Panduan kerja di Australia: Syarat, visa, dan gaji pekerja

Panduan kerja di Australia: Syarat, visa, dan gaji pekerja
Jobstreet content teamupdated on 30 July, 2025
Share

Semakin ramai rakyat Malaysia berminat untuk mencari peluang kerja di luar negara, dan Australia sering menjadi pilihan utama. Dengan ekonomi yang kukuh, peluang pekerjaan yang meluas, serta gaji yang kompetitif, Australia menawarkan prospek kerjaya yang menarik bagi mereka yang ingin mencuba nasib di luar negara.

Namun, bekerja di Australia tidak semudah menghantar permohonan biasa. Calon perlu membuat persediaan rapi dari segi dokumen sokongan, memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan, serta memahami jenis visa yang diperlukan. Persediaan awal ini penting untuk memastikan proses penghijrahan dan permohonan kerja berjalan lancar.

Kelebihan kerja di Australia

Australia bukan sahaja menawarkan peluang pekerjaan yang luas, malah turut menyediakan pelbagai kelebihan menarik kepada pekerja asing. Berikut ialah beberapa kelebihan utama bekerja di Australia:

1. Gaji minimum yang tinggi berbanding di Malaysia

Salah satu tarikan utama untuk bekerja di Australia ialah gaji minimum yang lebih tinggi berbanding di Malaysia. Gaji minimum yang tinggi ini membantu pekerja menampung kos sara hidup yang turut lebih tinggi, di samping menikmati kualiti hidup yang lebih baik.

2. Peluang kerja dalam pelbagai industri

Selain itu, Australia menawarkan peluang kerja dalam pelbagai industri yang aktif seperti pertanian, pembinaan, hospitaliti, serta bidang profesional seperti kejuruteraan dan teknologi maklumat. Ini membuka peluang besar kepada pencari kerja dari pelbagai latar belakang.

3. Gaya hidup lebih seimbang dan persekitaran hidup lebih selesa

Gaya hidup di Australia lebih seimbang, di mana rakyatnya mengutamakan keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi. Mereka mengamalkan budaya kerja yang santai tetapi berfokuskan hasil. Ditambah dengan persekitaran hidup yang selesa, bersih, dan mesra, Australia menjadi destinasi ideal untuk membina kerjaya sambil menikmati kehidupan berkualiti.

Jenis-jenis kerja popular untuk rakyat Malaysia

Terdapat pelbagai jenis kerja di Australia yang popular dalam kalangan rakyat Malaysia. Peluang ini merangkumi sektor pertanian, perkhidmatan makanan, pembinaan, bidang profesional, serta kerja sambilan untuk pelajar.

1. Kerja ladang (Farm work) 

Kerja ladang seperti memetik buah, menanam sayur, dan membungkus hasil pertanian sangat popular dalam kalangan rakyat Malaysia, terutamanya pemegang Working Holiday Visa. Selain menawarkan pendapatan yang lumayan, kerja ladang juga boleh membantu memenuhi syarat untuk sambungan visa kedua.

2. Kerja restoran dan kafe

Sektor makanan dan minuman (F&B) di Australia sentiasa memerlukan pekerja seperti pelayan, barista, dan tukang dapur. Rakyat Malaysia yang fasih berbahasa Inggeris serta mempunyai pengalaman dalam industri hospitaliti mempunyai kelebihan besar untuk mendapatkan kerja dalam bidang ini.

3. Pembinaan 

Industri pembinaan di Australia menawarkan peluang kepada pekerja buruh am, operator mesin, dan pekerja mahir lain. Kerja dalam sektor ini memerlukan tahap kecergasan fizikal yang baik dan menawarkan gaji yang kompetitif, terutama di bandar-bandar besar seperti Sydney dan Melbourne..

4. Profesional 

Untuk golongan profesional, terdapat banyak peluang dalam bidang kejuruteraan, kejururawatan, perakaunan, dan teknologi maklumat (IT). Dengan kelayakan serta pengalaman yang sesuai, profesional berpeluang mendapatkan pekerjaan yang menawarkan gaji menarik serta laluan kerjaya yang jelas.

