Permit kerja Malaysia: Jenis, syarat dan cara permohonan

Permit kerja Malaysia: Jenis, syarat dan cara permohonan
Jobstreet content teamupdated on 24 September, 2025
Share

Permit kerja di Malaysia merupakan dokumen penting yang membolehkan warga asing bekerja secara sah di negara ini. Namun begitu, masih ramai pekerja asing yang keliru antara permit kerja dengan visa pelawat atau visa kerja.

Artikel ini bertujuan untuk memberikan panduan yang jelas dan terkini kepada warga asing yang ingin bekerja di Malaysia melalui saluran yang sah. Ia juga menekankan kepentingan mematuhi undang-undang imigresen negara.

Apakah permit kerja dan bagaimana ia berbeza daripada visa kerja?

Permit kerja di Malaysia adalah kebenaran bertulis yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia bagi membolehkan warga asing bekerja secara sah di negara ini.

Visa kerja, sebaliknya, hanyalah dokumen kemasukan yang membolehkan seseorang memasuki Malaysia untuk tujuan pekerjaan. Setelah masuk ke negara ini, individu tersebut mesti mempunyai permit kerja yang sah untuk membolehkan mereka bekerja secara sah di Malaysia.

Jenis-jenis permit kerja untuk pekerja asing di Malaysia

Permit kerja di Malaysia dibahagikan mengikut jenis pekerjaan, tahap kemahiran dan tempoh perkhidmatan. Terdapat tiga kategori utama permit kerja yang digunakan secara meluas:

1. Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS)

Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) merupakan permit kerja paling umum yang digunakan oleh pekerja asing dalam sektor pekerjaan tidak berkemahiran atau separa mahir.

Permit ini membolehkan penggajian pekerja asing dalam lima sektor utama yang diluluskan, iaitu:

  • Pembuatan

  • Pembinaan

  • Perladangan

  • Pertanian

  • Perkhidmatan terpilih seperti restoran, dobi, serta kerja-kerja pembersihan

Tempoh sah PLKS standard adalah 12 bulan dan boleh diperbaharui setiap tahun sehingga maksimum 10 tahun, tertakluk kepada syarat serta kelulusan pihak berkuasa. 

Untuk pembantu rumah asing, pelekat PLKS boleh dikeluarkan sehingga 24 bulan sekaligus. PLKS turut merangkumi pengambilan pembantu rumah asing, tetapi prosedur permohonannya diurus secara berasingan.

Majikan wajib mendapatkan kelulusan kuota penggajian pekerja asing terlebih dahulu melalui sistem eQuota yang ditetapkan. Setelah kuota diluluskan, majikan perlu memohon permit kerja bagi pihak pekerja asing melalui sistem ePPAx, iaitu platform rasmi yang dikendalikan oleh Jabatan Imigresen Malaysia.

Proses ini adalah langkah penting bagi memastikan pengambilan pekerja asing dilakukan secara sah dan mengikut prosedur yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

2. Pas Penggajian (Employment Pass)

Pas Panggajian diperuntukkan bagi ekspatriat dan profesional yang mempunyai kepakaran khusus serta diambil bekerja oleh syarikat yang berdaftar di Malaysia. Ia merupakan salah satu jenis permit kerja untuk ekspatriat yang tertakluk kepada syarat tertentu seperti tahap gaji, tempoh kontrak, dan kelayakan pekerjaan.

Kategori Pas Penggajian (Syarat permit kerja ekspatriat):

  • Kategori I: Gaji RM10,000 ke atas, dengan kontrak minimum 2 tahun. Pas boleh dikeluarkan sehingga 60 bulan (5 tahun) sekali gus.

  • Kategori II: Gaji antara RM5,000 hingga RM9,999, dengan kontrak antara 1 hingga 2 tahun

  • Kategori III: Gaji antara RM3,000 hingga RM4,999, dengan kontrak maksimum 12 bulan (boleh diperbaharui sebanyak dua kali)

Pas Penggajian tidak sesuai untuk pekerja dalam sektor am seperti buruh, operator kilang, atau pekerjaan tidak berkemahiran.

