Cara mohon kerja kerajaan: Proses, syarat, dan tips berjaya

Cara mohon kerja kerajaan: Proses, syarat, dan tips berjaya
Jobstreet content teamupdated on 30 July, 2025
Share

Kerja kerajaan terus menjadi pilihan popular di Malaysia kerana kestabilan, faedah menarik, dan jaminan jangka panjang yang ditawarkan. 

Ramai graduan baharu serta pekerja berpengalaman bercita-cita untuk menyertai sektor awam kerana prospek kerjaya yang lebih terjamin. Selain itu, insentif seperti kemudahan perubatan serta peluang kenaikan pangkat yang teratur menjadikan kerja kerajaan pilihan utama.

Namun, proses permohonan kerja kerajaan tidak sama seperti permohonan di sektor swasta. Ia melibatkan langkah-langkah rasmi serta temu duga yang menilai kesesuaian calon daripada pelbagai aspek. Oleh itu, penting untuk memahami keseluruhan proses permohonan supaya anda lebih bersedia dan meningkatkan peluang untuk berjaya.

Kelebihan kerja kerajaan

Kerjaya dalam sektor awam menawarkan pelbagai kelebihan yang menjadikannya pilihan utama ramai pencari kerja. Berikut adalah beberapa kelebihan utama bekerja dalam sektor kerajaan yang perlu anda ketahui:

1. Gaji tetap dan kenaikan berkala 

Kerja kerajaan menawarkan gaji tetap berdasarkan gred jawatan, dengan kenaikan berkala setiap tahun. Ini memberikan kestabilan kewangan jangka panjang kepada pekerja, berbanding sektor swasta yang bergantung pada prestasi syarikat.

2. Elaun dan kemudahan yang menarik 

Selain gaji pokok, pekerja kerajaan turut menerima elaun seperti Bayaran Imbuhan Sara Hidup (BISH), elaun perumahan dan kemudahan perubatan untuk diri sendiri dan keluarga. Ini membantu mengurangkan beban kos sara hidup harian.

3. Peluang kenaikan pangkat yang jelas 

Sektor awam menyediakan laluan kenaikan pangkat yang teratur mengikut skim perkhidmatan. Setiap jawatan mempunyai tangga gaji dan laluan kerjaya yang jelas, membolehkan pekerja merancang masa depan mereka dengan lebih baik.

4. Jaminan pencen selepas bersara 

Salah satu kelebihan terbesar kerja kerajaan adalah jaminan pencen selepas bersara. Ini memberi ketenangan fikiran kerana anda akan menerima pendapatan tetap walaupun selepas tamat perkhidmatan.

5. Cuti lebih banyak berbanding sektor swasta

Pekerja kerajaan menikmati jumlah cuti tahunan yang lebih banyak berbanding sektor swasta. Mereka juga mendapat cuti khas seperti cuti sakit, cuti bersalin, dan cuti belajar dengan bergaji penuh, mengikut kelayakan dan jawatan.

Wanita berhijab memegang laptopnya

Platform rasmi untuk memohon kerja kerajaan

Bagi memastikan proses permohonan kerja kerajaan berjalan dengan lancar, adalah penting untuk mengetahui platform rasmi yang tersedia.

1. SPA9

SPA9 (spa9.spa.gov.my) adalah sistem utama permohonan kerja kerajaan di peringkat persekutuan. Melalui sistem ini, anda boleh mendaftar akaun, mengisi maklumat peribadi, dan memohon pelbagai jawatan yang diiklankan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

2. Portal kerajaan negeri

Setiap negeri di Malaysia mempunyai portal rasmi untuk mengiklankan jawatan kosong di bawah pentadbiran negeri masing-masing. Contohnya termasuk portal rasmi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Selangor dan Sistem eJawatan Negeri Johor. Permohonan bagi jawatan negeri perlu dikemukakan terus melalui portal berkenaan.

3. Agensi / kementerian tertentu

Beberapa agensi dan kementerian kerajaan turut mengiklankan kekosongan jawatan secara terus di laman rasmi masing-masing. Sebagai contoh, Lembaga Tabung Haji, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sering membuka permohonan secara terus tanpa melalui SPA9.