5. Kerja sambilan pelajar

Pelajar antarabangsa di Australia dibenarkan bekerja sambilan. Peluang kerja sambilan yang popular termasuk dalam sektor runcit atau penghantaran makanan. Ini membolehkan pelajar menampung kos sara hidup sambil mendapatkan pengalaman kerja antarabangsa.

Wanita menaip pada komputer ribanya di kafe.

Visa yang sesuai untuk bekerja di Australia

Untuk bekerja secara sah di Australia, anda perlu memohon visa yang sesuai dengan tujuan dan kelayakan anda. Berikut ialah beberapa jenis visa kerja yang popular dalam kalangan rakyat Malaysia:

  • Working Holiday Visa (Subclass 417/462): Sesuai untuk golongan muda berumur antara 18 hingga 30 tahun yang ingin melancong sambil bekerja. Pemohon biasanya akan bekerja dalam sektor seperti pertanian atau hospitaliti untuk jangka masa pendek.

  • Temporary Skill Shortage (TSS) Visa (Subclass 482): Dikeluarkan kepada pekerja mahir yang menerima tawaran kerja daripada majikan di Australia. Visa ini memerlukan penajaan oleh syarikat dan biasanya diberikan untuk pekerjaan yang tersenarai dalam senarai kemahiran yang diperlukan oleh negara tersebut.

  • Skilled Independent Visa (Subclass 189): Untuk profesional berkemahiran tinggi yang tidak disenaraikan di bawah penajaan oleh mana-mana majikan atau kerajaan negeri. Pemohon mesti melalui sistem mata (points test) berdasarkan faktor seperti umur, pengalaman kerja, dan penguasaan bahasa Inggeris.

  • Employer Nomination Scheme (Subclass 186): Dikhususkan untuk pekerja mahir yang dicalonkan oleh majikan di Australia untuk jawatan tetap. Merupakan salah satu laluan visa yang boleh membawa kepada status pemastautin tetap (Permanent Residency).

  • Student Visa (Subclass 500): Walaupun bukan visa kerja sepenuh masa, pelajar antarabangsa dibenarkan bekerja sambilan sepanjang tempoh pengajian mereka. Visa ini sesuai bagi mereka yang ingin memperoleh pendapatan tambahan dan pengalaman kerja tempatan.

Nota: Setiap visa mempunyai syarat khusus, termasuk tahap bahasa Inggeris, kelayakan akademik, dan pengalaman kerja. Untuk maklumat paling tepat dan terkini, sila rujuk laman web rasmi Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri Australia.

Syarat & kelayakan umum

Sebelum memohon pekerjaan di Australia, anda perlu memenuhi beberapa syarat asas yang ditetapkan oleh pihak Imigresen dan juga majikan. Syarat-syarat ini berbeza mengikut jenis visa, namun secara umumnya merangkumi perkara-perkara berikut:

1. Umur minimum 18 tahun

Umur minimum bagi kebanyakan visa kerja ialah 18 tahun. Untuk Working Holiday Visa, had umur maksimum biasanya ialah 30 tahun (sesetengah negara dibenarkan sehingga 35 tahun).

2. Kemahiran bahasa Inggeris

Penguasaan bahasa Inggeris yang baik amat penting, terutamanya untuk pekerjaan profesional atau berkemahiran tinggi. Anda mungkin perlu mengambil ujian seperti IELTS, TOEFL, atau PTE Academic dan mencapai skor minimum tertentu (contohnya, Band 6.0 ke atas dalam IELTS bagi kebanyakan visa mahir).

3. Pengalaman kerja atau kelayakan akademik

Jika anda memohon visa mahir atau profesional, anda perlu membuktikan pengalaman kerja yang relevan atau memiliki kelayakan yang diiktiraf. Perkara ini biasanya disahkan melalui proses penilaian kemahiran oleh badan profesional di Australia (contohnya: Engineers Australia, ANMAC).

4. Laporan Kesihatan & Rekod Jenayah Bersih

Anda perlu menjalani pemeriksaan kesihatan dengan doktor panel yang diluluskan oleh kerajaan Australia bagi memastikan anda bebas daripada penyakit berjangkit seperti tibi atau hepatitis. Selain itu, anda juga perlu menyediakan Sijil Kelakuan Baik daripada PDRM sebagai bukti bahawa anda memiliki rekod jenayah yang bersih.

