih tepat. Anda diberi fleksibiliti untuk menentukan sendiri tempoh cuti bersalin, oleh itu pengiraan yang betul akan memastikan anda memiliki masa yang cukup untuk persediaan bersalin, pemulihan selepas bersalin, dan penjagaan bayi.

Rujuk kepada Cuti Bersalin di bawah Akta 1955 PDF untuk maklumat lanjut.

Tips 2: Penyediaan kewangan

Setiap kehamilan dan kelahiran memerlukan perbelanjaan yang besar. Walaupun anda mempunyai cuti bersalin berbayar, penting untuk menyusun kewangan dengan teliti semasa tempoh ini. Anda boleh memulakan dengan menetapkan bajet yang jelas untuk:

  • Keperluan perubatan,
  • Bil rawatan,
  • Persediaan bayi,
  • Perbelanjaan harian sepanjang tempoh cuti bersalin.

Dengan penyusunan yang teliti, anda dapat mengelakkan tekanan kewangan yang tidak diingini.

Manfaat dan elaun yang layak diterima

Jika anda mempunyai kurang daripada lima orang anak yang masih hidup, dan telah bekerja di syarikat anda selama empat bulan sebelum bersalin atau sekurang-kurangnya 90 hari dalam tempoh sembilan bulan sebelum bersalin, anda layak menerima cuti bersalin berbayar dengan kadar gaji biasa atau elaun.

Elaun tambahan

Sesetengah majikan juga menawarkan elaun tambahan untuk kos perubatan dan persediaan bayi. Pastikan anda bertanya kepada jabatan sumber manusia di syarikat anda mengenai sebarang manfaat tambahan.

Tips 3: Persediaan di tempat kerja

Penting untuk menyiapkan segala kerja dan memiliki pelan yang tersusun sebelum pergi untuk cuti bersalin. Berbincanglah dengan majikan mengenai tarikh mula dan tamat cuti anda, serta kemungkinan sambungan cuti jika diperlukan.

Komunikasi terbuka ini membantu merancang penggantian sementara dan memastikan semua pihak, termasuk rakan sekerja anda, berpuas hati. Berikut adalah dua langkah utama dalam persediaan di tempat kerja sebelum mengambil cuti bersalin:

Langkah 1: Menyusun kerja sebelum cuti

Pastikan tempat kerja anda tersusun dan semua dokumen, sama ada fizikal atau dalam talian, disusun dengan baik dan dilabel dengan jelas. Ini memudahkan rakan sekerja yang akan mengambil alih tugas anda untuk mencari dan menggunakan dokumen-dokumen tersebut.

Langkah 2: Latihan dan penyerahan tugas

Latihan yang efektif adalah kunci untuk memastikan kelancaran operasi semasa ketiadaan anda. Oleh itu, pastikan pengganti anda dilatih dan memahami skop kerja dengan jelas supaya tidak terbeban dengan tanggungjawab tambahan. Anda perlu memastikan semua kelengkapan telah disiapkan agar tugas berjalan lancar dan teratur sepanjang ketiadaan anda.

Tips 4: Perancangan untuk kembali bekerja

Wanita kembali bekerja selepas cuti bersalin

Kembali bekerja selepas cuti bersalin boleh menjadi satu cabaran besar bagi ibu baru. Perasaan risau meninggalkan bayi di bawah jagaan orang lain dan perasaan berat hati berpisah sementara dengan anak adalah perkara biasa.

Berikut adalah beberapa cara untuk mengatur pelan kembali kerja anda dengan lebih lancar dan tenang:

Persiapan mental dan fizikal untuk kembali bekerja

Ketika merancang cuti bersalin, ambil kira juga tempoh untuk anda persiapkan diri dari segi fizikal, mental, dan emosi untuk kembali bekerja nanti.

Pastikan anda berehat secukupnya dan telah pulih daripada sebarang keletihan fizikal selepas melahirkan. Amalkan juga meditasi atau teknik relaksasi untuk mengurangkan tekanan.

Pemeriksaan kesihatan berkala

Pemeriksaan berkala ini penting untuk memastikan anda berada dalam keadaan fizikal yang baik dan bersedia untuk kembali bekerja. Pastikan anda mematuhi nasihat doktor dan melakukan pemeriksaan kesihatan yang diperlukan selepas cuti bersalin.

Penjagaan diri dan bayi

Keluar berjalan-jalan bersama bayi untuk membiasakan diri anda dan bayi dengan persekitaran luar rumah. Ini juga membantu anda untuk merasa lebih segar dan bertenaga.

