Apa yang perlu anda tahu tentang kerja lebih masa di Malaysia?

Apa yang perlu anda tahu tentang kerja lebih masa di Malaysia?
Jobstreet content teamupdated on 23 July, 2025
Share

Kerja lebih masa, atau lebih dikenali sebagai ‘overtime’ (OT), menjadi sebahagian daripada realiti pekerjaan moden. Ia berlaku apabila seseorang bekerja melebihi tempoh waktu kerja biasa seperti yang telah ditetapkan dalam kontrak pekerjaan.

Walaupun sesetengah pekerja rela melakukannya demi pendapatan tambahan, masih ramai yang tidak jelas tentang hak dan kadar bayaran OT yang sewajarnya.

Di Malaysia, undang-undang buruh menetapkan garis panduan tertentu berkaitan kerja lebih masa untuk melindungi hak pekerja. Artikel ini akan membantu anda memahami maksud OT, siapa yang layak, kadar bayaran mengikut undang-undang, serta tindakan yang boleh diambil jika hak anda dinafikan.

Apa maksud kerja lebih masa (OT)?

Kerja lebih masa merujuk kepada tempoh bekerja melebihi 8 jam sehari atau 45 jam seminggu seperti yang digariskan dalam Akta Kerja 1955. Ia juga merangkumi waktu kerja tambahan selepas waktu kerja biasa yang telah dipersetujui dalam kontrak kerja.

Namun, kerja lebih masa hanya sah dan layak untuk bayaran jika dilakukan atas arahan majikan. Arahan ini sebaiknya disampaikan secara bertulis untuk tujuan rekod. Waktu yang digunakan untuk makan, rehat dan solat tidak dikira sebagai sebahagian daripada waktu kerja lebih masa.

Jenis-jenis kerja lebih masa

Di Malaysia, waktu kerja lebih masa boleh dibahagikan kepada tiga kategori utama iaitu kerja siang, kerja malam dan kerja kecemasan:

a. Kerja siang: 6 pagi – 10 malam

Kerja siang merujuk kepada kerja lebih masa yang dilakukan antara jam 6 pagi hingga 10 malam. Waktu ini merupakan tempoh paling lazim bagi kerja lebih masa kerana ia bersesuaian dengan jadual kerja kebanyakan pejabat dan sektor perkhidmatan.

Dalam kebanyakan kes, kerja lebih masa ini berlaku selepas waktu tamat bekerja, contohnya antara jam 5 petang hingga 8 malam. Pekerja yang melakukan kerja lebih masa dalam tempoh ini berhak menerima bayaran OT pada kadar 1.5 kali gaji sejam, tertakluk kepada kelayakan.

b. Kerja malam: 10 malam – 6 pagi

Kerja malam pula melibatkan kerja lebih masa yang dijalankan antara jam 10 malam hingga 6 pagi keesokan harinya. Waktu ini biasanya melibatkan pekerja yang bertugas dalam sistem syif, termasuk di sektor kilang, logistik, hospital dan keselamatan. 

Kerja lebih masa pada waktu malam biasanya dibayar dengan kadar yang lebih tinggi, atau disertakan dengan elaun khas syif malam oleh sesetengah majikan.

c. Kerja kecemasan: Melibatkan bencana, keselamatan awam, dan tugas penting

Kerja kecemasan merujuk kepada kerja lebih masa yang dilakukan dalam situasi luar jangka dan memerlukan tindakan segera. Ini termasuk keadaan seperti bencana alam, gangguan sistem kritikal, masalah keselamatan awam, atau operasi penting yang tidak boleh ditangguhkan. 

Contohnya termasuk kerja pemulihan bekalan elektrik selepas ribut, pembersihan kecemasan di hospital, atau pelaporan berita secara langsung semasa krisis. Kerja kecemasan dibayar OT sewajarnya mengikut kategori waktu (siang atau malam), dan turut mengambil kira tahap risiko serta keperluan mendesak tugas tersebut.

Sekumpulan orang mengadakan mesyuarat di pejabat.

Siapa yang layak tuntut bayaran OT?

Tidak semua pekerja layak untuk menuntut bayaran kerja lebih masa. Kelayakan ditentukan berdasarkan beberapa kriteria berikut:

  • Pekerja bergaji bulanan di bawah RM4,000 layak secara automatik di bawah Akta Kerja 1955.

