Majikan tidak mencarum KWSP: Hak pekerja dan langkah tindakan

Majikan tidak mencarum KWSP: Hak pekerja dan langkah tindakan
Jobstreet content teamupdated on 24 September, 2025
Share

Simpanan KWSP ialah hak wajib setiap pekerja yang bekerja di Malaysia. Ia dilindungi sepenuhnya di bawah Akta KWSP 1991. Setiap majikan bertanggungjawab untuk mencarum bagi pihak pekerja mengikut kadar yang ditetapkan.

Kegagalan mencarum bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh menjejaskan masa depan kewangan anda. Jika majikan tidak mencarum KWSP, anda berhak untuk mengambil tindakan.

Artikel ini akan membantu anda memahami tanggungjawab majikan, hak pekerja dan langkah yang perlu diambil jika caruman tidak dibuat seperti sepatutnya.

Tanggungjawab majikan terhadap caruman KWSP

Apabila anda mula bekerja, majikan wajib mendaftarkan anda sebagai ahli KWSP dan memastikan caruman dibuat setiap bulan tanpa gagal. Ini termasuk mencarum mengikut kadar yang ditetapkan.

Tanggungjawab asas majikan termasuk:

  • Mencarum pada kadar wajib, contohnya 13% daripada majikan dan 11% daripada pekerja untuk mereka yang bergaji RM5,000 ke bawah dan berumur bawah 60 tahun.

  • Membuat bayaran caruman sebelum atau pada 15 haribulan setiap bulan tanpa lewat.

  • Memberikan slip gaji setiap bulan yang mengandungi butiran caruman KWSP yang jelas.

Untuk semakan penuh kadar caruman mengikut kategori umur dan gaji, anda boleh merujuk jadual rasmi di laman web KWSP.

Tanda amaran dan isu biasa pekerja hadapi

Majikan yang tidak mencarum KWSP biasanya menunjukkan beberapa tanda awal yang boleh anda kesan. Perhatikan situasi berikut jika anda rasa ada sesuatu yang tidak kena dengan caruman bulanan anda:

  • Tiada caruman muncul dalam i-Akaun KWSP anda walaupun sudah bekerja melebihi satu bulan.

  • Gaji dibayar secara tunai tanpa slip rasmi, menjadikan sukar untuk membuktikan sebarang potongan telah dibuat.

  • Majikan berdalih atau mengelak menjawab soalan tentang KWSP apabila ditanya secara langsung.

  • Slip gaji menunjukkan potongan KWSP telah dibuat, tetapi tiada sebarang transaksi caruman direkodkan dalam i-Akaun anda.

  • Jumlah potongan KWSP yang dinyatakan dalam slip gaji tidak sepadan dengan jumlah sebenar yang dicarum ke dalam akaun KWSP anda.

  • Caruman tidak dibuat secara konsisten setiap bulan, ada bulan yang dicarum, ada bulan yang tidak.

Apa perlu dibuat jika KWSP tidak dicarum?

Jika anda menyedari bahawa majikan tidak mencarum KWSP, anda perlu bertindak segera. Setiap langkah di bawah penting untuk melindungi hak anda sebagai pekerja.

1. Semak i-Akaun KWSP

Log masuk ke i-Akaun KWSP anda melalui portal rasmi untuk menyemak sama ada caruman telah dikreditkan. Jika tiada caruman muncul selepas anda bekerja lebih daripada satu bulan, itu petanda jelas wujud masalah.

2. Kumpulkan bukti yang lengkap

Simpan semua dokumen penting yang berkaitan dengan pekerjaan anda, termasuk slip gaji, surat tawaran, kontrak kerja, serta sebarang mesej atau e-mel yang membuktikan anda telah berkhidmat di syarikat tersebut. Bukti ini penting untuk anda ambil tindakan yang sewajarnya terhadap majikan.

3. Laporkan kepada KWSP

Jika anda yakin terdapat kegagalan caruman, anda boleh membuat laporan kepada KWSP melalui salah satu saluran berikut:

  • Melalui laman web rasmi di www.kwsp.gov.my.

  • Menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di talian 03-8922 6000.

  • Hadir sendiri ke mana-mana pejabat KWSP yang terdekat.

Lengkapkan Borang KWSP 1879, iaitu borang rasmi untuk aduan kegagalan majikan mencarum di bawah Seksyen 43 Akta KWSP 1991. Antara maklumat yang diperlukan termasuk:

  • Nama dan nombor ahli KWSP anda.