4. e-Pengambilan

e-Pengambilan ialah sistem yang digunakan oleh beberapa agensi seperti MARA, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk urusan pengambilan pekerja. Pemohon perlu mendaftar akaun dalam sistem masing-masing dan mengikuti prosedur permohonan yang ditetapkan oleh agensi berkenaan.

Langkah permohonan melalui SPA9

SPA9 merupakan sistem utama untuk memohon jawatan kerajaan di peringkat persekutuan. Berikut ialah langkah-langkah penting yang perlu anda ikuti untuk memastikan permohonan anda berjalan dengan lancar:

Langkah 1: Daftar akaun di portal rasmi SPA9

Pastikan anda menggunakan maklumat yang sah dan alamat e-mel yang aktif semasa pendaftaran. Ini penting kerana sebarang komunikasi rasmi akan dihantar melalui e-mel tersebut.

Langkah 2: Isi maklumat peribadi, akademik, dan pengalaman kerja

Setelah akaun berjaya didaftarkan, lengkapkan semua maklumat peribadi, akademik dan pengalaman kerja dengan teliti. Maklumat ini akan digunakan untuk menilai kesesuaian anda dengan jawatan yang dimohon.

Langkah 3: Pilih jawatan yang layak berdasarkan kelayakan

Pilih jawatan yang sesuai berdasarkan kelayakan akademik dan pengalaman anda. Pastikan anda membaca dengan teliti syarat-syarat yang ditetapkan untuk setiap jawatan sebelum membuat pilihan.

Langkah 4: Hantar permohonan dan tunggu panggilan temu duga

Selepas memilih jawatan, hantar permohonan anda melalui sistem SPA9. Permohonan anda akan disimpan dalam sistem untuk dipertimbangkan apabila jawatan yang sesuai dibuka.

Langkah 5: Pastikan maklumat sentiasa dikemas kini

Akhir sekali, pastikan semua maklumat dalam akaun SPA9 anda sentiasa dikemas kini. Ini termasuk maklumat peribadi, alamat, nombor telefon, serta pencapaian akademik dan pengalaman kerja terkini. Kemas kini yang konsisten akan memastikan anda tidak terlepas sebarang peluang yang sesuai dengan kelayakan anda.

Syarat kelayakan umum

Untuk permohonan kerja kerajaan, anda mesti memenuhi beberapa syarat asas yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA). Berikut adalah antara syarat kelayakan umum yang perlu dipenuhi oleh pemohon:

a. Warganegara Malaysia

Calon mestilah merupakan warganegara Malaysia yang sah. Ini kerana sektor awam bertanggungjawab menjaga kepentingan negara dan hanya rakyat Malaysia layak untuk memohon jawatan dalam perkhidmatan awam.

b. Berumur 18 tahun ke atas

Kebanyakan jawatan dalam perkhidmatan awam menetapkan umur minimum 18 tahun pada tarikh tutup permohonan. Namun begitu, terdapat jawatan tertentu yang turut menetapkan had umur maksimum, bergantung kepada skim perkhidmatan yang ditawarkan.

c. Lulus SPM atau kelayakan setaraf

Sebahagian besar jawatan dalam perkhidmatan awam memerlukan kelulusan minimum Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau kelayakan yang setaraf dengannya. Untuk jawatan profesional atau teknikal, kelayakan akademik yang lebih tinggi mungkin diperlukan. 

d. Sihat tubuh badan dan berkelakuan baik

Calon perlu sihat dari segi fizikal dan mental bagi memastikan keupayaan melaksanakan tugas dengan berkesan. Selain itu, tingkah laku yang baik amat penting bagi memelihara integriti dan imej perkhidmatan awam.

e. Tiada rekod jenayah atau tindakan tatatertib

Calon tidak boleh mempunyai sebarang rekod jenayah atau pernah dikenakan tindakan tatatertib oleh mana-mana majikan terdahulu. Ini penting bagi memastikan hanya individu yang berintegriti tinggi dan berdisiplin dipilih untuk berkhidmat dalam sektor awam.

Proses saringan & temu duga

Selepas anda menghantar permohonan melalui sistem seperti SPA9 atau portal kerajaan negeri, proses saringan akan bermula. 

