Jika anda seorang warga asing yang ingin bekerja secara sah di Malaysia, visa kerja adalah syarat utama. Tanpa dokumen ini, majikan tidak boleh menggajikan anda secara sah di sisi undang-undang.
Malaysia merupakan destinasi popular dalam kalangan pekerja asing kerana negara ini menawarkan pelbagai peluang pekerjaan dalam sektor pembinaan, perkilangan, pertanian dan perkhidmatan.
Sama ada anda ingin bekerja untuk jangka pendek atau dalam bidang profesional, pemahaman tentang jenis visa, syarat, dan proses permohonan adalah sangat penting.
Artikel ini akan membantu anda memahami langkah-langkah utama sebelum memulakan kerjaya di Malaysia.
Visa kerja Malaysia ialah dokumen rasmi yang membenarkan warga asing bekerja secara sah di negara ini. Tanpa visa ini, sebarang pekerjaan dianggap tidak sah di sisi undang-undang dan boleh dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa Imigresen.
Visa ini dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia dengan kelulusan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN). Proses permohonan juga melibatkan beberapa agensi teknikal, bergantung kepada jenis pekerjaan dan sektor.
Terdapat beberapa kategori utama visa kerja di Malaysia, bergantung kepada tempoh pekerjaan dan jenis tugasan. Setiap jenis visa mempunyai syarat, kelayakan dan tempoh sah yang berbeza. Pemilihan jenis visa bergantung kepada tawaran kerja serta latar belakang dan kelayakan pemohon.
Visa kerja di Malaysia terbahagi kepada beberapa kategori, bergantung kepada jenis pekerjaan, tempoh kerja dan tahap kemahiran. Setiap jenis visa mempunyai kelayakan serta prosedur permohonan yang berbeza.
Employment Pass diberikan kepada warga asing yang mempunyai kepakaran atau pengalaman profesional tertentu. Ia biasanya melibatkan jawatan dalam bidang pengurusan, teknikal tinggi, atau sebagai perunding dalam sektor khusus.
Sesuai untuk eksekutif, jurutera, doktor, akauntan atau pakar IT.
Tempoh sah antara 1 hingga 5 tahun bergantung kepada kategori.
Gaji minimum dan kelulusan daripada agensi teknikal mungkin diperlukan.
PLKS digunakan untuk pekerja asing yang diambil bekerja dalam sektor seperti pembuatan, pembinaan, perladangan dan perkhidmatan.
Tempoh sah biasanya 1 tahun dan boleh diperbaharui secara tahunan, tertakluk kepada syarat dan kelulusan semasa.
Permohonan perlu melalui sistem kuota dan kelulusan daripada Kementerian Dalam Negeri.
Termasuk visa untuk Pembantu Rumah Asing (PRA), namun tertakluk kepada prosedur tambahan yang berasingan.
Pas Lawatan Ikhtisas diperlukan oleh warga asing yang datang ke Malaysia bagi menjalankan kerja jangka pendek atau tugasan teknikal tertentu.
Contoh tugasan termasuk pemasangan mesin, latihan teknikal, atau ceramah profesional.
Tempoh lawatan tidak melebihi 12 bulan.
Majikan atau organisasi tempatan perlu menjadi penaja rasmi.
Sebelum pekerja asing boleh bekerja secara sah di Malaysia, beberapa syarat asas perlu dipenuhi oleh kedua-dua pihak, iaitu pekerja dan majikan. Permohonan mesti dibuat mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia dan agensi teknikal berkaitan.
Majikan mesti berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau agensi berkaitan.
Majikan perlu memohon kuota kelulusan pekerja asing daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Permohonan visa hanya boleh dilakukan oleh majikan yang memiliki kuota kelulusan yang masih aktif.
Pekerja mesti menerima tawaran kerja yang sah daripada majikan berdaftar di Malaysia.
Pasport pekerja perlu sah sekurang-kurangnya 18 bulan dari tarikh permohonan.
Umur pekerja mestilah antara 18 hingga 45 tahun (tertakluk kepada sektor).
Saringan kesihatan perlu dilakukan di negara asal melalui panel klinik yang diluluskan.