  • Butiran majikan seperti nama syarikat, alamat, nombor telefon dan status perniagaan.

  • Tarikh mula bekerja, jumlah gaji, dan tempoh caruman tidak dibayar.

  • Slip gaji, surat pelantikan dan dokumen sokongan lain.

Apa akan berlaku selepas laporan dibuat?

Pegawai atau peguam sedang meneliti laporan berkaitan aduan terhadap majikan yang tidak mencarum KWSP.

Selepas aduan dihantar, KWSP akan memulakan siasatan terhadap majikan yang dilaporkan. Identiti anda sebagai pengadu akan dirahsiakan dan tidak akan didedahkan kepada majikan.

Jika siasatan mendapati bahawa majikan telah gagal mencarum, KWSP akan mengarahkan mereka membayar tunggakan caruman, termasuk caj lewat bayar dan dividen ke atas jumlah tertunggak. Dalam kebanyakan kes, jika majikan bersetuju untuk membuat bayaran penyelesaian, anda tidak perlu hadir ke mahkamah.

Namun, dalam situasi tertentu, anda mungkin diminta hadir ke mahkamah sebagai saksi, bergantung pada keperluan kes. Jika majikan masih ingkar atau tidak mematuhi arahan, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mereka.

Antara hukuman yang boleh dikenakan di bawah Akta KWSP 1991 termasuk:

  • Penjara sehingga 6 tahun atau denda sehingga RM20,000 jika majikan memotong caruman pekerja tetapi tidak membayar kepada KWSP (Seksyen 48(3)).

  • Penjara sehingga 3 tahun atau denda maksimum RM10,000 jika gagal mencarum dalam tempoh yang ditetapkan setiap bulan (Seksyen 43(2)).

  • Sekatan perjalanan atau tindakan kebankrapan boleh dikenakan terhadap pengarah syarikat yang gagal melunaskan caruman tertunggak (Seksyen 46(1)).

Hak perlindungan pekerja di sisi undang-undang

Jika anda khuatir majikan anda tidak mencarum KWSP, ketahuilah bahawa Akta KWSP 1991 menyediakan beberapa lapisan perlindungan yang sah di sisi undang-undang untuk melindungi anda sebagai pekerja. Antara perlindungan utama yang diberikan:

  • Akta KWSP 1991 melindungi pekerja daripada sebarang tindakan balas oleh majikan yang dilaporkan kerana kegagalan mencarum.

  • Aduan anda akan dirahsiakan sepenuhnya dan tidak akan didedahkan kepada majikan semasa siasatan dijalankan.

  • Anda berhak menuntut semula semua caruman tertunggak, termasuk dividen dan caj lewat bayar yang sepatutnya dimasukkan ke dalam akaun KWSP anda.

Setiap majikan mempunyai kewajipan yang jelas di bawah Akta untuk mendaftar dan membuat caruman bulanan bagi setiap pekerja yang layak. Kegagalan mencarum merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan penalti.

Lembaga KWSP turut diberi kuasa penuh untuk menyiasat majikan yang tidak mematuhi undang-undang, termasuk memeriksa rekod syarikat dan membawa kes ke mahkamah jika perlu. 

Sekiranya majikan didapati bersalah, mahkamah boleh mengarahkan mereka membayar semula semua caruman tertunggak, beserta faedah dan caj berkaitan. Ini akan memastikan simpanan KWSP anda dikreditkan seolah-olah tiada tunggakan berlaku.

Apa perlu dilakukan sebelum terima tawaran kerja?

Sebelum anda menandatangani sebarang surat tawaran kerja, lakukan semakan yang teliti terlebih dahulu. Langkah ini penting untuk melindungi diri anda daripada risiko majikan yang tidak mematuhi tanggungjawab mencarum KWSP.

  • Tanya secara terus kepada majikan sama ada syarikat mereka membuat caruman KWSP secara sah dan konsisten setiap bulan.

  • Elakkan menerima tawaran kerja tanpa surat atau kontrak rasmi, terutama jika gaji dibayar secara tunai dan tiada slip gaji disediakan.

  • Semak reputasi syarikat melalui platform seperti JobStreet atau Glassdoor, untuk melihat ulasan bekas pekerja berkenaan isu caruman KWSP atau hal berkaitan pengurusan syarikat.