3. Pas Lawatan Ikhtisas (Professional Visit Pass)

Pas Lawatan Ikhtisas dikeluarkan kepada warga asing yang datang ke Malaysia bagi melaksanakan tugasan profesional dalam tempoh jangka pendek tanpa mengambil alih jawatan tetap dalam organisasi tempatan.

Contoh individu yang layak memohon Pas Lawatan Ikhtisas termasuk juruteknik sementara, penceramah atau jurulatih jemputan, serta penyelia projek khas.

Pas ini sesuai untuk tujuan profesional jangka pendek dan biasanya diberikan untuk tempoh maksimum 12 bulan. Ia tidak sesuai untuk pekerjaan tetap atau kontrak jangka panjang kerana tidak membenarkan pengambilan jawatan secara kekal.

Seorang wanita yang sedang menyemak e-melnya.

Bagaimana permit kerja diperoleh dan apa yang perlu pekerja tahu?

Walaupun permohonan permit kerja asing perlu dikemukakan oleh pihak majikan, pekerja asing juga harus memahami proses yang terlibat bagi memastikan dokumen mereka sah, lengkap dan mengikut undang-undang.

  1. Permohonan kuota dan visa kerja: Majikan perlu terlebih dahulu memohon kuota penggajian pekerja asing melalui sistem eQuota serta visa kerja melalui platform rasmi imigresen berkaitan.

  2. Ketibaan pekerja & pemeriksaan kesihatan: Selepas tiba di Malaysia, pekerja asing perlu menjalani pemeriksaan kesihatan mandatori. Bagi PLKS, pekerja mesti lulus saringan di klinik panel FOMEMA dan mendapat status “FIT” sebelum permit dikeluarkan. 

    ⁠Pemegang Employment Pass biasanya diperiksa di klinik panel MYXpats, manakala FOMEMA hanya diperlukan jika agensi teknikal tertentu mewajibkannya. Professional Visit Pass lazimnya dikecualikan daripada pemeriksaan kesihatan kecuali jika penaja sektor khas menetapkannya.

  3. Pelekat permit dalam pasport: Jika semua syarat dan pemeriksaan dipenuhi, permit kerja akan dikeluarkan dan ditampal dalam pasport oleh Jabatan Imigresen Malaysia sebagai bukti kebenaran bekerja secara sah.

Pekerja asing dinasihatkan agar sentiasa proaktif dalam memantau status permit kerja mereka. Antara langkah penting yang perlu diambil termasuk:

  • Menyemak maklumat pada permit kerja seperti nama, nombor pasport, tarikh luput, dan butiran majikan.

  • Memastikan semua maklumat adalah tepat dan sepadan dengan kontrak pekerjaan.

  • Menyimpan salinan dokumen penting seperti surat tawaran kerja, salinan permit kerja serta keputusan pemeriksaan kesihatan.

  • Melakukan semakan berkala terhadap status permit kerja.

Sekiranya terdapat sebarang keraguan atau percanggahan maklumat, pekerja dinasihatkan untuk segera mendapatkan penjelasan daripada majikan atau menghubungi Jabatan Imigresen Malaysia bagi mendapatkan pengesahan rasmi.

Cara mengenal pasti sama ada permit kerja anda sah atau tidak

Memastikan permit kerja anda sah adalah langkah penting bagi melindungi diri daripada risiko eksploitasi, penipuan pekerjaan, dan tindakan undang-undang. 

Tanda-tanda Permit Kerja Tidak Sah

Berikut adalah tanda-tanda biasa yang menunjukkan permit kerja anda mungkin tidak sah:

  • Tiada kontrak bertulis atau slip gaji rasmi

  • Hanya menerima janji lisan tanpa sebarang dokumen sokongan

  • Dibayar secara tunai tanpa sebarang rekod

  • Tidak mengetahui status permit atau maklumat majikan

Panduan semakan kesahihan permit kerja

Berikut merupakan panduan langkah demi langkah untuk menyemak kesahihan permit kerja serta tindakan yang perlu diambil sekiranya status anda meragukan:

  • Semak pasport anda: Periksa sama ada terdapat pelekat atau cop rasmi permit kerja yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia. Permit ini mesti menunjukkan maklumat majikan, tempoh sah dan jenis pekerjaan. 