Tidak semua calon akan dipanggil ke setiap peringkat kerana ia bergantung kepada jawatan yang dipohon serta keperluan agensi yang menawarkan kekosongan. Berikut ialah beberapa peringkat saringan yang lazim dihadapi oleh pemohon:

1. Peperiksaan online mengikut keperluan jawatan

Bagi sesetengah jawatan, calon perlu menduduki peperiksaan online sebagai tapisan awal. Peperiksaan ini biasanya melibatkan ujian pengetahuan am, daya menyelesaikan masalah, kemahiran bahasa, dan kefahaman berkaitan bidang tugas jawatan. Ia direka untuk menilai tahap intelektual dan kesediaan asas calon sebelum ke peringkat seterusnya.

2. Ujian fizikal dan kecergasan untuk jawatan beruniform

Bagi jawatan seperti polis, tentera, bomba dan lain-lain yang memerlukan keupayaan fizikal yang tinggi, ujian fizikal dan kecergasan adalah wajib dilalui. 

Ujian ini boleh melibatkan larian pada jarak tertentu, ujian ketahanan seperti tekan tubi atau bangkit tubi, serta pemeriksaan BMI dan tahap kesihatan keseluruhan. Kegagalan dalam ujian ini boleh menyebabkan calon tidak layak ke peringkat seterusnya.

3. Penilaian psikometrik untuk mengukur kesesuaian personaliti

Penilaian psikometrik penting untuk menilai sama ada keperibadian calon selaras dengan nilai dan budaya kerja dalam sektor awam. Soalan biasanya berbentuk senario tingkah laku dengan pilihan jawapan yang mencerminkan cara anda membuat keputusan, bekerja dalam pasukan, atau menangani tekanan kerja.

4. Temu duga bersemuka atau dalam talian

Calon yang melepasi saringan awal akan dipanggil menghadiri temu duga. Temu duga boleh diadakan secara bersemuka di pejabat kerajaan atau secara maya (dalam talian), bergantung kepada keperluan dan situasi semasa. 

Semasa temu duga, calon akan dinilai berdasarkan komunikasi, pengetahuan tentang jawatan, dasar kerajaan, serta kesesuaian peribadi dan profesional untuk menyertai sektor awam.

Keputusan permohonan akan dimaklumkan secara rasmi melalui e-mel yang didaftarkan atau menerusi portal SPA9. Oleh itu, adalah penting untuk sentiasa memeriksa akaun SPA9 dan e-mel anda agar tidak terlepas sebarang makluman penting.

Lelaki dan wanita duduk bersemuka semasa temu duga kerja

Tips lulus temu duga kerja kerajaan

Mendapat panggilan untuk menghadiri temu duga kerja kerajaan sudah merupakan satu pencapaian, namun kejayaan sebenar bergantung pada tahap persediaan anda. Berikut merupakan beberapa tip penting yang boleh membantu anda menghadapi temu duga dengan lebih yakin dan berjaya:

1. Fahami tugas dan skop jawatan yang dimohon

Pastikan anda memahami sepenuhnya tanggungjawab serta skop kerja bagi jawatan yang dimohon. Pengetahuan ini akan membantu anda menjawab soalan temu duga dengan lebih yakin serta menunjukkan kesungguhan dan komitmen anda untuk menyertai sektor awam.

2. Berpakaian kemas dan sopan

Penampilan memainkan peranan penting dalam membina tanggapan pertama yang positif, terutamanya dalam temu duga kerja kerajaan yang menekankan disiplin dan imej diri.

Pilih pakaian formal yang sesuai, kemas, dan sopan seperti kemeja lengan panjang, seluar slack, atau baju kurung. Penampilan yang profesional mencerminkan rasa hormat anda terhadap institusi awam dan kesungguhan untuk berkhidmat dalam sektor kerajaan.

3. Tunjukkan pengetahuan tentang dasar kerajaan dan isu semasa

Buat persediaan dengan membaca dan memahami dasar-dasar kerajaan terkini serta isu semasa yang berkaitan dengan negara dan sektor awam. Pengetahuan ini mencerminkan minat anda terhadap hal ehwal pentadbiran negara serta menunjukkan kesediaan dan kepekaan anda sebagai calon penjawat awam.

4. Latih diri jawab soalan umum dan berkaitan perkhidmatan awam

Biasakan diri dengan soalan-soalan lazim temu duga seperti “Mengapa anda ingin bekerja dalam sektor awam?” dan “Apakah sumbangan anda kepada negara sekiranya dilantik?”. Latihan ini akan membantu anda menjawab dengan lebih lancar, yakin, dan tersusun.

