Motivasi Intrinsik: Maksud, Kepentingan dan Cara Meningkatkannya

Motivasi Intrinsik: Maksud, Kepentingan dan Cara Meningkatkannya
Jobstreet content teamupdated on 30 July, 2025
Share

Motivasi memainkan peranan penting dalam menentukan arah bagi individu untuk mencapai kejayaan dalam kerjaya dan kehidupan peribadi. Tanpa motivasi, tindakan menjadi sukar dan prestasi sukar dikekalkan secara konsisten. Motivasi dibahagikan kepada dua jenis utama iaitu motivasi intrinsik dan motivasi ekstrinsik.

Memahami jenis-jenis motivasi serta bagaimana ia mempengaruhi tindakan seseorang adalah langkah penting dalam membina prestasi kerja yang mampan.

Fokus utama artikel ini adalah untuk memahami dengan lebih mendalam tentang motivasi intrinsik, bagaimana ia berfungsi dan mengapa ia sangat penting dalam meningkatkan prestasi kerja serta kesejahteraan individu secara keseluruhan.

Apa itu motivasi intrinsik?

Motivasi intrinsik merujuk kepada dorongan dalaman seseorang untuk melakukan sesuatu kerana minat, rasa puas hati atau nilai peribadi. Ia tidak bergantung pada ganjaran luaran seperti gaji atau pujian, sebaliknya memfokuskan kepada kepuasan diri.

Contoh motivasi intrinsik termasuk rasa seronok ketika menyelesaikan tugasan mencabar, keinginan untuk belajar sesuatu yang baru kerana minat atau usaha gigih untuk menyiapkan kerja kerana rasa tanggungjawab terhadap hasilnya.

Perbezaan motivasi intrinsik & ekstrinsik

Motivasi boleh datang daripada pelbagai sumber, sama ada dorongan dalaman atau pengaruh luaran. Untuk memahami bagaimana seseorang terdorong dalam menyempurnakan tugasan, penting untuk membezakan antara motivasi intrinsik dan motivasi ekstrinsik

Kedua-duanya mempunyai peranan dalam dunia kerja, namun kesannya terhadap jangka masa panjang adalah berbeza.

Motivasi intrinsik lahir dari dalam diri individu itu sendiri. Ia berpunca daripada minat mendalam, nilai peribadi atau rasa puas hati terhadap sesuatu tugasan. Individu yang bermotivasi secara intrinsik akan terus berusaha walaupun tanpa sebarang ganjaran kerana mereka menikmati proses pelaksanaan kerja itu sendiri. 

Sifat motivasi ini menjadikannya lebih stabil dalam jangka panjang dan membina komitmen yang lebih kukuh terhadap kerjaya.

Sebaliknya, motivasi ekstrinsik bergantung kepada insentif luaran seperti gaji, bonus, pengiktirafan atau ganjaran material lain. 

Ia sangat berkesan untuk mendorong tindakan dalam jangka masa pendek, terutamanya apabila prestasi boleh dipacu melalui sistem ganjaran. Namun, sekiranya insentif tersebut dihentikan, motivasi ini mungkin akan berkurangan.

Walaupun berbeza, kedua-dua jenis motivasi ini sebenarnya boleh saling melengkapi. Gabungan antara motivasi intrinsik dan ekstrinsik mampu menghasilkan prestasi yang lebih tinggi, lebih konsisten dan lebih bermakna, terutamanya dalam persekitaran kerja yang dinamik dan mencabar.

Sekumpulan orang mengadakan mesyuarat di pejabat.

Kepentingan motivasi intrinsik dalam dunia kerja

Motivasi intrinsik bukan sahaja membentuk semangat seseorang dalam menjalankan tugas, malah memainkan peranan penting dalam prestasi jangka panjang.

Apabila seseorang terdorong oleh kepuasan dan nilai peribadi, ia mencetuskan kesan positif yang mendalam dalam persekitaran kerja. Berikut adalah beberapa sebab utama motivasi intrinsik sangat penting dalam kerjaya:

1. Tingkatkan komitmen dan kepuasan kerja

Apabila seseorang pekerja bermotivasi secara intrinsik, mereka lebih komited terhadap tugas yang dijalankan. Ini berlaku kerana mereka merasakan kerja itu memberi nilai peribadi dan kepuasan. Hasilnya, mereka lebih cenderung menyempurnakan tugasan dengan bersungguh-sungguh dan menikmati proses pelaksanaannya.

2. Bantu kekal fokus walaupun tiada ganjaran segera

Motivasi intrinsik mendorong seseorang untuk terus memberi usaha tanpa mengharapkan ganjaran segera. Mereka tetap fokus pada proses dan matlamat kerana kepuasan datang daripada menyempurnakan kerja itu sendiri bukan hanya hasil akhir.