5. Dana mencukupi untuk kos hidup awal

Pihak Imigresen memerlukan bukti bahawa anda mempunyai dana yang mencukupi untuk menyara hidup sementara menunggu pendapatan tetap.

  • Contohnya: Working Holiday Visa – Sekurang-kurangnya AUD 5,000 (lebih kurang RM15,000–RM16,000) sebagai bukti simpanan.

Dana ini penting untuk menampung kos sewa, makanan, dan pengangkutan bagi beberapa minggu atau bulan pertama di Australia.

6. Insurans kesihatan & perlindungan tambahan

Untuk sesetengah jenis visa, seperti Working Holiday dan Student Visa, anda diwajibkan atau digalakkan untuk mendapatkan insurans kesihatan sah yang melindungi sepanjang tempoh tinggal di Australia.

Contohnya, pemegang visa pelajar perlu mempunyai Overseas Student Health Cover (OSHC), manakala visa kerja memerlukan Overseas Visitors Health Cover (OVHC) yang memenuhi syarat pihak imigresen. Insurans ini penting untuk menampung kos rawatan dan kecemasan yang tinggi di Australia.

Cara cari kerja di Australia dari Malaysia

Terdapat beberapa cara untuk mencari kerja di Australia dari Malaysia:

  • Portal kerja seperti jobstreet: Portal kerja antarabangsa seperti Jobstreet dan SEEK Australia membolehkan anda mencari pelbagai jenis pekerjaan berdasarkan lokasi, sektor, dan tahap kelayakan. Pastikan anda menyediakan resume dalam format profesional yang sesuai dengan standard Australia sebelum memohon.

  • Ejen pekerjaan berlesen dan sah: Gunakan khidmat ejen pekerjaan yang berlesen dan berdaftar secara sah, sama ada di Malaysia atau di Australia. Ejen ini boleh membantu anda mencari majikan yang sesuai, menguruskan permohonan visa, dan memberikan bimbingan sepanjang proses permohonan. Pastikan anda menyemak latar belakang ejen untuk mengelakkan sebarang penipuan.

  • Rangkaian profesional: Membangunkan rangkaian profesional, sama ada melalui kenalan peribadi atau saluran lain yang berkaitan, adalah sangat penting. Rangkaian ini sering menjadi sumber maklumat tentang peluang pekerjaan yang tidak diiklankan secara terbuka dan boleh meningkatkan peluang anda untuk dipanggil ke sesi temu duga.

  • Kumpulan komuniti atau Facebook kerja Australia: Terdapat banyak kumpulan komuniti rakyat Malaysia di Australia serta kumpulan Facebook yang berkongsi iklan kerja, petua, dan pengalaman. Menyertai kumpulan ini boleh membantu anda mendapatkan maklumat tentang peluang kerja terkini serta nasihat daripada mereka yang sudah berpengalaman.

  • Majikan taja visa – Semak iklan "Sponsorship Available": Sesetengah iklan kerja akan menyatakan "sponsorship available", bermaksud majikan bersedia menaja permohonan visa kerja anda. Fokus kepada peluang seperti ini untuk meningkatkan kemungkinan mendapatkan visa kerja jangka panjang seperti Temporary Skill Shortage visa (subkelas 482).

Ahli perniagaan tersenyum di mejanya.

Tips untuk bina kerjaya yang kukuh di Australia

Membina kerjaya yang kukuh di Australia memerlukan lebih daripada sekadar mendapatkan pekerjaan pertama. Anda perlu mengambil langkah strategik untuk menyesuaikan diri, meningkatkan kemahiran, dan membina reputasi kerja yang baik. Berikut ialah beberapa tips penting untuk membantu anda berjaya dalam jangka masa panjang:

1. Mulakan dengan kerja sambilan jika perlu

Jika anda baru tiba di Australia, pertimbangkan untuk memulakan dengan kerja sambilan bagi membina pengalaman dan menyesuaikan diri dengan budaya kerja tempatan. Kerja sambilan juga membantu anda menjana pendapatan awal sambil mencari peluang pekerjaan tetap.