  • Pekerja manual (seperti operator kilang, pemandu lori dan juruteknik) layak menuntut OT tanpa had gaji.

  • Pegawai pentadbiran, penyelia dan eksekutif bergaji tinggi lazimnya tidak layak menerima bayaran OT.

  • Pekerja yang bekerja dari rumah (BDR) biasanya tidak layak menuntut OT kerana waktu kerja sukar dipantau dengan tepat.

Oleh itu, penting untuk merujuk kepada kontrak pekerjaan serta peruntukan dalam Akta Kerja bagi mengenal pasti kelayakan secara sah.

Kadar bayaran kerja lebih masa mengikut undang-undang

Kadar bayaran kerja lebih masa adalah seperti berikut:

  • 1.5 kali gaji sejam untuk kerja lebih masa pada hari bekerja biasa.

  • 2 kali gaji sejam untuk kerja yang dilakukan pada hari rehat mingguan.

  • 3 kali gaji sejam untuk kerja lebih masa pada hari kelepasan am (cuti umum).

Bayaran OT dikira berdasarkan gaji pokok bulanan dan elaun tetap, dan tidak termasuk komisen atau elaun tidak tetap. Ini memastikan pekerja dibayar secara adil mengikut nilai masa tambahan yang telah diluangkan.

Cara kira bayaran OT dengan tepat

Mengetahui cara mengira bayaran kerja lebih masa dengan betul adalah penting untuk memastikan anda tidak dibayar kurang daripada apa yang sepatutnya. Berikut ialah langkah mengira bayaran OT secara tepat:

Gaji Bulanan ÷ 26 hari ÷ 8 jam = Gaji sejam biasa

Contoh: RM2,600 ÷ 26 ÷ 8 = RM12.50 sejam.

Gaji sejam × kadar OT × jumlah jam OT yang dibuat

Jika kerja lebih masa 4 jam pada hari bekerja: RM12.50 × 1.5 × 4 = RM75

Had bayaran lebih masa sebulan tidak boleh melebihi 1/3 daripada gaji pokok, kecuali jika telah diluluskan secara rasmi oleh pihak berkuasa. Bagi kemudahan, anda boleh guna kalkulator OT atas talian bagi membuat semakan anggaran jumlah bayaran yang sepatutnya diterima.

Situasi biasa yang melibatkan kerja lebih masa

Kerja lebih masa sering berlaku dalam keadaan tertentu yang memerlukan kakitangan memberikan komitmen tambahan melebihi waktu kerja biasa. Walaupun ia bukan amalan harian, situasi-situasi berikut adalah antara yang paling kerap menyebabkan keperluan untuk kerja lebih masa:

1. Projek mendesak atau tarikh akhir penting

Apabila sesebuah organisasi terlibat dalam projek besar dengan tarikh akhir yang semakin hampir, kerja lebih masa sering kali tidak dapat dielakkan. Keadaan ini lazim berlaku dalam industri seperti periklanan, pembinaan, teknologi maklumat (IT), dan perundingan, di mana projek mesti disiapkan mengikut jadual yang ketat.

2. Persiapan audit, pelancaran produk atau majlis syarikat

Persiapan audit, misalnya, melibatkan semakan dokumen, laporan kewangan dan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP), yang mungkin memerlukan masa tambahan selepas waktu pejabat. Begitu juga dengan pelancaran produk, di mana semua bahagian termasuk pemasaran, logistik dan operasi perlu bekerjasama dengan pantas dan bersepadu. Situasi seperti ini menjadikan kerja lebih masa sebagai langkah kritikal untuk memastikan kelancaran majlis atau proses penting syarikat.

3. Kekurangan staf sementara

Ketiadaan pekerja tetap atas sebab cuti sakit, cuti bersalin atau cuti tahunan boleh menyebabkan kekurangan staf dalam sesebuah jabatan. Bagi memastikan kelangsungan operasi, pekerja lain mungkin diminta untuk menampung beban kerja tambahan. 

Walaupun bersifat sementara, kerja lebih masa yang dilakukan dalam tempoh ini perlu direkod dan dibayar sewajarnya mengikut kadar OT yang ditetapkan oleh undang-undang.

4. Permintaan pelanggan di luar waktu bekerja

Situasi ini lazim berlaku dalam industri yang melibatkan perkhidmatan pelanggan, sokongan teknikal IT, dan sektor logistik. Pekerja yang ditugaskan untuk melayani pelanggan atau menyelesaikan isu segera di luar waktu pejabat mungkin terpaksa melanjutkan waktu kerja.

