Ramai pencari kerja tergesa-gesa klik “Apply” tanpa membaca penghuraian kerja dengan teliti. Akibatnya, mereka mohon pekerjaan yang tidak sesuai dengan kemahiran atau minat sebenar.
Penghuraian kerja bukan sekadar senarai tugasan harian. Ia adalah gambaran awal tentang peranan, jangkaan majikan, dan budaya kerja di sesebuah syarikat. Artikel ini akan membantu anda fahami maksud sebenar penghuraian kerja dan mengapa ia penting dalam proses permohonan kerja.
Membaca penghuraian kerja dengan teliti merupakan langkah penting untuk memastikan bahawa jawatan tersebut benar-benar sesuai dengan diri anda. Setiap butiran yang dinyatakan dalam penghuraian kerja memberikan petunjuk tentang apa yang bakal anda hadapi sekiranya ditawarkan jawatan tersebut.
Penghuraian kerja bantu anda kenal pasti sama ada tugasan dan tanggungjawab selari dengan kemahiran serta minat anda. Ini elakkan anda memohon kerja yang mungkin nampak menarik dari luar, tetapi tidak sesuai dari segi realiti tugas harian.
Dengan membaca penghuraian kerja dengan teliti, anda dapat memahami apa yang dijangkakan oleh majikan daripada calon. Ini merangkumi aspek seperti kemahiran, komitmen masa dan juga budaya kerja. Perkara ini penting supaya anda tidak terkejut apabila tanggungjawab sebenar lebih mencabar daripada yang dijangka.
Jika anda tidak tahu skop kerja sebenar, anda mungkin tidak bersedia semasa temu duga. Sebaliknya, apabila anda sudah faham penghuraian kerja, anda boleh kaitkan pengalaman anda dengan keperluan jawatan dengan lebih tepat.
Penghuraian kerja juga bantu anda buat keputusan yang lebih bijak berdasarkan kesesuaian jadual, lokasi, tanggungjawab dan keutamaan hidup anda. Ini dapat kurangkan risiko menerima kerja yang tidak sepadan dengan gaya hidup atau matlamat kerjaya jangka panjang.
Apabila anda membaca iklan jawatan kosong, jangan hanya fokus pada nama jawatan atau gaji yang ditawarkan. Sebaliknya, anda perlu beri perhatian kepada butiran dalam penghuraian kerja seperti:
Pastikan nama jawatan mencerminkan fungsi sebenar, bukan sekadar "title" yang menarik. Contohnya, "Pegawai Strategi Digital" mungkin sebenarnya merujuk kepada tugas pemasaran media sosial harian.
Objektif menggambarkan matlamat utama peranan itu dalam organisasi. Jika anda faham peranan besar anda, lebih mudah untuk anda rancang prestasi kerja sejak awal. Ini juga bantu anda faham bagaimana sumbangan anda akan diukur dan dinilai oleh majikan.
Baca dengan teliti setiap tugas. Adakah anda pernah buat sebelum ini? Jika tidak, adakah anda berminat untuk belajar dan mampu menguasainya? Perlu juga anda nilai sama ada tugasan tersebut sejajar dengan kekuatan anda dan boleh menyumbang kepada pertumbuhan kerjaya anda.
Perhatikan sama ada kelayakan akademik dan kemahiran yang diminta selaras dengan latar belakang anda. Walaupun anda tidak memenuhi 100% keperluan, pastikan anda layak untuk majoriti syarat penting..
Adakah anda selesa bekerja di bawah tekanan jika perlu melapor terus kepada pengurus kanan atau CEO? Struktur laporan juga memberi gambaran tentang tahap kepercayaan dan tanggungjawab yang akan diberikan kepada anda.
Dengan membaca penghuraian kerja, anda boleh sesuaikan kandungan resume dan surat permohonan berdasarkan keperluan sebenar syarikat. Anda juga lebih mudah memilih kerja yang selari dengan minat dan pengalaman. Ini bantu anda rasa lebih yakin untuk menyumbang sejak hari pertama bekerja.
Permohonan yang disesuaikan dengan kehendak jawatan menjadikan anda kelihatan lebih relevan. Majikan cenderung memilih calon yang faham tugasan, bukan yang hanya hantar permohonan secara rawak. Akhirnya, anda dapat elak situasi "expectation mismatch", iaitu jangkaan yang tidak selari antara anda dan majikan.
Bayangkan anda sedang mempertimbangkan jawatan Eksekutif Pemasaran. Ramai pencari kerja mudah tertarik dengan nama jawatan yang nampak hebat tanpa menyemak sama ada tugasan dan KPI selaras dengan kemahiran serta tahap pengalaman mereka.
Penilaian yang kritikal membantu anda tentukan sama ada anda benar-benar layak dan bersedia untuk memikul tanggungjawab yang ditawarkan.
Setiap elemen dalam penghuraian kerja memberi petunjuk penting. Ini bukan sekadar soal kelayakan, tetapi juga soal keserasian antara peranan yang ditawarkan dengan matlamat kerjaya dan keupayaan sebenar anda. Jangan takut untuk menolak permohonan jika anda rasa jawatan tersebut tidak sesuai.
Objektif utama bagi jawatan ini adalah menyokong pelaksanaan kempen pemasaran dan komunikasi digital syarikat.
Sebelum memohon, anda perlu tanya diri sendiri sama ada anda mempunyai asas dalam pemasaran digital seperti penggunaan media sosial, kempen e-mel atau pengiklanan berbayar (paid ads). Jika tidak, anda mungkin perlu tingkatkan pengetahuan terlebih dahulu sebelum bersaing untuk jawatan ini.