3. Kurangkan risiko ‘burnout’ dan tekanan

Pekerja yang bermotivasi secara dalaman kurang terdedah kepada tekanan dan keletihan melampau kerana mereka bekerja dengan rasa sukarela dan ikhlas. Ia juga membantu mengurangkan risiko burnout dan tekanan kerana tindakan didorong oleh kepuasan dalaman bukan paksaan. Mereka lebih mudah mengekalkan keseimbangan emosi dan mengurus tekanan harian dengan lebih baik.

4. Galakkan pembelajaran berterusan dan inovasi

Individu yang bermotivasi secara intrinsik cenderung untuk terus belajar dan mencuba perkara baru. Mereka terdorong oleh rasa ingin tahu dan minat yang mendalam terhadap bidang kerja yang sekaligus mendorong kepada inovasi dan penambahbaikan berterusan.

Malah, individu yang bermotivasi secara intrinsik biasanya lebih terbuka terhadap pembelajaran dan berani mencuba pendekatan baru.

Tanda-tanda pekerja miliki motivasi intrinsik tinggi

Pekerja yang memiliki motivasi intrinsik biasanya menunjukkan tingkah laku yang konsisten, bersemangat dan berdikari tanpa bergantung kepada dorongan luar. Mereka terdorong untuk menyumbang secara aktif kerana minat dan kepuasan terhadap tugas yang dijalankan. Berikut adalah beberapa tanda utama yang mencerminkan tahap motivasi dalaman yang tinggi:

  • Bekerja dengan penuh semangat dan inisiatif: Mereka menyelesaikan tugasan dengan kesungguhan tanpa disuruh, didorong oleh minat dan rasa tanggungjawab terhadap hasil kerja.

  • Proaktif mencari penyelesaian dan idea baru: Pekerja sebegini tidak menunggu arahan semata-mata sebaliknya berusaha mencadangkan pendekatan lebih baik untuk memperbaiki proses kerja.

  • Konsisten berusaha walaupun berdepan cabaran: Mereka tidak mudah putus asa dan tetap berusaha menyempurnakan tugas walaupun dalam situasi mencabar.

  • Berminat menambah ilmu dan berkembang: Rasa ingin tahu dan minat terhadap bidang kerja mendorong mereka untuk terus belajar dan memperbaiki diri secara berterusan.

Faktor yang mempengaruhi motivasi intrinsik

Terdapat beberapa faktor utama yang mempengaruhi tahap motivasi intrinsik seseorang. Faktor-faktor ini berkait rapat dengan emosi, nilai peribadi dan persekitaran kerja. Apabila faktor-faktor ini dipenuhi, pekerja lebih cenderung untuk terdorong secara dalaman dalam menjalankan tugas, antaranya adalah:

1. Minat terhadap bidang kerja 

Minat yang mendalam terhadap bidang kerja adalah pemacu utama kepada motivasi intrinsik. Apabila seseorang benar-benar menggemari tugasan yang dilakukan, mereka akan memberikan tumpuan penuh dan berusaha untuk mencapai hasil terbaik tanpa paksaan. Minat juga menjadikan kerja lebih menyeronokkan dan tidak dirasakan sebagai beban.

2. Rasa ada makna dalam tugas 

Apabila pekerja melihat tugas mereka sebagai sesuatu yang bermakna atau memberi impak kepada orang lain, mereka akan terdorong untuk bekerja dengan lebih komited. Perasaan bahawa tugasan yang dilakukan menyumbang kepada matlamat lebih besar memberi nilai peribadi yang mendalam dan meningkatkan kepuasan kerja.

3. Autonomi dalam membuat keputusan 

Kebebasan untuk membuat keputusan dalam skop kerja memberi rasa kepercayaan dan tanggungjawab kepada pekerja. Autonomi ini mewujudkan perasaan pemilikan terhadap tugas dan memberi ruang untuk individu menunjukkan inisiatif serta kreativiti.

4. Pengiktirafan dalaman dan sokongan pasukan 

Walaupun motivasi intrinsik tidak bergantung kepada ganjaran luaran, penghargaan secara dalaman seperti sokongan moral, pujian tulus dan pengiktirafan daripada rakan sekerja serta ketua jabatan memberi impak besar. Apabila usaha diiktiraf, pekerja berasa lebih dihargai dan terdorong untuk terus menyumbang secara positif.

Beberapa pekerja gembira bertemu bersama.

Cara tingkatkan motivasi intrinsik di tempat kerja

Untuk memupuk motivasi intrinsik, individu dan organisasi boleh mengambil beberapa langkah berikut:

1. Cari makna dalam tugasan harian

Apabila pekerja dapat melihat makna atau impak tugasan mereka, mereka lebih terdorong untuk memberikan yang terbaik. Fikirkan bagaimana tugasan harian menyumbang kepada matlamat organisasi atau membantu rakan sekerja dan pelanggan. Kesedaran ini mewujudkan rasa tanggungjawab dan tujuan dalam kerja seharian.