Pekerja tidak boleh mempunyai rekod jenayah atau dikenakan larangan masuk ke Malaysia.
Untuk Employment Pass, gaji minimum biasanya RM3,000 ke atas, bergantung kepada kategori dan jawatan.
Untuk Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), pekerja hanya dibenarkan bekerja dalam sektor tertentu dan tertakluk kepada sistem kuota serta levi.
Untuk Professional Visit Pass, permohonan perlu disokong oleh organisasi penaja dan tertakluk kepada tempoh maksimum 12 bulan.
Setiap permohonan akan melalui proses semakan dokumen, penilaian kelayakan dan pengesahan kesihatan sebelum visa kerja dikeluarkan.
Untuk mendapatkan visa kerja Malaysia, proses permohonan melibatkan beberapa langkah utama yang perlu dipatuhi oleh majikan dan pekerja asing. Semua prosedur dikawal oleh Jabatan Imigresen Malaysia dan agensi teknikal berkaitan.
Majikan perlu mendaftar di sistem Foreign Workers Centralised Management System (FWCMS). Majikan juga perlu memohon kuota penggajian pekerja asing daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Setelah permohonan kuota diluluskan, majikan boleh teruskan dengan permohonan kepada Jabatan Imigresen untuk mendapatkan kelulusan membawa masuk pekerja asing.
Majikan akan memohon Visa Dengan Rujukan (VDR) bagi pihak pekerja asing. VDR diperlukan sebelum pekerja boleh masuk ke Malaysia untuk bekerja secara sah.
Pekerja (terutamanya pemohon PLKS) mesti menjalani ujian di klinik panel luar negara berdaftar FWCMS yang diiktiraf Kerajaan Malaysia. Senarai panel dikemas kini mengikut negara sumber. Bagi pemegang Employment Pass atau Professional Visit Pass, pemeriksaan pra-ketibaan hanya diperlukan jika disyaratkan oleh agensi teknikal.
Selepas pekerja tiba, majikan mesti mendaftar pekerja di FOMEMA dalam tempoh tujuh (7) hari bekerja. Majikan digalakkan melakukannya dalam 72 jam untuk mempercepat proses. Pemeriksaan kesihatan wajib diselesaikan dalam 30 hari, dan permit kerja hanya dikeluarkan apabila keputusan FOMEMA menunjukkan status “FIT”.
Jika semua dokumen lengkap dan pekerja lulus pemeriksaan kesihatan, Jabatan Imigresen akan mengeluarkan visa kerja dan menampalnya dalam pasport pekerja.
Permohonan visa kerja Malaysia perlu disertakan dengan dokumen sokongan lengkap. Dokumen ini penting untuk semakan kelayakan dan kelulusan daripada pihak imigresen dan agensi teknikal.
Surat tawaran kerja: Surat tawaran kerja di keluarkan oleh majikan yang sah berdaftar di Malaysia. Perlu nyatakan jawatan, gaji, dan tempoh kontrak.
Salinan pasport: Halaman penuh pasport pekerja asing diperlukan. Pasport mesti sah sekurang-kurangnya 18 bulan dari tarikh permohonan.
Gambar berukuran pasport: Biasanya satu atau dua keping diperlukan. Pastikan gambar terkini dan menepati spesifikasi rasmi.
Borang permohonan visa: Diisi dengan lengkap dan ditandatangani. Boleh diperoleh melalui sistem imigresen atau agensi berkaitan.
Sijil akademik dan bukti pengalaman kerja: Wajib untuk permohonan Employment Pass. Sertakan salinan kelulusan dan surat pengalaman terdahulu jika ada.
Surat kelulusan kementerian atau agensi teknikal: Diperlukan bagi jawatan tertentu seperti dalam sektor kesihatan, pendidikan, atau kejuruteraan.
Pekerja asing yang sah di Malaysia mempunyai hak dan tanggungjawab tertentu di bawah undang-undang tempatan. Tujuan utamanya adalah untuk memastikan hubungan kerja yang adil dan selamat, serta mematuhi semua peraturan imigresen dan buruh.