Contoh tugasan yang mungkin termasuk mengendalikan media sosial syarikat, membuat laporan kempen atau menggunakan sistem CRM.
Anda perlu semak sama ada anda pernah mengendalikan platform seperti Meta Business Suite, Google Analytics atau HubSpot. Jika anda tidak biasa dengan alat ini tetapi berminat untuk belajar, anda boleh nyatakan minat tersebut dalam surat permohonan, bersama bukti bahawa anda sedang mengambil inisiatif.
Selain itu, bandingkan tugasan dengan pengalaman terdahulu anda. Jika 70% daripada tugasan pernah anda lakukan, itu petanda baik untuk memohon.
Contoh KPI: Tingkatkan trafik laman web sebanyak 30% dalam masa 3 bulan.
Anda perlu tanya diri sendiri sama ada sasaran ini realistik, berdasarkan bajet dan sumber yang tersedia. Jika anda pernah berjaya capai sasaran yang sama sebelum ini, nyatakan pencapaian itu dengan jelas dalam resume anda.
Pastikan anda tidak rasa terbeban dengan sasaran yang ditetapkan. Jika ia tidak realistik, anda mungkin akan tertekan atau gagal memenuhi jangkaan kerja.
Dalam penghuraian ini, anda akan melapor kepada Pengurus Kanan Pemasaran.
Ini bermakna anda akan bekerja di bawah pengawasan rapat dan perlu memberi kemas kini secara berkala. Tanya diri sendiri sama ada anda selesa bekerja dalam struktur hierarki yang formal, dan sama ada anda mempunyai kemahiran komunikasi yang sesuai untuk persekitaran profesional.
Kenali gaya kerja anda. Jika anda lebih selesa bekerja secara berdikari, pastikan anda faham sejauh mana tahap autonomi yang akan diberikan dalam jawatan ini.
Dengan meneliti iklan kerja secara kritikal, anda bukan sahaja boleh elak rasa kecewa selepas diterima, tetapi juga boleh tingkatkan peluang untuk mohon kerja yang serasi dengan matlamat dan kebolehan anda. Berikut adalah beberapa tips yang boleh bantu anda menilai penghuraian kerja dengan lebih efektif:
Jangan hanya fokus pada tajuk yang menarik, gaji atau lokasi kerja. Fahami keseluruhan kandungan penghuraian kerja, termasuk tanggungjawab, syarat kelayakan dan struktur laporan.
Gunakan peraturan 70% sebagai panduan awal. Jika anda memenuhi sebahagian besar keperluan, itu petanda anda sesuai untuk mohon, terutama jika anda bersedia untuk belajar selebihnya.
Penghuraian kerja sering guna istilah seperti CRM, ROI, KPI dan lain-lain. Pastikan anda tahu maksudnya sebelum mohon. Gunakan carian Google atau tanya seseorang dalam industri jika perlu.
Fikirkan jangka masa panjang. Adakah ini jenis kerja yang anda sanggup lakukan setiap hari selama beberapa tahun? Jika ya, itu tanda anda berada di landasan yang betul untuk memohon.
Ramai pencari kerja hanya lihat nama jawatan atau gaji sebelum memohon. Mereka tidak baca skop kerja sebenar yang dijelaskan dalam penghuraian. Apabila mula bekerja, mereka rasa terbeban dengan tugas yang tidak mereka jangkakan. Ini boleh jejaskan motivasi dan prestasi kerja pada peringkat awal.
Ada juga yang gagal sesuaikan resume dengan kehendak yang dinyatakan dalam penghuraian. Ini menjadikan permohonan mereka nampak tidak relevan dan kurang menarik bagi pihak HR.
Lebih teruk, ada yang rasa kecewa atau mengalami "burnout" kerana kerja tidak seperti yang mereka bayangkan. Semua ini boleh dielakkan jika penghuraian kerja dibaca dan difahami dengan teliti.
Meluangkan masa untuk membaca penghuraian kerja bukanlah buang masa. Ia adalah pelaburan penting untuk masa depan kerjaya anda. Calon yang faham sepenuhnya peranan yang dipohon akan lebih bersedia untuk temu duga dan lebih realistik semasa bekerja. Ini menunjukkan anda seorang yang serius, teliti dan bertanggungjawab.
Dengan memahami penghuraian kerja, anda boleh bina asas kerjaya yang lebih kukuh, kurangkan kadar tukar kerja dan tingkatkan kepuasan kerja jangka panjang.
Penghuraian kerja menerangkan tugas dan tanggungjawab bagi sesuatu jawatan. Manakala spesifikasi kerja menerangkan kriteria calon seperti pendidikan, kemahiran dan pengalaman yang diperlukan.
Ya, jika anda memenuhi sekurang-kurangnya 70% syarat dan yakin anda boleh belajar selebihnya. Pastikan anda tekankan kekuatan yang paling berkaitan dalam resume anda.
Tanya diri anda sama ada tugas-tugas yang dinyatakan memberi semangat kepada anda. Adakah anda mempunyai kemahiran atau kesanggupan untuk belajar perkara baharu dalam masa yang singkat? Jika jawapannya ya, itu petanda anda sesuai dengan jawatan tersebut dan boleh memohon dengan lebih yakin.
Tidak wajib secara undang-undang. Namun, syarikat profesional biasanya menyediakan penghuraian kerja ini untuk memastikan proses pengambilan pekerja lebih tersusun, telus dan adil.