5. Kerja rasmi kecemasan atau tugasan penting yang tidak boleh ditangguhkan

Kadangkala berlaku keadaan kecemasan yang memerlukan kehadiran segera pekerja, contohnya apabila berlaku gangguan sistem kritikal, kebocoran data, kerosakan fasiliti, atau insiden yang melibatkan keselamatan organisasi. 

Dalam situasi seperti ini, kerja lebih masa dilakukan bagi mengelakkan kerugian yang lebih besar atau gangguan operasi yang berpanjangan.

Seorang wanita memegang kepalanya semasa bekerja.

Hak pekerja terhadap bayaran kerja lebih masa

Setiap pekerja yang layak di bawah undang-undang berhak menerima bayaran kerja lebih masa sekiranya mereka bekerja melebihi waktu kerja biasa. 

Menurut Akta Kerja 1955, majikan wajib membayar OT mengikut kadar yang telah ditetapkan, asalkan kerja lebih masa itu dilakukan atas arahan majikan dan memenuhi syarat yang sah. Bayaran OT ini adalah satu bentuk perlindungan bagi memastikan pekerja tidak dieksploitasi oleh beban kerja berlebihan tanpa ganjaran yang setimpal.

Jika anda telah bekerja lebih masa tetapi tidak menerima bayaran yang sepatutnya, langkah pertama ialah merujuk kepada bahagian Sumber Manusia (HR) syarikat. Anda boleh meminta salinan slip gaji dan rekod kehadiran rasmi untuk semakan. 

Ini penting bagi memastikan semua jam kerja lebih masa telah direkodkan dengan betul dan tiada kesilapan pengiraan berlaku.

Selain itu, anda disarankan untuk menyimpan rekod sendiri berkaitan waktu kerja termasuk waktu masuk, waktu keluar, serta sebarang arahan bertulis daripada majikan yang mengarahkan kerja lebih masa. Rekod ini boleh menjadi bukti penting sekiranya anda perlu membuat aduan rasmi kelak.

Sekiranya selepas semakan dalaman tiada tindakan diambil oleh majikan, anda boleh mengemukakan aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK). Pihak JTK mempunyai kuasa untuk menyiasat dan mengambil tindakan terhadap majikan yang melanggar undang-undang buruh

Bagi pegawai atau kakitangan yang tidak layak menerima bayaran Elaun Lebih Masa (ELM) atas sebab gaji atau jawatan, terdapat pilihan untuk menuntut Cuti Gantian

Mengikut garis panduan, setiap 9 jam kerja lebih masa bersamaan 1 hari cuti gantian, yang perlu diambil dalam tempoh 6 bulan dari tarikh kerja lebih masa dilakukan. Ini membolehkan pekerja tetap mendapat ganjaran rehat sebagai ganti kepada masa tambahan yang telah diluangkan demi tugas rasmi.

Perjalanan rasmi dan pengiraan kerja lebih masa

Perjalanan rasmi atas urusan kerja juga tertakluk kepada peraturan tertentu yang berbeza mengikut tempoh dan jenis tugas. Jika tempoh perjalanan adalah kurang daripada 24 jam dan melibatkan tugasan rasmi atas arahan majikan, masa tersebut boleh dikira sebagai kerja lebih masa (OT), tertakluk kepada syarat yang ditetapkan. 

Namun, jika perjalanan melebihi 24 jam dan melibatkan penginapan bermalam, masa perjalanan tersebut biasanya tidak dikira sebagai kerja lebih masa bagi pekerja biasa. 

Pengecualian diberikan kepada pekerja tertentu seperti pemandu, di mana masa memandu dalam perjalanan tetap dikira sebagai kerja lebih masa kerana ia adalah tugas utama mereka.

Majikan perlu menyediakan garis panduan yang jelas berkaitan pengiraan kerja lebih masa semasa perjalanan rasmi. Pekerja pula digalakkan menyimpan rekod lengkap berkaitan waktu perjalanan, waktu mula dan tamat tugas, serta tujuan rasmi tugasan. 

Rekod ini penting untuk menyokong sebarang tuntutan kerja lebih masa dan memastikan proses pengesahan dibuat secara sah mengikut peraturan yang ditetapkan.

