Naik pangkat: Cara, syarat dan strategi di tempat kerja

Naik pangkat: Cara, syarat dan strategi di tempat kerja
Jobstreet content teamupdated on 24 September, 2025
Share

Naik pangkat merupakan matlamat utama bagi ramai pekerja dalam perjalanan kerjaya mereka. Ia dapat membuka peluang untuk memperoleh tanggungjawab yang lebih besar di samping menawarkan ganjaran kewangan dan pengiktirafan daripada organisasi.

Namun begitu, kenaikan pangkat bukan sekadar bergantung pada pengalaman semata-mata. Faktor seperti prestasi kerja, hubungan profesional dan strategi kerjaya yang dirancang dengan baik turut memainkan peranan penting dalam proses ini. Hal-hal tersebut signifikan dalam menentukan kejayaan seseorang untuk mencapai jawatan yang lebih tinggi.

Dalam artikel ini, kami akan menerangkan cara memohon kenaikan pangkat, syarat-syarat naik pangkat dalam sektor kerajaan serta pelbagai strategi berkesan untuk meningkatkan kebolehpasaran dan potensi diri dalam dunia pekerjaan.

Apa maksud naik pangkat dan kenapa ia penting?

Naik pangkat bermaksud peralihan kepada jawatan yang lebih tinggi dalam sesebuah organisasi. Ia biasanya disertai dengan peningkatan gaji, tanggungjawab tambahan serta peranan yang lebih strategik dalam organisasi. Proses ini juga menjadi petanda bahawa syarikat mengiktiraf pencapaian dan potensi anda.

Kenaikan pangkat penting kerana ia:

  • Memberi motivasi untuk terus cemerlang dalam kerjaya.

  • Menunjukkan halatuju kerjaya yang jelas dan stabil.

  • Meningkatkan keyakinan diri dan penghargaan terhadap diri sendiri.

  • Membuka lebih banyak peluang untuk membina pengaruh dan kepimpinan dalam organisasi.

Syarat naik pangkat di tempat kerja

Sama ada anda bekerja dalam sektor awam atau swasta, proses kenaikan pangkat memerlukan pematuhan terhadap beberapa syarat asas dan penilaian yang ketat. Berikut adalah syarat-syarat umum yang biasanya menjadi asas dalam pertimbangan pihak pengurusan atau Lembaga Sumber Manusia:

1. Rekod disiplin bersih dan penilaian prestasi positif

Pegawai mesti bebas daripada sebarang hukuman tatatertib. Sekiranya pegawai telah dikenakan tindakan tatatertib, terdapat tempoh tertentu di mana pegawai tidak layak dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat.

Seterusnya, prestasi kerja dinilai berdasarkan Sistem Penilaian Prestasi. Bagi penjawat awam contohnya, wajaran nilai minimum sebanyak 80% selama tiga tahun berturut-turut sering menjadi syarat utama. Penilaian ini menunjukkan kesungguhan, disiplin dan pencapaian seseorang pekerja.

Pegawai juga perlu disahkan dalam jawatan tetap sebelum layak dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat atau pemangkuan. Pegawai lantikan kontrak atau sementara biasanya tidak memenuhi syarat ini.

2. Keperluan lulus kursus dan tapisan (sektor kerajaan)

Dalam sektor kerajaan, calon perlu:

  • Lulus peperiksaan atau kursus kenaikan pangkat seperti PTK (Penilaian Tahap Kecekapan) atau kursus kompetensi lain yang diwajibkan

  • Lulus tapisan keutuhan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

  • Telah mengisytiharkan harta dalam tempoh lima tahun terakhir

  • Bebas daripada senarai Peminjam Pendidikan Tegar dari institusi pinjaman pendidikan

3. Sokongan atau pengesyoran daripada penyelia

Cadangan dan pengesyoran rasmi daripada ketua jabatan atau penyelia merupakan salah satu syarat utama. Ia menunjukkan bahawa pegawai tersebut diyakini mampu memikul tanggungjawab pada tahap yang lebih tinggi.

4. Keupayaan menjalankan tugas di tahap lebih tinggi

Anda harus cemerlang dalam tugasan sedia ada. Anda juga perlu berupaya menggalas tugas tambahan atau peranan pengurusan secara tidak rasmi. Dalam sesetengah kes, pengalaman memangku jawatan turut diperlukan. menunjukkan prestasi

Seorang lelaki berpakaian kasual sedang melihat telefon.