2. Tetapkan matlamat peribadi yang jelas

Menetapkan matlamat yang sesuai dengan nilai dan aspirasi peribadi memberi arah tuju yang jelas kepada pekerja. Apabila matlamat ini dicapai, ia memberikan kepuasan dalaman dan dorongan untuk terus maju.

3. Minta maklum balas berkala

Maklum balas yang membina memberi peluang kepada pekerja untuk memperbaiki kelemahan dan mengenal pasti kekuatan. Ia juga menunjukkan bahawa usaha mereka diperhatikan dan dihargai. Dengan maklum balas yang konsisten, pekerja akan lebih bermotivasi untuk terus mempertingkatkan diri.

4. Libatkan diri dalam projek mencabar dan membina

Peluang untuk menyertai projek mencabar memberi ruang kepada pekerja untuk menggunakan kemahiran secara maksimum dan keluar dari zon selesa. Cabaran baru merangsang pemikiran kreatif dan memberi peluang pembelajaran secara langsung yang seterusnya meningkatkan motivasi dalaman.

5. Bina hubungan kerja yang menyokong dan positif

Persekitaran kerja yang harmoni dan saling menyokong memainkan peranan penting dalam mengekalkan semangat intrinsik. Hubungan yang baik antara rakan sekerja dan sokongan daripada penyelia memberi ruang untuk bekerjasama secara efektif, saling menghargai dan berkembang bersama dalam kerjaya.

Peranan majikan dalam galak motivasi intrinsik

Majikan memainkan peranan penting dalam memupuk motivasi dalaman pekerja. Antara tindakan yang boleh diambil termasuk:

  • Wujudkan budaya kerja yang terbuka: Sediakan ruang untuk pekerja bersuara dan menyumbang idea.

  • Berikan peluang belajar dan berkembang: Kursus latihan dan pendedahan baru membantu pekerja menambah nilai diri.

  • Benarkan autonomi: Kepercayaan untuk membuat keputusan kecil memberi rasa tanggungjawab dan pemilikan terhadap kerja.

  • Hargai usaha, bukan hanya hasil akhir: Pekerja akan lebih terdorong apabila usaha mereka dihargai dan bukan hanya keputusan akhir yang dinilai.

Motivasi dalaman boleh bawa anda lebih jauh

Motivasi intrinsik adalah sumber tenaga dalaman yang memberi anda kekuatan untuk terus maju walaupun tanpa dorongan luaran. Apabila kerja dilakukan kerana minat dan nilai peribadi, anda akan lebih fokus, sabar dan tabah dalam mengharungi cabaran.

Dengan memupuk motivasi dari dalam, anda bukan sahaja akan lebih puas hati dengan kerjaya, malah akan berkembang secara profesional dan peribadi dengan lebih bermakna.

Soalan lazim

1. Apakah maksud sebenar motivasi intrinsik dalam konteks kerja?

Motivasi intrinsik merujuk kepada dorongan dalaman yang mendorong seseorang bekerja kerana minat, nilai peribadi atau kepuasan diri. Ia tidak bergantung kepada ganjaran luar, sebaliknya tertumpu kepada rasa seronok dan makna dalam tugasan yang dilakukan.

2. Bagaimana cara mengenal pasti jika seseorang digerakkan oleh motivasi intrinsik?

Individu yang bermotivasi secara intrinsik biasanya bekerja dengan penuh inisiatif dan kekal berusaha walaupun tanpa ganjaran. Mereka juga menunjukkan minat mendalam untuk terus belajar dan menyumbang secara aktif dalam kerja.

3. Adakah motivasi intrinsik boleh dipupuk atau lahir secara semula jadi?

Motivasi intrinsik boleh wujud secara semula jadi, terutamanya apabila seseorang benar-benar menyukai bidang kerjanya. Namun begitu, ia juga boleh dipupuk melalui pengalaman kerja yang positif, maklum balas membina dan sokongan daripada rakan sekerja serta pemimpin.

4. Apakah peranan pemimpin dalam meningkatkan motivasi intrinsik dalam kalangan staf?

Pemimpin boleh memainkan peranan penting dengan mewujudkan suasana kerja yang menyokong dan memberi kepercayaan kepada staf. Selain itu, pengiktirafan terhadap usaha serta peluang untuk berkembang turut membantu menanamkan motivasi dalaman secara berterusan.

More from this category: Workplace wellbeing

Top search terms

Want to know what people are searching for on Jobstreet? Explore our top search terms to stay across industry trends.

Subscribe to Career Advice

Get expert career advice delivered to your inbox.
By providing your personal information, you agree to the Collection Notice and Privacy Policy. If you are under 18 years old, you must have parental consent for Jobstreet and affiliates to process your personal data. You can unsubscribe at any time.