  • Gunakan sistem e-Verify: Layari laman web rasmi Jabatan Imigresen Malaysia dan akses sistem e-Verify. Sistem ini membolehkan anda menyemak status permit kerja menggunakan nombor pasport dan maklumat peribadi pekerja.

  • Dapatkan salinan permit daripada majikan: Sebagai pekerja, anda berhak mendapatkan salinan permit kerja atau surat kelulusan daripada majikan anda sebagai bukti anda bekerja secara sah. 

Apakah hak dan had anda sebagai pemegang permit kerja?

Sebagai pemegang permit kerja yang sah, anda dilindungi oleh undang-undang buruh Malaysia. Namun, terdapat had yang mesti dipatuhi. Hak anda termasuk:

  • Bekerja hanya dengan majikan yang dinyatakan dalam permit.
  • Menerima gaji, cuti tahunan, dan faedah kontrak kerja.

  • Mendapat perlindungan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

  • Akses kepada rawatan perubatan asas, bergantung kepada sektor pekerjaan.

Had yang perlu dipatuhi:

  • Tidak boleh bertukar majikan atau bekerja sambilan tanpa kelulusan rasmi daripada imigresen.

  • Kerja lebih masa mesti mematuhi undang-undang dan diluluskan.

  • Anda bertanggungjawab untuk memastikan permit kerja sentiasa sah dan memperbaharuinya sebelum tamat tempoh.

Sekumpulan wanita sedang berusaha menyiapkan sebuah projek.

Apa yang perlu dilakukan jika anda dapati permit anda tidak sah?

Bekerja tanpa permit yang sah boleh mengakibatkan tindakan undang-undang, termasuk penahanan dan pengusiran. Berikut adalah langkah penting yang perlu diambil jika anda mengesyaki status permit kerja anda tidak sah:

1. Semak semula dengan majikan

Berbincang secara terbuka dan minta lihat semula dokumen penting seperti:

  • Surat tawaran kerja

  • Salinan permit kerja dalam pasport

  • Slip gaji rasmi

2. Rujuk pihak berkuasa atau NGO

Jika majikan enggan memberikan penjelasan yang jelas atau anda masih ragu tentang status permit kerja anda, anda disarankan untuk mengambil tindakan segera. Kunjungi pejabat Jabatan Imigresen Malaysia untuk mendapatkan pengesahan rasmi.

Anda juga boleh mendapatkan nasihat dan bantuan daripada organisasi berkaitan seperti Tenaganita (NGO yang membela hak pekerja migran) atau ILO (International Labour Organization).

3. Ambil tindakan awal

Jangan menunggu sehingga anda ditahan oleh pihak berkuasa baru mengambil tindakan. Sekiranya status permit kerja anda tidak sah atau meragukan, bertindak segera untuk membetulkannya melalui saluran yang betul. 

Antara langkah yang boleh diambil termasuk mengemukakan rayuan rasmi, membuat permohonan pemindahan majikan secara sah. Selain itu, pekerja juga boleh menjalani proses pembaharuan dan pengesahan semula dokumen dengan sokongan majikan baharu atau pihak berkuasa berkaitan. 

Tindakan awal dapat mengelakkan komplikasi undang-undang dan memastikan anda terus bekerja secara sah di Malaysia.

4. Semak pilihan untuk membetulkan status

Dalam situasi tertentu, anda masih berpeluang untuk membetulkan status permit kerja anda melalui saluran yang sah. Anda boleh mengemukakan permohonan rasmi bagi pembetulan status permit, terutamanya jika terdapat kesilapan atau isu teknikal dalam permohonan terdahulu. 