Cara mohon kenaikan pangkat secara profesional

Memohon kenaikan pangkat memerlukan anda menunjukkan minat terhadap kedudukan yang lebih tinggi. Anda juga memerlukan pendekatan yang terancang dan profesional. Berikut adalah langkah-langkah yang boleh anda ambil untuk meningkatkan peluang permohonan anda:

1. Semak polisi dalaman atau pekeliling sumber manusia

Sebelum membuat sebarang permohonan, pastikan anda memahami sepenuhnya syarat-syarat dan garis panduan yang ditetapkan oleh organisasi. Ini termasuk:

  • Skim perkhidmatan dan struktur jawatan.

  • Syarat kelayakan (prestasi, tempoh perkhidmatan, kursus).

  • Proses permohonan dan tarikh tutup.

2. Kumpul dokumen sokongan

Sediakan dokumen lengkap sebagai bukti kukuh pencapaian anda:

  • Laporan penilaian prestasi tahunan.

  • Sijil kursus, latihan atau program pembangunan profesional.

  • Surat penghargaan, anugerah atau pengiktirafan dalaman dan luaran.

  • Senarai sumbangan atau inisiatif yang memberi impak positif kepada organisasi.

3. Bina kes yang kukuh melalui perbincangan dengan penyelia

Sebelum menghantar permohonan, bincang secara terbuka dengan penyelia atau ketua jabatan. Nyatakan aspirasi anda untuk maju dalam kerjaya. Dapatkan juga maklum balas tentang prestasi semasa serta potensi kenaikan pangkat. Langkah ini dapat menunjukkan kematangan dan profesionalisme anda.

4. Hantar permohonan bertulis atau isi borang rasmi (jika disyaratkan)

Sesetengah organisasi menyediakan borang dalam talian atau memerlukan surat rasmi untuk memohon kenaikan pangkat. Pastikan:

  • Permohonan anda ditulis dengan baik dan tersusun.

  • Semua maklumat penting disertakan.

  • Permohonan dihantar mengikut saluran yang betul (HR atau ketua jabatan).

5. Tunjukkan kesediaan ambil tanggungjawab tambahan sebelum dipohon

Salah satu cara paling berkesan untuk membuktikan kelayakan anda adalah dengan secara proaktif mengambil tanggungjawab tambahan dalam tugasan semasa. Tunjukkan bahawa anda mampu memimpin, membuat keputusan dan menyelesaikan masalah dengan berkesan walaupun belum dinaikkan pangkat.

Strategi kerjaya untuk promosi yang berkesan

Untuk maju dalam kerjaya dan mencapai kenaikan pangkat, anda memerlukan perancangan jangka panjang, usaha berterusan serta strategi yang terarah. Berikut adalah beberapa strategi kerjaya yang boleh membantu anda meraih promosi dengan lebih berkesan:

1. Ambil inisiatif dalam projek penting dan bantu pasukan capai sasaran

Tunjukkan bahawa anda sanggup mengambil peranan aktif dalam projek utama syarikat. Pegang tanggungjawab secara proaktif, tampil dengan idea baharu dan bantu rakan sekerja mencapai matlamat bersama. Pemimpin yang berjaya biasanya bermula sebagai pekerja yang berinisiatif tinggi.

2. Bina hubungan baik dengan rakan sekerja dan atasan

Jaringan hubungan yang sihat di tempat kerja sangat penting. Komunikasi yang baik, kerjasama dan sikap saling menghormati dapat membina reputasi profesional yang positif. Apabila tiba masanya untuk promosi, hubungan ini boleh menjadi faktor sokongan yang kukuh.

3.Teruskan pembelajaran: Ambil kursus, latihan dalaman atau sijil profesional

Pekerja yang sentiasa meningkatkan kemahiran dan pengetahuan akan dilihat sebagai aset kepada organisasi. Sertai kursus yang berkaitan dengan bidang tugas. Hadiri juga latihan dalaman atau dapatkan sijil profesional bagi membuktikan komitmen anda terhadap pembangunan kerjaya.

4. Minta maklum balas secara berkala dan gunakan untuk penambahbaikan

Maklum balas daripada penyelia atau rakan sekerja boleh menjadi cermin untuk menilai prestasi kerja anda. Gunakan maklum balas ini secara konstruktif untuk memperbaiki kelemahan dan memperkukuh kekuatan anda. Ini menunjukkan anda bersikap terbuka dan bersedia berkembang secara profesional

5. Tunjuk nilai tambah anda kepada organisasi secara konsisten

Pastikan sumbangan anda kepada organisasi dapat dilihat dan diukur. Ini boleh dilihat melalui peningkatan hasil kerja, inovasi proses atau penjimatan kos. Tunjukkan bahawa anda membawa nilai yang unik dan berterusan kepada syarikat. Konsistensi dalam prestasi ini akan menguatkan justifikasi anda untuk dipertimbangkan bagi kenaikan pangkat.