Biasakan anak dengan rutin baru seperti minum susu dari botol supaya mereka tidak menghadapi masalah apabila anda mula bekerja. Sediakan jadual mengepam susu yang teratur dan pastikan anda mempunyai stok susu yang mencukupi.

Tips 5: Sokongan dari keluarga dan rakan

Seorang lelaki dan wanita sedang berbincang di sebuah ruangan pejabat.

Apabila merancang cuti bersalin, anda juga perlu menyedari bahawa tempoh selepas bersalin boleh menjadi sangat melelahkan.

Sokongan dari orang terdekat, terutamanya pasangan, keluarga, dan rakan, sangat penting dalam menghadapi cabaran ini. Jangan ragu untuk meminta bantuan dari ahli keluarga atau rakan untuk menjaga bayi atau membantu dengan kerja rumah apabila diperlukan.

Cuti paterniti untuk suami

Suami anda juga layak untuk cuti paterniti selama 7 hari, membolehkan pasangan anda membantu menjaga bayi dan memberikan sokongan semasa bersalin.

Untuk memastikan anda mendapat manfaat ini, simpan rekod kerja dengan baik dan bincangkan dengan suami mengenai hak cuti paterniti untuk suami anda dan pastikan permohonan cuti diserahkan kepada majikan sebelum bersalin.

Menyusun jadual bantuan

Susunlah jadual penjagaan dengan ahli keluarga untuk memastikan anda mendapat rehat yang mencukupi. Pastikan semua orang memahami peranan mereka dan bila mereka perlu membantu.

Untuk mengelakkan drama dan konflik, pastikan komunikasi dengan keluarga adalah jelas dan terbuka. Jika perlu, pertimbangkan untuk menggunakan perkhidmatan penjagaan profesional seperti pembantu rumah atau jururawat berdaftar untuk membantu dengan penjagaan bayi dan kerja rumah.

Kesimpulan

Merancang cuti bersalin dengan teliti adalah penting untuk memastikan kesejahteraan ibu dan bayi serta kelancaran pekerjaan. Komunikasi awal dan berterusan dengan majikan merupakan kunci untuk memastikan semua urusan kerja dapat diatur dengan baik selama ketiadaan anda.

Penyediaan kewangan yang cermat serta sokongan padu dari keluarga dan rakan-rakan akan mengurangkan tekanan dan memastikan anda dapat menjalani tempoh cuti bersalin dengan tenang.

Dengan persiapan yang rapi, termasuk memastikan kesihatan fizikal dan mental, serta mempersiapkan diri untuk kembali bekerja, anda akan lebih yakin dan bersedia untuk menghadapi peranan baru sebagai ibu yang juga berkarier.

Semoga dengan mengamalkan tips yang dikongsi dalam artikel ini, anda akan merasa lebih siap dan yakin dalam menjalani peranan sebagai ibu berkerjaya.

Soalan lazim (FAQ)

1. Bilakah waktu terbaik untuk memberitahu majikan tentang kehamilan saya?

Waktu terbaik untuk memberitahu majikan tentang kehamilan anda adalah pada trimester pertama.

2. Apakah dokumen yang perlu saya sediakan untuk memohon cuti bersalin?

Untuk memohon cuti bersalin, anda perlu menyediakan surat permohonan cuti bersalin yang ditujukan kepada majikan serta surat pengesahan kehamilan daripada doktor.

3. Bagaimanakah cara mengira tempoh cuti bersalin yang sesuai?

Tempoh cuti bersalin dikira berterusan selama 98 hari termasuk Sabtu dan Ahad serta hari kelepasan am. Biasanya cuti ini bermula pada tarikh melahirkan anak. Namun, anda diberi fleksibiliti untuk merancang sendiri tarikh dan tempoh cuti bersalin.

4. Apakah manfaat dan elaun yang boleh saya terima semasa cuti bersalin?

Anda layak menerima cuti bersalin berbayar atau elaun. Pastikan anda mengetahui hak anda di bawah Akta Kerja 1955 pindaan 2022 untuk mendapatkan manfaat sepenuhnya.

5. Adakah saya perlu kembali bekerja segera selepas tempoh cuti bersalin tamat?

Anda boleh berbincang dengan majikan mengenai kemungkinan memanjangkan cuti bersalin, bekerja dari rumah, atau mengambil cuti tambahan jika diperlukan.

More from this category: Your employment rights

Top search terms

Want to know what people are searching for on Jobstreet? Explore our top search terms to stay across industry trends.

Subscribe to Career Advice

Get expert career advice delivered to your inbox.
By providing your personal information, you agree to the Collection Notice and Privacy Policy. If you are under 18 years old, you must have parental consent for Jobstreet and affiliates to process your personal data. You can unsubscribe at any time.