Anda juga boleh memohon pertukaran permit dengan sokongan daripada majikan baharu, tertakluk kepada kelulusan pihak Jabatan Imigresen Malaysia dan syarat yang ditetapkan.

Bagaimana memastikan kerjaya anda di Malaysia kekal stabil dan sah?

Sebelum menerima tawaran kerja, ambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan pekerjaan anda sah dan selamat, iaitu:

  • Jangan bekerja sebelum permit diluluskan. Pastikan anda menerima surat tawaran rasmi dan pengesahan bahawa permit kerja sedang diproses.

  • Jangan masuk ke Malaysia menggunakan visa pelancong untuk tujuan bekerja. Ini merupakan kesalahan serius di bawah undang-undang imigresen Malaysia dan boleh menyebabkan anda ditahan atau dihantar pulang.

  • Selidik reputasi majikan melalui platform seperti Jobstreet, laman web rasmi syarikat, atau semakan di media sosial untuk mengetahui latar belakang majikan.

  • Pastikan anda faham kesan bekerja secara haram terhadap kelangsungan kerjaya dan status imigresen anda.

Lindungi masa depan anda dengan status kerja yang sah

Permit kerja yang sah bukan sekadar dokumen. Ia merupakan asas penting kepada kestabilan dan keselamatan kerjaya anda di Malaysia. Dengan memiliki status kerja yang sah, anda boleh bekerja dengan tenang tanpa rasa bimbang. 

Anda juga layak menerima hak sebagai pekerja yang dilindungi oleh undang-undang, termasuk gaji tetap, cuti tahunan dan perlindungan sosial.

Sebagai pekerja asing, anda berhak mendapat maklumat yang jelas serta perlindungan sewajarnya dalam setiap aspek pekerjaan. Jika anda tidak pasti tentang status permit kerja anda, ambillah langkah awal untuk menyemaknya melalui saluran rasmi.

Tindakan ini bukan sahaja dapat mengelakkan anda daripada terjebak dalam situasi kerja tidak sah, malah memastikan masa depan anda di Malaysia kekal stabil, sah dan bermaruah.

Soalan lazim

1. Bagaimana cara saya tahu permit kerja saya sah atau tidak?

Semak pelekat permit dalam pasport anda atau gunakan sistem e-Verify di laman web rasmi Jabatan Imigresen Malaysia. Anda juga boleh merujuk kepada majikan atau hadir ke pejabat Imigresen untuk pengesahan.

2. Bolehkah saya tukar majikan jika permit saya masih aktif?

Tidak boleh tanpa kebenaran rasmi daripada Jabatan Imigresen Malaysia. Pertukaran majikan perlu melalui proses permohonan baharu dan tertakluk kepada syarat Imigresen.

3. Apakah perlu saya buat jika permit saya tamat tapi majikan belum perbaharui?

Segera maklumkan kepada majikan dan minta pengesahan status pembaharuan. Jika tiada tindakan diambil, hubungi Jabatan Imigresen Malaysia atau dapatkan nasihat daripada NGO berkaitan. Elakkan daripada terus bekerja tanpa permit yang sah.

4. Adakah saya dibenarkan kerja lebih masa dengan permit ini?

Ya, anda dibenarkan bekerja lebih masa selagi ia mematuhi undang-undang buruh Malaysia. Kerja lebih masa perlu dinyatakan dalam kontrak kerja anda dan majikan wajib membayar kadar bayaran lebih masa yang ditetapkan. Pekerja juga perlu memastikan bahawa jumlah jam kerja lebih masa tidak melebihi had yang ditetapkan.

More from this category: Applying for jobs

Top search terms

Want to know what people are searching for on Jobstreet? Explore our top search terms to stay across industry trends.

Explore related topics

Choose an area of interest to browse related careers.

Subscribe to Career Advice

Get expert career advice delivered to your inbox.
By providing your personal information, you agree to the Collection Notice and Privacy Policy. If you are under 18 years old, you must have parental consent for Jobstreet and affiliates to process your personal data. You can unsubscribe at any time.