Tanda anda sudah bersedia untuk naik pangkat

Kenaikan pangkat bergantung kepada kesediaan individu untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar. Berikut adalah beberapa tanda yang menunjukkan anda berada di landasan yang betul:

1. Tugasan sekarang terlalu mudah atau kurang mencabar

Apabila anda dapat menyelesaikan tugasan harian dengan mudah tanpa rasa tertekan atau cabaran, ini mungkin petanda bahawa anda telah melebihi keperluan peranan semasa. Rasa tidak tercabar secara profesional merupakan isyarat bahawa anda bersedia untuk mengambil tugas yang lebih kompleks dan strategik.

2. Anda sudah bantu latih pekerja baru atau ambil alih tugas pengurusan

Jika anda telah mengambil inisiatif untuk membimbing pekerja baharu atau menyokong penyelia dalam tugasan pengurusan, ini menunjukkan tahap kematangan dan kecekapan yang tinggi. Keupayaan untuk memimpin atau mengurus orang lain adalah ciri penting yang dicari dalam calon untuk kenaikan pangkat.

3. Maklum balas daripada majikan atau pasukan menunjukkan kepercayaan terhadap kepimpinan anda

Apabila penyelia atau rakan sekerja mula meminta pandangan anda dalam membuat keputusan atau menyerahkan tanggungjawab penting kepada anda, ini menunjukkan mereka percaya kepada kebolehan anda. Keyakinan ini adalah satu indikator kukuh bahawa anda dilihat sebagai calon berpotensi untuk peranan lebih tinggi.

4. Anda telah capai KPI dan sumbangan anda diiktiraf dalam mesyuarat atau pembentangan

Pencapaian yang konsisten terhadap Petunjuk Prestasi Utama (KPI) serta pengiktirafan terbuka terhadap sumbangan anda merupakan petanda jelas bahawa anda telah memberikan impak positif kepada organisasi. Sekiranya usaha anda sering disebut dalam mesyuarat atau laporan, ini menandakan masa yang sesuai untuk mempertimbangkan kenaikan pangkat.

Seorang lelaki sedang memegang telefon sambil melihat skrin laptop.

Cabaran biasa dalam proses kenaikan pangkat

Mungkin anda telah menunjukkan prestasi cemerlang dan kesediaan untuk mengambil peranan yang lebih besar. Namun begitu, proses kenaikan pangkat tidak semestinya berlaku dengan lancar. Terdapat beberapa halangan lazim yang boleh menjejaskan peluang anda untuk naik pangkat:

  • Tiada kekosongan jawatan di jabatan: Dalam banyak organisasi, kenaikan pangkat hanya boleh berlaku apabila terdapat ruang dalam struktur jawatan sedia ada. Jika tiada kekosongan, permohonan anda mungkin ditangguhkan walaupun anda layak.

  • Keutamaan diberi kepada calon dalaman lain atau berdasarkan senioriti: Kadangkala, organisasi lebih cenderung mempertimbangkan calon lain yang lebih lama berkhidmat atau lebih dikenali dalam kalangan pengurusan. Ini boleh menjadi cabaran besar kepada pekerja muda yang berprestasi tinggi tetapi masih baharu dalam syarikat.

  • Politik tempat kerja atau kekurangan pendedahan: Pekerja yang kurang menonjol, kurang akses kepada peluang strategik atau tidak mempunyai hubungan baik dengan pihak atasan mungkin terpinggir walaupun berkebolehan. Kekurangan pendedahan kepada projek berprofil tinggi juga menyukarkan penilaian terhadap potensi anda.

  • Tidak cukup kelayakan rasmi untuk peranan baharu: Sesetengah jawatan memerlukan kelayakan tertentu seperti sijil profesional, pengalaman minimum atau pencapaian akademik. Jika anda tidak memenuhi syarat rasmi ini, anda mungkin terpaksa menangguhkan hasrat untuk naik pangkat sehingga syarat tersebut dipenuhi.

  • Kurang komunikasi antara pekerja dan pihak pengurusan: Kadangkala, pekerja tidak diberi maklum balas yang jelas tentang prestasi mereka atau peluang kenaikan pangkat yang ada. Ini menyebabkan kekeliruan, ketidakpastian dan kelewatan dalam proses permohonan. Tanpa komunikasi terbuka, sukar untuk menilai tahap kesediaan dan keperluan peningkatan.

Apa yang perlu dilakukan jika permohonan ditolak?