  • Jika anda berasa ragu-ragu, berbincang terlebih dahulu dengan wakil bahagian sumber manusia (HR). Tanyakan siapa yang menguruskan KWSP dan minta penjelasan lanjut jika perlu.

Jika tiada tindakan atau lambat respon daripada KWSP

Simbol keadilan di atas meja peguam semasa perbincangan isu undang-undang caruman KWSP.

Dalam kebanyakan kes, KWSP akan memberi maklum balas selepas anda membuat laporan. Namun, jika tiada tindakan diterima dalam tempoh yang munasabah, anda masih mempunyai pilihan.

Mulakan dengan menunggu sehingga 14 hari selepas laporan dibuat. Jika masih tiada kemas kini, buat susulan melalui e-mel rasmi atau hubungi Pusat Panggilan KWSP.

Jika selepas susulan tiada sebarang tindak balas, anda boleh membuat aduan lanjut kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTKSM). Mereka mempunyai kuasa untuk menangani isu ketidakpatuhan undang-undang pekerjaan termasuk caruman KWSP.

Sebagai pilihan tambahan, anda juga boleh mendapatkan nasihat daripada NGO buruh, badan advokasi pekerja, atau peguam yang berpengalaman dalam undang-undang pekerjaan. Mereka boleh membantu menyemak dokumen anda dan memberikan panduan lanjut tentang tindakan seterusnya.

Jangan berhenti hanya kerana tiada respons segera. Teruskan usaha untuk memastikan hak anda sebagai pekerja dipelihara sepenuhnya.

Simpan bukti, buat aduan, lindungi masa depan anda

Caruman KWSP bukan sekadar kewajipan majikan. Ia adalah simpanan masa depan anda yang dijamin di sisi undang-undang. Jika majikan tidak mencarum KWSP, tindakan awal daripada anda boleh mengelakkan kerugian jangka panjang.

Pastikan anda sentiasa menyemak caruman dalam i-Akaun secara berkala. Simpan semua bukti penting seperti slip gaji, surat tawaran dan kontrak kerja. Jika terdapat ketidakpatuhan, laporkan segera kepada KWSP melalui saluran rasmi yang disediakan.

Anda berhak untuk menerima caruman penuh, termasuk faedah lewat bayar. Jangan biarkan hak anda terabai. Lindungi masa depan kewangan anda dengan bertindak sekarang dan kekal peka terhadap sebarang isu yang menjejaskan simpanan KWSP anda.

Soalan lazim

1. Apa perlu saya buat jika caruman KWSP saya tiada selama 6 bulan?

Langkah pertama ialah menyemak i-Akaun KWSP anda untuk mengesahkan bahawa tiada caruman dimasukkan. Jika disahkan tiada, kumpulkan semua bukti pekerjaan seperti slip gaji dan surat tawaran kerja. Seterusnya, buat aduan kepada KWSP melalui saluran rasmi.

2. Bolehkah saya mohon pampasan daripada KWSP terus?

Tidak. KWSP tidak membayar pampasan secara terus kepada pekerja. Namun, anda boleh menuntut caruman tertunggak beserta faedah lewat bayar selepas siasatan selesai. 

Jika didapati majikan gagal mencarum, KWSP akan mengarahkan mereka membayar jumlah tertunggak tersebut termasuk caruman asal, caj lewat bayar dan dividen tambahan terus ke dalam akaun KWSP anda.

3. Apakah risiko yang dihadapi majikan jika gagal mencarum?

Majikan yang gagal mencarum boleh dikenakan faedah lewat bayar, denda, serta tindakan undang-undang. Dalam kes yang lebih serius, mereka boleh didakwa di mahkamah dan berdepan hukuman penjara, denda, atau kedua-duanya sekali.

4. Adakah pekerja kontrak juga layak KWSP?

Ya. Pekerja kontrak juga layak menerima caruman KWSP selagi mereka diambil bekerja di bawah Contract of Service dan menerima gaji. Dalam kes ini, majikan bertanggungjawab untuk mencarum bagi pihak mereka, sama seperti pekerja tetap.

Top search terms

Want to know what people are searching for on Jobstreet? Explore our top search terms to stay across industry trends.

Subscribe to Career Advice

Get expert career advice delivered to your inbox.
By providing your personal information, you agree to the Collection Notice and Privacy Policy. If you are under 18 years old, you must have parental consent for Jobstreet and affiliates to process your personal data. You can unsubscribe at any time.