2. Tingkatkan kemahiran bahasa dan komunikasi

Kemahiran bahasa Inggeris yang baik sangat penting untuk berinteraksi dengan rakan sekerja dan majikan. Tingkatkan kemahiran ini dengan mengikuti kelas tambahan bahasa Inggeris atau menyertai aktiviti komuniti tempatan.

3. Bangunkan rangkaian profesional tempatan

Membangunkan rangkaian profesional sangat membantu dalam mencari peluang kerja. Sertai majlis perniagaan atau seminar di Australia untuk memperluaskan rangkaian kenalan dan meningkatkan peluang kerjaya anda.

4. Pertimbangkan sambung belajar untuk kelayakan Australia

Mendapatkan kelayakan tempatan seperti sijil, diploma atau ijazah daripada institusi di Australia dapat meningkatkan keboleh pasaran anda dalam pasaran kerja. Kelayakan ini lebih dikenali dan dihargai oleh majikan tempatan.

5. Pelihara reputasi kerja dan dapatkan rujukan

Reputasi kerja yang baik sangat penting. Sentiasa berdisiplin, menepati masa, dan menunjukkan etika kerja yang tinggi. Dapatkan surat rujukan daripada majikan untuk meningkatkan peluang anda memperoleh jawatan yang lebih tinggi pada masa hadapan.

Rancang langkah anda sebelum bekerja di Australia

Bekerja di Australia boleh membuka banyak peluang baharu dan memberikan pengalaman hidup yang berharga. Namun, ia memerlukan persediaan rapi dari segi dokumen, kewangan, dan mental.

Fahami jenis visa yang sesuai, cabaran bekerja, serta budaya tempatan sebelum berhijrah. Dengan perancangan yang teliti, anda boleh membina kerjaya yang kukuh dan kehidupan baharu di luar negara.

Soalan lazim

1. Apakah jenis visa paling sesuai untuk kerja sambilan di Australia?

Working Holiday Visa dan Student Visa merupakan pilihan yang paling popular untuk tujuan kerja sambilan. Kedua-dua jenis visa ini membenarkan pemegangnya bekerja dalam tempoh tertentu, tertakluk kepada syarat visa masing-masing.

2. Adakah saya perlu fasih berbahasa Inggeris untuk memohon kerja di Australia?

Ya, tahap kemahiran bahasa Inggeris yang baik amat penting untuk membolehkan anda berkomunikasi dengan majikan dan rakan sekerja. Malah, sesetengah jenis visa memerlukan keputusan rasmi ujian seperti IELTS sebagai bukti kecekapan bahasa anda.

3. Bagaimanakah saya boleh cari kerja dari Malaysia sebelum ke Australia?

Anda boleh mula mencari kerja melalui portal pekerjaan antarabangsa seperti SEEK. Selain itu, menggunakan khidmat ejen pekerjaan yang sah serta membina rangkaian profesional melalui saluran lain dalam talian juga dapat meningkatkan peluang anda untuk mendapatkan pekerjaan sebelum tiba di Australia.

4. Bolehkah saya terus tinggal di Australia selepas visa kerja tamat?

Ya, anda boleh memohon visa lain seperti visa kerja tetap (Skilled Visa) atau status Pemastautin Tetap (Permanent Residency, PR) sekiranya memenuhi syarat yang ditetapkan. 

Walau bagaimanapun, proses ini memerlukan penilaian semula terhadap kelayakan anda, termasuk pengalaman kerja, tahap penguasaan bahasa Inggeris, dan kriteria lain yang berkaitan.

More from this category: Finding the job for you

Top search terms

Want to know what people are searching for on Jobstreet? Explore our top search terms to stay across industry trends.

Explore related topics

Choose an area of interest to browse related careers.

Subscribe to Career Advice

Get expert career advice delivered to your inbox.
By providing your personal information, you agree to the Collection Notice and Privacy Policy. If you are under 18 years old, you must have parental consent for Jobstreet and affiliates to process your personal data. You can unsubscribe at any time.