Ditolak daripada kenaikan pangkat boleh menjadi satu kekecewaan, lebih-lebih lagi apabila anda yakin telah memberikan yang terbaik. Namun begitu, penolakan bukanlah penamat kerjaya anda. Berikut adalah beberapa langkah profesional yang boleh anda ambil:

1. Minta maklum balas spesifik daripada penyelia atau HR

Langkah pertama adalah mendapatkan penjelasan yang jelas tentang sebab permohonan anda ditolak. Tanya dengan cara yang profesional dan terbuka. Maklum balas ini sangat berharga sebagai asas untuk penambahbaikan.

2. Perbaiki kekurangan yang dinyatakan

Setelah menerima maklum balas, ambil tindakan segera untuk memperbaiki diri. Jika kekurangan adalah dari segi kemahiran, pertimbangkan untuk mengikuti kursus atau latihan tambahan.

3. Teruskan beri prestasi terbaik dan tunggu peluang berikutnya

Penolakan bukan bermakna anda tidak layak, tetapi mungkin belum sesuai pada masa ini. Teruskan menunjukkan prestasi cemerlang dalam tugasan harian anda. Jadikan diri anda sebagai calon yang tidak boleh diketepikan apabila peluang seterusnya muncul. Konsistensi adalah kunci utama untuk membina reputasi kerja yang kukuh.

4. Pertimbangkan pilihan lain seperti pindah jabatan atau organisasi

Jika peluang kenaikan pangkat di jabatan anda terlalu terhad atau terhalang oleh faktor yang tidak dapat dikawal, pertimbangkan pilihan lain. Anda boleh memohon untuk berpindah ke jabatan lain yang menawarkan lebih banyak peluang pembangunan kerjaya. Anda juga boleh mencari kerjaya baharu di organisasi lain yang lebih menghargai potensi anda.

Naik pangkat bukan sekadar nasib, tapi usaha strategik

Kenaikan pangkat bukan sesuatu yang berlaku secara tiba-tiba atau sekadar bergantung kepada nasib. Ia merupakan hasil daripada perancangan, tindakan yang konsisten dan kesungguhan untuk berkembang dalam kerjaya. Setiap individu mempunyai peluang untuk maju, asalkan tahu apa yang perlu dilakukan dan komited untuk mencapainya.

Dengan memahami keperluan jawatan yang disasarkan, membina kemahiran yang relevan serta menunjukkan nilai tambah kepada organisasi, anda sedang membuka laluan ke arah kenaikan pangkat yang berkesan.

Justeru, teruskan usaha meningkatkan diri dari segi pengetahuan, kemahiran dan rangkaian profesional. Tetapkan matlamat kerjaya jangka panjang yang jelas dan rancang setiap langkah ke arahnya.

Dengan pendekatan yang strategik dan konsisten, anda bukan sahaja layak dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat, malah mampu menjadi aset penting kepada organisasi.

Soalan lazim

1. Berapa lama masa diperlukan sebelum layak mohon kenaikan pangkat dalam pekerjaan? 

Tempoh masa ini bergantung kepada polisi syarikat. Ada organisasi yang membenarkan permohonan selepas satu hingga dua tahun perkhidmatan, manakala ada yang menetapkan tempoh yang lebih lama. Walau bagaimanapun, prestasi kerja tetap menjadi faktor utama dalam pertimbangan kenaikan pangkat.

2. Adakah latihan tambahan wajib untuk naik pangkat dalam sektor kerajaan? 

Ya. Latihan tambahan seperti kursus kompetensi atau peperiksaan tertentu adalah wajib dalam sektor kerajaan sebelum layak dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat, bergantung kepada skim perkhidmatan dan gred jawatan.

3. Bolehkah saya minta naik pangkat tanpa pengalaman mengurus? 

Boleh, asalkan anda dapat menunjukkan potensi kepimpinan melalui prestasi kerja, inisiatif dan tanggungjawab yang diambil. Keupayaan mengendalikan tugasan penting secara profesional juga boleh menjadi asas pertimbangan.

4. Apakah perbezaan antara naik pangkat automatik dan permohonan kenaikan secara bertulis? 

Naik pangkat automatik merujuk kepada sistem seperti time-based di sektor awam, yang berlaku selepas tempoh tertentu dengan syarat prestasi dan kelayakan dipenuhi. Permohonan secara bertulis pula memerlukan pekerja mengambil tindakan aktif untuk memohon dan disokong oleh dokumen serta penilaian prestasi.

More from this category: Career development

Top search terms

Want to know what people are searching for on Jobstreet? Explore our top search terms to stay across industry trends.

Subscribe to Career Advice

Get expert career advice delivered to your inbox.
By providing your personal information, you agree to the Collection Notice and Privacy Policy. If you are under 18 years old, you must have parental consent for Jobstreet and affiliates to process your personal data. You can unsubscribe at any time.