Tips urus kerja lebih masa secara sihat

Kerja lebih masa boleh memberi kesan kepada kesihatan sekiranya dilakukan terlalu kerap tanpa rehat yang mencukupi. Berikut ialah beberapa panduan untuk mengurus kerja lebih masa dengan lebih sihat dan seimbang:

  • Pastikan mendapat rehat yang mencukupi selepas melakukan kerja lebih masa bagi mengelakkan keletihan berpanjangan.

  • Bincangkan secara terbuka dengan majikan sekiranya jumlah OT melebihi kemampuan anda atau terlalu kerap.

  • Amalkan keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi bagi memastikan kesihatan mental dan fizikal sentiasa terjaga.

  • Jangan takut untuk bersuara sekiranya anda berasa terbeban secara tidak adil, kerana anda berhak mendapat perlindungan sewajarnya.

Fahami hak anda sebelum menerima tugasan lebih masa

Kerja lebih masa bukan sekadar tambahan jam bekerja, ia melibatkan isu yang berkait rapat dengan hak pekerja, kesihatan dan kesejahteraan. Sebelum menerima tugasan OT, adalah penting untuk anda memahami kelayakan, kadar bayaran sebenar, serta sama ada ia selari dengan peruntukan undang-undang.

Jika anda perlu bekerja lebih masa, pastikan ia dilakukan secara adil, sukarela dan dihargai oleh majikan. Pekerja yang dihargai cenderung untuk bekerja dengan lebih baik dan kekal produktif dalam jangka masa panjang. 

Kesedaran tentang hak anda sebagai pekerja akan membantu anda membuat keputusan kerja yang bijak dan melindungi diri daripada sebarang bentuk eksploitasi.

Soalan lazim 

1. Apakah maksud kerja lebih masa mengikut undang-undang buruh Malaysia?

Kerja lebih masa ialah kerja yang dilakukan melebihi 8 jam sehari atau 45 jam seminggu, atas arahan majikan, dan layak dibayar mengikut kadar OT yang ditetapkan dalam Akta Kerja 1955.

2. Siapakah yang layak menerima bayaran kerja lebih masa?

Mengikut Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022), pekerja yang layak menerima bayaran kerja lebih masa termasuk:

  • Pekerja bergaji bulanan di bawah RM4,000, seperti yang tidak dikecualikan di bawah Perintah Pengecualian.

  • Pekerja manual, seperti operator kilang, pemandu lori, dan juruteknik — tanpa had gaji.

  • Pekerja bukan eksekutif yang tidak menjalankan tugas pengurusan, penyeliaan, atau berkaitan maklumat sulit.

Sebaliknya, pegawai eksekutif bergaji tinggi dan pekerja yang bekerja dari rumah (BDR) biasanya tidak layak menerima bayaran OT, kecuali jika ia dinyatakan secara jelas dalam kontrak pekerjaan.

3. Bagaimanakah cara kira bayaran kerja lebih masa dengan betul?

Bayaran kerja lebih masa dikira seperti berikut:

  1. Gaji bulanan ÷ 26 hari untuk dapatkan kadar harian.

  2. Kadar harian ÷ 8 jam untuk dapatkan kadar sejam.

  3. Kadar sejam × kadar OT (1.5 / 2.0 / 3.0) mengikut jenis hari OT.

  4. Hasil × jumlah jam kerja lebih masa untuk dapat jumlah bayaran OT.

4. Apakah tindakan jika majikan enggan membayar OT yang telah dibuat?

Jika majikan enggan membayar OT yang telah anda lakukan, anda boleh mengambil langkah berikut:

  1. Rujuk kepada bahagian Sumber Manusia (HR) untuk mendapatkan penjelasan rasmi.

  2. Simpan semua rekod kerja, termasuk jadual waktu, bukti kehadiran, atau arahan bertulis berkaitan OT.

  3. Jika tiada penyelesaian dalaman, buat aduan rasmi kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) di bawah Kementerian Sumber Manusia. Tuntutan rasmi boleh dibuat melalui sistem e-Aduan atau dengan hadir ke pejabat JTK berhampiran.

More from this category: Your employment rights

Top search terms

Want to know what people are searching for on Jobstreet? Explore our top search terms to stay across industry trends.

Subscribe to Career Advice

Get expert career advice delivered to your inbox.
By providing your personal information, you agree to the Collection Notice and Privacy Policy. If you are under 18 years old, you must have parental consent for Jobstreet and affiliates to process your personal data. You can unsubscribe at any time.