5. Bawa dokumen lengkap dan susun rapi dalam fail

Pastikan semua dokumen penting seperti sijil akademik, salinan kad pengenalan, resume, surat panggilan temu duga, dan dokumen sokongan lain disusun dengan rapi dalam sebuah fail.

Tindakan ini bukan sahaja memudahkan proses semakan semasa temu duga, malah menunjukkan sikap teratur, profesional, dan bersedia — ciri yang dihargai dalam perkhidmatan awam.

Apa perlu buat jika tidak berjaya dalam permohonan kerja kerajaan

Jika permohonan anda tidak berjaya, langkah pertama adalah menyemak semula kelayakan dan memastikan semua maklumat yang diisi dalam sistem SPA9 adalah tepat dan terkini. Kesilapan kecil seperti alamat e-mel yang salah atau kelayakan akademik yang tidak dikemas kini boleh menjejaskan peluang anda. 

Selain itu, jangan putus asa. Teruskan memantau portal SPA9 atau portal kerajaan negeri untuk iklan jawatan baharu yang dibuka dari semasa ke semasa. Permohonan kerja kerajaan memang memerlukan kesabaran kerana persaingan sangat tinggi dan jumlah calon sering melebihi kekosongan jawatan yang ditawarkan.

Untuk meningkatkan peluang, pertimbangkan untuk menambah kelayakan anda dengan mengikuti kursus pendek, seminar, atau mendapatkan sijil tambahan yang diiktiraf. Ini bukan sahaja meningkatkan daya saing anda, malah menunjukkan kesungguhan dan komitmen anda untuk terus berkembang sebagai calon penjawat awam.

Sebagai alternatif, anda boleh mempertimbangkan jawatan kontrak dalam sektor kerajaan atau di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai langkah permulaan. 

Pengalaman bekerja dalam GLC atau jawatan kontrak kerajaan boleh menjadi kelebihan apabila anda memohon jawatan tetap pada masa hadapan, kerana ia membuktikan anda sudah biasa dengan persekitaran kerja sektor awam.

Permohonan kerja kerajaan memerlukan kesungguhan dan strategi

Proses memohon kerja kerajaan mungkin mengambil masa, namun peluang jangka panjang yang ditawarkan amat berbaloi. Pastikan dokumen anda lengkap, ikuti prosedur dengan betul, dan sentiasa mengemas kini maklumat permohonan. 

Gagal sekali bukan bermaksud gagal selamanya. Dengan kesabaran serta usaha yang konsisten, peluang untuk berjaya dalam sektor awam pasti boleh dicapai.

Soalan lazim

1. Bagaimanakah cara mendaftar untuk memohon kerja kerajaan melalui SPA9?

Daftar akaun di portal SPA9, isi maklumat lengkap, dan pilih jawatan yang layak sebelum menghantar permohonan. Pastikan semua maklumat adalah tepat dan terkini untuk mengelakkan sebarang masalah semasa pemprosesan permohonan.

2. Adakah permohonan kerja kerajaan boleh dibuat tanpa kelulusan universiti?

Boleh, asalkan anda memenuhi syarat minimum seperti SPM atau kelayakan lain yang ditetapkan.  Setiap jawatan mempunyai keperluan kelayakan tersendiri mengikut skim perkhidmatan.

3. Berapa lama tempoh menunggu selepas memohon kerja kerajaan?

Tempoh menunggu berbeza-beza. Biasanya mengambil masa beberapa bulan bergantung kepada kekosongan dan proses saringan.

4. Adakah saya boleh mohon lebih daripada satu jawatan dalam SPA9?

Ya, anda boleh memohon beberapa jawatan serentak selagi memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan. Namun begitu, anda hanya akan dipanggil ke peringkat seterusnya jika layak berdasarkan penilaian awal.

More from this category: Applying for jobs

Top search terms

Want to know what people are searching for on Jobstreet? Explore our top search terms to stay across industry trends.

Explore related topics

Choose an area of interest to browse related careers.

Subscribe to Career Advice

Get expert career advice delivered to your inbox.
By providing your personal information, you agree to the Collection Notice and Privacy Policy. If you are under 18 years old, you must have parental consent for Jobstreet and affiliates to process your personal data. You can unsubscribe at any time.