Pekerja asing yang bekerja secara sah berhak menerima perlindungan seperti mana-mana pekerja tempatan, tertakluk kepada Akta Kerja 1955.
Antara hak minimum yang wajib diberikan termasuk:
Gaji bulanan yang dijelaskan mengikut kontrak.
Cuti rehat mingguan sekurang-kurangnya satu hari setiap minggu.
Cuti tahunan, cuti umum dan cuti sakit bergaji.
Bayaran kerja lebih masa dan caruman insurans jika layak.
Majikan juga wajib menyediakan tempat tinggal yang selamat dan bersih, terutama untuk sektor pekerjaan manual atau berisiko tinggi.
Semua pekerja asing perlu menandatangani kontrak kerja sebelum mula bekerja. Kontrak ini menggariskan tempoh pekerjaan, gaji, tanggungjawab dan syarat penamatan.
Pekerja tidak boleh melanggar terma kontrak tanpa sebab sah.
Sebarang pertikaian mesti dirujuk kepada Pejabat Tenaga Kerja atau Mahkamah Buruh.
Pekerja asing tidak dibenarkan menukar majikan secara bebas. Proses pertukaran hanya dibenarkan jika mendapat kelulusan rasmi daripada Jabatan Imigresen dan KDN.
Tukar majikan tanpa kelulusan dianggap pelanggaran visa kerja.
Kesalahan ini boleh menyebabkan pembatalan visa dan pengusiran.
Visa kerja mempunyai tarikh luput yang dinyatakan dalam dokumen. Pemegang visa bertanggungjawab memastikan proses pembaharuan dilakukan awal.
Pembaharuan mesti dimohon sekurang-kurangnya 3 bulan sebelum tamat.
Visa yang tamat tempoh boleh mengakibatkan tindakan undang-undang.
Pekerja asing perlu menjalani pemeriksaan kesihatan berkala di klinik panel yang diluluskan. Keputusan perlu dihantar kepada agensi bertanggungjawab.
Gagal dalam ujian kesihatan boleh menyebabkan visa dibatalkan.
Pekerja juga tertakluk kepada pemantauan pematuhan visa dan permit kerja oleh imigresen.
Malaysia menawarkan banyak peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor, namun proses permohonan tetap perlu diikuti dengan betul. Daripada memilih jenis visa hingga mengurus dokumen sokongan, setiap langkah memberi kesan kepada kelulusan anda.
Jangan terburu-buru. Luangkan masa untuk memahami syarat, menyemak tarikh penting, dan memastikan semua dokumen lengkap sebelum memohon. Apabila proses dilakukan dengan teratur, anda bukan sahaja lebih yakin, malah lebih bersedia untuk memulakan kerjaya yang stabil di sini.
Tempoh sah visa kerja di Malaysia berbeza mengikut jenis visa dan kelulusan yang diberikan oleh pihak Imigresen. Untuk Employment Pass, tempohnya boleh mencecah sehingga 60 bulan. Visa lain seperti Pas Lawatan Kerja Sementara biasanya sah selama 12 bulan dan perlu diperbaharui setiap tahun.
Sesetengah kategori visa seperti Employment Pass membenarkan pemegangnya memohon Dependant Pass bagi pasangan dan anak-anak. Namun, permohonan ini tertakluk kepada kelulusan khas dan hanya sah jika anda memenuhi syarat seperti gaji minimum, kategori visa yang layak, serta mempunyai kontrak kerja yang sah.
Jika anda bekerja tanpa visa kerja yang sah, tindakan undang-undang boleh diambil mengikut Akta Imigresen Malaysia. Anda berisiko ditahan, dikenakan denda, dihantar pulang ke negara asal, atau di senarai hitamkan daripada memasuki Malaysia semula.
Pertukaran majikan selepas tiba di Malaysia hanya dibenarkan dengan kelulusan bertulis daripada Jabatan Imigresen Malaysia. Jika anda menukar pekerjaan tanpa kelulusan rasmi, visa kerja anda boleh dibatalkan serta-merta dan anda berisiko dikenakan tindakan pengusiran atau di senarai hitam untuk permohonan masa hadapan.